Thursday, September 10, 2009

Kepentingan sains dan wahyu pertama


Wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah SWT kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w mempunyai mesej yang penting kepada umat Islam. Firman Allah





Bermaksud: "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (segala makhluk). Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhan mu yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya" (surah al-Alaq:1-5)

Wahyu pertama ini mempunyai beberapa signifikan
1. Yang pertama ialah perlantikan Nabi Muhammad SAW sebagai nabi dan rasul terakhir. Dengan ini bermulalah penyebaran syiar Islam ke pelosok dunia

2. Yang kedua ialah menerusi mesej saintifik dalam wahyu pertama ini. Terdapat maklumat biologi tentang maklumat proses perkembangan manusia. Bayangkan Nabi Muhammad SAW tidak tahu menulis dan membaca tetapi Allah mengangkatnya sebagai manusia pertama di muka bumi ini yang mengetahui proses kejadian manusia. Fakta biologi ini hanya terbukti berkurun-kurun kemudian apabila pengetahuan manusia bertambah menerusi penemuan-penemuan sains dan teknologi. Seorang pakar bedah Perancis, Maurice Bucaille di dalam bukunya The Bible, The Quran and Science membuat kesimpulan bahawa wahyu ini membuktikan wujud keserasian Islam dengan ilmu sains, yakni tidak wujud sebarang konflik, paradoks, pertentangan atau dikotomi antara sains dan teknologi dengan Islam.

3. Yang ketiga ialah menerusi firman Allah SWT dengan jelas mengenai kaedah yang perlu diamalkan oleh manusia dalam menuntut, mengembangkan dan seterusnya menguasai ilmu pengetahuan.

(a) Kaedah pertama ialah menerusi arahan Allah SWT supaya membaca kerana ia merupakan tabiat yang menjadi kunci kepada ilmu pengetahuan. Justeru itu kita perlu membudayakan tabiat membaca untuk meluaskan ilmu pengetahuan.

(b) Kaedah kedua yang dinyatakan dalam wahyu pertama ialah menyebar luaskan ilmu pengetahuan melalui penulisan. Menerusi kaedah penulisan, karya-karya ilmiah terselamat hingga ke hari ini. Ini kerana karya-karya ilmiah ini terpelihara dalam bentuk penulisan dan bukan percakapan. Sebagai contoh Al-Quran dihimpunkan dan dibukukan begitu juga dengan al-hadith. Usaha ini menjamin kedua-dua ilmu ini terpelihara sehingga ke hari ini.

4. Signifikan yang keempat ialah dapat dikesan menerusi ayat kelima Surah Al-'Alaq ini apabila Allah SWT menyebut bahawa, "Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.".
Ayat ini jelas menerangkan hakikat bahawa segala bentuk ilmu pengetahuan termasuk sains dan teknologi asalnya daripada Allah SWT. Jika tidak kerana keizinan-Nya, manusia tidak akan mengetahui sebarang cabang atau bidang ilmu.

Berdasarkan kesignifikan inilah, ramai cendiakawan islam muncul dengan pelbagai ilmu pada kurun ke-13 Masihi. Hasil-hasil penulisan mereka kekal, walaupun kerajaan Islam di Kota Al-Qurtubah jatuh ke tangan tentera salib. Kreativiti, inovasi dan ciptaan baru yang diperkenalkan semasa tamadun Islam telah melonjak peradaban manusia ke satu tahap yang tinggi.



Namun setiap sesuatu yang berada dipuncak akan jatuh ke bawah. Ini fitrah kehidupan. Kejatuhan tamadun Islam memberikan impak yang cukup besar kepada perkembangan ilmu sains pada umat Islam hari ini
Hari ini, rata-rata umat Islam jauh ketinggalan dalam bidang ilmu pengetahuan, jauh sekali menguasai ilmu sains dan teknologi. Hampir keseluruhan ilmu pengetahuan pada hari ini datangnya dari negara yang majoritinya penduduk bukan Islam.
Justeru kita perlu kembali kepada Al-Quran dan al-hadith untuk melengkapkan diri dalam segenap ilmu pengetahuan dan seterusnya meningkatkan kemampuan untuk membangunkan sains dan mencipta teknologi mengikut acuan sendiri.
Islam adalah agama dan pegangan yang lengkap meliputi semua aspek. Perkembangan pesat dalam sains dan teknologi dewasa ini perlu ditangani dengan bijak oleh umat Islam khasnya.
Kita harus menguasai ilmu sains walaupun sedikit kerana jika sains dan teknologi tidak penting, mengapa Allah SWT menurunkan wahyu yang pertama yang sarat dengan maklumat saintifik?

Bahan Rujukan
1. http://id.wikipedia.org/wiki/Wahyu
2. First revelation and science, Shaikh Mohd Saifuddeen Shaikh Mohd. Salleh, Muslim Scholar Foundation
3. Quran Saintifik, Dr Danial Zainal Abidin, PTS Millennia, 2009
4. Majalah estidotmy, MOSTI, Disember 2006

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--