Dalam catatan saya pada 02, 05 dan 09 September 2009, saya menulis tentang kronologi cinta dari sudut kajian saintifik. Pada catatan di hari akhir Ramadhan 1430 ini saya akan menceritakan catatan terakhir dalam label kronologi cinta, iaitu Cinta dan Islam.
Mengikut Kamus Dewan, cinta adalah perasaan sangat sayang akan sesuatu. Cinta adalah kurniaan Allah SWT. Bahkan Allah menciptakan alam semesta ini kerana cinta-Nya. Ibn Qoyyim Al Jauziyah pernah berkata tentang erti sebuah cinta: "Tidak ada batasan perkataan dalam cinta yang lebih daripada perkataan cinta itu sendiri; justeru membatasinya akan menambah kabur dan kering maknanya. Maka batasan dan penjelasan cinta tersebut tidak mampu dilukiskan hakikatnya secar jelas, kecuali dengan kata cinta itu sendiri.". Ibn Taimiyah pula berkata, "Mencintai apa yang dicintai kekasih adalah kesempurnaan dari cinta pada kekasih". Ibn Qoyyim dan Ibn Taimiiyah adalah antara ahli falsafah dan penyair Islam yang dalam sejarah Islam.
Cinta yang menghiasi hidup masyarakat kini sering mendorong manusia melakukan keburukan dan maksiat kepada Tuhan Yang Maha Mencintai, Allah SWT. Sesetengahnya pula menjadi terlalu ekstreem hingga sanggup membunuh kerana cinta. Dalam sejarah juga telah membuktikan bahawa cinta seringkali diperalatkan untuk memenuhi tuntutan nafsu.
Sesungguhnya persoalan cinta adalah resam kehidupan manusia. Islam sesungguhnya memandang tinggi persoalan cinta yang merupakan fitrah yang menjiwai naluri setiap insan. Namun, cinta dalam Islam melalui pelbagai peringkat keutamaannya yang tersendiri iaitu:
1. Cinta kepada Allah
Islam meletakkan bahawa cinta yang tertinggi dalam kehidupan manusia ialah cinta kepada Allah, perlakuan hamba tidak memberi pulangan yang bererti. Firman Allah SWT yang bermaksud;
"...(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah..." (al-Baqarah ayat:165)
Cinta kepada Allah adalah umpama satu anugerah yang tertinggi dan tidak mungkin sesiapa pun dapat memilikinya kecuali didahulukan dengan suatu pengobanan yang mahal. Kisah perjuangan Rasullullah dan para sahabat baginda menyebarka syiar Islam adalah bukti pertama betapa mahalnya harga cinta ini. Gelojak gelora percintaan Rabiatul Adawiyah dengan Tuhannya mengajar kita erti keikhlasan dari seluruh penghambaan. Manakala kisah Nabi Allah Ibrahim a.s, dek kepasrahan hati yang dibaluti rasa cinta, baginda sanggup mengorbankan darah daging sendiri menjadi persembahan.
2. Cinta kepada Rasulullah SAW
Apabila manusia berada dalam kegelapan yang begitu kelam, maka diutuskan obor untuk menyuluh jalan kebenaran. Pembawa obor tersebut ialah Muhammad bin Abdullah, Rasulullah SAW. Makan adalah menjadi kewajipan kepada setiap yang menagku dirinya muslim memberikan cintanya kepada Rasulullah kerana baginda sanggup bergadai nyawa menegakkan agama Allah yang suci. Dalam satu hadith diriwayatkan: Daripada Anas r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Tiga perkara, jika terdapat di dalam diri seseorang maka dengan perkara itulah dia akan memperolehi kemanisan iman: Seseorang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada selain keduanya, mencintai seseorang hanya kerana Allah, tidak suka kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya dari kekafiran itu, sebagaimana dia juga tidak suka dirinya dicampakkan ke dalam Neraka." (Bukhari dan Muslim). Namun dalam suasana generasi sekarang (termasuk saya sendiri) begitu jauh dengan Rasulullah saw. Cinta pada Rasulullah harus dibuktikan melalui kepatuhan serta kecintaan terhadap untuk melaksanakan sunnah baginda.
3. Cinta sesama mukmin
Contoh cinta sesama mukmin yang paling mudah ialah cinta anak-anak terhadap ibubapanya di mana Islam mengajar uamtnya dalam Firman Allah yang bermaksud "..Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata):"Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya semasa memelihara dan mendidikku semasa kecil." (Israk:24)
Cinta sesama mukmin yang kedua ialah cinta sepasang suami isteri. Kesetiaan terhadap pasangan masing-masing boleh membawa kepada kehidupan yang bahagia bukan sahaja di dunia malah berkekalan hingga ke akhirat kelak.
Cinta sesama mukmin yang ketiga ialah cinta sesama manusia yang beriman. Islam mengarahkan umatnya memberi pertolongan setakat mana yang mampu kepada orang-orang mukmin yang berada dalam kesusahan.
Begitulah cinta yang dihujahkan dalam Islam. Bagaimana pula dengan cinta di zaman remaja?Apakah tidak wujud istilah cinta monyet dalam Islam?
Cinta Remaja
Tiada siapa yang boleh mendakea dirinya dapat lari daripada mainan perasaan. Asal saja ia bersama manusia, sekaligus akan diuji oleh mainan nafsu yang begitu kuat bergelora. Salah satunya adalah mainan cinta.
Individu remaja adalah orang yang pertama diuji terhadap kehadiran episod cinta dala jiwa mereka. Ianya bermula apabila seseorang menaruh minat kepada seseorang. Perasaan suka dan minat ini akhirnya menjadi sayang. Dan apabila sayang ini diluahkan akhirnya perhubungan antara dua insan terjalin. Seperti dalam catatan saya "Cinta dan sains", manusia pada fasa ini akan cuba merapatkan jurang antara mereka. Mengenali hati budi dan mencari keserasian masing-masing. Apabila peringkat ini dihadapi, percintaan akan terjalin.
Dalam menggambarkan "cinta monyet", As-Syauqi berkata:"cinta monyet bermula dengan mainan mata yang tidak mempunyai sempadannya, ia kemudiannya diikuti dengan sahutan suara dan saling berhubung. Sampai ke suatu saat (peringkat), amat sukar sekali bagi pasangan bercinta untuk tidak bertemu sekaligus mendedahkan diri kepada perbuatan yang mungkar".
Remaja Islam kini sering tertipu dengan propaganda musuh Islam tentang sambutan 14 Februari yang kononnya Hari Kekasih. Mereka hanyut tentang persoalan cinta yang sebenar dan jauh menyimpang dari kehendak Islam yang sebenar.
Justeru itu, janganlah kita terus membiarkan diri kita rebah dan tewas dalam permainan yang dimulakan oleh musuh Islam. Sebaliknya gunakanlah sebaik mungkin usia dan kesihatan yang diberikan Allah SWT untuk mencari cinta yang sebenarnya.
Rujukan
1. Majalah Cahaya (JAKIM), Februari 2005, Lubna Huda m/s 18,19 dan 20.
13 years ago
0 comments:
Post a Comment