Tuesday, September 29, 2009

Guru Berkesan


30 September 2009 - Hari Penuh Makna dalam sejarah keguruan saya


Esok, InsyaAllah proses kedua dalam langkah menjadi guru cemerlang akan berlaku dalam sejarah kerjaya saya sebagai seorang guru. Setelah borang permohonan saya diterima, esok ialah proses pemantauan oleh Unit Akademik, JPN Perak.
Saya memohon kepada rakan-rakan blogger SMTKKangsar, pengunjung blog ini dan sesiapa sahaja hamba Allah agar mendoakan kejayaan saya dalam proses ini. Mungkin doa rakan-rakan akan dimakbulkan Allah SWT.

Sebagai seorang guru dan merupakan anak seorang guru, saya haruslah meneruskan cita-cita dan kesinambungan yang telah ditonjolkan oleh bapa saya semasa beliau menjadi guru dari tahun 1958 hingga 1996. Bapa saya telah berkhidmat sebagai guru selama 38 tahun.

Semasa saya melihat sejarah perkhidmatan beliau semasa beliau sibuk dengan urusan pencennya, saya sempat melihat gaji pertama beliau pada tahun 1958 iaitu sebanyak $22.50/bulan. Satu angka yang agak jauh jika dibandingkan pada hari ini.

Saya masih lagi menyimpan sebuah artikel yang diberi oleh ayah saya yang dipotongnya dalam Majalah Dewan Masyarakat keluaran Mei 2002. Artikel tersebut telah ditulis oleh mantan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia iaitu, Dato' Dr Abdul Shukor Abdullah sempena sambutan hari guru. Artikelnya bertajuk.....

Ciri-ciri guru berkesan


1. Bersikap profesional

2. Mempamerkan ciri-ciri kekuatan teori

3. Bertindak di atas landasan etika dan tatasusila kerja

4. Bermoral teguh

5. Sentiasa berusaha meningkatkan kualiti hasil pengajaran

6. Prihatin dengan kehendak murid dan ibubapa

7. Berkebolehan menilai kekuatan dan kelemahan murid-murid

8. Melengkapkan diri dengan kemahiran yang sejajar dengan tuntutan semasa
9. Menampilkan watak terpuji, berimej, berperibadi mulia, berwawasan sebagai pendidik unggul pada setiap masa

10. Mempastikan situasi "Guru mengajar murid belajar" wujud dalam kelas

11. Berupaya melahirkan 'persekolahan berwatak' supaya pelajar mempunyai kekuatan ilmu, berpesonaliti sihat dan serba boleh.

12. Berupaya membina minda pelajar yang cemerlang akademik.

13. Berupaya membentuk perwatakan murid dengan pelbagai keteguhan nilai diri (bermoral, berakhlak mulia, berketrampilan, pandai menyesuaikan diri dengan situasi tententu)

14. Taat dan setia terhadap perkhidmatannya, mempertahankan martabat profesionnya

15. Menunjukkan kesetiaan kepada kerajaan, bebas pendirian, tidak berbelah bagi.

16. Profesional dan menumpukan perhatian kepada P&P di sekolah

Semoga kita dapat menjadi guru yang mempunyai kesemua ataupun salah satu dari ciri-ciri di atas....InsyaAllah

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--