Antara yang disebut oleh ustaz dalam ceramahnya ialah kelajuan cahaya. Cahaya bergerak pada kelajuan 3.0 x 106 m/s. Barang siapa yang dapat bergerak pada kelajuan cahaya, masa adalah pegun baginya. Dalam kata lain dia tidak akan terikat dengan ruang dan masa. Inilah yang berlaku pada junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW, baginda bergerak semasa peristiwa Israk dengan menggunakan sejenis binatang yang dinamakan buraq, buraq ini dijadikan daripada cahaya. Justeru kelajuan pergerakan buraq ini adalah kelajuan cahaya. Harus diingat, dalam sejarah kehidupan manusia hanya seorang manusia sahaja yang dapat bergerak pada kelajuan cahaya beliau ialah Nabi Muhammad SAW. Biarpun datang pelbagai cerita filem sains fiksyen daripada Hollywood seperti 'Back to the Future' atau 'Time Tunnel' ianya adalah rekaan dalam filem sahaja. Untuk bergerak pada kelajuan cahaya?Ianya akan berlaku hanya dengan izin Allah SWT.
Apabila Rasulullah tiba di Kota Mekah selepas Israk dan Mikraj, ada sahabat bertanya tentang bagaimana kelajuan buraq, Rasulullah menjawab: Sekali ia melangkah sejauh mata memandang!. Inilah bukti kelajuan buraq adalah kelajuan cahaya. Justeru peristiwa Israk dan Mikraj bukanlah suatu fantasi tetap ia benar-benar berlaku ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Israk dan Mikraj merupakan salah satu daripada peristiwa penting dalam sejarah peradaban umat Islam. Israj dan Mikraj yang disepakati oleh para ulama' berlaku pada 27 Rejab, tahun ke 11 Hijri. Israk dan Mikraj berlaku dalam dua fasa. Fasa pertama iaitu Peristiwa Israk Nabi Muhammad SAW yang diangkat dari Masjidil Haram hingga Masjidil Aqsa, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Israk ayat 1 yang bermaksud: Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Nabi Muhammad) pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk kami memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kekuasaan dan kebesaran Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.".
Manakala fasa kedua adalah Peristwa 'Mikraj' iaitu peristiwa Nabi Muhammad SAW dinaikkan naik ke langit sampai ke Sidratul Muntaha yang merupakan tempat yang tertinggi. Di sini beliau mendapat perintah lansung daripada Allah SWT untuk menunaikan solat lima waktu. Peristiwa Mikraj Nabi Muhammad SAW telah disebut dalam surah An-Najm ayat 13-18.
Sebelum Israk dan Mikraj dada Rasulullah dibelah dan dicuci dengan air zamzam, dibuang ketulan hitam (a'alaqah) iaitu tempat yang biasa syaitan bersemayam. Setelah bersih, dada Rasulullah SAW dituangkan hikmat, ilmu dan iman, setelah itu dada Rasulullah dijahit semula.
Peristiwa Israk
Semasa Israk iaitu perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, Rasulullah ditemani oleh malaikat Jibril dan Israfil. Rasulullah telah berhenti dibeberapa tempat serta solat dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:
1. Madinah
2. Bukit Tursina (tempat Nabi Musa AS menerima wahyu daripada Allah SWT,
3. Baitul Laham (tempat Nabi Isa AS dilahirkan)
Sewaktu Israk, Nabi Muhammad SAW dapat melihat kejadian-kejadian aneh sebagaimana yang diceritakan dalam kitab-kitab Israk dan Mikraj. Perlu ditegaskan disini Nabi Muhammad masih lagi menaiki buraq, justeru Nabi Muhammad tiada terkekang dengan masa dan ruang malah dapat masuk ke alam lain dengan kelajuan buraq iaitu kelajuan cahaya.
Dalam perjalanan itu juga Nabi Muhammad SAW menghadapi gangguan jin ifrit dengan obor api (ini mengingatkan kita syaitan dan iblis tidak akan jemu-jemu mencuba memperdayakan kita umat Islam dengan pelbagai cara)
Antara kejadian-kejadian yang dilihat oleh Rasulullah ialah
1. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berulang-ulang. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibril: Itulah kaum yang berjihad Fisabilillah yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
2. Tempat yang berbau harum. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibril, itulah kubur Masyitah bersama suami dan anak-anaknya yang dibunuh oleh Firaun kerana tetap teguh beriman kepada Allah SWT.
3. Sekumpulan orang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan semula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibril memberitahu Rasulullah, itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud.
4. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Merekan makan bara api dan batu dari neraka jahannam. Kata Jibril itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
5. Satu kaum lelakidan perempuan yang memakan daging mentah busuk sedangkan daging masak disisi mereka. Kata Jibril: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan tersebut masing-masing mem[unyai isteri dan suami.
6. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu, kata Jibril itulah orang yang makan riba.
7. Lelaki yang menghimpum seberkas kayu dan tidak berdaya memikulnya, tapi ditambah dengan kayu lain. Kata Jibril, itulah orang yang tidak menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah lain.
8. Satu kaum yang menggunting lidah mereka dengan gunting besi berkali-kali. Kata Jibril itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.
9. Kaum yang mencakar dada dan muka mereka dengan kuku tembaga. Jibril berkata itulah orang yang mengumpat, mencela serta menghina orang.
10. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit, tidak dapat dimasuki semula lubang itu. Kata Jibril, itulah orang yang bercakap besar (takbur), kemudian menyesal tapi sudah terlambat.
11. Seorang perempuan datang dengan dulang penuh dengan perhiasan, Rasulullah SAW tidak mempedulikannya. Kata Jibril, itulah dunia. Jika Rasulullah memberikan perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.
12. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti, Rasulullah tidak menghiraukannya. Kata Jibril, itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua
13. Seorang perempuan tua bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu, kata Jibril; itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.
Setibanya di Masjidil Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudiannya masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat bersama para nabi dan rasul lainnya menjadi makmum.
Selesai solat, Rasulullah SAW berasa dahaga, lalu dibawa Jibril dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah SAW memilih susu. Kata Jibril: Baginda membuat pilihan yang betul, jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.
Peristiwa Mikraj
Setelah itu didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah SAW naik ke tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah)
1. Langit Pertama: Rasulullah SAW dan Jibril masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam AS
2. Langit Kedua: Rasulullah SAW bertemu dengan Nabi Isa AS dan Nabi Yahya AS
3. Langit Ketiga: Rasulullah SAW bertemu dengan Nabi Yusuf AS
4. Langit Keempat: Rasulullah SAW bertemu dengan Nabi Idris AS
5. Langit Kelima: Rasulullah SAW bertemu dengan Nabi Harun AS
6. Langit Keenam : Rasulullah SAW bertemu Nabi Musa AS
7. Langit Ketujuh: Rasulullah SAW bertemu Nabi Ibrahim AS yang berwasiat agar umat Nabi Muhammad SAW selalu berzikir dengan kalimah takbir, tahmid dan tahlil kepada Allah SWT , seterusnya Rasulullah SAW masuk ke Baitul Makmur dan solat.
8. Langit Kelapan: Di sinilah disebut 'Al-Kursi' yang berkebetulan dengan dahan pokok Sidratul Muntaha. Rasulullah SAW menyaksikan pelbagai keajaiban seperti air sungai yang tidak berubah. Terdapat pelbagai jenis sungai seperti sungai susu, sungai arak dan sungai madu. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah dan bertukar menjadi permata-permata yang indah, unggas-unggas emas berterbangan serta keindahan lain yang tidak dapat dibayangkan oleh manusia. Seterusnya Rasulullah SAW dapat menyaksikan sungai Al-Kautsar, syurga dan neraka.
9. Langit Kesembilan: Rasulullah SAW naik seorang diri tanpa ditemani Jibril ke Mustawa dan 'Sharirul Aqlam' serta menyaksikan seorang lelaki yang ghaib dalam nur Arasy, dikatakan amal lelaki ini di dunia ialah sering berzikir, hatinya sentiasa rindu dengan masjid dan seorang yang berbakti kepada kedua ibubapanya.
10. Langit Kesepuluh: Puncak kepada segala peristiwa. Apabila Rasulullah SAW sampai ke Hadhratul-Qudus lalu dapat menyaksikan Allah SWT lantas sujud kemudian berlaku dialog sehingga diperintahkan melakukan solat 50 kali sehari semalam. Setelah itu nabi SAW turun ke langit keenam lalu berjumpa Nabi Musa AS dan menasihati Rasulullah agar mengurangkan solat fardhu kepada lima kali sehari semalam.
11. Selepas itu Rasullulah melihat rupa Jibril yang sangat besar dengan 600 sayap yang meliputi ufuk (penjuru).
Israk Mikraj memberikan banyak pengajaran kepada manusia yang berakal, membawa petunjuk dan rahmat kepada ornag yang beriman kepada Allah serta yang membenarkannya. Peristiwa Israk dan Mikraj juga adalah bukti kekuasaan Allah SWT. Israk Mikraj adalah peristiwa yang benar-benar berlaku dan bukanlah cerita fantasi dalam sejarah kehidupan Rasulullah SAW serta anugerah tertinggi daripada Allah SWT untuk Rasulullah sebagai nabi akhir zaman.
Peristiwa Israk Mikraj juga bukan sekadar kisah sejarah yang selalu diulang-ulang penceritaannya setiap 27 Rejab. Hayati dan ambillah pengajaran di sebalik peristiwa tersebut dalam kehidupan yang semakin mencabar keimanan manusia kini.
Pesanan:
Jika ada perbezaan riwayat, seeloknya kita gabungkannya menjadi satu kisah peristiwa yang lengkap. Elakkan dari menyalahkan riwayat yang lain.
Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.
Sumber Rujukan
1. Catitan ringkas semasa ceramah Ustaz Jamnul Azhar (17 Sept 2009)
2. Majalah Cahaya, Julai-Ogos 2008, JAKIM
3. Risalah Israk dan Mikraj, Drs H.M Rifai, Alharamain Pte Ltd Singapura
4. BlogUstazSufi
0 comments:
Post a Comment