expr:dir='data:blog.languageDirection' xmlns='http://www.w3.org/1999/xhtml' xmlns:b='http://www.google.com/2005/gml/b' xmlns:data='http://www.google.com/2005/gml/data' xmlns:expr='http://www.google.com/2005/gml/expr'> DEDAWAI BERISI: Kejohanan Petanque Piala Angkasa Negeri Perak 2011

Sunday, February 20, 2011

Kejohanan Petanque Piala Angkasa Negeri Perak 2011


Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Allah Penguasa dan Pentadbir yang menguasai dan mentadbir kehidupan seluruh makhluk dengan tiada kecacatan dan kekurangannya. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Shallahu 'alaihi wasalam pembawa rahmat ke seluruh alam.

Kemudian daripada itu,

Telah hampir tiga bulan saya tiada mempunyai kesempatan untuk memuatkan entri terbaru dalam blog ini. Terlalu sibuk dan masih lagi dalam keadaan menyesuaikan kehidupan apabila anak sulung saya mula memasuki alam persekolahan. Tambahan pula isteri baru sahaja melahirkan anak yang ke-4 pada tanggal 2 Januari yang lalu. Itulah kehidupan yang agak mencabar di awal tahun hinggakan pada ketika ini saya masih lagi belum mampu menyesuaikan diri. Maka berbanyak doa dan munajat dipohon kepada Allah Subhanahu wata'ala moga dikurniakan kekuatan untuk membina keluarga yang berada dalam limpahan rahmat-Nya.

Terlalu banyak rasanya peristiwa yang berlaku dari Januari hingga ke saat ini. Antaranya penukaran nama Sek Men Teknik Kuala Kangsar kepada Sek Men Vokasional Kuala Kangsar (SMVKK), kejayaan saya dalam permohonan guru cemerlang DG44, Pendaftaran pelajar baru Tingkatan 4 SMVKK, mesyuarat kali pertama panitia Applied Science, Kejohanan Kriket MSSPk 2011 yang berlansung di Kuala Kangsar dan akhir sekali kejohanan Petanque Piala Angkasa Negeri Perak 2011. Dalam entri yang ringkas ini saya akan menceritakan tentang kejohanan Petanque Piala Angkasa 2011 peringkat Negeri Perak yang baru sahaja tamat sekitar jam 4 petang tadi.

Keasyikkan saya terhadap sukan Petanque bermula apabila saya berpindah rumah dari Padang Rengas ke Bandar Kuala Kangsar pada tahun 2005. Saya mengenali Cikgu Ariffin dari SMK Bukit Merchu yang mana beliaulah yang bertanggungjawab memperkenalkan sukan petanque kepada saya. Hasil daripada pengenalan itu saya buat pertama kalinya menyertai pertandingan petanque sempena sambutan ulangtahun Majlis Perbandaran Kuala Kangsar pada tahun 2006. Itulah pertama kalinya saya mengetahui adanya pertandingan untuk sukan ini. Kemudian saya juga mendapat maklumat bahawa pada setiap tahun Angkatan Koperasi Malaysia (ANGKASA) menganjurkan pertandingan petanque untuk koperasi sekolah. Justeru bermula dari tahun 2007 saya mula menghantar pasukan untuk menyertai pertandingan ini untuk peringkat negeri Perak. Kejayaan yang paling manis ialah pada tahun 2009 apabila berjaya layak ke pertandingan separuh akhir dan menduduki tangga ke-4.
Prasarana sukan petanque di Kuala Kangsar memang membanggakan dengan mempunyai 60 buah gelanggang dengan gelanggang yang terbesar ialah gelanggang petanque JKR berdekatan dengan Sungai Perak.



Dengan kelebihan memiliki gelanggang yang banyak, membuatkan Bandar Kuala Kangsar selalu sahaja dipilih untuk menganjurkan kejohanan Petanque sama ada peringkat negeri atau kebangsaan.

Pada tahun 2011 ini, kejohanan petanque piala angkasa negeri perak berlansung pada 19 Februari di Gelanggang Petanque JKR Kuala Kangsar. Pada kejohanan kali ini, pasukan petanque SMVKK tidak ketinggalan untuk menghantar pesukan setelah tidak menyertai kejohanan pada tahun 2010.
Penyertaan pasukan petanque sekolah-sekolah negeri Perak pada tahun 2011 begitu membanggakan di mana sebanyak 71 buah sekolah menengah bagi kategori lelaki dan 41 buah sekolah untuk kategori perempuan.
Pada kejohanan kali ini, kedua-dua pasukan petanque SMVKK lelaki dan perempuan gagal untuk melepasi pusingan pertama apabila tewas kepada lawan masing-masing pada saingan kumpulan. Walaupun keputusan ini agak mengecewakan, saya akur dan pasrah dengan ketentuan Allah Subhanahu wata'ala atas keputusan ini. InsyaAllah pasukan petanque SMVKK akan kembali dengan lebih mampu mencabar pasukan sekolah lain pada tahun 2011.

Kejohanan Piala Angkasa pada tahun 2011 ini dimenangi oleh pasukan dari SMK Bukit Merchu Kuala Kangsar untuk kedua-dua kategori lelaki dan perempuan. SM Vokasional Seri Iskandar muncul sebagai naib johan bagi kategori lelaki manakala SMK Tasek Damai, Ipoh menjadi naib johan bagi kategori perempuan.










Pasukan petanque SMVKK akan kembali untuk mencabar pada tahun 2012. InsyaAllah

"Jadikan setiap balingan bermakna" / "Make every boules count"

Wassalam..

1 comments:

i love u sayangggg on July 13, 2011 at 3:38 PM said...

salam cikgu..
saya Rina daripada SMK.Tasek Damai Ipoh Perak.Saya ingin mendapat tahu tentang syarat dan permohonan kemasukan ke SMVKK..Saya harap cikgu sudi membalas persoalan saya.

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--