Tuesday, July 20, 2010

Kejadian Masa Hadapan dalam al-Quran dan Hadis


Alhamdulillah segala puji yang tertentu hanya bagi Allah Subhanahu wata'ala yang memberikan rahmat kesempatan masa untuk berada di alam siber ini. Salam dan selawat buat Rasul junjungan yang berjuang dengan terhadap pelbagai dugaan sehingga alam ini disinari dengan nur keindahan Islam.

Ketika dalam masa menghabiskan bacaan tentang sejarah kekhilafahan di bumi Turki saya tertarik dengan kisah seorang sahabat Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasalam yang namanya Abu Ayub al-Anshari. Kisah sahabat ini cukup unik kerana rumah beliaulah terpilih takkala Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasalam berhijrah ke Madinah sebagai tempat rehat. Dan pada akhirnya beliau (Abu Ayub al-anshari) meninggal dunia di bumi Turki. Mengapa beliau jauh dikebumikan dari kampung halamannya. Inilah yang dikatakan keunikan al-Quran serta hadis Rasulullah dan kekuatan keyakinan para sahabat memegangnya. Abu Ayub al-ashari begitu ingin menjadi sebahagian daripada orang yang berada di dalam hadis yang dikeluarkan oleh Imam Ahmad yang bermaksud "Sesungguhnya umatku akan menawan kota Konstantinople. Pemimpinnya adalah sebaik-baik pemimpin dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.".Lantaran dari keinginan untuk berada di dalam kelompok ini Abu Ayub al-Anshari menyertai tentera bani Umayyah walaupun usianya sudah lanjut. Inilah pada pandangan saya kekuatan Islam, dimana agama yang suci ini mengajar setiap penganutnya bermotivasi dan memandang ke hadapan.

Cerita yang saya kutip di atas menggambarkan sesuatu yang datang dari Rasulullah dan dari al-Quran adalah bersifat futuristik. Inilah antara keajaiban Islam. Sebagai contoh yang pertama, ayat 27 surah al-Fath menyampaikan khabar gembira bahawa umat Islam akan menakluki kota Makkah yang ketika itu masih di bawah kekuasaan orang-orang musyrikin. Firman Allah yang bermaksud "Sesungguhnya Allah akan membuktikan pada rasul-Nya tentang kebenaran mimpinya dengan sebenarnya (iaitu) bahawa sesungguhnya kamu pasti akan memasuki Masjidil Haram, InsyaAllah dalam keadaan aman, mencukur rambut dan kepala dan mengguntingnya, sedang kamu ketahui dan Dia memberikan sebelum itu kemenangan yang hampir (Penaklukan Khaibar)". Melalui penelitian yang terperinci, ayat ini seolah-olah mengumumkan satu lagi kemenangan yang akan terjad sebelum penaklukan kota Makkah. Apa yang berlaku memang seperti dinyatakan oleh Allah Subhanahu wata'ala iaitu kaum muslimin menakluki perkampungan Khaibar dan kemudiannya memasuki kota Makkah. Pemberitaan mengenai peristiwa ini akan terjadi di masa hadapan hanyalah sebahagian daripada keagungan di dalam al-Quran.

Sepotong ayat lain yang menarik mengenai peristiwa masa hadapan ialah ayat 1-4 surah ar-Rum. Firman Allah yang bermaksud "Alif, Lam, Mim. Telah dikalahkan bangsa Rom. Di tanah yang paling rendah di permukaan bumi, dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang dalam beberapa tahun. Bagi Allah lah urusan sebelum dan sesudah.". Ayat ini menyatakan bahawa Empayar Rom (Empayar Byzantin) akan menemui kekalahan yang besar tetapi kemudiannya ia mendapat kemenangan. Ayat ini diturunkan lebih kurang tahun 620 sebelum Masehi, hampir 7 tahun selepas kekalahan teruk kerajaan Kristian Byzantin di tangan penyembah berhala Persia. Tetapi ia didedahkan di dalam ayat tersebut bahawa kerajaan Byzantin akan mendapat kemenangan kembali dalam masa yang singkat.

Memang jika kita melihat kepada sejarah dunia apabila kekalahan yang begitu teruk dialami oleh kerajaan Byzantin, ada yang menjangkakan empayar Byzantin akan musnah malah ada yang ahli sejarah berpendapat adalah sesuatu yang mustahil untuk ia bangkit semula. Sehinggakan apabila ayat 1-4 surah ar-Rum ini didengar oleh kaum musyrikin Makkah, mereka mempersendakan ayat ini dengan beranggapan bahawa kemenangan yang dinyatakan oleh al-Quran itu tidak akan menjadi kenyataan.

Lebih kurang 7 tahun selepas ayat 1-4 surah ar-Rom diwahyukan, pada Disember 627 selepas Masehi, peperangan sengit di antara empayar Byzantin dan empayar Persia berlaku di Ninaveh, dan kali ini, askar Byzantin tidak disangka-sangka berjaya menewaskan tentera Persia. Beberapa bulan kemudian, kerajaan Persia telah membuat perjanjian dengan Byzantin, yang mewajibkan mereka menyerahkan kembali kawasan yang mereka rampas. Di akhirnya, kemenangan kerajaan Rom yang dinyatakan oleh Maha Suci Allah di dalam al-Quran menjadi kenyataan.

Begitulah hebatnya al-Quran jika kita mengkajinya......

Sumber:
1. www.HarunYahya.com
2. Majalah i Julai 2010.

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--