Alhamdulillah bersyukur saya ke hadrat Allah Subhanahu wata'ala kerana dengan limpah rahmatnya mampu saya meluangkan masa di ketika ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Shallalahu 'alaihi wasalam. Dan juga berbanyak kuntuman doa khas buat seluruh pejuang Islam yang menempuh pelbagai dugaan sehingga agama yang suci ini dapat dikecapi oleh kita generasi di akhir zaman ini.
Perkataan iqra' ialah perkataan Arab yang membawa erti bacalah. Justeru itu perkataan ini menghasilkan suatu budaya membaca yang agung dalam sejarah kehidupan manusia. Daripada budaya membaca telah lahir tokoh-tokoh cendiakawan Islam yang besar dan masyhur seperti Abu Qasim al-Zahrawi, Ibn Haitam, Jabir Ibnu Haiyan, Ibn Sina, Ibn Rusyd, al-Farabi, al-Khawarizmi dan ramai lagi
Kebanyakan mereka bukan sahaja mahir dalam sesuatu bidang malah juga menguasai cabang-cabang ilmu yang lain. Ibnn Sina misalnya terkenal sebagai pakar perubatan juga mahir dalam bidang astronomi, fizik dan matematik. Abu Qasim al-Zahrawi diakui sebagai "The Father of Modern Surgery" juga pakar dalam ilmu kimia, matematik dan astronomi. Malah lebih mengkagumkan ialah kedua-dua mereka juga seorang hafiz al-Quran.
Itulah kecemerlangan peradaban tamadun Islam yang membina tamadun melalui kekuatan ilmu. Ia merupakan kesan lansung dari budaya iqra' yang menuntut umat Islam supaya sentiasa membaca, mengkaji dan menulis.
Benarlah janji Allah bahawa orang yang berilmu sama ada ilmu duniawi dan ukhrawi, fardhu ain atau kifayah tetap teristimewa dan berbeza daripada yang lain-lain sebagaimana firman-Nya dalam ayat 11, surah al-Mujadalah
"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi ruang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan"
Kata As-Syahid Syed Qutb dalam Fi Zilalil Quran "Tujuan ayat ini ialah menggalakkan kaum muslimin agar melapangkan hati sebelum melapangkan tempat kerana apabila gati seseorang itu lapang dan toleren, sikapnya akan turut lapang dan toleren."
Dalam Tafsir al-Munir, Dr Wahbah menerangkan ketika mengulas kalimah "Dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama" bahawa Allah menaikkan beberapa darjat ornag mukmin dan para ulama dari segi ganjaran pahala di akhirat dan mendapat sanjungan di dunia. Ketinggian di sisi Allah Subhanahu wata'ala dinilai dengan ilmu dan iman. Bukanlah dengan kedudukan di dalam majlis. Darjat orang mukmin diangkat dengan keimanannya terlebih dahulu kemudian dengan ilmunya.
Jadi jelaslah perkataan iqra' yang diturunkan dalam wahyu pertama melambangkan ilmu, yang terangkum di dalamnya makna membaca, menyelidik dan berfikir. Perkataan bismirabbika pula melambangkan keikhlasan. Jika ilmu yang terlambang dengan perkataan iqra' itu melambangkan asas tamadun umat dan tamadun dunia, maka ikhlas yang terlambang dengan kalimah bissmirabbika melambangkan jiwa dan roh tamadun tersebut.
Justeru untuk menjadi sebuah bangsa yang hebat dalam keilmuannya haruslah dipupuk budaya iqra' dan menjadikan ianya tradisi yang mantap dengan memiliki sikap yang positif. Kedua-dua kaedah ini pasti akan melahirkan satu bangsa yang meletakkan komitmen yang tinggi pada kesediaan berterusan untuk menerokai maklumat dan ilmu pengetahuan yang baru.
Marilah kita sama-sama berusaha memupuk budaya membaca kerana budaya membaca akan melahirkan budaya ilmu dan kesannya ialah pembangunan dalam masyarakat atau bangsa yang berorientasikan maklumat, pendidikan dan keilmuan..
Wasalam..
13 years ago
0 comments:
Post a Comment