Friday, July 30, 2010

Ramadhan tetamu yang dinanti...


Alhamdulillah bersyukur saya ke hadrat Allah Subhanahu wata'ala kerana dengan limpah rahmatnya mampu saya meluangkan masa untuk mencatatkan sesuatu di dalam blog ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Shallalahu 'alaihi wasalam pembawa obor menerangi seluruh alam.

Semasa kecil saya mengenali Ramadan hanya sebagai bulan puasa yang di dalam bulan itu terdapat sesi mengikat tekak dan perut dengan berlapar dahaga dari waktu selepas sahur hinggalah waktu berbuka. Mungkin juga pada ketika itu saya berpuasa hanya kerana melihat ahli keluarga dan orang disekeliling membuat perkara yang serupa ditambah dengan pelbagai umpan juadah ketika hendak berbuka. Jadi mungkin puasa yang saya amalkan pada ketika itu dianggap sebagai satu budaya melebihi dari maksud agama.

Apabila menjejaki alam remaja hinggalah ke saat ini barulah saya sedar yang bulan Ramadhan adalah raja segala bulan dalam kalendar umat Islam sesuai dengan sejarahnya sebagai bulan turunnya al-Quran dan kitab-kitab terdahulu iaitu Zabur, Taurat dan Injil. Ilmu tentang Ramadhan ini bertambah apabila saya baru selesai membaca buku "Ramadan Tetamu yang Dirindui" tulisan ulama dan umarak, Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang.



Buku ini banyak menyedarkan saya lantaran menginsafi betapa selama 33 tahun ini saya belum cukup kenal dengan Ramadan dengan lebih dekat dan akrab. Kupasan oleh Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang walaupun hanya setebal 133 mukasurat tetapi cukup memuaskan hati saya. Sememangnya banyak buku di pasaran yang membicarakan tentang Ramadhan sebagai ibadah fardhu ain iaitu perkara ketiga dalam rukun Islam tetapi buku bersaiz mini B4 ini memberikan bab-bab bonus yang jika dihitung sebanyak 18 bab iaitu seperti Suai Kenal Ramadhan, Sejarah Puasa, peristiwa besar pada bulan Ramadhan, Puasa daripada perspektif Kesihatan, Puasa dari perspektif psikologi dan ganjaran bonus untuk orang berpuasa.

Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang menulis sejarah berpuasa bermula sejak Nabi Adam 'alaihissalam sebagai membayar kafarah dosanya kerana memakan buah larangan di dalam syurga. Sejarawan kemudiannya mengesahkan dapatan amalan puasa juga dilakukan oleh bangsa Mesir purba, Yunani, Romawi dan Hindu. Orang Yahudi da Quraisy sebelum kedatangan Rasulullah Shallalahu 'alaihi wasalam juga berpuasa pada hari Asyura.

Bulan Ramadhan juga selalu disinonimkan sebagai bulan istirehat. Berbetulan pula ulasan penulis pada mukasurat 1 dan 2 yang menerangkan asal perkataan Ramadhan ialah daripada perkataan Arab iaitu Ramadha (Ra-Mim-Dhad). Maksudnya ialah meletakkan senjata di antara dua batu bagi diasah supaya tajam dan berkilau. Menjadi kebiasaan kepada masyarakat Arab berperang pada bulan Syawal. Makanya pada bula sebelum itu, mereka mengasah senjata dan menghiasinya. Oleh itu mereka menamakan bulan itu dengan nama Ramadhan. Mungkin kerana sebab bulan istirehat inilah umat Islam pada awal zaman kebangkitannya bagai mendapat satu tenaga istimewa yang luar biasa walaupun dibakar terik matahari dan dihambur ribut kering padang pasir tak berair.

Bab 7 merupakan bab yang menarik untuk dihayati kerana dalam bab ini penulis memuatkan fakta-fakta sejarah tentang peristiwa besar yang berlaku di dalam bulan Ramadhan. Antara yang diungkapkan oleh penulis ialah peristiwa penurunan al-Quran sebagaimana yang tercatat didalam al-Quran pada ayat 185 surah al-Baqarah yang bermaksud "Beberapa hari yang ditentukan itu ialah bulan Ramadhan. Bulan yang diturunkan di dalamnya (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk untuk manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu pemisah antara yang benar dan salah.". Peristiwa penurunan al-Quran adalah peristiwa besar bagi umat manusia kerana ianya akan menandakan perlantikan dan pengisytiharan Rasul untuk menjadi pemimpin.

Dalam bab 7 juga, penulis menulis, pada hari Jumaat 2 Ramadhan tahun kedua Hijrah berlakunya perang pertama dalam Islam yang dikenali sebagai perang Badar. Tentera Islam seramai 313 anggota berjaya dalam berhadapan dengan 1000 tentera Musyrikin yang lengkap bersenjata. Allah Subhanahu wata'ala merakamkan kejayaan tersebut dalam surah Ali Imran ayat 123-125, "Sesungguhnya Allah menolong kamu dalam Perang Badar, sedangkan pada masa itu kamu orang yang lemah kerana itu bertakwalah kepada Allah supaya kamu mensyukurinya.".

Penulis juga memuatkan kisah yang berlaku pada tanggal 10 Ramadhan tahun kelapan hijrah dengan umat Islam berjaya memasuki kota Makkah tanpa menumpahkan darah kaum musyrikin yang melanggar perjanjian Hudaibiyyah. Pembukaan kota Makkah ini adalah makna kemerdekaan yang sebenar kerana ia tidak pernah dijajah takluk oleh Parsi, Rom, Inggeris, China, Perancis dan tamadun besar yang sezamannya. Segalanya tidak mustahil bagi Allah untuk memberi bantuan kepada orang-orang yang benar-benar bertakwa sebagaimana pernyataan Allah Subhanahu wata'ala dalam surah al-Fath ayat 1 yang bermaksud "Sesungguhnya kami memberikan kepadamu kemenangan yang nyata.".

Tahun kesembilan hijrah merakamkan banyak peristiwa yang boleh dijadikan iktibar. Penulis menceritakan tiga kisah penting iaitu Peristiwa perjalanan Nabi Muhammad dalam Peperangan Tabuk, Khalid al-Walid meruntuhkan berhala al-Uzza dan Penyerahan bandar Thaif. Peristiwa perjalanan Nabi Muhammad ke Tabuk amat penting dalam sejarah Islam kerana peristiwa ini menyerlahkan kekuatan ketakwaan kaum muslimin yang menyerahkan harta dan diri mereka untuk Islam. Mereka tidak sedikit pun beralasan mengelakkan diri dari menyumbang walaupun kemarau yang melanda membahang mereka. Sebalinya, mereka berlumba-lumba menyumbangkan harta masing-masing. Abu Bakar menyerahkan seluruh hartanya, Umar al Khatab menyumbangkan separuh daripada hartanya dan Uthman Affan menyumbangkan harta yang terlalu banyak hinggakan Rasulullah berdoa supaya Allah meredhainya. Manakala oran-orang yang tidak mempunyai harta menangis kerana tidak ada harta untuk disumbangkan. Peristiwa Khalid al-walid meruntuhkan berhala al-Uzza memberikan isyarat bahawa warisan jahiliyah perlu dihapuskan walaupun ia adalah warisan sejarah yang disanjung tinggi. Ini kerana tinggalan jahiliyah mampu merosakkan akidah yang menjadi asas kepada semua amalan Islam. Peristiwa penyerahan bandar Thaif juga berlaku dalam tahun ke-9 Hijrah. Bandar Thaif pernah mencatatkan sejarah apabila penduduknya menghalau Nabi Muhammad semasa beliau berdakwah disana. Juga peristiwa pembunuhan Urwah bin Mas'ud oleh penduduk Thaif. Walaupun pelbagai perkara yang tidak baik dilakukan oleh penduduk Thaif, Rasulullah tetap berdoa supaya Allah mengurniakan hidayah kepada Bani Thaqif. Akhirnya pada lima hari sebelum berakhirnya Ramadhan tahun ke-9 Hijrah rombongan mereka datang menyerahkan bandar Thaif sebagai menyerah dengan kebangkitan Islam. Sesungguhnya bulan Ramadhan adalah bulan rahmat dimana pemelukan Islam turut berlaku secara aman di Yaman pada bulan Ramadhan tahun ke-10 Hijrah.

Bulan Ramadhan juga bulan yang penuh dengan seribu satu keajaiban bagi kemenangan Islam sesudah kewafatan Baginda Rasulullah. Yang paling masyhur ialah pembukaan pintu Islam untuk ke benua Eropah dengan penaklukan Andalusia. Dengan hanya 12,000 kekuatan bala tentera Islam di bawah pimpinan Tariq bin Ziyad yang dihantar oleh Bani Umayyah untuk berhadapan dengan 100,000 tentera Gothik di tempat sendiri di bawah pimpinan Raja Roderick. Islam seterusnya bertapak selama lebih lapan abad bermula dari Semenanjung Liberia. Peristiwa penaklukan kota Andalusia ini berlaku pada 28 Ramadhan tahun 92 Hijrah.

Banyak lagi kisah-kisah kemenangan Islam yang menarik yang di bawa oleh Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang di dalam buku ini. Buku ini memang terlalu sesuai untuk di baca oleh semua rakan-rakan pengunjung kerana Ramadhan semakin hampir tiba. Kita sebagai pencinta agama Islam ini terlalu ingin melihat kemenangan berpihak kepada kita. Seharusnya kita menilai dan mentakrifkan semula komitmen kita kepada agama dengan bukan hanya dengan sekadar berpuasa dengan lapar dahaga dan kemudian berbuka dengan selera yang berlipat ganda. Jika kita inginkan kemenangan mohonlah kepada Allah supaya kita dapat bertemu dengan Ramadhan pada tahun ini dan jadikanlah Ramadhan pada tahun ini suatu Ramadhan yang indah yang tak pernah dibayangi oleh perasaan kita. InsyaAllah.....

Wasalam....

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--