Tuesday, January 26, 2010

Sains pasti mengakui kehebatan Islam

0 comments
Alhamdulillah bersyukur saya kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurnianya dapat kita bersama-sama meluangkan masa untuk berada di dalam alam siber. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW kerana membawa risalah tauhid untuk manusia sejagat. Berbanyak terima kasih kepada para sahabat baginda SAW, para tabi'in, tabi' tabi'in dan sekalian ulama yang telah berjuang menyampaikan risalah yang telah disampaikan oleh baginda SAW sehingga kekal untuk tatapan kita di zaman ini.

Hampir seminggu saya tidak sempat mengutarakan idea dalam blog ini kerana tidak terdaya mencari masa yang terluang dek kerana dugaan menguruskan hal-hal kehidupan berkeluarga. Tambahan pula sepanjang minggu lalu sibuk dengan mesyuarat di sekolah kerana pendaftaran pelajar baru tingkatan 4.

Alhamdulillah kerana Allah mengurniakan waktu malam untuk digunakan berehat padanya dan waktu itu sempat saya membaca beberapa buah buku yang membicarakan ilmu sains dan ketuhanan.

Dengan sedikit pengetahuan dalam bidang sains yang saya perolehi semasa belajar dan mengajar di sekolah, ingin sekali saya utarakan sedikit pendapat dari lubuk hati yang kerdil ini.

Pada abad ke-21, iaitu pada zaman yang kita berada sekarang, manusia kebanyakannya mempunyai ilmu dalam bidang sains. Ini kerana kebanyakan sekolah di Malaysia mengamalkan dasar 60-40 iaitu 60% pelajar mesti berada di dalam aliran sains tulen. Namun suatu perkara yang agak mendukacitakan ialah ketiadaan dalam sukatan mahupun pelajaran sains di sekolah yang menghubungkan konsep ketuhanan dengan sains. Jadi adalah menjadi satu tugas yang amat penting bagi setiap guru sains yang beragama Islam cuba sedaya upaya mengaitkan soal ketuhanan dengan sains agar pengetahuan anak didik kita tidak terpesong kerana pengaruh sains dari Barat.

Kita diberikan suatu gajet yang amat berharga sekali iaitu akal fikiran. Sains yang sedang dipraktikkan di sekolah sekarang adalah sains berorientasikan Barat. Akal fikiran yang diberikan kepada kita haruslah digunakan dengan tidak menerima secara membuta tuli apa yang dikeluarkan oleh saintis Barat. Matlamat saintis Barat ialah menggunakan sains untuk menilai Islam, tetapi kita mestilah membuktikan bahawa sains akhirnya akan mengakui kebenaran dan kehebatan Islam kerana Islam adalah agama wahyu dari Allah SWT.

Di samping kita menerapkan unsur-unsur ketuhanan dalam silibus sains dengan cara yang tidak lansung kita dapat berdakwah melalui sains. Sebagai contoh Allah SWT berfirman di dalam surah as-Saffat ayat 53 yang bermaksud: "Adakah sesudah kita mati dan menjadi tanah dan tulang, adakah kita akan (dihidupkan semula serta) dibalas apa yang telah kita lakukan?". Pernyataan Allah SWT dalam ayat ini adalah amat saintifik. Allah SWT mencabar manusia yang berfikir untuk berfikir tentang peristiwa yang akan berlaku di hari akhirat justeru menggalakkan manusia melihat kejadian yang wujud disekeliling mereka sebagai salah satu tanda kekuasaanNYA.

Seorang muslim wajib mempercayai isi kandungan al-Qur'an dan hadis Rasulullah SAW untuk selama-lamanya. Sekiranya terdapat penemuan sains yang bercanggah dengan Islam (seperti teori evolusi Darwin) ia wajar ditolak. InsyaAllah apabila terbukti jelas kebenaran dan kehebatan al-Qur'an, maka akan terkuncilah hujah golongan musuh Islam dan akhirnya mereka akan mengakui bahawa Islam adalah agama pencetus ilmu sains....



Baca selengkapnya...

Sunday, January 17, 2010

Peristiwa “Al-Fitnah al-Kubra”...permulaan segala-galanya

1 comments
Perpecahan kesatuan umat Islam bermula apabila peristiwa Fitnah Besar berlaku pada zaman khalifah Islam yang ketiga, Khalifah Uthman b 'Affan

Khalifah Uthman merupakan khalifah Islam yang ketiga selepas Khalifah Abu Bakar dan Khalifah Umar al-Khattab. Beliau dilantik menjadi khalifah melalui persetujuan orang ramai.

Nama beliau sebenarnya ialah Uthman b. ‘Affan b. Abul-As yang mana beliau dilahirkan ketika Baginda Nabi Muhammad SAW berumur 5 tahun. Uthman merupakan seorang bangsawan dari golongan Quraish dari Bani Ummayah.

Beliau terkenal sebagai seorang yang lemah lembut, pemurah dan baik hati. Beliau merupakan salah seorang dari saudagar yang terkaya di Tanah Arab, sehingga beliau digelarkan dengan gelaran “al-Ghani”. Selepas memeluk Islam beliau banyak mendermakan hartanya ke arah kepentingan agama Islam, sebagai contohnya dalam peperangan Tabuk, beliau telah mendermakan hartanya iaitu 950 ekor unta, 50 ekor kuda dan 1000 dinar. Begitu juga ketika umat Islam berhijrah ke Madinah, umat Islam menghadapi masalah untuk mendapatkan air minuman. Oleh itu Saidina Uthman telah membeli telaga Ruma dari seorang Yahudi dengan harga 20 000 dirham untuk digunakan oleh umat Islam dengan percuma.

Saidina Uthman bin Affan ra adalah seorang yang bertaqwa dan bersikap wara’. Tengah malamnya tak pernah disia-siakan. Beliau memanfaatkan waktu itu untuk mengaji Al-Quran dan setiap tahun beliau menunaikan ibadah haji. Bila sedang berzikir dari matanya mengalir air mata haru. Beliau selalu bersegera dalam segala amal kebajikan dan kepentingan umat, dermawan dan penuh belas kasihan. Khalifah Uthman telah melaksanakan hijrah sebanyak dua kali, pertama ke Habasyah, dan yang kedua ke Madinah.

Beliau digelarkan sebagai “Zunnurain” yang bermaksud dua cahaya kerana menikahi dua orang puteri Rasulullah iaitu Ruqayyah dan Ummi Kalthum. Setelah Ruqayyah meninggal dunia, Rasulullah SAW telah menikahkan beliau dengan puteri Baginda iaitu Ummi Kalthum. Uthman berkahwin sebanyak 7 kali lagi selepas kematian Ummi Kalthum dan seluruh anaknya berjumlah seramai 16 orang. Isterinya yang terakhir ialah Nailah binti Furaifisha.

Beliau dilantik menjadi khalifah selepas kematian Khalifah Umar ra yang ditikam. Beliau dilantik menjadi khalifah pada tahun 23 Hijrah oleh jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Khalifah Umar al-Khattab ra.

Kepimpinan Dan Sejarah Pentadbiran

Ahli sejarah telah membahagikan tempoh pemerintahan Khalifah Uthman selama 12 tahun kepada dua bahagian iaitu pertamanya zaman atau tahap keamanan dan keagungan Islam, manakala yang keduanya pula ialah tahap atau zaman “Fitnatul-Kubra” iaitu zaman huru hara.

Zaman Keamanan Dan Keagungan Islam

Banyak jasa-jasa dan juga kejayaan yang telah dilakukan oleh Khalifah Uthman dalam menyebar dan memperkembangluaskan Islam. Ini termasuklah kejayaannya dalam:

1. Bidang Ketenteraan

Khalifah Uthman banyak melakukan perluasan kuasa terhadap beberapa buah negara dalam usahanya menyebarkan Islam, ini dapat dilihat pada keluasan empayar Islam yang dapat mengatasi keluasan empayar Rom Timur dan juga empayar Parsi pada zaman kegemilangan mereka. Antara wilayah baru yang telah berjaya ditakluki ialah Cyprus, Afganistan, Samarqand, Libya, Algeria, Tunisia, Morocco dan beberapa buah negara lagi. Beliau juga bertanggungjawab dalam menubuhkan angkatan tentera laut Islam yang pertama bagi menjamin keselamatan dan melakukan perluasan kuasa. Banyak negara-negara yang telah dibuka melalui angkatan tentera ini.

2. Pembukuan Al-Quran

Perluasan kuasa telah menyebabkan penyebaran Islam terjadi secara meluas. Apabila ramainya orang-orang yang memeluk Islam sudah tentu banyaknya perbezaan antara sesuatu wilayah dengan wilayah yang lain dari segi mereka mempelajari Islam. Apa yang paling ketara sekali ialah dalam masalah mereka mempelajari al-Quran. Banyak terdapatnya perbezaan bacaan yang membawa kepada salah bacaan antara satu tempat dengan tempat yang lain. Dengan keadaan ini banyak terjadinya salah faham dan saling tuduh menuduh sesama orang Islam dalam menyatakan siapakah yang betul pembacaannya.

Oleh itu Khalifah Uthman telah mengadakan satu naskhah al-Quran yang baru yang mana ianya digunakan secara rasmi untuk seluruh umat Islam. Khalifah Uthman telah menggunakan lahjah Bahasa Quraish dan yang mana al-Quran yang berbeza telah dibakar. Al-Quran inilah yang digunakan hingga kehari ini yang mana ianya dikenali dengan nama Mushaf Uthmani. Langkah-langkah ini bertujuan untuk menjamin kesucian al-Quran sebagai sumber perundangan Islam.

3. Pembesaran Masjid Nabawi

Masjid Nabawi telah menjadi padat kerana dipenuhi dengan jemaah yang semakin ramai, Oleh itu Khalifah Uthman telah membesarkan masjid tersebut dengan membeli tanah bagi memperluaskan kawasan tersebut. Masjid tersebut telah diluaskan pada tahun 29 Hijrah.

4. Menyebarkan Dakwah Islam

Khalifah Uthman sering berdakwah di penjara dan beliau berjaya mengislamkan ramai banduan. Beliau juga banyak mengajar hukum-hukum Islam kepada rakyatnya. Ramai pendakwah telah dihantar keserata negeri bagi memperluaskan ajaran Islam. Beliau juga telah melantik ramai pengajar hukum Islam dan juga melantik petugas khas yang membetulkan saf-saf sembahyang. Beliau juga banyak menggunakan al-Quran dan as-Sunah dalam menjalankan hukum-hukum.

Al-Fitnah al-Kubra (Zaman Fitnah)

Pada akhir tahun 34 Hijrah, pemerintahan Islam dilanda fitnah. Sasaran fitnah tersebut adalah Saidina Uthman ra hingga mengakibatkan beliau terbunuh pada tahun berikutnya.

Fitnah yang keji datang dari Mesir berupa tuduhan-tuduhan palsu yang dibawa oleh orang-orang yang datang hendak umrah pada bulan Rajab.

Saidina Ali bin Abi Thalib ra bermati-matian membela Saidina Uthman dan menyangkal tuduhan mereka. Saidina Ali menanyakan keluhan dan tuduhan mereka, yang segera dijawab oleh mereka, “Uthman telah membakar mushaf-mushaf, shalat tidak diqasar sewaktu di Makkah, mengkhususkan sumber air untuk kepentingan dirinya sendiri dan mengangkat pejabat dari kalangan generasi muda. la juga mengutamakan segala fasilitas untuk Bani Umayyah (golongannya) melebihi orang lain.”

Pada hari Jumaat, Saidina Uthman berkhutbah dan mengangkat tangannya seraya berkata, “Ya Allah, aku beristighfar dan bertaubat kepadaMu. Aku bertaubat atas perbuatanku. ”

Saidina Ali ra menjawab, “Mushaf-mushaf yang dibakar ialah yang mengandungi perselisihan dan yang ada sekarang ini adalah yang disepakati bersama keshahihannya. Adapun shalat yang tidak diqasar sewaktu di Makkah, adalah kerana dia berkeluarga di Makkah dan dia berniat untuk tinggal di sana. Oleh kerana itu shalatnya tidak diqasar. Adapun sumber air yang dikhususkan itu adalah untuk ternak sedekah sehingga mereka besar, bukan untuk ternak unta dan domba miliknya sendiri. Umar juga pernah melakukan ini sebelumnya. Adapun mengangkat pejabat dari generasi muda, hal ini dilakukan semata-mata kerana mereka mempunyai kemampuan dalam bidang-bidang tersebut. Rasulullah SAW juga pernah melakukan ini hal yang demikian. Adapun beliau mengutamakan kaumnya, Bani Umayyah, kerana Rasulullah sendiri mendahulukan kaum Quraish daripada bani lainnya. Demi Allah seandainya kunci syurga ada di tanganku, aku akan memasukkan Bani Umayyah ke syurga.”

Setelah mendengar penjelasan Ali ra, umat Islam pulang dengan rasa puas. Tetapi para peniup fitnah terus melancarkan fitnah dan merencanakan makar jahat mereka. Di antara mereka ada yang menyebarkan tulisan dengan tanda tangan palsu dari pada sababat termuka yang menjelek-jelekkan Uthman. Mereka juga menuntut agar Uthman dibunuh.

Fitnah keji pun terus menjalar dengan kejamnya, sebahagian besar umat termakan fitnah tersebut hingga terjadinya pembunuhan atas dirinya, setelah sebelumnya terkepung selama satu bulan di rumahnya. Peristiwa inilah yang disebut dengan “Al-Fitnah al-Kubra” yang pertama, sehingga merobek persatuan umat Islam.

Saidina Uthman ra syahid dibunuh oleh pemberontak-pemberontak yang mengepung rumahnya. Pada tanggal 8 Zulhijah 35 Hijriah, Uthman menghembuskan nafas terakhirnya sambil memeluk al-Quran yang dibacanya. Sejak itu, kekuasaan Islam semakin sering diwarnai oleh titisan darah. Pemerintahannya memakan masa selama 12 tahun, yang mana ianya merupakan pemerintah yang paling lama dalam pemerintahan Khulafa ’ ar-Rasyidin.

Allahu ‘alam bisshawab.

Dipetik dari

Laman Sirah: http://sirah.blogsome.com/2005/09/20/uthman-bin-affan-radhiallahu-anh/


Baca selengkapnya...

Saturday, January 16, 2010

Dapatkah sains dikembalikan kepada Islam....?

1 comments
Alhamdulillah bersyukur saya kepada Allah SWT kerana dengan limpah dan kurnianya dapat saya meluangkan masa untuk berada di dalam alam siber ini untuk menukilkan satu persoalan yang mungkin kita lupa akan dia.

Dalam kitab "Nilai & Pengurusan Waktu Dalam Hidup Muslim" karangan Sheikh Dr Yusuf al-Qardawi, beliau menjelaskan hakikat masa kepada seorang muslim itu terbahagi kepada tiga bahagian, pertamanya Masa lalu yakni mengembara dan melihat kesan umat terdahulu, ,menilai dan menginsafi kejadian yang menimpa ke atas mereka. Keduanya Masa hadapan yakni perlu merancang untuk masa hadapan sebagai persediaan tindakan dan amalan dan yang ketiganya Masa kini yakni kita perlu prihatin dengan waktu semasa dan tidak menangguh kerja sehingga hari esok.

Apabila kita mengembara ke zaman silam, kita akan mendapati Islam telah berjaya memerintah bumi selama kira-kira 1400 tahun lamanya. Kerajaan Islam begitu menyuburkan perkembangan ilmu bermula dari tertubuhnya kerajaan Islam di Madinah sehiggalah sejarah pengumpulan hadis pada abad ketiga selepas hijrah hinggalah munculnya pelbagai ilmu seperti kimia, optik, fizik dan terakhirnya sumbangan kerajaan Islam Uthmaniah dalam bidang ketenteraan.

Kemunculan Sepanyol (Andalusia) sebagai salah satu Daulah Islam menyemarakkan lagi perkembangan ilmu. Pada zaman kegemilangan kota Andalusia muncul pelbagai sarjana Islam yang hebat dalam bidang sains. Mereka seperti Abu Qasim al-Zahrawi, Ibn Rusd, Ibn Haitham, Jabir al-Haiyan dan banyak lagi. Pemikiran mereka mendahului zaman mereka, lantaran itulah hasil-hasil penulisan mereka digunakan sebagai teks di Eropah selepas kejatuhan kerajaan Andalusia. Malah seorang penyair Barat, Charles Dickens pernah mengungkapkan:

"Itulah masa yang paling gembira"

"Itulah masa yang paling meyedihkan"

"Itulah masa yang paling gemerlapan"

"Itulah masa permulaan harapan"

Pada zaman kegemilangan kota Andalusia, rumah-rumah orang Islam telahpun disinari cahaya pada waktu malam, manalakala kota-kota Eropah yang lain masih lagi gelap diwaktu malam. Begitulah hebatnya sumbangan sarjana Islam pada waktu itu.

Sumbangan Islam dalam sains memang tidak dapat dinafikan walaupun ada sesetengah golongan berfahaman orientalis dan evolusis cuba menyembunyikan perkara yang sebenar. Bumi begitu bertuah sekali pada waktu Islam menyuburkan sains kerana bumi berada pada tahap yang paling gembira. Saintis-saintis Islam di zaman kegemilangan tamadun Islam mengambilkira faktor keseimbangan alam dalam setiap kajian mereka. Konsep yang diterapkan ini tidak sama sekali merosakkan keseimbangan alam. Malah mereka menggunakan alam sebagai suatu alat untuk mereka memulakan kajian. Terbukti jika kita lihat bagaimana di Masjid al-Hambra, Andalusia airnya mampu keluar melalui pili air setiap kali apabila masuk waktu solat walaupun tanpa menggunakan sebarang alatan pam air. Secara kesimpulannya sains yang dikembangkan oleh Islam berteraskan tauhid kepada Allah SWT, inilah konsep keseimbangan antara manusia dan khaliknya.

Kejatuhan kerajaan Islam yang terakhir di Turki hasil perancangan licik Mustafa Kamal Artartuk telah menyebabkan peranan mengembangkan ilmu sains diambil oleh tamadun Eropah. Fokus utama tamadun Eropah ialah untuk menghasilkan alatan peperangan, justeru tidak hairanlah jika dilihat bumi begitu sengsara dan acapkali bergegar menanti kemusnahannya. Ilmu sains diteroka tanpa mengira batas-batas kemanusian ini akan menyebabkan setiap kajian akan tersasar dari hukum tuhan itu sendiri.Malah tidak hairanlah jika ada saintis Barat yang mengumumkan prinsip ketidaktentuan. Kerana setiap kajian mereka tidak meletakkan kuasa Tuhan sebagai ketentuan segala kajian mereka itu.

Dalam setiap kajian saintifik, kita mestilah meletakkan sunnatullah sebagai asas utama. Ini untuk mengelakkan kita tersasar dalam menilai keputusan di akhir kajian. InsyaAllah kiranya ini dapat dilakukan, "Sains akan kembali kepada Islam"

Sekadar berkongsi maklumat....kiranya ada silap eloklah diperbetulkan agar dapat bertambah ilmu kita...InsyaAllah...

Wassalam...

Baca selengkapnya...

Tuesday, January 12, 2010

Nilai perubatan Daun Ketum

1 comments
Alhamdulillah bersyukur saya kepada Allah SWt kerana dengan limpah kurnianya dapt meluangkan masa untuk memetik dan menulis suatu artikel dalam sebuah majalah yang pernah saya baca pada tahun 2008.

Umum mengetahui ekstrak ketum telah diharamkan di bumi Malaysia, Thailand, Myanmar dan terbaharu Australia. Negara Thailand telah mengharamkan penggunaan daun ketum sejak dari tahun 1943.


Di Malaysia,pemprosesan atau penjualan ketum secara haram boleh didakwa di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan boleh dikenakan denda sebanyak RM 10,000 dan/atau penjara selama empat tahun. Ketum telah dikategorikan dalam kelas yang sama dengan kokain dan heroin. Namum begitu, daun ketum senang didapati kerana pengiklanan di Internet yang sangat meluas dan sukar dibendung, menggalakkan penyeludupan dan penyalahgunaan daun ini. Kajian oleh Dr. Sangun Suwanlert pada tahun 1975 mengukuhkan lagi dakwaan tentang kesan ketagihan ketum.

Ketum atau pokok biak ialah nama yang amat dikenali di Malaysia juga dikenali sebagai kratom, ithang, kakuan atau thom di Thailand. Spesis ketum atau nama saintifiknya Mitragyna spesiosa Korth tumbuhan asal kawasan di sekitar Asia Tenggara. Tumbuhan ini tergolong dalam keluarga Rubiacaea, yang jga keluarga pokok kopi.

Pokok ketum boleh tumbuh sehingga mencapai ketinggian 50 kaki dan mempunyai batang yang berkualiti tinggi. Daun ketum dikelaskan kepada dua jenis, iaitu daun yang berurat merah dan hijau. Daun yang berurat merah dipercayai mempunyai kesan halusinogenik yang lebih kuat berbanding dengan daun yang berurat hijau. Di dalam ekstrak daun ketum sendiri, terdapat lebih daripada 25 bahan aktif yang dikenali sebagai alkaloid. Melalui banyak kajian yang dilakukan, saintis menemui bahawa mitraginin, iaitu alkaloid utama bagi spesis ini mempunyai kesan stimulus dan juga sedatif, sama seperti dadah narkotik yang lain seperti candu.

Pelbagai cara pengambilan daun ketum yang diamalkan oleh pengguna seperti direbus dan dibuat sirap (teh), dikunyah bersama sirih, dihisap bersama tembakau atau candu dan juga dibuat serbuk yang halus dan diletakkan di atas lidah bagi mendapatkan kesan gian akan dia. Resin pokok ketum juga kadangkala diekstrak dan dimakan sahaja atau dicairkan di dalam air.

Secara tradisionalnya, masyarakat mengambil daun ketum untuk mengurangkan kesakitan, cirit-birit, merawat demam dan melawan keletihan (fatigue). Kebanyakan buruh mengambil daun ketum untuk mencergaskan diri ketika bekerja di bawah terik matahari dan mengelakkan mengantuk. Selain meningkatkan kecergasan fizikal, daun ketum juga dipercayai mampu meningkatkan tenaga batin.

Pengambilan daun ketum memberikan kesan yang berbeza jika diambil dengan dos yang berlainan. Jika diambil dengan dos yang kecil, ketum boleh bertindak mengurangkan kesakitan. Manakala, jika diambil dalam dos yang besar, kesan ketagihan bakal berlaku. Hal ini berlaku kerana pada dos yang besar, mitraginin akan bergabung dengan mureseptor (µ-reseptor) dan menyebabkan reseptor tersebut dapat bertoleransi terhadap mitraginin dan ini menyumbang kepada ketagihan.

Pada dos yang kecil pula, mitraginin akan bergabung dengan delta-reseptor (Δ-reseptor)dan memberikan kesan yang kecil sahaja kepada reseptor tersebut. Oleh sebab itu, daun ketum digunakan bagi mengurangkan ketagihan akibat candu atau ganja yang memberikan kesan yang lebih kuat berbanding dengan daun ketum sendiri. Pengambilan daun ketum secara sederhana mampu mengurangkan keinginan yang tinggi tehadap candu atau ganja tersebut.

Kesan pengambilan ketum yang berlebihan mampu menimbulkan ketagihan. Namun, kesan yang berbeza dapat dilihat jika frekuensi pengambilan pelbagai. Jika diambil dalam masa yang singkat, simptom yang dapat dilihat ialah mulut kering, hilang selera makan, cirit-birit, sembelit dan sebagainya. Manakala simptom jika diambil dalam masa lama (kronik) ialah hilang selera makan yang melampau, jaundis, insomnia, kadangkala berlaku masalah mental, iaitu gila serta kematian jika serius. Pengguna juga akan mengalami perubahan sikap contohnya mudah meradang dan tidak dapat menumpukan perhatian.

Namun banyak kajian dilakukan ke atas spesis ini sama ada lanjutan daripada kaedah tradisional atau berdasarkan teori. Contohnya, penyelidik telah dapat membuktikan bahawa Mitragyna speciosa dapat mengurangkan cirit-birit. Kajian lain juga menunjukkan keberkesanan daun ketum dalam mengurangkan sindrom "daya tarikan" disebabkan ketagihan. Kajian mendalam juga telah dilakukan bagi mengenal pasti fungsi setiap alkaloid yang terkandung di dalam Mitragyna speciosa.

Jepun, Thailand dan Malaysia kini giat melakukan penyelidikan terhadap spesis ini dan mengharapkan dapat menyumbang kepada dunia perubatan. Oleh itu, jika penggunaan daun ketum dibenarkan dalam dunia perubatan, tindakan kawalan yang tegas harus dijalankan bagi mengelakkan penyeludupan dan penyalahgunaan yang akan berlaku....

Sumber rujukan
1. www.usm.my/drug/presentation/Daun%20Ketum.pps
2. Majalah Kosmik Ogos 2008 m/ 59-61

Baca selengkapnya...

Saturday, January 9, 2010

Masalah Penganjuran Sukan Peringkat Sekolah....

0 comments
Alhamdulillah kerana dapat kita meluangkan masa untuk berada di dalam alam maya lantas dapat menulis dan membaca pendapat-pendapat manusia yang menukilkannya di dalam alam siber.

Sesungguhnya Allah telah membuka pintu rezeki dan ilmu itu sejak dari terbitnya matahari lagi maka berbahagialah barang siapa yang dapat mengambil manfaat darinya. Kesempatan melapangkan masa adalah anugerah Allah SWT dan bersyukur saya kerana dilapangkan masa untuk melakukan aktiviti pagi di hujung minggu dengan berjogging dan seterusnya membeli surat khabar untuk di baca akan dia. Dan amat berharap akan saya kiranya digolongkan oleh Allah SWT sebagai orang yang berada dalam doa Nabi Muhammad SAW, sebagaimana sabdanya yang dikeluarkan oleh Imam Ahmad, Ibn Hibban, al-Hakim, Ibn Majah dan al-Tabbarani yang bermaksud :"Ya Allah, berkatilah umatku di awal paginya."

Apabila meneliti dan membaca akhbar Berita Harian di bahagian sukan, saya yang kerdil ini amat teringin sekali mengulas isu yang dibangkitkan oleh penulis saudara Ahmad Khawari Isa. Tajuk artikel beliau :"11 sukan turut 'disembelih' MSSM; sebagai reaksi balas pemotongan Bajet 2010, hanya 13 taraf Asia diteruskan". Aktikel ini dimuatkan pada mukasurat 44.

Alhamdulillah saya sebagai guru memang terlibat secara lansung dalam proses penganjuran sukan baik di peringkat sekolah, daerah, negeri malah pernah terlibat menolong menguruskannya di peringkat kebangsaan kelolaan MSSM. Secara peribadinya saya kurang bersetuju dengan pendapat yang diutarakan oleh penulis tambahan pula penulis menggunakan istilah "sembelih".

Kita sedia maklum untuk menganjurkan suatu pertandingan sukan ia memerlukan satu peruntukan kewangan yang besar, sebagai contoh Petronas memperuntukkan berbilion ringgit untuk menganjurkan sukan permotoran Formula Satu. Sudah tentu tidak ketinggalan penganjuran sukan di peringkat sekolah. Pihak penganjur dan peserta kejohanan perlulah menimbangkan yuran penyertaan, makanan pemain dan pegawai kejohanan, penginapan pemain dan pegawai kejohanan, bayaran kepada pegawai kejohanan, hadiah kepada pemenang kejohanan dan banyak lagi perkara yang harus di teliti akan dia. Semua perkara itu memerlukan wang yakni duit.

Janganlah pemberita menulis seolah-seolah pegawai-pegawai kerajaan yang terlibat dalam bidang sukan sengaja menggugurkan beberapa acara sukan tanpa usul periksa terlebih dahulu. Saya berikan contoh yang terdekat dengan saya, peruntukkan makanan di asrama dikurangkan daripada 250 hari kepada 200 hari. Malah ibu bapa dimestikan menambahkan bayaran sekiranya anak-anak mereka ingin tinggal di asrama pada hujung minggu. Dalam konteks sukan di peringkat sekolah, kebanyakan latihan dijalankan pada hujung minggu, jadi dari mana sumber kewangan harus dicari?.....kalau peruntukkan kewangan dikurangkan.

Dalam artikel tersebut juga, penulis menyarankan agar pihak MSSM mencari sumber kewangan dalam bentuk tajaan daripada pihak swasta. Pada saya penulis artikel ini kurang faham dengan etika pegawai kerajaan sebagaimana dicatatkan dalam buku peraturan am sebagai pegawai kerajaan. Seseorang pegawai kerajaan itu tidak boleh menerima sebarang bentuk hadiah atau apapun bentuk tajaan sekiranya tidak diperakukan oleh Kerajaan Malaysia. Justeru sebagai pegawai kerajaan, haruslah mereka berhati-hati dalam proses mencari tajaan kerana kesannya amat akan menjejaskan perkhidmatan sebagai pegawai kerajaan. Tambahan pula dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, sudah tentu agak sukar untuk mencari sumber-sumber tajaan.

Sebagai mengakhiri catatan pada hari ini, marilah kita yang terlibat dalam sukan di peringkat akar umbi ini sama-sama bersabar atas dugaan dan cabaran ini. Istimewa pula jika kita dapat redha dengan apa yang berlaku ini. Kalau tidak dapat dianjurkan pada tahun ini, jika umur kita panjang dan ekonomi negara pulih sepenuhnya, InsyaAllah penganjuran sukan akan kembali meriah seperti dahulu.......

Baca selengkapnya...

Friday, January 8, 2010

Sejarah Ilmu Hadis

1 comments
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam kerana limpah kurnianya dapat kita bersama-sama meluangkan masa untuk berada di dalam alam maya.

Agak begitu lama rasanya saya tidak mengulas buku yang saya baca. Kali terakhir rasanya dalam bulan Oktober yang lepas. Bukan tidak lansung membaca buku sepanjang bulan November dan Disember tetapi saya agak terlupa untuk mengulas buku mengikut pandangan peribadi saya.

Antara buku yang saya baca sepanjang bulan Oktober ialah "Sejarah Hadis : Pengaruh dari Tokoh-tokoh utama dalam hadis" karangan M. Hasbi Ash Shidieqy dan di susun dalam Bahasa Melayu Oleh Zulkiflee Yazid dan Zuharudin Yaziz.




Kandungan buku ini mengandungi dua bahagian: Bahagian pertama ialah perkembangan hadis pada zaman Rasulullah SAW, Khulafa Rasyidin, zaman pengumpulan hadis hinggalah pada zaman sekarang dan bahagian kedua membincangkan sejarah tokoh-tokoh utama dalam bidang hadis bermula dari zaman Rasulullah SAW hinggalah tokoh-tokoh hadis zaman keenam kira-kira 400 tahun selepas hijrah.

Bahagian pertama mengandungi 7 bab iaitu

Bab 1 : Hadis di masa Rasulullah SAW atau di sebut Asrul Wahyi wat Takwim)
Bab 2 : Hadis di masa Khulafa Ar-Rasyidin (Asrul tatsabbuti wal iqlali munar riwayati)
Bab 3 : Hadis sesudah berakhir zaman Khulafa Ar-Rasyidin (Asrul Intisyarir Riwayah)
Bab 4 : Hadis dalam abad kedua hijrah (Asrul Kitaabi wat Tadwini)
Bab 5 : Hadis dalam abad ketiga hijrah (Ashrut Tajridi wat Tashhihi wat Tanqihi)
Bab 6 : Masa Penelitian, penerbitan dan pengumpulan hadis-hadis yang khusus (Ahsrut Tahdzibi wat Tartibi wal Istidraki wal Jam'il khash)
Bab 7 : Masa pensyarahan, pengumpulan hadis yang umum, pentakhrijan dan pembahasan hadis tambahan (Ashmsy Syarhi wal Jam'il 'Am wat Takhriji wal Bahtsi 'Iz & Zawaa-id)

Ringkasan Bahagian Pertama
Pada zaman Rasulullah SAW, Rasulullah SAW tidak membenarkan para sahabat menulis hadis. Namun anugerah dari Allah SWT kepada daya ingatan dan hafalan yang hebat kepada bangsa Arab telah menyebabkan para sahabat mampu mengingati segala ucapan, perbuatan dan tingkah laku Rasulullah SAW. Setiap majlis bersama Nabi merupakan majlis ilmu, baginda melimpahkan kepada sahabat pelbagai macam petunjuk. Tidak ketinggalan juga sumbangan Ummahatul Mukminin dalam perkembangan hadis. Mereka mempunyai keutamaan yang besar dalam mengembangkan sunnah-sunnah nabi kerana merekalah orang yang paling hampir dan dekat dengan Rasulullah SAW.

Pada zaman Khulafa Ar-Rasyidin, keadaan politik amat bergolak kerana Rasulullah SAW wafat tanpa meninggalkan sebarang wasiat tentang siapakah yang akan menjadi khalifah. Hampir-hampir berlaku pergaduhan antara golongan Muhajirin dan Anshar. Asas iman yang kukuh berteraskan tauhid kepada Allah ajaran Nabi Muhammad SAW menyebabkan pertikaian antara mereka dapat diredakan. Pada zaman khalifah ar-rasyidin banyak masalah timbul dan terkadang tiada dapat diputuskan melalui al-Quran, justeru mereka mencari penyelesaiannya dengan berpandukan ungkapan-ungkapan kata-kata hikmah dari Rasulullah SAW. Para sahabat sangat berhati-hati dalam meriwayatkan hadis kerana takut hadis-hadis yang dikeluarkan oleh mereka akan mengelirukan orang ramai.

Pada zaman pasca selepas berakhirnya zaman khulafa ar-rasyidin iaitu hingga akhir abad pertama hijrah, banyak kabilah yang menimbulkan penentangan dan pembangkangan terhadap agama. Perkembangan hadis palsu juga amat berleluasa pada zaman ini. Para tabiin (mereka yang sempat hidup sezaman dengan sahabat Rasulullah SAW) berusaha mengumpul dan meriwayatkan hadis untuk menentang pengembangan hadis palsu. Pada zaman ini wujud lembaga hadis di pelbagai kota Islam bertujuan untuk menilai dan mengukur kesahihan hadis antaranya di kota Madinah, Mekah, Kufah, Bashrah, Syam dan Mesir. Lawatan para sahabat kerap kali dilakukan kerana untuk menyemak hadis yang dikumpul. Keadaan ini berterusan hinggalah kematian sahabat yang terakhir, Amir bin Wailah pada tahun 110 H. Maka muncul era baru yang dinamakan era tabi' tabiin

Pada abad ke-2 hijrah, barulah usaha-usaha pengumpulan hadis dilakukan. Ianya dicetuskan oleh khalifah Umar Abdul Aziz pada zaman pemerintahannya ketika beliau menulis surat kepada gabenor yang menjadi haki di kota Mekah dengan katanya "Perhatikanlah hadis-hadis Rasulullah SAW lalu tulislah, kerana sesungguhnya aku takut akan hilang ilmu dan lenyaplah para ulama'". Pada zaman ini muncullah kitab-kitab seperti al-Muwaththa' karangan Imam Malik, al-Musnad karangan asy-Syafie dan al-Atsar oleh Asy-Syaibani. Timbul juga ilmu-ilmu syarah kepada hadis seperti terhasilnya kitab Kasyfatul Mughaththa fil Syarbil Muwaththa karangan Jalaluddin As-Sayuti, at-Tamhid dan al-Istidzkar karangan al-Hafid Ibnu Abdul Barr dan kitab At Taliqul Mumajjad 'ala Muwaththa' al Imam Muhammad karangan al-Hindi.

Perkembangan hadis dalam abad ketiga (masih era tabi' tabiin) terlalu mencabar kalau meneliti kandungan buku ini. Pada zaman ini wujudnya golongan Muktazilah. Golongan ini mempengaruhi khalifah untuk bertindak keras ke atas golongan ahli hadis. Bukan setakat itu sahaja, golongan ahli hadis dicerca dengan dituduh mereka sebagai bodoh dan dungu. Penderaan psikologi yang dilakukan ke atas mereka meninggalkan kesan yang amat derita. Pada masa yang sama muncul pula golongan yang giat membuat hadis palsu dan sampai ke tahap begitu fanatik ketika membuatnya. Alhamdulillah pada ketika umat manusia berada dalam kekeliruan tentang hadis Allah mengutuskan beberapa tokoh hadis terulung (Imam Ahmad dan Ibnu Qutaibah)) bersama dengan "kutub al-hadith al-sittah" (Imam Bukhari, Muslim,an-Nasa-iy, Abu Daud, At-Tirmizi dan Ibnu
Majah). Muncullah kitab-kitab unggul dalam ilmu hadis seperti Musnad Ahmad, Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan an-Nasa-iy, Kitab dari Abu Daud, Jamiut Tirmidzi dan Sunan Ibnu Majah)

Ringkasan Bahagian kedua
Bahagian kedua membincangkan tokoh-tokoh hadis dari zaman Rasulullah SAW hinggalah pada abad keempat hijrah. Antara tokoh yang dibincangkan ialah
1. Pada zaman Rasulullah SAW seperti Abu Hurairah r.a, Abu Said al Khudri r.a, Jabir ibn Abdullah r.a, Anas bin Malik r.a, Aisyah Ummul Mukminin r.a, Abdullah bin Abbas r.a, Abdullah ibn Umar r.a, Abdullah ibn Amr ibn Ash dan Abdullah bin Mas'ud.
2. Pada zaman tabiin terlalu banyak tokoh-tokoh periwayat hadis muncul di serata kota Islam kerana sifat para sahabat yang sangat suka mengembara. Antara yang masyhur ialah Ibnu Syihab Az Zuhri, Ikrimah Maula Ibnu Abbas, Umar Ibnu Abdul Aziz, Ka'bul Ahbar, Wahab ibn Munabbin, Said Ibnul Musayyab, Urwah bin Zubair dan Alqamah.
3. Pada akhir perbincangan dalam bahagian kedua ini, penulis membicarakan tokoh-tokoh seperti Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Bukhari dan Imam Muslim.

Sebagai penutup, haruslah kita bangga menjadi umat Islam kerana sesungguhnya perkembangan ilmu hadis tiada yang seumpamanya dalam lain-lain tamadun yang pernah lahir di dunia ini. Perjuangan tokoh-tokoh hadis di zaman silam menyebabkan kita mampu merasakan kenikmatan dan keindahan percakapan, perbuatan dan tingkah laku Nabi junjungan kita Nabi Muhammad SAW. Dan jangan lupa dapatkan buku ini di kedai-kedai buku berdekatan anda.....

Baca selengkapnya...

Thursday, January 7, 2010

Isu sepanjang minggu.....

0 comments
Alhamdulillah, bersyukur saya kepada Tuhan Yang Maha Esa kerana dengan limpah kurnianya dapat saya meluangkan masa untuk menulis catatan terbaru dalam blog ini.

Banyak isu yang berlaku sepanjang minggu pertama sesi persekolahan tahun 2010. Malah pada peringkat nasional, isu yang amat hangat sekarang ini ialah Isu penggunaan nama Allah dalam akhbar "Herald-The Catholic Weekly". Kehangatan isu ini pada pandangan saya berlaku kerana komen-komen serta pandangan daripada individu yang tidak meletakkan hujah Islam sebagai hujah utama diletakkan sebagai tajuk utama akhbar, ini sudah tentu mengelirukan. Malah lebih menyedihkan apabila hujah-hujah yang diutarakan oleh tokoh-tokoh perpendidikan agama hanya diletakkan dalam sebaris dua sahaja dalam akhbar, tidak memaparkan pandangan mereka yang sebenar.

Saya teringat semasa mengaji Tafsir Nurul Ehsan dengan Ustaz Shamsuri Hj Ahmad semasa belajar di Pulau Pinang dalam tahun 2003 yang amat berkaitan sekali dengan isu ini. Ustazmenggunakan Tafsir Nurul Ehsan jilid 2 iaitu pada tafsir Surah Yusuf. Ayat 39 dan 40 menceritakan proses dakwah Nabi Yusuf semasa baginda berada di dalam penjara.

Ayat 39 surah Yusuf yang bermaksud :
"Wahai dua sahabat sepenjaraku!Adakah menyembah tuhan yang bermacam-macam itu lebih baik atau menyembah Allah yang Maha Esa dan Maha Perkasa?"

Ayat 40 surah Yusuf yang bermaksud :
"Kamu tidak menyembah selain dari Allah melainkan hanya nama-nama tuhan yang dinamakan kamu dengan datuk nenek kamu. Allah tidak menurunkan sebarang keterangan mengenainya. Sesungguhnya kuasa penentuan hukum itu hanya dimiliki Allah sahaja. Dia telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan hanya Dia. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui."

Dua ayat ini menceritakan kaedah dakwah Nabi Yusuf yang menggunakan logik akal disulami dengan soalan ketuhanan untuk meruntuhkan kedegilan hati manusia yang kafir. Ini kerana sudah tentu orang kafir itu tidak mengetahui hujah al-Qur'an kerana tidak mahu mengambil peduli akan dia. Ayat seterusnya menceritakan bagaimana Nabi Yusuf menerangkan orang kafir itu hanya menyembah tuhan yang mana nama-nama tuhan mereka itu adalah ciptaan mereka sendiri ataupun warisan daripada datuk nenek mereka. Hanya Allah mempunyai nama dan nama itu bukannya ciptaan mana-mana manusia ataupun makhluk lain. Sesungguhnya hanya Allah yang wajib disembah dan Dialah yang menetapkan segala hukum di dalam alam ini.

Melihat kepada isu semasa iaitu Isu penggunaan nama Allah, memang jelas nama Allah memang tidak boleh diberikan hak kegunaannya kepada agama lain (kecuali agama Samawi). Tambahan pula dalam konteks masyarakat pada hari ini yang berada dalam kekeliruan. Sekiranya nama Allah dibenarkan penggunaannya kepada akhbar agama lain, sudah tentu mereka akan mengeksploitasikan nama Allah untuk kepentingan agama mereka itu. Justeru itu dengan berpandukan kepada ayat 39 dan 40 surah Yusuf saya menentang keras penggunaan nama Allah oleh akhbar The Herald

Berbalik kepada isu dalam dunia pendidikan khasnya mata pelajaran Applied Science. Saya banyak mendengar khabar angin menyatakan kesahihan dan kerevelenan subjek Applied Science untuk pelajar KBSM. Malah ada ura-ura yang menyatakan bahawa subjek Applied Science akan dimansuhkan menjelang tahun 2013 (saya tak dapat pastikan khabar angin ini benar atau tidak). Amat mendukacitakan kerana kasihanlah kepada pelajar SPM 2009 yang telah mengambil subjek ini dalam peperiksaan yang lepas. Saya berharap agar subjek ini masih akan terus dilaksanakan dalam sistem pendidikan kita.

Marilah kita sama-sama berdoa agar subjek ini dikekalkan untuk masa-masa mendatang.....

Baca selengkapnya...

Friday, January 1, 2010

Rancangan Pengajaran Tahunan Applied Science 2010

1 comments
Dalam mesyuarat terakhir panitia yang berlansung pada bulan November yang lalu, mesyuarat telah memutuskan untuk melaksanakan module berikut pada tahun 2010

Tingkatan 5 2010

1. Module 7 : Light and optical system
2. Module 8 : Continuity of Life
3. Module 4 : Energy
4. Module 5 : Power
5. Module 6 : Energy Convertors

Tingkatan 4 2010

1. Module 1 : Force
2. Module 2 : Work
3. Module 3 : Rate and Resistance
4. Module 9 : Nutrition
5. Module 10: Synthetic Materials

Sekiranya tuan/puan berminat untuk melihat templete Rancangan Pengajaran Tahunan 2010 Applied Science SMTKKangsar, sila berikan alamat email tuan/puan untuk saya hantar kepada tuan/puan

Baca selengkapnya...
 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--