Sunday, June 13, 2010

Bertemu dengan Sukarelawan Freedom Flotilla


Sebagai pemula bicara dalam entri pada waktu ini saya mulakan dengan lafaz segala pujian dan kesyukuran kepada Allah Subhanahu wata'ala kerana rahmat dan kasih sayangNya kepada kita melalui pelbagai nikmat yang tidak terhitung. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia, Nabi Muhammad Shallalahu 'alaihi wasalam yang merupakan pembimbing utama dalam perjalanan manusia menemui Penciptanya.

Kesempatan masa dan ketenangan waktu malam merupakan satu nikmat yang amat tinggi nilainya. Ketenangan waktu malam seharusnya dijadikan waktu untuk kita mendalami ilmu dalam apa cara sekalipun sama ada melalui membaca buku mahupun menghadiri kuliah-kuliah ilmu di masjid dan surau. Alhamdulillah saya merasa begitu bertuah pada malam ini (12/06/10), kerana dapat meluangkan masa untuk menghadiri program "Untukmu Palestina" yang di adakan di tempat saya.

Majlis tersebut di serikan dengan kehadiran dua orang tokoh yang terkenal dengan kerja-kerja amal di Malaysia iaitu Tn Hj Mohd Azmi b Abd Hamid (Setiusaha agung MAPIM) dan Saudara Mustafa Mansur iaitu peserta Misi LL4G yang menaiki kapal Mavi Marmara.

Untuk sesi yang pertama ceramah disampaikan oleh Tn Hj Azmi dengan tajuk "Selamatkan Zuriat Ummah". Isi utama ceramah yang disampaikan oleh Tn Hj Azmi ialah berkenaan dengan masalah keruntuhan akhlak yang amat membimbangkan. Cikgu Azmi menayangkan beberapa gambar bagaimana bayi-bayi luar nikah dibuang seperti bukan manusia. Ada bayi yang dlemparkan di dalam semak, dalam tong sampah dan lebih memilukan apabila melihat anak kecil itu digonggong oleh seekor anjing. Apakah rakyat Malaysia pada hari ini sudah sampai ke tahap bangsa Jahiliyah bahkan pada saya lebih dari itu? Renungkanlah.



Justeru itu, Cikgu Azmi sebagai seorang insan yang amat prihatin dan pejuang yang komited menyeru dan menyarankan setiap individu berusaha dengan sedaya upaya mengambil bahagian dalam usaha membendung masalah ini. Setiap individu Muslim haruslah membendung masalah pokoknya iaitu perbuatan menghampiri zina. Janganlah kita membiarkan anak-anak kita ataupun kaum kerabat kita menghampiri zina. Permulaan kepada perbuatan inilah yang akan mengakibatkan wujudnya masalah yang lebih parah lagi iaitu melakukan hubungan kelamin. Marilah kita bersama-sama cuba sedaya upaya kita mencegah penyakit ini kerana Islam datang dengan kaedah "Prevention is Better than Cure" bukannya kaedah "Merawat setelah Parah"

Slot yang kedua dalam sesi ceramah pada malam tadi disampaikan oleh Saudara Mustafa Mansur iaitu wakil MAPIM (Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia) yang menyertai misi konvoi Life Line For Gaza (LL4G). Saudara Mustafa Mansur menceritakan detik-detik seorang pejuang diancam oleh tentera zionis sewaktu tentera zionis menyerang kapal Mavi Marmara. Untuk makluman pada mulanya Saudara Mustafa Mansur menaiki kapal Chalengger II, tetapi kapal tersebut mengalami masalah maka Saudara Mustafa Mansur diminta menaiki kapal Mavi Marmara.



Saudara Mustafa memulakan dengan salah persepsi beliau ke atas bangsa yahudi. Seharusnya kata beliau, para peserta konvoi harus menyiapkan diri bahawa mereka akan berhadapan dengan kekejaman zionis yang serius. Kerana tentera Yahudi akan melakukan apa sahaja untuk menyeksa para aktivis. Kata Saudara Mustafa Mansur lagi, kepergian ke Palestin bukanlah untuk melancong malah kemungkinan ia pergi untuk tidak kembali lagi.

Saudara Mustafa Mansur menyambung lagi kisahnya ketika tangan diikat dibelakang dan disuruh melutut. Para aktivis dipaksa duduk dalam keadaan itu selama berjam-jam tanpa dibenarkan membuang air ataupun makan. Maka pada waktu itu, timbullah pelbagai persepsi pemikiran yang agak goyang dalam minda Saudara Mustafa. Antaranya, bersediakan untuk syahid dan sejauh mana kesediaan untuk bertemu dengan Allah Subhanahu wata'ala.



Dipendekkan catatan, para aktivis pun dibawa masuk ke Israel dan dimasukkan ke dalam penjara. Takkala itu seluruh dunia menekan Israel dan Israel berada dalam keadaan goyang. Maka teringatlah peristiwa di mana Nabi Muhammad Shallalahu 'alaihi wasalam mengepung Yahudi Bani Qainuqak, di mana rentetan dari peristiwa itu Yahudi di halau dari kota Madinah. Oleh kerana takut akan tekanan dunia dan ancaman serangan oleh Turki maka para aktivis dilepaskan dan tiba di Jordan pada keesokan paginya.

Akhir sekali, Saudara Mustafa Mansur menyarankan kepada semua pejuang perlulah bersiap sedia dengan
1. kekuatan ilmu dan kekuatan roh
2. pemikiran yang amat kuat
3. kekuatan emosi.

Setakat ini dahulu, InsyaAllah saya akan sambung dalam entri yang seterusnya....
Wasalam

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--