Alhamdulillah bersyukur saya ke hadrat Allah Subhanahu wata'ala kerana nikmat kesempatan masa dan mempunyai talian internet yang baik walaupun berada di kawasan pinggir bandar. Sesungguhnya nikmat kelapangan masa adalah salah satu di antara nikmat yang besar pada kita yang bergelar manusia. Bayangkan sahaja betapa ramai rakan yang kita jumpa seharian begitu berada dalam kesibukan sekali hinggakan kadangkala terkeluar ungkapan tidak cukup masa.
Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita, Nabi Muhammad Shallalahu 'alaihi wasalam utusan Allah, pembawa berita gembira dan pemberi ingatan kepada kita manusia yang sering lalai dalam setiap lapangan yang kita ceburi. Berbanyak terima kasih diiringi dengan doa kepada para sahabat Baginda dan para seluruh pejuang Islam yang telah bertungkus lumus menongkah arus cabaran pada setiap masa untuk membawa panji agama Islam dengan berteraskan tauhid dan ilmu pengetahuan.
Prof Dr Sidek Baba di dalam bukunya "Melayu Perkasa" menukilkan "Kekuatan Umat Islam Melayu pada masa kini ialah membangunkan modal insan dengan tunjangan ilmu dan proses pendidikan yang integratif atau bersepadu. Tanpa kekuatan ini tidak mungkin kita mampu menghadapi rempuhan globalisasi yang amat hebat jaringannya.". Di antara salah satu kekuatan dalam disiplin ilmu ialah sentiasa melakukan penyelidikan. Sebagai seorang guru yang terlibat secara lansung dalam proses pembangunan modal insan diperingkat akar umbi seharusnya kita senantiasa melakukan penyelidikan demi menaikkan mutu pengajaran kita di dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam kelas.
Alhamdulillah sepanjang tempoh saya terlibat dalam bidang pendidikan ini, saya telah didedahkan dengan kaedah menjalankan kajian tindakan terhadap proses P&P saya. Sepanjang tempoh itu saya telah menjalankan 5 kajian tindakan untuk rujukan peribadi saya dan ada di antara kajian itu membuahkan hasil yang setimpal dengan usaha yang dilakukan. Entri ini bukanlah untuk membincangkan kajian tindakan yang saya jalankan, tetapi entri ini ingin mengulas salah satu buku yang saya baca semasa melaksanakan kajian tindakan. Buku yang saya maksudkan ialah buku "Guru Sebagai Penyelidik" yang ditulis oleh En Abdul Rahman b Abdul Majid Khan (sekarang bertugas sebagai Penolong Kanan Pentadbiran di SMK Malim Nawar, Perak)
Kalau tak silap saya bolehlah saya katakan buku ini antara buku yang pertama membincangkan proses kajian tindakan dalam Bahasa Melayu. Tahniah kepada Cikgu Abdul Rahman.
Penulis membahagikan buku ini kepada enam bab yang membincangkan proses penyelidikan yang harus dilalui oleh seorang pendidik dalam melaksankan kajian tindakan iaitu
Bab 1: Pengertian Penyelidikan
Bab 2: Kajian Tindakan
Bab 3: Proses Kajian Tindakan
Bab 4: Pelan Tindakan Pengurusan Projek dan Kertas Cadangan
Bab 5: Pendokumentasian Laporan
Bab 6: Penyeliaan Pengajaran dan Kajian Tindakan
Itulaha kandungan tajuk-tajuk yang terdapat dalam buku ini. Perlu tuan/puan yang berminat mendapatkannya untuk membedah siasat buku ini. Walaubagaimanapun saya akan cuba memberikan gambaran kasar yang terbaik melalui sinopsis saya dalam proses membaca buku ini. Antara yang terdapat dalam buku ini ialah,
KEPENTINGAN KAJIAN TINDAKAN TERHADAP GURU BARU atau PENGALAMAN
Berikut adalah pendapat mengenai kepentingan kajian tindakan terhadap guru baru atau berpengalaman , iaitu:
1) Guru akan sentiasa memperbaiki mutu P&P
2) Guru akan mendapat idea untuk mempelbagaikan kaedah dan strategi P&P
3) Kajian tindakan dapat membantu guru dalam melahirkan modal insan yang berkualiti
4) Kajian tindakan dapat membantu guru untuk berperanan secara aktif dalam pembangunan pendidikan di Malaysia
5) Guru akan menjadi semakin peka terhadap persekitaran P&P
6) Menanamkan sikap mengkaji dalam diri guru
7) Hasil dapatan kajian tindakan guru boleh berkongsi bersama guru yang lain dengan itu penambahbaikan terhasil melalui gabungan idea yang berbeza dan bermutu
8) Guru akan sentiasa membuat refleksi pada setiap P&P yang dilakukan bagi mencari kelemahan yang perlu diatasi
9) Melalui kajian tindakan, guru dapat menanamkan budaya membaca dalam diri
10) Melalui kajian tindakan guru lebih memahami dan mendekati keperluan pembelajaran pelajar
APA ITU KAJIAN TINDAKAN(KT)
Kajian Tindakan Merupakan satu kajian yang wujud daripada permasaalahan yang diutarakan oleh guru bagi mengenalpasti fokus kepada kajian yang hendak dilakukan di dalam kelas. Hasil daripada permasaalahan yang dikemukakan kajian tindakan akan dilakukan dan ianya di terapkan melalui lingkaran model kajian tindakan yang sesuai( Kemmis & McTaggart (1988)). Ianya melibatkan 2 proses iaitu persoalan dan hasil daripada persoalan yang dikemukakan pengkaji akan menjalankan proses kajian tindakan. Bertujuan untuk melakukan penambahbaikan terhadap permasaalahan yang timbul.
Struktur Utama Menerangkan tentang kepentingan penyataan masalah oleh guru melalui kajian tindakan untuk membangunkan dan membuat pembaharuan dalam cara mengajar dan proses pembelajaran.
MENGAPA GURU PERLU MELAKUKAN KT?
1) Melakukan penambahbaikan terhadap proses pengajaran dan pembelajaran
Guru melakukan kajian tindakan adalah bertujuan untuk membuat perubahan dari segi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas supaya pelajar lebih mudah memahami topik pengajaran.
2) Membina pengetahuan dan pemahaman pedagogi
Pengetahuan dan pemahaman terhadap pedagogi penting bagi guru untuk meningkatkan proses P&P mereka supaya pelajar tidak cepat bosan terhadap pembelajaran di dalam kelas.
3) Meningkatkan keberkesanan amalan mengajar guru dan meningkatkan pencapaian murid.
Amalan mengajar yang berkesan penting untuk meningkatkan pencapaian pelajar. Guru melakukan kajian tindakan untuk melihat penerimaan pelajar terhadap amalan pengajaran yang digunakan.
BILA GURU MELAKUKAN KT
*Apabila guru merasakan wujud permasaalahan yang perlu di perbaikai dan dilakukan penambahbaikan.
*Apabila guru ingin mencuba pendekatan-pendekatan pengajaran yang baru dan difikirkan sesuai terhadap topik yang di ajar.
DI MANA GURU MELAKUKAN KT?
*Kajian ini dilakukan dengan kerjasama guru dan pelajar yang terdiri daripada bakal guru dalam sistem pendidikan.
*Kajian ini dilakukan di sekolah
BEBERAPA PERBEZAAN ANTARA PENYELIDIKAN PENDIDIKAN TRADISI DENGA KAJIAN TINDAKAN
Kajian Tindakan juga tergolong dalam penyelidikan pendidikan. Walau bagaimanapun terdapat beberapa perbezaan antara Kajian Tindakan dengan penyelidikan pendidikan tradisi atau konvensional yang selalu dilaksanakan dalam pendidikan. Perbezaan yang dihuraikan di sini dibataskan kepada beberapa aspek kajian tradisi yang didapati boleh menimbulkan kekeliruan dalam memahami Kajian Tindakan. Aspek-aspek tersebut merangkumi perkara-perkara yang berkaitan dengan peranan penyelidik, tujuan kajian, sampel kajian, serta menggunakan dapatan untuk membuat generalisasi. Penyelidikan pendidikan selalunya dilakukan oleh Institusi Pengajian Tinggi untuk tujuan akademik atau pun oleh individu atau organisasi tertentu untuk tujuan pembentukan dan pengembangan dasar atau program yang berkaitan dengan pendidikan. Dua pihak yang terlibat dalam kajian iaitu penyelidik dan pihak yang dikaji terdiri daripada ahli sesuatu situasi sosial atau organisasi yang berlainan serta memainkan peranan yang berbeza. Contoh, dalam kajian tentang "Minat Pelajar Bandar Dan Luar Bandar Dalam Mata Pelajaran Sains", penyelidik (pihak yang menjalankan kajian) mungkin terdiri daripada Pegawai Pendidikan dari K-ementerian Pendidikan, pelajar atau pensyarah dari Institusi Pengajian Tinggi. Manakala sampel kajian (pihak yang dikaji) pula terdiri daripada murid, guru dan pengetua sekolah di bandar dan di luar bandar.
Lazimnya tujuan sesuatu kajian ialah untuk melihat sejauh manakah sesuatu keadaan sosial wujud. Bagi menentukan sama ada sesuatu keadaan yang dikaji itu wujud atau tidak, dikemukakan beberapa soalan kajian berkaitan dengan perkara yang dikaji. Contoh, sejauh manakah minat pelajar bandar / luar bandar dalam mata pelajaran sains? Atau sejauh manakah kemudahan makmal mempengaruhi minat pelajarterhadap sains?
Penyelidikan pendidikan tradisi menggunakan sampel kajian dari sesuatu kelompok populasi. Contoh, dalam kajian tentang "Minat Pelajar Bandar / Luar Bandar Dalam Mata Pelajaran Sains", kelompok populasi yang dikaji ialah murid, guru sains dan pentadbir sekolah di bandar dan luar bandar. Penyelidik melibatkan sebahagian sahaja daripada keseluruhan kelompok yang dikaji misalnya sebanyak 30% untuk dijadikan sampel kajian. Berasaskan pertimbangan bahawa semua ahli kelompok mempunyai ciri-ciri yang sama seperti dari segi peranan, tanggunjawab, amalan atau lain-lain ciri yang berkaitan dengan perkara yang dikaji, sampel 30% ini dianggap mewakili keseluruhan populasi yang terbabit. Oleh itu dapatan kajian daripada sampel sebanyak 30% boleh dijadikan asas untuk membuat satu anggapan umum atau generalisasi terhadap keseluruhan kelompok populasi tadi. Contoh generalisasi yang mungkin boleh dibuat daripada dapatan kajian ialah "pelajar bandar lebih minat belajar sains daripada pelajar luar bandar". Seiring dengan itu penyelidik juga boleh menggunakan dapatan kajian •untuk membuat cadangan umum bagi meningkatkan minat dalam mata pelajaran sains di kalangan populasi luar bandar. Lazimnya cadangan untuk memperbaiki program dimajukan kepada organisasi pendidikan yang terlibat secara langsung dalam perancangan pendidikan sains di sekolah. Dalam konteks pelaksanaan kajian, peranan penyelidik berakhir setelah laporan kajian disediakan
Sebagai kesimpulannya bolehlah saya simpulkan kajian tindakan sering dan sebaik-baiknya dijalankan oleh pengamal sesuatu bidang (guru). Kajian tindakan adalah kajian berbentuk ilmiah yang dijalankan secara longgar, khususnya apabila kajian dijalankan berkaitan teori-teori atau metodologi pembelajaran di sesuatu kelas. Contonhnya seorang guru yang mencuba kaedah baru serta membandingkan pencapaiannnya dengan kejayaan-kekayaan lampau yang mengguna pakai kaedah-kaedah yang berlaianan sebenarnya sedang melakukan kajian tindakan. Kajian tindakan adalah juga satu bentuk kajian gunaan yang bertindak menyelidik aplikasi sesuatu prinsip atau kaedah dalam situasi khusus. Walau apa jenis pendekatan yang digunakan dalam melakukan kajian tindakan, tidak kira sama ada ia merupakan kajian tindakan yang dilakukan secara besar atau kecil, ciri-cirinya ahruslah bersifat ilmiah, iaitu kajian bersifat sistematik, setiap langkah direncanakan dengan teratur, berkonseptual serta jelas prosedurnya, cermat, teliti dan berobjektif. Ia perlu dijalankan dengan penuh beretika tanpa prejudis atau berkepentingan tertentu, melainkan cuma bertujuan menmbah ilmu memenuhi keperluan tertentu seperti memperbaiki prestasi kerja (ini menyokong maklumat yang terdapat dalam buku "Teacher as Reflective Practitioner and Action Researcher " dimana penulis buku berkenaan berpendapat salah satu sebab mengapa guru perlu melakuan kajian tindakan adalah kerana melalui kajian tindakan ianya dapat melatih guru meningkatkan kemahiran dan pengetahuaanya dalam etika profesion perguruan.
Kajian tindakan merupakan salah satu komponen perkembangan profesional perguruan. Perkembangan profesional merujuk kepada apa sahaja pengalaman yang yang memperkayakan ilmu, penghayatan,kemahiran dan kefahaman guru-guru berhubung kerjanya (Glickman, Gordon & Ross Gordon, 2001:360). Kenyataan ini juga dilihat menyokong maklumat yang diberikan di dalam buku "Teacher as Reflective Practitioner and Action Researcher ", dimana penulis buku tersebut menitikberatkan bahawa kajian tindakan membantu guru dalam meningkatkan keberkesananya pengajarnnya dan profesionalisme. Dalam konteks pendidikan, Edefelt (1979) mencadangkan bahawa perkembangan profesional perlu mengambil kira semua individu sekolah dan sesiapa sahaja yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam urusan penambaikannya. Beach dan Reinhartz (2000:265) menyatakan perkembangan profesional untuk para guru, penyelia dan pemimpin pengajaran adalah peluang bagi mengembang pengajaran, penyeliaaan dan kemahiran-kemahiran pentadbiran secara berterusan.
Wassalam dan Assalamualaikum...
13 years ago
1 comments:
Kerjaya yang menuntut kecemerlangan sememangnya perlu kepada penyelidikan. Menyelidik untuk mencungkil kelemahan diri sebelum diri kita diselidik oleh Hakim Rabbul Jalil adalah orang yang dikurnia kebijaksanaan.
Post a Comment