Saturday, May 15, 2010

Guru....Jasamu tak ternilai bagiku....




Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Segala puji dan syukur hanya bagi Allah Tuhan semesta alam. Selawat dan salam untuk Rasulullah Shallalahu 'alaihi wasalam.

Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu wata'ala yang telah memberikan kita kesempatan masa untuk meluangkan masa untuk berada di dalam alam siber ini. Nikmat kesempatan masa adalah antara nikmat yang amat berharga jika kita menilai hakikat masa dengan sebenar-benarnya. Masa sesungguhnya begitu penting dalam kehidupan seseorang manusia. Sebagai contoh kalau saya mengambil kira diri saya sendiri, sedar atau tidak saya telah lama meninggalkan alam persekolahan walaupun terasa baru sahaja berada di Tingkatan 5.




Hakikatnya, haruslah kita sentiasa sedar umur kita semakin meningkat dan kita akan semakin hampir untuk meninggalkan alam dunia dan menuju ke alam yang seterusnya.

Saudara-sauadara pengunjung yang berbahagia,
Dalam merentasi kehidupan di alam ini, antara perhiasan yang amat baik untuk diri kita ialah kita mempunyai kekuatan dalam ilmu pengetahuan. Dengan adanya bekal ilmu pengetahuan dalam diri kita, kita akan mampu untuk menongkah arus cabaran yang bakal datang sepanjang perjalanan hidup kita. Dalam proses pencarian ilmu pengetahuan, sedar atau tidak kita akan menemui dan belajar dengan guru. Guru ibarat pembantu dan pembimbing bagi kita sepanjang proses pencarian ilmu pengetahuan.

Tidak kira apa jua status jawatan kita sekarang sama ada jurutera, doktor,peguam, menteri kabinet atau sesiapa sekalipun, jika ditanya siapakah yang banyak berjasa dalam membantu mereka membina kerjaya dan masa depan selain dari ibu bapa, sudah tentu jawapannya 'cikgu'. Sebagai contoh, antara amalan yang dilakukan oleh ulama dan cendiakawan Islam pada masa yang lampau dalam menulis kitab mereka ialah menyatakan nama guru yang pernah mengajar mereka.

Guru ibarat lilin yang membakar diri yang pada akhirnya ia akan musnah (Walaupun saya tidak bersetuju dengan peribahasa ini kerana mengambarkan guru pada akhirnya tidak akan dikenang kerana lenyap dari pandangan mata) akan berusaha dengan gigih dan tekun untuk memastikan anak bangsanya menjadi insan yang berguna pada suatu hari nanti. Sepanjang kehidupan saya sebagai pelajar dan menjadi guru, belum pernah saya bertemu dengan seorang cikgu yang mendoakan kegagalan anak didiknya. Jasa dan pengorbanan cikgu dalam memenuhi tanggungjawab mendidik anak bangsa sememangnya tidak dapat di nilai dengan wang ringgit ataupun apa bentuk material sekalipun. Hanya kepada Allah sahajalah terserah bagaimana ganjaran yang bakal diterima kelak.



Tidak dapat saya gambarkan betapa mulianya hati seorang guru dalam mendidik pelajar untuk mencapai kejayaan tanpa mengira darjat, kaum dan agama. Walaupun berlaku perubahan dalam sistem kehidupan manusia sama ada dari segi sistem politik atau sosial, profesion perguruan tetap disanjung tinggi dikalangan masyarakat yang menyifatkannya sebagai suatu kerjaya yang mulia dan berjasa. Malah boleh dikatakan kerjaya guru memerlukan suatu anjakan minda yang maksima kerana seorang guru itu tidak hanya mendidik berdasarkan mata pelajaran yang di ajarnya sahaja tetapi tumpuan lebih daripada itu. Sebagai contoh seorang guru haruslah mempunyai kebolehan dalam bidang lain seperti menyampaikan tazkirah,mengendalikan aktiviti sukan, menguruskan unit beruniform, menyelenggara aktiviti kelab dan persatuan dan lain-lain aktiviti luar darjah. Melalui aktiviti ini, kadang-kadang jiwa anak didik dapat dibentuk untuk lebih menghargai ilmu.



Seorang guru sebenarnya sentiasa berusaha memupuk nilai positif kepada pelajar dengan menerapkan nilai-nilai murni di hati pelajar sambil menaikkan semangat cintakan agama seterusnya akan melahirkan satu generasi yang mencintai Islam, sayangkan negara disamping berkebolehan menjaga hubungan antara kaum dalam konteks masyarakat majmuk seperti di Malaysia.

Malah tidak keterlaluan jika saya katakan, tanggungjawab guru sebenarnya lebih luas daripada berada di dalam kelas kerana guru senantiasa bertindak sebagai ibu bapa kedua yang berperanan mencorakkan masa depan pelajar. Ini dapat dilihat melalui peranan guru di sekolah-sekolah berasrama samada asrama penuh ataupun asrama harian. Guru-guru yang bergelar warden adalah ibu bapa kepada pelajar sepanjang pelajar berada di dalam kawasan asrama.



Justeru itu, tidak hairanlah pada tanggal 16 Mei setiap tahun, sambutan Hari Guru diadakan di Malaysia bagi meraikan dan menghargai jasa para pendidik yang bertungkus lumus menabur jasa dan bakti demi memastikan anak bangsa mencapai kejayaan.

Terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana pada tanggal 16 Mei, seluruh sekolah di serata pelosok negara akan meraikan sambutan Hari Guru sama ada secara besar-besaran atau sederhana (mengikut kemampuan kewangan kelab guru sekolah) bagi menunjukkan penghargaan kepada insan yang setiap hari tanpa jemu berusaha menerangi kehidupan orang lain. Pada hari itu juga pelbagai aktiviti dijalankan seperti nyanyian lagu "Guru Malaysia" oleh guru dan aktiviti permainan bersama pelajar. Hari itu hanya datang sekali dalam setahun, jadi kebanyakkan guru pasti tidak akan melepaskan peluang menunjukkan bakat yang telah terpendam selama setahun!......

Bagi pelajar, kesempatan menikmati hari itu umpama peluang keemasan mereka melahirkan rasa hormat atau penghargaan mengikut cara masing-masing sama ada melalui kad atau ucapan sebagai tanda kenang-kenangan.

Setiap tahun, sambutan Hari Guru mempunyai temanya yang tersendiri sebagai contoh pada tahun 2010 temanya berbunyi "Guru Pembina Negara Bangsa". Semoga tema ini dapat dijayakan dengan sepenuhnya oleh rakan-rakan guru sekalian. Pada tahun ini lebih 300,000 guru diseluruh negara akan diraikan pada hari tersebut. Tahniah cikgu dan teruskan usaha anda yang mulia.

Akhir sekali kepada semua guru-guru yang pernah mendidik saya hingga mampu berdiri dengan jayanya sebagai seorang manusia..."Terima Kasih Cikgu"...Saya sentiasa mendoakan cikgu selamat di dunia dan di akhirat tak kira di mana pun cikgu berada..

Wassalam.....

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--