Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu wata'ala atas segala rahmat dan kurniaNya. Apabila di kenang-kenang dan dinilai sudah tentu kita akan merasai yang bahawa sesunggunhnya kita tiadalah memiliki apapun melainkan mengharapkan rahmat Allah semata-mata.
Selawat dan salam atas junjungan besar Nabi Muhammad Shallalahu 'alaihi wasalam, sinar cahaya dan rahmat bagi sekalian manusia. Walaupun tidak pernah kita menatap wajah Rasulullah, namun setiap hari apabila semakin mendekati ajaran dan nasihat beliau terasa Rasulullah memang adalah seorang insan terpilih sebagai rahmat sekalian alam.
Entry pada kali ini bertujuan untuk berkongsi secangkir maklumat yang saya dapat melalui pembacaan sebuah kitab karangan seorang ulama Islam terkenal iaitu Ibnu Qayyim al-Jauzi berjudul "Merawat Penyakit Hati". Tambahan pula saya terbaca sebuah artikel (entri pada 15 Mei 2010) dalam blog sahabat saya "Akar Bangsa" yang membicarakan soal penyakit hati.
Maka terdetik di hati untuk berkongsi ilmu dengan rakan-rakan pengunjung sekalian.
Kemudian daripada itu,
Syeikh Ibnu Qayyim al-Jauzi dalam kitabnya berpendapat hati terbahagi kepada tiga iaitu:
* Hati yang sihat dan selamat, iaitu hati yang selalu menerima, mencintai dan mendahulukan kebenaran. Pengetahuannya tentang kebenaran benar-benar sempurna, juga selalu taat dan menerima sepenuhnya.
* Hati yang keras, iaitu hati yang enggan menerima dan tidak taat dan menerima sepenuhnya.
* Hati yang sakit, jika penyakitnya sedang teruk, maka hatinya menjadi keras dan mati, jika ia mampu melawan dan mengalahkan penyakit hatinya, maka hatinya akan menjadi sihat dan selamat.
Makanya, daripada ketiga-tiga wajah hati yang tersebut di atas, apa yang perlu diusahakan oleh setiap individu yang menjadi Muslim ialah memiliki sekeping hati yang sihat dan selamat. Jika kita merasakan hati kita keras ataupun sakit, maka hendaklah sedaya upaya berusaha mengatasi hati keras dan mengubati hati yang sakit. Hati yang keras dan sakit, jika dibiarkan akan menghadapi beberapa perkara yang bahaya dan mudharat. Antara yang ditakuti ialah seperti memandang perkara buruk dan baik adalah sama sahaja atau mungkin mempercayai yang baik itulah mungkar dan yang mungkar itulah baik, menjadikan hawa nafsu sebagai pedoman dan pada akhirnya akan menjadikan bisikan syaitan sebagai penyuluh arah sepanjang kehidupan.
Saudara-saudara pengunjung yang dirahmati Allah sekalian,
Hati yang sedang sakit dan keras tidak boleh diubati dengan kebendaaan maksud saya dengan wang dan harta. Ianya perlu dirawat dengan dengan menbaca al-Quran dan berusaha mendalami isi kandungan maknanya. Selain itu kita perlu sedaya upaya mengamalkan apa yang mampu kita amalkan dari al-Quran berpandukan pedoman yang diberikan oleh Rasulullah Shallalahu alaihi wasalam. Kerana berusaha mengamalkan sunnah akan menghidupkan hati. Melalui al-Qurang juga kita dapat menambah pengetahuan kita dan membantu ke arah pembentukan akhlak terpuji.
Membaca al-Quran juga boleh menjana ingatan kepada Allah dan meneguhkan ketakwaan. Inilah sebenarnya tujuan al-Quran diturunkan kepada manusia. Firman Allah dalam surah Al-Isra' ayat 82 yang bermaksud "Dan kami turunkan dari al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman dan al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang yang zalim selain kerugian." Maka melalui intipati ayat ini jelaslah selalu membaca al-Quran akan membantu mengingati Allah Subhanahu wata'ala serta mengindahkan hati, menenangkan fikiran dan perasaan. Umpama ungkapan Ibn Qayyim dalam bukunya zikir itu penting bagi manusia seperti perlunya ikan kepada air.
Saudara-saudara pengunjung yang mempunyai masa untuk berada di sini,
Kita hendaklah selalu perlu ada keinsafan dalam hati bahawa kita hanya sebagai hamba hina disisi Allah. Rasa rendah diri, menjadikan ibadah yang dilakukan dengan ikhlas, bersungguh-sungguh dan berkualiti. Rasa rendah diri sudah pasti akan menghindarkan dari sifat sombong dan menyakini bahawa hanya Allah yang Maha Besar dan Maha Agung. Orang yang sentiasa merendah diri, hatinya akan menjadi tenang, senang menerima hidayah serta mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah. Sabda Rasulullah Shallalahu alaihi wasalam, bermaksud:" Allah tidak menambah terhadap hamba yang memberi maaf melainkan kemuliaan, dan seseorang tidak merendahkan diri kepada Allah melainkan Allah meninggikannya." (Hadis riwayat Muslim).
Hati juga akan berkembang mekar apabila sentiasa mengingati kematian yang pasti akan kedatangannya. Makhluk yang lemah seperti manusia satu masa nanti pasti akan mengalami peristiwa kematian. Apabila sentiasa ingat tentang kematian yang pasti tiba, sudah tentu akan melembutkan hati.
Saudara-saudara pengunjung yang mempunyai kelapangan,
Memang tidak dapat disangkal berlakunya pelbagai masalah sosial, keruntuhan akhlak di kalangan masyarakat baik remaja mahupun dewasa dewasa ini adalah akibat dari tandusnya budi pekerti dan budaya Islam. Ini berlaku adalah akibat daripada penyakit hati sedang menular dalam masyarakat kita hari ini. Masyarakat hari ini terlalu jauh dengan nilai-nilai Islam. Terlalu banyak remaja yang malas melaksanakan ibadah fardhu, enggan menerima nasihat, tidak gemar meluangkan masa mendengar ceramah atau menghadiri majlis ilmu. Awas kerana sabda Rasulullah Shallalahu alaihi wasalam bermaksud,"Dan sesungguhnya sejauh-jauh manusia daripada Allah adalah mereka yang berhati keras." (Hadis riwayat at-Tirmizi).
Kekerasan hati boleh dilembutkan apabila kita sentiasa mengisi waktu dengan perkara yang mendekatkan diri kita kepada Allah. Renungkan dan fikirkanlah.....
Wassalam......
13 years ago
0 comments:
Post a Comment