13 years ago
Monday, May 17, 2010
Anda ingin berjaya, bacalah buku ini.....dan berusahalah
Alhamdulillah kita panjatkan puji dan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu wata'ala yang telah memudahkan kita hambaNya yang dhaif ini untuk berada dan meluangkan masa melayari internet pada ketika ini.
Selawat dan salam untuk junjungan mulia Nabi Muhammad Shallalahu alaihi wasalam penghulu segala ambiya. Sesungguhnya pengutusan Nabi Muhammad Shallalahu alaihi wasalam adalah rahmat untuk sekalian alam. Teringat saya kisah dalam sirah Rasulullah Shallalahu alahi wasalam di awal permulaan baginda hendak menerima wahyu. Semasa Rasulullah Shallalahu alaihi wasalam dalam perjalanan ke Gua Hira', baginda ditegur oleh batu dan pokok-pokok dengan ucapan salam "Assalamualaikum, wahai pesuruh Allah". Sungguh ajaib peristiwa ini dan ianya kekal menjadi sebagai salah satu bukti bahawa baginda memang pesuruh Allah.
Masa yang terluang yang merupakan anugerah yang amat berharga. Dalam kelapangan masa itu sempat saya membaca sebuah buku bertajuk "Jika anda ingin berjaya, Bersolatlah".
Buku ini merupakan karya seorang pakar motivasi dan penulis yang prolifik. Beliau lebih dikenali dengan nama Ustaz Muhammad Rusli Amin.
Ustaz Muhammad Rusli Amin lahir di Maluku Utara pada tanggal 30 Disember 1962. Beliau adalah seorang penceramah di Indonesia. Sehingga kini, beliau sudah menulis sebanyak 20 buah buku.
Buku ini sebenanya merupakan sebuah buku yang membincangkan hikmah solat dari sudut motivasi untuk kejayaan. Memang bertepatan sekali tajuk ini dihuraikan oleh Ustaz Muhammad Rusli Amin kerana Ustaz Muhammad Rusli memang merupakan seorang pakar motivasi yang terkenal di Indonesia. Malah buku ini memaparkan prinsip-prinsip kejayaan dalam solat yang pasti akan memberikan inspirasi kepada dalam usaha mengubah kehidupan dan mendapatkan keuntungan dan kemulian diri. Buku ini mengandungi 14 topik yang kesemuanya merupakan hikmat kepada pensyariatan solat.
Bab 1: Hidup Bersama Solat
Bab 2: Hikmah daripada Niat Solat
Bab 3: Keikhlasan
Bab 4: Kekuatan Motivasi
Bab 5: Tindakan menentukan kejayaan
Bab 6: Modal Rohani
Bab 7: Pengulangan
Bab 8: Memperbaharui Diri
Bab 9: Mendahulukan yang Utama
Bab 10: Menjadi Manusia yang Cekal Menghadapi Ujian
Bab 11: Melakukan dengan Lebih banyak
Bab 12: Konsentrasi
Bab 13: Pengurusan Masa Demi Kejayaan
Bab 14: Mengembangkan Kekuatan Habluminannas
Hakikat sebagai seorang manusia yang mengakui dirinya sebagai seorang Muslim memang tidak dapat dipisahkan dengan bersolat wajib sebanyak lima waktu sehari semalam. Ini ditambah pula dengan solat-solat sunat untuk menambahkan kekuatan iman dan keikhlasan kepada Tuhan yang Maha Pencipta. Solat sebenarnya bukan hanya soal ritual semata-mata, tetapi mengandungi pengajaran, makna dan hikmah dalam pelaksanaannya. Hikmah itulah yang seharusnya mewarnai kehidupan seorang Muslim sepanjang menempuh hidup di dalam dunia ini.
Saya tertarik dengan ulasan penulis dalam Bab 13 yang membincangkan hikmah solat dan pengurusan masa. Tanpa disedari rupanya-rupanya ibadah solat mengajar kita mengenai kepentingan waktu, ketetapan waktu dan lebih berdisiplin terhadap waktu. Antaranya penulis memuatkan kata-kata Maulana Syeikh Abu al-Hasan Ali an-Nadwi yang mengungkapkan
"Solat fardhu yang lima ini, dengan waktu dan rakaatnya, adalah makanan rohani. Ia suntikan kesihatan yang menghilangkan segala penyakit manusia. Ia disyariatkan oleh Sang Pencipta yang bukan hanya menguasai jiwa manusia tetapi lebih daripada itu. Dialah yang mencipta segalanya dengan pengetahuan dan kebijaksanaan yang tidak terbatas. Maka kita perlu beriman dan tunduk kepada hikmah yang disyariatkanNya. Kita harus mengerjakan solat tepat pada waktunya, dengan didorong ketaatan dan ketundukan pada perintah Allah. Tiada yang tahu mengenai rahsia waktu-waktu itu kecuali Allah dan RasulNya. Demikian juga mengenai cahaya, keberkatan dan rahmat Allah yang turun pada waktu-waktu itu."
Percayalah dengan membaca buku ini pasti saudara akan dapat merasai dan mengalami perubahan luar biasa dan mendapat inspirasi daripadanya. InsyaAllah...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment