Tuesday, May 4, 2010

Buku yang harus di baca oleh setiap ketua keluarga..


Alhamdulillah bersyukur kita kepada Allah Subhanahu wata'ala kerana dengan limpah rahmat-Nya mampu dan dapat kita meluangkan masa untuk berada di dalam alam siber ini. Sesungguhnya tiadalah berupaya kita sebagai manusia untuk melakukan sesuatu perkara melainkan hanya dengan rahmat dan pertolongan dari Allah Subhanahu wata'ala jua.

Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita, Nabi Muhammad Shallallahu alaihi wasalam penghulu segala anbiya serta menjadi utusan terakhir yang membawa sinaran yang terang benderang untuk dinikmati oleh sekalian manusia.

Alhamdulillah kesempatan masa yang ada pada bulan April yang lepas sempat saya gunakan untuk menghabiskan membaca sebuah buku karangan Professor Dr Sidek Baba. Buku yang saya maksudkan itu ialah buku "Keluarga Sakinah"



Seperti mana yang saya nukilkan dalam entri saya sebelum ini, saya amat meminati tulisan-tulisan Professor Dr Sidek Baba sejak membaca beberapa tulisan beliau di dalam salah sebuah akhbar arus perdana. Cikgu Sidek (panggilan mesra beliau), setakat ini telah menghasilkan 14 buah buku. Alhamdulillah setakat ini saya telah membaca 4 buah buku tulisan beliau. Cumanya pada entri kali ini saya akan berkongsi sedikit sinopsis tentang apa yang saya baca dalam buku "Keluarga Sakinah"

Melihat pada tajuk buku ini pada mulanya di Pustaka Syafi Kuala Kangsar pada anggapan saya ianya hanyalah sebuah novel biasa. Namun detikan dan ilham dianugerahkan oleh Allah Subhanahu wata'ala untuk membeli dan membacanya. Rupanya-rupanya buku ini amat berkaitan sekali dengan konsep "Rumahku Syurgaku' yang menjadi tuntutan dalam agama Islam yang saya anuti.

Perkataan sakinah adalah perkataan Arab yang membawa maksud tenang. Keluarga yang tidak tenang, tidak bahagia jauh sekali mampu bersifat syurga. Justeru itu, perlulah kita kembali menghayati al-Quran dan Hadis Rasulullah tentang penduan menghasilkan keluarga yang tenang dan sejuk mata memandang. Hanya dengan panduan kedua-dua sumber itulah yang mampu membina sebuah keluarga sakinah.

Terdapat 40 bab dalam buku ini yang membicarakan pelbagai topik bermula dari hikmah manusia dijadikan berpasang-pasangan. Penulis mengemukakan pandangan Islam dan Barat tentang kejadian manusia dalam berpasang-pasangan. Dalam bab-bab yang seterusnya penulis menghuraikan kepentingan berkeluarga, persiapan menjadi ibu dan ayah, membina keluarga dan rumahtangga, memelihara anak-anak sebagai zuriat untuk masa depan, membentuk watak anak, komunikasi dalam keluarga dan bab-bab yang terakhir membicarakan persiapan meninggalkan anak-anak yang soleh dan solehah.

Pada saya, kesemua topik yang diutarakan oleh penulis adalah lengkap kerana penulis berhujah membebaskan pemikiran dangkal dan sempit oleh pasangan sejenis (gay dan lesbian) iaitu persamaan dan hak atau gender. Pasangan-pasangan ini mendakwa mereka juga berhak hidup bersama malah harus diiktiraf sah kerana diikat atas nama tali perkahwinan. Tetapi mereka sebenarnya lupa apabila disebut soal pembentukan keluarga dan melahikan zuriat, mereka benar-benar memporak perandakan institusi masyarakat dengan budaya hidup yang amat memalukan

Penegasan penulis dalam bab-bab pembentukan keluarga sakinah, institusi kekeluargaan bermula dengan ibu bapa yang merupakan sekolah pertama bagi zuriat yang dilahirkan. Anak-anak adalah kain putih, ibu bapalah yang mencorakkan kain putih itu. Seharusnya ibu bapa berusaha sedaya upaya menjadi contoh tauladan dan ikutan yang baik kepada anak-anak.

Antara tanggungjawab atau amanah penting ibu bapa yang disebut penulis kepada anak-anak mereka ialah mengajar anak-anak cara bersyukur kepada atas segala nikmat dan terutama sekali nikmat dilahirkan dalam Islam dan menjadi Muslim. Tujuan ajaran ini adalah agar anak-anak tidak kufur dan merasakan bahawa nikmat Islamlah nikmat yang paling agung sekali dalam semua-semua nikmat Allah yang tidak terhitung banyaknya.

Saya amat tertarik dengan bab penutup buku ini iaitu bab 40 : "Meninggalkan anak-anak yang soleh". Sebenarnya sedar atau tidak masa kita berpindah ke alam yang keempat semakin hampir. Nabi Muhammad berpesan kepada kita, iaitu ada tiga perkara yang pahalanya tidak akan putus walaupun setelah kita meninggalkan alam dunia iaitu 1. Ilmu yang bermanfaat, 2. Sedekah jariah dan 3. Anak-anak yang soleh. Pandangan penulis dalam bab ini membuktikan penulis seorang yang berpengalaman dalam dunia pendidikan berdasarkan pengalaman-pengalaman beliau selama ini. Untuk menghasilkan anak yang soleh bukanlah suatu tugas yang mudah tetapi ianya boleh diusahakan kerana panduan dan petunjuk telah diberikan oleh Nabi Muhammad Shallallahu alaihi wasalam. Kata penulis "Pembentukan anak soleh boleh berlaku menerusi kaedah didikan atau tarbiah yang berterusan. Anak yang soleh mempunyai jalur berfikir yang lebih jelas dan benar serta dalam masa yang sama mampu menyelesaikan masalah berbangkit walaupun sesukar mana. Anak soleh seperti ini akan menaburkan jasa yang baik kepada umat, dirinya dijadikan contoh dan teladan dan sebutan, wataknya merendah diri dengan jiwa tawadduk yang disegani serta doanya adalah doa yang baik dan bakal diterima Allah"

Buku ini mesti dibaca bagi setiap ketua keluarga dan pasangan yang ingin mendirikan rumahtangga. Ini kerana pembentukkan mujahid dan mujahidah bermula daripada tarbiyah dan contoh teladan dari seorang bapa.

Sekadar berkongsi maklumat...Wassalam.

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--