Alhamdulillah, segala puji yang tertentu itu hanya untuk Allah Subhanahu wata'ala Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar semua muslimin dan muslimat di seluruh dunia, Nabi Muhammad pembawa rahmat ke alam ini. Risalah yang di bawa oleh Nabi Muhammad nyata sekali melahirkan manusia yang merdeka dalam setiap bidang yang diceburinya. Itulah matlamat fitrah kejadian manusia iaitu berusaha mencari kebenaran yang seboleh-bolehnya untuk memerdekakan diri daripada segala bentuk penjajahan minda dan fizikal.
Hari ini 31 Ogos 2010, seluruh rakyat Malaysia akan bersama-sama menyambut hari kemerdekaan. Kesedaran menyambut hari kemerdekaan mahu atau tidak akan dirasai kerana kerajaan Malaysia memperuntukkan cuti umum pada hari ini. Malah perayaan kemerdekaan ini telah dimulakan oleh kerajaan Malaysia sebermula dari 15 Julai lagi dan akan diteruskan sehingga 15 September. Terima kasih kerana usaha yang dijalankan oleh kerajaan Malaysia untuk menaikkan kesedaran kepada generasi muda tentang betapa pentingnya kemerdekaan kepada kita.
Namun jika kita selami dan teliti dengan lebih mendalam, kita akan menyedari bahawasanya kita masih lagi di belenggu dengan pemikiran penjajah (isu ini kerapkali dibincangkan tanpa sebarang penyelesaian yang konkrit). Stesen-stesen televisyen pun tidak melepaskan peluang menyemarakkan semangat patriotik rakyat Malaysia untuk menyambut kedatangan bulan kemerdekaan termasuklah tayangan filem-filem kesukaan ramai termasuk filem 'box-office' untuk santapan mata penonton. Alhamdulillah sambutan kemerdekaan pada tahun jatuh dalam bulan Ramadhan, jadi kuranglah program-program hiburan yang begitu mengasyikkan. Begitulah hakikatnya di Malaysia, kerana kita telah di asuh dengan sambutan pesta yang mengasyikkan sejak di bangku sekolah lagi. Seharusnya sebagai sebuah negara Islam kita hars menilai semula program penghayatan bulan kemerdekaan bersesuaian dengan majoriti rakyat kita yang beragama Islam. Sambutan kemerdekaan seharusnya tidaklah dimomokkan dengan mengadakan 'Independent Day party', konsert rock, dangdut, pesta bunga api dan sebagainya. Sambutan kemerdekaan ini mestilah bertetapan dengan kehendak Islam serta bebas daripada unsur-unsur jahiliyah dan pengaruh budaya Barat yang tidak bersesuaian dengan kehendak agama.
Amalan yang biasa kita harus lakukan semasa menyambut hari kemerdekaan ialah dengan sambutan bacaan doa, solat kesyukuran dan aktiviti memuliakan Allah Subhanahu wata'ala seperti berzikir dan sebagainya. Dengan adanya aktiviti sebegini, InsyaAllah kita akan bebas merdeka daripada belenggu pemikiran penjajah yang semakin menebal di kalangan kita di kala ini.
Sambutan kemerdekaan ini hendaklah diikuti dengan usaha melakukan perubahan pada diri dan masyarakat agar penyelewengan akidah dan keruntuhan akhlak dapat diperbetulkan dan Islam akan menjadi dan kembali diletakkan sebagai agama yang mulia dan tinggi serta didaulatkan dan diletakkan di tempat yang sewajarnya.
Sehubungan itu, marilah kita bersama-sama meyambut hari kemerdekaan ini dengan lbih meriah melalui aktivi kerohanian agar ianya lebih bermakna serta kecemerlangan dan kegemilangan Islam dapat dihayati dan dikembalikan kepada kita generasi pada zaman ini. InsyaAllah.....
Wasalam......
Baca selengkapnya...
13 years ago