Segala puji dan syukur kepada Allah Subhanahu wata'ala, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Shallalahu 'alaihi wasalam penghulu segala rasul.
Semua sedia maklum hari ini merupakan hari tasyrik (11, 12, 13 Zulhijjah), hari-hari yang disunatkan kita menghidupkan malamnya dengan banyak beribadat serta banyak bertakbir lepas solat fardhu pada hari-hari tersebut.
Semalam para jemaah haji berjumlah kira-kira 3 juta orang di Makkah melakukan ibadah tawaf iaitu perbuatan mengelilingi Kaabah dengan bahu kiri yang mengadap Kaabah.Perbuatan ini adalah mengikut kaedah yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan kemudiannya dilaksanakan oleh Rasulullah Shallalahu 'alaihi wasalam.
Apa yang kita tidak sedari ialah di Tanah Suci Mekah sudah semacam ada suatu magnet yang menjadi tumpuan manusia sejak lebih 2000 tahun dahulu. Dan menerusi penemuan dan kajian pakar geologi membuktikan kota suci Makkah merupakan pusat muka bumi sedari kira-kira 4.5 billion tahun terbentuknya bumi ini. Beberapa pergerakan plat di sekeliling tanah Arab yang teratur sejak berkurun lamanya menuju ke satu arah seolah-olah berpusatkan suatu tempat, iaitu tanah Arab.
Berdasarkan penemuan penyelidikan tersebut, Syeikh Yusuf al-Qardawi bersama-sama saintis Muslim dan ulama mengadakan persidangan "Mecca: The Center of The Earth, Theory and Practice" pada April 2008 yang menghasilkan resolusi supaya "Mecca Time" diwujudkan bagi menggantikan Greenwich Meridian (GMT). Persidangan itu bertujuan untuk mempromosikan "keajaiban al-Quran" yang selama ini dikaburi oleh hujah saintifik bedasarkan logik akal Barat.
Salah satu fakta saintifik yang ditonjolkan berdasarkan ayat al-Quran ialah kesahihan muka bumi Makkah adalah pusat ataupun titik tengah muka bumi. Malah seorang ahli geologi menjelaskan Makkah berada tepat di jajaran utara magnet, tidak seperti logitud di tempat lain. Fakta ini menguatkan lagi sebab utama seluruh umat Islam sejak dahulu sehingga kini tidak putus mengunjungi Makkah, malah kota ini tidak pernah sepi daripada dikunjungi umat Islam daripada pelbagai lapisan masyarakat dan bangsa pada sepanjang tahun.
Kaabah yang menjadi arah kiblat bagi solat bagi semua umat Islam di seluruh dunia pula tidak pernah sekalipun sepi daripada tawaf manusia sejak dibina Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail. Sekiranya diselidik dari segi saintifik, para saintis Barat telah menemui satu-satunya tempat yang menghasilkan banyak tenaga, iaitu Kaabah di Makkah. Realitinya, bumi ini beredar di paksinya sendiri. Atas kuasa Allah, Tuhan yang mengatur perjalanan segala apa yang dicipta-Nya, bumi ini berpusing menentang arah putaran jam, iaitu dari kiri ke kanan. Peredaran bumi ini diukur melalui putaran mengelilingi sistem solar, iaitu matahari. Saintis mengenalpasti sekiranya tidak ada "kuasa" putaran yang berlaku di Kaabah yang menstabilkan tenaga, mereka meramalkan dunia ini akan "berakhir" atau berlakunya kiamat.
Perbuatan tawaf didapati mampu melakukan sedemikian berdasarkan bentuk pergerakan keliling manusia yang dilakukan pada arah lawan jam, iaitu kiri ke kanan sebagaimana putaran bumi. tawaf dipercayai berperanan menyambut tenaga putaran bumi mengelilingi matahari, menstabilkan dan menyebarkan ratakan tenaga tersebut ke seluruh bumi. Tenaga tersebut hampir sama dengan cas-cas yang terhasil semasa umat Islam menunaikan solat berjemaah. Cas tersebut banyak membantu manusia meneutralkan cas positif yang berlebihan di dalam badan.
Hasil daripada cas tersebut dan mengalir di dalam badan manusia, secara tidak lansung ia membantu menyihatkan badan manusia. Begitulah yang selalu kita dengar daripada mulut mereka yang baru pulang daripada menunaikan ibadah haji, mereka sihat sejahtera sesudah berada di Tanah Haram Makkah. Sudah tentu keadaan sedemikian berlaku kerana peredaran (tawaf) manusia di Kaabah berupaya mengubah struktur partikel cairan di dalam tubuh seseorang menjadi kristal sebagaimana yang dinyatakan oleh Masaru Emoto, penulis buku The True Power of Water. Menurut beliau, tubuh badan manusia mengandungi 70 peratus air. Sekiranta kita berniat atau berkata baik pada air, partikel atau struktur air itu akan berubah menjadi kristal yang indah. Secara automatik, keadaan ini melancarkan saluran darah walaupun sebelumnya sentiasa tersumbat akibat pelbagai jenis penyakit.
Dalam teori Lorentz berkenaan graviti, sekiranya ada sebatang konduktor yang dikelilingi elektrik pada arah yang berlawanan dengan pergerakan jarum jam, maka akan terhasil medan gelombang elektromagnet di konduktor itu yang mengarah ke atas. Dalam bidang fizik, cara ini dikenali sebagai kaedah tangan kanan. Kajian ini bertepatan dengan perbuatan tawaf yang berlawanan dengan arah jarum jam dan Kaabah berada di sebelah kiri manusia. Gelombang elektromagnet ini boleh terhasil sekiranya manusia melakukan apa-apa sahaja pergerakan, begitu jugalah semasa bertawaf.
Manusia berupaya menjana gelombang kerana tubuh badan manusia tergolong dalam kumpula bioelektron yang setiap susunan atomnya berputar di dalam orbitnya. Gelombang tersebut akan memancar atau menyebar sama ada manusia sedang berbicara ataupun menggerakkan anggota tubuh. Sekiranya manusia berbicara, gelombang suara akan terhasil daripada getaran peti suara. Gelombang suara tersebut akan menjana tenaga atau cas positif sekiranya bunyi yang terpacul adalah perkataan yang baik seperti doa dan zikir. Sangat bertepatanlah penyelidikan ini dengan amalan sunat yang perlu dilakukan semasa manusia sedang melakukan tawaf, iaitu berzikir dan berdoa.
Tenaga positif ini juga terhasil daripada amalan ibadat solat berkiblatkan ke Kaabah yang didirikan oleh semua umat Islam diseluruh dunia. Tenaga tersebut sudah tentu berpusat kepada Kaabah dan menghasilkan tenaga positif di sekitar bangunan Kaabah. Dari segi kesihatan, tenaga ini sangat bermanfaat untuk memperbaiki struktur tubuh badan supaya manusia terhindar dari pelbagai penyakit tubuh, kesihatan emosi dan akal fikiran. Malah tenaga ini boleh menaglir ke badan manusia melalui sentuhan dan pelukan. Begitulah keadaannya yang selalu kita lihat apabila menyambut pulang saudara-mara yang baru tiba dari Makkah, iaitu memeluk mereka.
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Azraqy, ibnu Abbas mengatakan Rasululllah yang mulia bersabda,"Sesungguhnya pada setiap hari Allah menurunkan 120 rahmat, 60 untuk orang yang bertawaf, 40 untuk orang yang solat dan 20 lagi untuk orang yang memandang Kaabah."
Ternyata jumlah rahmat yang paling banyak diperoleh adalah kepada orang yang bertawaf. Hal ini demikian kerana ketika mereka bertawaf, mereka juga mendirikan solat, malah mereka juga memandang Kaabah. Begitulah betapa besar pahala orang yang bertawaf yang sudah tentu memperoleh 1001 hikmah yang diluar pemikiran manusia.
Pernah saya bertanya kepada seorang kawan yang telah menunaikan ibadah haji tentang mengapa di Tanah Suci kita mampu melakukan begitu banyak ibadat sunat sedangkan apabila pulang agak sukar untuk melakukan ibadah sunat. Rakan saya menjawab apabila tiba di sana hati dan perasaan hanya tertumpu untuk beribadat tanpa memikirkan hal-hal lain. Memang tepatlah dan hebatlah ibadah haji ini, yang mana selain menjanjikan pelbagai faedah dari segi sains kepada kesihatan manusia, ia juga membuatkan hati manusia menjadi fokus dan khusyuk. Beribadah dengan hati yang khusyuk merupakan harapan dan impian setiap insan yang melaksanakan ibadah. Dengan harapan ibadah mereka tidak sia-sia, tetapi diterima Allah dan mendapat haji yang mabrur. Cuma yang mencabar manusia adalah keupayaan untuk meraih kekhusyukan.
Melalui pendekatan analisis gelombang otak yang dikenal sebagai Brainwave Management, gelombang otak manusia dapat diatur sesuai dengan aktivitinya. Bagi tujuan tersebut, alat Electro Ensefalo Gram (EEG) digunakan untuk merakam gelombang otak. Setiap manusia memancarkan gelombang yang boleh diukur, iaitu gelombang beta dengan frekuensi 14-100 Hertz (Hz), gelombang alfa, 8-13.9 Hz, gelombang theta, 4-7.9 Hz, dan gelombang delta, 0.1-3.9 Hz.
Sekiranya otak dalam frekuensi 8-13.9 Hz, otak akan menghasilkan hormon endorfin dan serotonin yang menjadikan manusia khusyuk dan tenang. Namun sekirang gelombang otak manusia berada di atas 14 Hz, hormon kortisol akan terhasil sehingga menyebabkan perasaan stres, cemas dan risau. Pada keadaa inilah yang menyukarkan untuk memperolehi khusyuk dalam ibadah.
Justeru, seseorang itu perlu berusaha untuk menurunkan frekuensi gelombang otak dengan beberapa cara. Antaranya dengan meregangkan otot tubuh, tangan dan kaki, aromaterapi, memandang sesuatu yang indah dan menggunakan teknologi alphamatic brainwave.
Namun cara yang terbaik adalah dengan mengawal sumber gelombang otak, iaitu hati. Gelombang hati inilah yang perlu disesuaikan dengan amalan talbiah sepanjang dalam ibadah haji. Hati manusia perlu menghayati isi kandungan talbiah yang meliputi konsep tauhid, syukur, sabar dan tawakkal.
Kajian-kajian saintifik yang dijalankan ke atas ibadah haji bukan bertujuan meletakkan sains lebih tinggi daripada al-Quran dan sunnah, tetapi sebagau alat untuk berdakwah serta mengukuhkan amalan ibadah agama yang kita sayangi dan anuti iaitu Islam.
Benarlah firman Allah dalam surah Fussilat ayat 53 yang bermaksud :"Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan dari diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa al-Quran adalah benar; Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan meyaksikan tiap-tiap sesuatu?"
Rujukan:
1. Dewan Kosmik, November 2009, "Rahsia Sains Haji" oleh Anuar Manshor, ms 6,7 dan 8 dengan sedikit olahan
2. Tafsir Pimpinan Ar-Rahman kepada pengertian al-Quran.
3. Amalan sepanjang hayat, Muafakat Enterprise Sdn Bhd, Cetakan Aril 1993.
13 years ago
1 comments:
Subhanallah...memang benar.
Post a Comment