Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Shallalahu 'alaihi wassalam pembawa cahaya yang menerangi seluruh alam. Cahaya yang di bawa baginda tidak akan terpadam walaupun pelbagai usaha dijalankan oleh sekalian musuh untuk memadamkan cahaya yang terang benderang ini.
Cahaya yang di bawa oleh junjungan besar kita berteraskan pengetahuan ilmu yang akan membenarkan keagungan Tuhan yang Esa serta membuatkan kita merasakan betapa kecil kita sebagai manusia dimuka bumi ciptaan Allah ini.
Salah satu keajaiban ciptaan tuhan yang harus diperhatikan oleh kita sebagai manusia yang lemah ialah keistimewaan yang ada pada burung. Salah satu keajaiban burung ialah burung mampu terbang ribuan kilometer serta berupaya mengekalkan tenaga dan keupayaan dirinya sepanjang perjalanan. Jika kita bandingkan dengan manusia ketika melakukan perjalanan yang jauh sudah tentu mempersiapkan diri dengan segala kelengkapan seperti peta, bekalan makanan, pakaian dan pelbagai kelengkapan yang difikirkan perlu. Tetapi burung tidak memerlukan semua itu untuk membantunya merentasi pelbagai benua. Malah burung tidak pulaperlu mantap dari segi mental dan fizikal bagi migrasi ke negara lain. Tetapi sesungguhnya burung dianugerahkan Allah Subhanahu wata'ala dengan keupayaan yang amat istimewa sehinggakan ramai para saintis menemui kegagalan apabila mengkajinya.
Sebagai contoh apabila membincangkan mengapa burung bermigrasi.

Sehingga kini para saintis masih lagi belum menemukan jawapan yang tepat. Jawapan yang biasa diberikan oleh para pengkaji ialah faktor perubahan cuaca atau musim. Sedangkan sebenarnya faktor sekeliling tidak memberikan apa-apa kesan bagi penghijrahan burung. Ini kerana penghijrahan memerlukan skil yang tinggi, bekalan makanan yang mencukupi dan keupayaan untuk terbang dalam masa yang lama. Oleh itu hujah bagi menyatakan cuaca atau iklim menjadi faktor penghijrahan burung adalah andaian manusia semata-mata.
Satu eksperimen telah dijalankan ke atas burung bulbul

Para pendukung teori evolusi cepat-cepat mengeluarkan kenyataan bahawa setiap hidupan mempunyai "jangka masa badan" yang merasakan perubahan cuaca dan suasana sekeliling. Mereka mendakwa burung mempunyai "jangka masa badan" ini mendorong burung memutuskan untuk berhijrah apabila jam itu "berdering". Dakwaan ini disangkal kerana tidak dapat dipastikan bentuk "jam" itu dan kedudukannya di dalam badan. Dakwaan ini menjadi lucu apabila kita menyoalkan bagaimana jika jam itu rosak?. Sudah tentu burung tidak akan bermigrasi.
Antara sekian banyak spesis burung yang terdapat dimuka bumi ini. Burung camar mempunyai keistimewaan untuk mampu terbang sejauh 30,000 hingga 40,000 kilometer.

Lain pula dengan teknik penerbangan spesis burung botak.


Satu lagi fakta yang menarik yang harus kita renungkan bersama ialah burung tidak pernah dipanah petir. Ini disebabkan burung tidak terbang dikawasan yang berisiko mengalami ribut petir. Pakar ornitologi (bidang kajian tentang burung dan sifat burung) mendapati burung mempunyai deria pendengaran yang sangat sensitif. Burung dapat mendengar sebarang bunyi walaupun dalam frekuensi yang amat rendah. Sekiranya burung ada mendengar bunyi guruh di kawasan sebalik gunung walaupun dalam jarak 100 kilometer, burung itu tidak akan mendekati kawasan itu.
Pernah kita mendengar burung merpati sesat selepas menghantar surat?Belum pernah dan ada saintis yang mengatakan burung merpati sesat tidak tahu jalan kembali ke rumah tuannya selepas menghantar surat. Walaupun telah terbang sejauh 1500 kilometer tanpa menggunakan sebarang bantuan seperti GPS dan peta ia mampu pulang dan kembali ke sarang pada waktu siang atau malam. Burung merpati seolah-olah mempunyai kompas atau reseptor magnetik yang memandunya pulang. Sehingga kini, pakar-pakar ornitologi masih gagal menghuraikan keistimewaan burung merpati ini dan menjadikan "kompas" di dalam tubuh burung merpati kekal sebagai satu misteri.
Semua fakta-fakta saintifik yang saya bawakan di atas membuatkan seseorang itu tidak perlu berfikir lama untuk menyakini bahawa semua sifat-sifat istimewa yang ada pada burung tidak mungkin muncul secara kebetulan. Ini adalah ciptaan Tuhan Pencipta Yang Maha Agung dan Maha Sempurna. Allahlah yang mengetahui segala-galanya, yang mencipta burung-burung dilangit dan menganugerahkan mereka dengan sifat yang mereka perlukan untuk terus hidup. Dan keistimewaan yang ada pada burung ini menjadi sebagai salah satu dalil dan bukti kekuasaan dan keagungan Allah subhanahu wata'ala bagi orang-orang yang sentiasa memerhatikan dan mahu mengambil tahu, sebagaimana firman Allah dalam
1. Surah An-Nahl ayat 79 yang bermaksud
"Tidakkah mereka memperhatikan burung-burung yang dipermudahkan terbang melayang-melayang di angkasa?Tiada yang menahan mereka (dari jatuh) melainkan Allah; sesungguhnya pada yang demikian itu, tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang beriman."
2. Surah An-Nur ayat 41 yang bermaksud
"Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah (Yang Maha Esa dan Maha Kuasa) sentiasa bertasbih kepadanya sekalian makhluk yang ada dilangit dan dibumi serta burung-burung yang terbang berbaris dilangit?Masing-masing sedia mengetahui (menurut keadaan semulajadinya) cara mengerjakan ibadat kepada Allah dan memujinya;dan Allah amat mengetahui akan apa yang mereka lakukan."
3. Surah Al-Mulk ayat 19 yang bermaksud
"Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan (kekuasaan Allah pada) burung-burung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembangkan sayapnya dan menutupnya?tidak ada yang menahan (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah yang amat pemurah. Sesungguhnya Ia amat melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."
Rujukan
1. Tafsir Pimpinan Ar-Rahman kepada Pengertian al-Quran, cetakan ke-6, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
2. Keistimewaan Ciptaan Burung, Muhammad Abhar Rosnan, Majalah Kosmik April 2008, ms15 dan 16, dengan sedikit olahan
3. Haiwan-Haiwan yang menakjubkan, Harun Yahya, Saba Islamic Media, April 2010
4. Cerita untuk Kanak-kanak pintar 1, Harun Yahya, Perniagaan Jahabersa, cetakan pertama 2008
5. Cerita untuk Kanak-kanak pintar 2, Harun Yahya, Perniagaan Jahabersa, cetakan pertama 2008
0 comments:
Post a Comment