Minggu lepas saya berada di kampung kelahiran di Kedah. Sepanjang minggu disibukkan dengan aktiviti ziarah serta meraikan ayah dan ibu serta kakak dan adik-adik. Kesempatan berada di kampung halaman membuatkan saya bertemu dengan ramai rakan teman seperjuangan semasa zaman sekolah rendah dan menengah. Ramai di kalangan rakan-rakan telahpun menjadi orang-orang yang berjaya dalam komuniti setempat. Sebagai contoh, Awang (nama gelaran) sekarang menjadi seorang usahawan yang berjaya di dalam kampung di samping menjadi ahli politik yang terkenal di kampung dengan memegang jawatan ketua pemuda UMNO. Sesungguhnya rezeki dan kurniaan Allah subhanahu wata'ala sangatlah luas kerana itu jika kita berusaha, InsyaAllah kita akan dapat menuai akan hasilnya.
Sepanjang minggu itu juga, ketika membelek-belek surat khabar isu yang paling hangat ialah isu pemilihan jawatan dalam kepimpinan PAS. Isu ini begitu mendominasi dan pada saya amat tertarik dengan ulasan yang mengaitkan puak Erdogan yang mana dikatakan puak itu wujud di dalam PAS dan kemenangan mereka akan menguntungkan Anwar Ibrahim dan DAP. Menangkis dakwaan itu, Presiden PAS Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang mengatakan "tiada wujud puak dalam PAS, ini Malaysia bukan Turki, di Turki tiada parti Islam kerana ia adalah tidak dibenarkan.". Maka ketika melihat jawapan Tuan Guru, saya teringat akan buku yang pernah saya baca iaitu buku "Secangkir Teh Pengubat Letih (STPL)" yang dikarang oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, penulis yang berjaya dengan buku "Aku Terima Nikahnya" dengan jualan hampir 45,000 dalam tempoh dua tahun.
Buku ini saya baca dalam bulan November tahun 2010. Seperti mana yang saya catatkan dalam entri saya ketika mengulas buku itu, ianya merupakan catatan kembara Ustaz Hasrizal di negara dua benua iaitu Negara Turki. Dan berbetulan pula ada terdapat ulasan tentang buku ini di dalam akhbar berita harian pada 03 Jun yang lepas yang ditulis oleh saudari Norhidayah Che Din.
Saya bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden PAS, Malaysia bukanlah negara seperti Turki dan pemimpin di Malaysia mempunyai identiti yang sendiri hasil didikan dan tarbiah oleh sistem pendidikan agama dan konvensional di negara yang subur ini. Malah di Turki perkataan Islam adalah dilarang sama sekali diletakkan di dalam mana-mana petubuhan sama ada politik atau NGO (rujuk mukasurat 67 dalam STPL). Jadi tiada wujud parti Islam di Turki. Keadaaan fahaman sekular di Turki juga amat membebalkan sebagaimana sebuah kisah yang dibawa oleh Ustaz Hasrizal tentang komen oleh pemain bolasepak Turki yang terkenal Hakan Sukur ketika pusingan kelayakan EURO 2008 dengan katanya "Kita berada dalam minggu kelahiran Nabi Muhammad Shallalahu 'alaihi wasalam dan kita patut menghargainya. Bahkan kita sepatutnya membesarkan anak-anak kita dengan nilai toleransi Nabi kita. Para penyokong (Fenerbahce dan Galatasaray) sepatutnya datang ke stadium bukan dengan pisau tetapi dengan bunya ros.". Komen ini menyebabkan media massa Turki menghentam Hakan Sukur dengan cubaan mencampur adukkan antara agama dan bolesepak. (rujuk ms 238 dalam STPL)
Inilah perbezaan yang ketara antara Malaysia dan Turki. Dalam buku STPL juga banyak cerita-cerita yang merik termasuklah kisah bagaimana orang-orang Turki begitu menghargai nikmat Islam dan iman yang diberikan oleh Allah dengan menjaganya dengan begitu payah dan susah kerana dasar kerajaan yang tidak menyokong pembangunan sistem pengajian Islam. Sebagai contoh bilangan rakyat yang menghafal al-Quran yang semakin bertambah dari hari kesehari.
Akhir sekali buku karangan Ustaz Hasrizal ini boleh merungkaikan kekusustan yang ditimbulkan oleh pihak media tentang Erdogan ini, malah saya sendiri mula mengenali siapakah dia Necmatin Erbakan dan Tayyib Erdogan melalai buku ini. Terima kasih Ustaz Hasrizal atas buku yang membuatkan saya begitu teringin sekali untuk mengunjungi Turki. Saya sentiasa berdoa kepada Allah subhanahu wata'ala agar saya mampu menjejaki di bumi Khilafah Uthmaniah sebelum saya memejamkan mata buat selama-lamanya. InsyaAllah.
Baca selengkapnya...
13 years ago