13 years ago
Thursday, October 11, 2012
Terasa hati...
Salam pertemuan setelah lama tidak memuatkan sebarang cerita baru...kalau tak salah hampir 6 bulan saya tidak bercerita. Saya memilih tajuk di atas pada entri ini kerana saya sesuatu telah berlaku berkaitan dengan sukan kegemaran saya, sukan Petanque.Entah di mana kesilapan saya, pada kejohanan Petanque SMTV/KV tahun ini, saya tidak diberi peluang oleh pihak pengurusan asrama sekolah untuk menyumbangkan kepakaran saya. Sedangkan saya telah menempa kejayaan di tahun 2011 dengan membawa dua pasukan menjadi johan negeri, serta membawa pasukan lelaki menjadi Naib Johan pada peringkat kebangsaan. Kadang-kadang keadaan sebegini membuatkan kita keliru dan di himpit perasaan kecil hati. Itulah hakikatnya dalam kehidupan, umpama roda, kadang di atas dan kadang di bawah. Takdir tahun 2012 sudah menyatakan saya perlu berehat pada tahun ini. InsyaAllah tahun 2013 saya akan kembali untuk membawa pasukan yang lebih mencabar.
Perasaan ini sedikit terubat pada petang tadi ketika saya turun bermain bersama dengan pemain-pemain petanque di Kuala Kangsar. Mendengar kisah cabaran dan dugaan pasukan Petanque Malaysia yang baru sahaja menamatkan cabaran di Marseille dalam kejohanan Petanque dunia membuatkan saya lebih bersemangat untuk meneruskan perjuangan memperkenalkan sukan ini kepada murid-murid tercinta. Dalam kejohanan dunia yang berlansung dari 04/10 - 7/10 yang lepas, pasukan Malaysia berjaya layak ke peringkat suku akhir sebelum tewas kepada pasukan Itali. Satu pencapaian yang amat membanggakan bagi para peminat dan pendokong pasukan petanque di Malaysia. Manakala dalam acara 'shooting' pemain Malaysia Nuzul Azwan Ahmad Termizi (orang Kuala Kangsar), berjaya layak ke peringkat separuh akhir sebelum tewas kepada pemain Perancis, Leboursicaud Bruno. Untuk acara ini dimenangi oleh pemain Kemboja, Sieng Vanna.
Maklumat kisah cabaran dan dugaan pasukan Malaysia diceritakan sendiri oleh bonda Nuzul Azwan sendiri. Bermula dari masalah kewangan pasukan Malaysia hinggalah masalah-masalah yang timbul ketika pasukan Malaysia berada di Perancis. Kisah ini membuatkan saya teringat ketika saya membawa pasukan petanque SMVKK ke Karnival sukan dan kebudayaan asrama SMTV/KV Malaysia tahun 2011. Saya lansung tidak mendapat sokongan dari segi pengurusan dan bantuan rakan-rakan malah pada ketika saya telah selesai bertungkus lumus di Pulau Pinang dan tiba di sekolah, ramai rakan-rakan sekerja menyalahkan saya kerana saya membuat kerja orang. Sedangkan pada permulaannya tiada siapapun ambil peduli dengan penyertaan sekolah. Itulah dugaan yang kadang-kadang terpaksa dihadapi jika kita berkecimpung dalam sukan yang tidak pun diketahui oleh masyarakat komuniti sendiri.
Setiap kejayaan ada kisah-kisah yang mungkin kita rasa tidak masuk akal. Kerana apa, kerana pepatah melayu mengatakan "Kejayaan tidak akan datang bergolek" jika bergolek sudah tentu senang untuk menggapai kejayaan.
InsyaAllah saya akan berusaha untuk menghasilkan kejayaan yang lebih gemilang dalam sukan petanque pada tahun 2013. Kepada bekas-bekas pemain petanque SMTV Kuala Kangsar yang melayari blog ini doakanlah kejayaan sekolah anda dalam sukan petanque pada tahun 2013.
Sekian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment