Sunday, December 30, 2012

Catatan ringkas tentang Ustaz Fadzil Noor

0 comments
Salam pertemuan setelah lama tidak bersua. Saya berharap para pengunjung blog saya berada dalam keadaan yang baik dan sentiasa berada di dalam rahmat tuhan yang maha Esa. Sepanjang cuti sekolah yang lalu antara aktiviti yang sempat saya rancangkan ialah bercuti bersama keluarga dan juga menghabiskan beberapa buah buku bergenre sejarah Islam, biografi tokoh yang hebat, politik dan pengetahuan agama Islam. Entri kali ini saya ini membicarakan sebuah buku terbaru daripada penulis politik yang terkenal iaitu Saudara Subky Haji Latif yang berjudul "FADZIL NOOR,dia guru, dia kawan" (FNdgdk)
Membaca buku berkaitan dengan kisah seseorang yang hebat menjadi suatu keasyikan bagi saya. Saya mula mengenali Ustaz Fadzil Noor kira-kira dalam tahun 1995 ketika saya aktif menjadi budak pelekat poster untuk PAS pada pilihanraya tahun tersebut.(Nota saya membesar dan menghabiskan masa selepas zaman persekolahan kawasan parlimen Pendang) . Kemuncak pertemuan dengan susuk tubuh individu yang hebat ini ialah melalui satu ceramah politik yang di adakan di Parlimen Pendang pada musim pilihanraya tahun 1995. Kalau tak silap saya itulah kali pertama Ustaz Fadzil bertanding di kawasan Parlimen Pendang menentang figura Umno yang hebat di situ pada ketika itu iaitu Datuk Othman Abdul. Buku yang saya telah baca ini dan ingin kongsikan sedikit sinopsisnya bersama para pengunjung ialah suatu catatan pengalaman hidup antara Saudara Subky Haji Latif dan Allahyarham Ustaz Fadzil Noor (UFN). Buku ini dihasilkannya sempena memperingati 10 tahun pemergian Ustaz Fadzil Noor. Peminat buku politik tentunya biasa dengan Haji Subky Latif melalui pelbagai buku politik yang dihasilkannya. Penulis menyatakan tentang buku ini " FNdgdk adalah suatu catatan ringkas, satu pandangan peribadi dan satu ingatan semula yang saya tahu mengenainya sebagai kawan dan yang saya boleh anggap sebagai guru" m/s x. Tambah penulis lagi "pengalaman hidup sezaman dengannya sangat berguna untuk dipelajari oleh orang-orang biasa bagaimana manusia biasa yang minat membaca dan cinta kepada ilmu, memanfaatkan apa yang dibaca dan berpegang teguh kepada cita-cita untuk mendaulatkan peraturan Islam." Buku ini juga merupakan buku yang kedua yang saya baca tentang membicarakan Ustaz Fadzil Noor (UFN) setelah buku dari Saudara Riduan Mohd Noor yang diterbitkan pada tahun 2011. Sepertimana yang telah saya kongsikan tentang kata-kata aluan diperenggan yang lalu, penulis mencatatkan pengalaman hidup beliau bersama dengan Ustaz Fadzil dengan membahagikan buku ini kepada 28 tajuk perbincangan. Antara yang menarik perhatian saya ialah Bab 6 : Terjun Padang, bab yang mengisahkan bagaimana UFN boleh mula terlibat dalam dunia politik bersama dengan PAS. Kata penulis segalanya bermula apabila ketika itu UFN masih lagi bertugas di UTM dan UFN di pilih oleh pimpinan PAS untuk bertanding pada pilihanraya tahun 1978. UFN tewas pada pilihanraya tahun itu dan ianya merupakan turning point kepada beliau untuk aktif dalam PAS. Setelah habis pilihanraya pada tahun itu, UFN dkenakan tindakan disiplin oleh pihak UTM di atas penyertaannya dalam pilihanraya. UFN kehilangan pekerjaan dan ianya bukanlah sesuatu yang mudah bagi seorang pensyarah yang berpendapatan lumayan kehilangan sumber pendapatan dalam sekelip mata. Pada saya inilah antara bentuk tekanan yang diberikan oleh pihak kerajaan kepada mereka yang berbeza pendapat dengan pihak kerajaan. Bermulalah berbagai cabaran yang getir yang terpaksa dihadapi oleh UFN kerana pada ketika itu keluarga UFN masih diperingkat pertengahan dengan anak-anak kecil yang masih bersekolah. Para pembaca akan dihidangkan bagaimana UFN mengharungi detik-detik yang sukar ini sehingga UFN muncul sebagai suatu bintang yang bersinar untuk PAS. Ba6 11: Ketua Pembangkang, juga menarik perhatian saya. Ini kerana pada pilihanraya tahun 1999, UFN berjaya memenangi kerusi Parlimen Pendang. Ianya agak signifikan bagi saya kerana pada tahun 1999 ialah tahun pertama saya menjadi pengundi yang berdaftar ketika berumur 22 tahun.Cumanya saya tidak mendafar sebagai pengundi di kawasan Parlimen Pendang kerana saya telahpun berpindah ke Sungai Petani. Kemasukan UFN buat kali pertama ke Dewan Rakyat selepas pilihanraya tahun 1999 bersama dengan kemenangan 27 kerusi parlimen oleh PAS membolehkan PAS mencalonkan seorang ahli perlimennya menjadi ketua pembangkang. UFN dipilih menjadi ketua pembangkang memandangkan beliau pada ketika itu ialah Presiden PAS. Inilah pertembungan pertama dalam Parlimen Malaysia dimana Perdana Menteri yang merupakan Presiden UMNO akan berbahas dengan Ketua Pembangkang dari PAS yang juga merupakan Presiden PAS. Jelas penulis pada mukasurat 124 dan 125, antara polemik yang cuba ditimbulkan ketika itu ialah isu songkok hitam dan kopiah putih. UFN kata penulis lebih gemar bersongkok hitam, antara yang membuatkan UFN berkopiah putih adalah kerana desakan para penyokongnya di Kedah. Ketika UFN masuk untuk mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat, beliau bersongkok hitam, ramai Ahli Parlimen Umno keliru. Timbul isu songkok hitam dan kopiah putih. Hinggakan dalam suatu muktamar PAS, ada perwakilan membangkitkan isu songkok hitam macam UMNO. UFN membidas dengan menyatakan "mengapa orang PAS suka sangat memberikan khazanah dan nilai Melayu pada orang UMNO, sampai songkok pun nak di berikan label orang UMNO, habis tu apa yang tinggal pada orang PAS". Itulah dua bab yang menarik yang sempat saya bincangkan dalam entri ini. Saya rasakan buku ini amat menarik untuk kita mengetahui kisah hidup UFN dari sudut pandang Saudara Haji Subky Abdul Latif. Pembaca akan dihidangkan dengan kisah-kisah yang mungkin tidak kita ketahui selama ini. Perjuangan dan pengorbanan yang dilakukan oleh UFN meninggalkan kesan yang mendalam pada generasi X (generasi lahir antara 1970-1980) di tanah air yang tercinta ini. Terima kasih kepada Saudara Haji Subjy Abdul Latif kerana sebuah buku yang baik dan berkualiti untuk tatapan kami generasi yang hidup sezaman dengan sejarah perjuangan politilk UFN. Semoga Allah menganugerahkan keberkatan kepada penulis di masa-masa mendatang. Sekian

Baca selengkapnya...
 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--