Sengaja saja namakan tajuk post saya kali ini berkaitan dengan kuliah ustaz Shamsuri Hj Ahmad yang baru saja saya hadamkan melalui platform Zon Kuliah di Facebook. Kuliah Ustaz Shamsuri yang dirakamkan oleh pihak Zon Kuliah pada tarikh 18/03/2019 ini ternyata membuatkan saya mengimbau kenangan saya di tahun 2002 ketika saya menuntut di Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang. Pada tahun tersebut, saya begitu aktif mengikuti kuliah ustaz Shamsuri di Masjid Gelugor Pulau Pinang dan Masjid Padang Temusu Sungai Petani. Bayangkan dengan menunggang motosikal EX5 saya bergerak solo mengikuti kuliah Ustaz Shamsuri tanpa mengenal keletihan kerana selalunya akan pulang dr kuliah ustaz kira-kira jam 12 tgh malam kalau saya mengikuti kuliah di Masjid Padang Temusu. Letih dan penat tak terasa lansung pada ketika itu kerana atas sebab seronok untuk berada di dalam kuliah kitab Bahrul Mazi. Saya mula mengenali kuliah ustaz Shamsuri sekitar tahun 1995 ketika sedang belajar di Universiti Sains Malaysia. Ketika itu kuliah ustaz Shamsuri hanya boleh di dapati dalam bentuk kaset. Kaset itu pun dipasang oleh sahabat saya Anas Ibrahim di rumah sewa kami di Tronoh Perak. Maka bermula saat itu lah saya begitu tertarik dengan penyampaian Ustaz Shamsuri. Untuk makluman para pengunjung, kitab pertama yang saya ikuti melalui kaset ialah kitab "Muhimmah fil ilmi Hadis", yang mana hingga ke saat ini kaset-kaset itu masih lagi tersimpan kemas dalam jagaan saya. Saya berterima kasih tidak terhingga kepada Ustaz Shamsuri kerana dengan cara penyampaian beliaulah saya begitu meminati untuk mengasah membaca tulisan kitab jawi. Disamping kitab "Muhimmah fil ilmi hadis", saya telah melakukan pengumpulan kitab-kitab jawi di dalam perpustakaan mini saya dirumah, di mana sahaja toko buku Islam yang saya sampai, saya pasti akan mencari koleksi kitab jawi untuk di simpan di dalam perpustakaan mini saya. Tamat saya belajar di USM tahun 2000, sementara menunggu untuk mendapat tawaran kerja, saya bekerja sambilan di sebuah stesyen minyak di Sungai Petani. Selama 4 bulan saya bekerja, sempat saya kumpulkan wang untuk mendapatkan dua kitab yang digunakan oleh al-fadhil ustaz iaitu kitab Bahrul Mazi dan kitab Tafsir Nurul Ihsan. Teringat ketika saya hendak mendapatkan kitab Bahrul Mazi di Pustaka Amin di Sungai Petani (saya tak pasti sama ada toko buku ini masih lagi ada di Sungai Petani), tuan punya toko buku bertanya kembali kepada saya "betui ka anak nak beli kitab ni, payah nak cari orang muda reti baca kitab jawi ni", saya hanya senyum padanya dan mengeluarkan wang sebanyak RM450. Saya sentiasa akan ingat angka itu kerana ia merupakan wang pertama yang saya kumpul hasil titik peluh saya bekerja sebagai pam atendan di stesyen minyak. Setelah mendapatkan kitab tersebut, semalaman saya membacanya (walaupun agak lambat memabaca tulisan jawi pada ketika itu) dan terus terang saya katakan kitab Bahrul Mazi cocok dengan namanya iaitu Lautan Madu, makin di baca, makin bertambah manis.
Melalui kuliah al fadhil ustaz di dalam kaset juga, saya mendapat motivasi untuk memperbanyakkan koleksi perpustakaan mini saya dengan kitab-kitab tafsir terutamanya kitab tafsir Al Azhar karya agung Dr HAMKA. Alhamdulillah pada tahun 2012, saya dapat memiliki kitab tafsir ini dan ianya kini berada dalam perpustakaan mini saya untuk senang saya membuat rujukan ketika diperlukan.
Akhir kata dalam entri kali ini, saya amat berterima kasih kepada sahabat saya Anas Ibrahim kerana memperkenalkan saya dengan kuliah Ustaz Shamsuri dan juga terima kasih kepada Ustaz Shamsuri kerana banyak memotivasikan saya melalui kuliah-kuliahnya walaupun Ustaz Shamsuri tidak mengenali saya. Saya sentiasa berdoa agar Ustaz di murahkan rezeki dan kekal sihat untuk menjalankan kerja-kerja dakwah....
Baca selengkapnya...
13 years ago