13 years ago
Monday, April 29, 2019
Ulasan Buku : "Hamka: Permata Tafsir Bumi Nusantara"
Ketika mengunjungi Pesta Buku Perak 2019 pada 24 April lepas bertempat di Pasaraya Mydin Meru Ipoh, saya berkesempatan masa dan diberikan rezeki untuk memiliki sebuah yang baru sahaja diterbitkan pada 15 Januari 2019 oleh PTS Publishing House. Buku tulisan Dr Muhammad Yusry Affandy, pensyarah fakulti Al Quran dan Hadis ini memang bertepatan dengan kehendak saya yang amat perlukan maklumat berkaitan dengan Buya Hamka dan karya teragung beliau iaitu Tafsir Al Azhar. Malah saya hanya mengambil masa kira-kira 3 hari untuk menghabiskan membaca buku ini yang setebal 232 mukasurat. Memang moleklah kiranya saya kongsikan ulasan peribadi saya berkaitan dengan buku ini di dalam posting saya pada hari ini. Penulis dalam mukasurat 204 menyatakan "Semoga dengan terhasilnya buku ini, para pembaca dapat mengenali dan menghayati ketokohan Hamka sebagai ahli tafsir yang berpengaruh di rantau Nusantara". Memang benar sekali apa yang dihasratkan oleh penulis itu amat diperlukan oleh peminat tafsir al Quran yang dihasilkan bukan dalam Bahasa Arab. Malah menurut penulis, Buya Hamka merupakan ahli tafsir al Quran tunggal yang berjaya menghasilkan tafsir Al Quran dalam bahasa selain dari bahasa Arab pada zamannya.
Penulis membahagikan buku ini kepada 21 topik perbincangan kecil bermula dari topik latar belakang Hamka hinggalah ke topik sumbangan Terhadap dunia Islam Nusantara. Amat istimewa pula, di dalam buku ini di tambah pula prakata penulis yang amat berharap agar para pembaca dapat mengenali ketokohan Hamka sebagai ahli tafsir terkemuka di Nusantara dan ditambah lagi dengan penggunaan contoh dan isu tempatan yang digunakan oleh Buya Hamka bagi menjelaskan ayat-ayat al-Quran. Tambahan lagi terdapat juga pantun, syair dan sajak alam Melayu yang dimuatkan oleh Buya Hamka di dalam tafsir Al Azhar menimbulkan lagi rasa ghairah pembaca yang amat meminati alam bahasa Melayu.
Malah ucapan Perdana Menteri Malaysia kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein ketika menganugerahkan Hamka dengan Doktor Kehormat Persuratan di UKM, beliau berkata " Hamka bukan milik rakyat Indonesia sahaja, tetapi beliau juga adalah tokoh kebanggaan seluruh bangsa Asia Tenggara"
Ringkasan topik Latar Belakang Hamka
Prof. Dr. Haji Abdul Malik bin Dr. Syekh Haji Abdul Karim Amrullah, atau lebih dikenali dengan nama samaran Hamka, adalah ulama, novelis, ahli falsafah dan aktivis politik Indonesia yang mempunyai pengaruh yang besar di Nusantara ini.
Pada zamannya, beliau adalah satu-satunya ulamak yang menulis tafsir al-Quran bukan di dalam bahasa Arab, tetapi di dalam bahasa Melayu. Beliau mula menulis tafsir ini ketika beliau memberi kuliah di Masjid Al-Azhar Padang dan menyiapkan tulisannya di penjara pada pemerintahan Soekarno.
Hamka dilahirkan pada 17 Februari 1908 di Kampung Molek, Sungai Batang, Tanjung Raya, di Minangkabau, Sumatera Barat, merupakan anak pertama dari tujuh adik beradik. Ayahnya seorang guru agama, Haji Abdul Karim Amrullah. Bapanya antara ulama yang membuat pembaharuan agama di Minangkabau- yang lebih dikenali dengan gelaran Haji Rasul.
Dalam topik Kembara Ilmu, penulis mendedahkan proses perkembangan ilmu pengetahuan Buya Hamka bermula dari rumah bersama dengan ayahnya. Ayah Buya Hamka begitu mengambil berat tentang perkembangan ilmu Buya Hamka sehinggakan walaupun sukar difahami di peringkat awal pengajian. Ketika berusia 4 tahun, Buya Hamka bersama keluarga berhijrah ke Padang Panjang, Suamtera Indonesia. Selain sibuk dalam lapangan ilmu, ketika kanak-kanak Buya Hamka sering meluangkan masa meninjau keadaan kampung setempat bagi bermain-main dan menangkap ikan. Buya Hamka juga mahir bersilat hasil daripada kembara beliau ke kampung-kampung. Melalui kembara ilmu inilah, Buya Hamka menghasilkan beberapa novel yang amal berkualiti seperti Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Di Bawah Lindungan Ka'bah, Merantau ke Deli, Terusi dan Keadilan Ilahi. Sumbangan karya yang mangagumkan membuktikan Buya Hamka adalah seorang sasterawan yang amat berpengaruh kerana novel tulisannya masih di baca sehingga ke zaman ini.
Saya secara peribadi amat menyarankan rakan-rakan pengunjung untuk mendapatkan buku ini di pasaran kerana pembaca boleh mengenali siapakan Buya Hamka dan sumbangannya dalam ilmu Tafsir Al Quran di Nusantara. Dalam Bab 19 ketika membicarakan Sumbangan Buya Hamka terhadap Dunia Islam dan Nusantara, Dr Muhammad Yusry Affandy menyimpulkan enam sumbangan penting Buya Hamka iaitu
(a) Mengembangkan ilmu
(b) Menjana pemikiran dinamik
(c) Merencanakan pembaharuan terhadap amalan masyarakat
(d) Mempelbagaikan wacana dakwah
(e) Mewujudkan persaudaraan Islam tanpa batasan, dan
(f) Memimpi masyarakat dengan risalah Islam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment