expr:dir='data:blog.languageDirection' xmlns='http://www.w3.org/1999/xhtml' xmlns:b='http://www.google.com/2005/gml/b' xmlns:data='http://www.google.com/2005/gml/data' xmlns:expr='http://www.google.com/2005/gml/expr'> DEDAWAI BERISI: Tahun Baru, Umur pun baru...

Tuesday, December 7, 2010

Tahun Baru, Umur pun baru...


Alhamdulillah bersykur saya ke hadrat Allah Subhanahu wata'ala kerana dengan limpah rahmatnya mampu meluangkan masa untuk menulis satu lagi entri di dalam bulan Disember ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita umat Islam seluruh dunia kepada Nabi Muhammad, nabi terakhir penyelamat manusia dikala menusia memerlukan suatu sukatan pembimbing ke arah kebaikan.

Hari ini 7 Disember 2010 tahun Masehi bersamaan dengan 1 Muharram 1432 Hijrah. Apabila melihat kepada angka 1432, maka sedarlah kita Nabi Muhammad Shallalahu 'alaihi wasalam telah lebih 1,400 tahun meninggalkan kita. Tapi ajaran yang dibawanya dan al-Quran yang diturunkan kepadanya kekal menjadi panduan kepada kita. Teringat saya kepada suatu saranan dari baginda yang menyuruh kita berpegang kepada dua perkara iaitu al-Quran dan sunnahnya, di mana ilmu dari kedua perkara ini tidak akan membawa kita kepada kesesatan buat selama kita tinggal didunia ini.

Sesungguhnya jika kita perhatikan dengan lebih teliti dan dengan perasaan yang amat mendalam, kita akan temui bahawa berada di zaman 1,400 setelah kewafatan Nabi Muhammad Shallalahu 'alaihi wasalam merupakan berada di dalam suatu zaman yang amat mencabar. Jika difikirkan terlalu berat rasanya untuk menongkah arus di zaman ini, tetapi apabila kita selalu meneliti akan sirah nabi-nabi dan membaca pelbagai sumber bahan bacaan kita semacam memperoleh satu kekuatan untuk menempuhnya.

Peristiwa hijrah Rasulullah 1,432 tahun yang lalu mencatatkan pelbagai kisah yang menarik untuk kita renungi bersama. Antara banyak-banyak kisah yang terdapat dalam peristiwa hijratul Rasul itu, kisah Suraqah bin Malik paling mencuit hati saya. Pertama kali saya mendengar kisah ini ketika saya berada di Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang yang mana kisah ini disampaikan oleh Ustaz Ramadhan Fitri anak kepada Ustaz Elyas Zakaria dalam tahun 2002. Kisah Suraqah bin Malik ini merupakan salah satu bukti mukjizat yang menunjuk bahawa Nabi Muhammad Shallalahu alaihi wasalam (SAW) adalah seorang nabi utusan Allah pencipta segala sesuatu. Suraqah bin Malik ini adalah seorang yang mahir dalam mengesan jejak, dia juga adalah seorang pemuda pembaling tombak yang hebat ketika berada di atas kuda. Pendek kata, balingan tombaknyanya pasti mengenai sasaran walaupun tengah memacu kuda dengan laju. Apabila kafir Quraisy mengetahui Rasulullah telahpun keluar dari Mekah, mereka menawarkan tawaran hadiah sebanyak 100 ekor unta kepada sesiapa yang dapat membawa Muhammad samaada hidup atau mati. Ketika ada orang datang ke kabilah Suraqah bin Malik memberitau tentang ada ternampak orang melintasi kawasan merekan dan tentang tawaran itu tersebar, Suraqah bin Malik sedang minum bersama dengan kabilahnya. Cepat-cepat Suraqah mengatakan bahawa orang yang melintas itu adalah dari kabilahnya. Apabila orang semua asyik minum, Suraqah keluar ikut belakang mengambil anak panah dan kudanya serta terus menjejaki Nabi Muhammad dan Saidina Abu Bakar. Pada ketika itu, dalam fikirannya hanya terbayang 100 ekor unta kerana pada secara logiknya tiada siapa yang dapat menandinginya dalam ilmu menjejaki di padang pasir. Apabila berjaya menjejaki Rasulullah beliau memacu kudanya dengan laju, apabila dekat kedudukannya dengan rombongan Nabi SAW, beliau segera menarik anak panahnya, tetapi apabila mahu dilepaskan anak panahnya, kudanya jatuh tersembam ke tanah. Dalam satu riwayat kejadian ini berlaku sebanyak 3 kali. Kejadian ini amat membingungkan Suraqah kerana pada ketika itu kudanya begitu sihat dan semangatnya begitu tinggi. Akhirnya beliau memanggil Rasulullah SAW dan bertanya,

"Siapa yang menegah engkau dari pedangku ini, ya Muhammad"
"Allah" jawab Rasulullah SAW

Mendengar kalimat Allah itu, Suraqah merasa gementar sehingga pedangnya terjatuh. Suraqah berkata di dalam hatinya "Aku datang dengan kuda yang hebat dan penuh semangat untuk membunuh mereka, tapi aku tidak dapat berbuat apa-apa. Yakinlah aku bahawa Muhammad ini utusan Allah"

Kemudian Suraqah bin Malik menceritakan semua rencana-rencana orang kafir dan menawarkan bekalan dan barang kepada Rasulullah, tapi ditolak baginda. Rasulullah berkata kepada Suraqah, "hindarilah dari kami". Suraqah kemudiannya meminta supaya ditulis surat aman kepadanya. Rasulullah kemudiannya menyuruh Amir bin Fuhairah menulis surat aman kepadanya pada secebis belulang. Setelah diberi surat aman, Suraqah pun beredar. Ketika menaiki kudanya, Rasulullah SAW bertanya kepadanya,"Apakah halmu wahai Suraqah apabila kamu dapat memakai gelang raja Kisra?." Suraqah bertanya kembali,"Kisra bin Hermazkah?" Jawab Rasulullah,"Ya"

Suraqah takjub dan terkesan dengan peristiwa yang dialaminya. Dia pun berlalu pergi untuk pulang melalui jalan yang telah ditempuhinya tadi ketika datang sambil memadamkan jejak-jejak kudanya. Beliau kemudian merahsiakan pertemuannya dengan semua orang yang ditemuinya sehingga beliau benar-benar yakin Rasulullah selamat sampai di Madinah.

Menurut ahli sejarah dan ulama al-Sirah, Suraqah bin Malik bin Ja'sham memeluk Islam setelah beberapa tahun berlakunya peristiwa pembukaan kota Mekah di Ja'ranah ketika Rasulullah membahagikan ghanimah perang Hunain. Suraqah menceritakn pertemuan itu.

"Aku telah pergi menemui Nabi Muhammad SAW. Lalu aku masuk ke dalam sekumpulan penunggang kuda kaum Ansar. Meraka terus menahanku dan berkata:"Apa urusanmu,?Pergilah kau jauh dari sini"."

"Aku tidak mempedulikan mereka, aku terus menerobos barisan mereka hingga dekat dengan Rasulullah SAW yang sedang berada di atas untanya. Maka aku pun mengangkat tanganku dengan memegang tulisan yang aku perolehi semasa menahan baginda dalam peristiwa hijrah dan berkata:"Wahai Rasulullah, aku Suraqah bin Malik dan ini tulisanmu untukku"

Rasulullah SAW kemudian berkata:"Dekatlah wahai Suraqah. Inilah hari memenuhi janji dan kebaikan."

Persahabatan antara Suraqah dan Rasulullah hanya berlansung beberapa bulan kerana Allah menjemput Rasul-Nya kembali ke sisi-Nya. Suraqah sangat sedih atas keawafatan Nabi dan selalu menyesali perbuatannya ingin membunuh Nabi hanya kerana 100 ekor unta. Beliau sering mengulangi kata-kata Nabi SAW kepadanya:"Bagaimana menurutmu wahai Suraqah, jika engkau memakai gelang Kisra?".

Hari berganti menurut gilirannya, hinggalah ke zaman pemerintahan Khalifah Islam yang kedua Khalifah Umar al-Khatab. Suatu hari, beberapa utusan Saad bin Abi Waqas datang membawa berita kemenangan tentera Islam ke empayar Parsi. Ketika harta rampasan perang dibawa dan diletakkan dihadapan Umar, dia melihatnya dengan perasaan terharu kerana diantaranya ada mahkota kebesaran Kisra. Umar kemudiannya memanggil Suraqah bin Malik dan memakainya pakaian dan kasut Kisra, meletakkan mahkota di atas kepala Suraqah dan memakaikan dua gelang Kisra. Ketika itu umat Islam di sekitar berteriak:"Allahu Akbar!Allahu Akbar!Allahu Akbar!"

Kemudian Umar menoleh kepada Suraqah dan berkata:"Bagus!Orang Arab yang kecil dari Bani Madlaj, di atas kepalanya mahkota Kisra dan ditangannya dua gelang Kisra"

Lalu Suraqah mengangkat kepalanya ke atas langit dan berkata:"Ya Allah Kau cegah harta ini untuk Rasul-Mu dan hal itu lebih kau cintai dariku dan lebih mulia bagi-Mu. Kau cegah harta ini untuk Abu Bakar dari itu lebih Kau cintai dariku dan lebih mulia bagi-Mu. Sedangkan kau berikan harta ini kepadaku, maka aku berlindung kepada-Mu jika Kau memberikan aku harta untuk menyeksaku."

Suraqah kemudiannya membahagikan semua hasil pemberian itu kepada kaum Muslimin. Tindakannya dilakukan kerana takwa dan mendapatkan keredhaan Allah.

Menarik bukan, cerita tentang Suraqah ini, dari seorang Arab yang kerdil akhirnya dapat memakai gelang Kisra. Ini adalah satu anugerah daripada Allah Subhanahu wata'ala kerana janjinya tidak membunuh kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW dan juga suatu bukti bahawa Allah mengurniakan ilmu pengetahuan masa hadapan hanya kepada Rasul pilihannya sahaja.

Suatu yang menarik untuk kita lihat dalam peristiwa hijrah melalui individu bernama Suraqah ialah bagaimana beliau berubah kepada seorang yang dermawan kerana tidak mahu terkena fitnah harta daripada seorang yang menginginkan kekayaan pada masa yang lampau. Ini tidaklah akan terjadi melainkan hanya perasaan kecintaan yang begitu mendalam kepada Rasulullah. Kecintaan inilah yang membuatkan Suraqah berubah 100%. Maka harus kita menilai kita dimana, memanglah kalau kita bandingka kita dengan Suraqah jauh sekali. Tapi adakah kita berusaha sepanjang tempoh kita kita masih lagi diberikan nikmat menghirup oksigen kurniaan Allah ini untuk mengenali dan menghayati siapakah itu Nabi Muhammad SAW, perjuangannya dan para sahabatnya yang ikut bersamanya dalam perjuangan menegakkan yang hak? Jika ada, Alhamdulillah. Jika tiada, berusahalah kerana kita tidak pasti bilakah kita akan dijemput pulang menghadap Allah Subhanahu wata'ala.

Apabila datangnya, tahun baru umur kita pun baru dan semakin bertambah. Semak-semaklah apa yang telah kita lakukan untuk agama dan bangsa kita. Adakah kita masih sama seperti dahulu atau ada sedikit perubahan pada tahun lepas. Jika telah berubah, Alhamdulillah jika masih belum berusahalah.

Wassalam

Sumber:
1. Kisah dan Peristiwa Hijrah Rasulullah SAW, Habsyi Fathullah Al-Hafnawy, Al-Hidayah Publication Sdn Bhd, cetakan ketiga 2009
2. Fiqh al-Harakah dari Sirah Nabawiyah, Haji Abdul Hadi Awang, Dewan Pustaka Fajar, cetakan Mac 2007
3. 65 Manusia Langit, Dr Abdurrahman Ra'fat Al-Basya, Pustaka Azhar, Cetakan Pertama 2009.

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--