expr:dir='data:blog.languageDirection' xmlns='http://www.w3.org/1999/xhtml' xmlns:b='http://www.google.com/2005/gml/b' xmlns:data='http://www.google.com/2005/gml/data' xmlns:expr='http://www.google.com/2005/gml/expr'> DEDAWAI BERISI: Warna terang sayur, buah mempengaruhi kesihatan

Thursday, December 9, 2010

Warna terang sayur, buah mempengaruhi kesihatan


Alhamdulillah bersyukur kepada Allah Subhanahu wata'ala kerana diberi ruang kesempatan masa untuk membicarakan suatu ilmu yang terdapat di dalam subjek Applied Science yang datangnya daripada al-Quran.


Apabila subjek Applied Science diperkenalkan untuk pelajar ketukangan SM Vokasional pada tahun 2008, ramai dikalangan rakan guru pada ketika itu merasakan terlalu sukar untuk membantu dalam pengajaran dan pengajaran subjek ini kerana kekurangan bahan rujukan. Cabaran ini hanya digalas oleh beberapa rakan guru yang tidak kisah atau bahasa sekarang 'tak banyak songeh" dengan arahan yang diberikan. Alhamdulillah setelah berjalan selama 3 tahun ia menampakkan kesan penerapan pengetahuan sains kepada pelajar ketukangan.

Sejarah untuk melaksanakan subjek sains khusus untuk pelajar ketukangan yang terdiri daripada kursus Amalan Bengkel Mesin, Kimpalan dan Fabrikasi Logam, Binaan Bangunan, Automotif, Penyejukan dan penyamanan Udara, Elektrik dan Elektronik di SM Vokasional bermula pada sekitar tahun 2002 lagi. Pada ketika itu, sekumpulan guru-guru berkualiti seperti Allayarham En Sabtu b Shuib, En Koay Kheng Chua, En Chia Song Choy, Tn Hj Salahuddin Abdullah, En Abdul Rahim Kassim, Allahyarham En Abdul Khazar Mydin, Tn Hj Zainal b Yono dan En Mohd Joned b Musa telah dipanggil oleh JPT (Jabatan pendidikan Teknikal) pada ketika itu untuk menggubal satu sukatan pelajaran sains gunaan untuk pelajar ketukangan di SM Teknik. Alhamdulillah berkat kesabaran dan iltizam individu yang saya sebutkan di atas sukatan matapelajaran Applied science berjaya digubal pada tahun 2003. Tetapi oleh kerana pertukaran ketua jabatan yang silih berganti sepanjang tempoh lima tahun sehingga tahun 2006, subjek Applied Science tidak dapat dilaksanakan di SMT. Bermula pada akhir tahun 2006, usaha untuk melaksanakan subjek ini dimulakan kembali. Pada tahun itulah buat kali pertamanya saya dipanggil untuk menghadiri mesyuarat bersama dengan guru-guru perintis Applied Science. Pada ketika itu terbayang dihati saya peluang untuk berjumpa dengan En Chia Song Choy dan Koay Kheng Chuan. Ianya juga pengalaman pertama saya tidur di hotel Ancasa Kuala Lumpur. Kemudian jodoh saya bersama dengan Applied Science ini kekal sehingga tahun 2008. Di mana saya dan guru-guru yang saya sebutkan di atas terlibat dalam program pengenalan subjek ini kepada guru-guru SMT di Semenanjung dan di Sabah dan Sarawak. Walaubagaimanapun, oleh kerana ramai rakan-rakan perintis yang tidak mahu terlibat dengan 'politik organisasi', bermula tahun 2009, ramai rakan-rakan perintis telah diganti dengan guru-guru baru.

Kisah sejarah yang saya paparkan di atas hanya sebagai kisah nostalgia yang indah bagi saya. Bagi saya pertemuan dengan beberapa guru yang bermotivasi tinggi menyebabkan saya mula melangkah dengan lebih berkeyakinan dalam menempuh profesion perguruan. Memang benarlah kata-kata hukama:"jika anda ingin berubah, bergaullah dengan mereka-mereka yang berubah".

Di dalam subjek Applied Science antara satu topik yang menarik untuk direnungkan bersama ialah topik 'Nutrition'. Seingat saya, ketika Tn Hj Salahuddin Abdullah membentangkan matlamat topik ini di Hotel Ancasa pada tahun 2006, beliau menjelaskan topik ini mempunyai matlamat jangka pendek dan matlamat jangka panjangnya. Matlamat jangka pendeknya adalah membolehkan pelajar mengenali kaedah pemakanan seimbang serta memanfaatkan ilmu ini untuk kebaikan semua. Matlamat jangka panjangnya ialah untuk melahirkan individu yang prihatin dengan pemakanan dan mengagungkan ciptaan dan membesarkan Allah melalui bersyukur dengan nikmat kurniaan-Nya.

Sesungguhnya Allah tidak menjadikan segala sesuatu di dalam dunia ini dengan hanya sia-sia. Setiap benda ciptaan Tuhan Yang Maha Berkuasa adalah mempunyai perkaitan dan simbiosis untuk keselesaan manusia di muka bumi. Ianya sepatutnya menjadi petanda dan ayat-ayat yang membuktikan bahawa alam ini ada penciptanya dan menjadi peringatan kepada orang-orang yang berfikir.

Sebagai contoh, warna yang terdapat pada tumbuhan, sayur dan buah-buahan memberi manfaat yang besar dalam mempengaruhi kehidupan manusia. Bagi kita sebagai pengguna biasa perlu memilih sayuran dan buah-buahan berwarna terang kerana amalan memakan sayuran dan buahan sebegini boleh menjadi perisai yang baik kepada tubuh daripada serangan penyakit merbahaya. Malah antara amalan pemakanan yang dilakukan oleh orang-orang yang bermotivasi tinggi di Eropah, mereka senantiasa memilih sayuran yang berwarna terang sama ada yang berwarna merah, jingga, ungu dan kuning kerana faktor nutrien yang terkandung di dalamnya.

Jika kita lihat warna merah pada sebiji tomato adalah disebabkan kandungan lycopene iaitu pigmen kerotin dan kerotinoid merah terang yang menghasilkan fitokimia di dalam buah-buahan yang berwarna seumpamanya. Lycopene bertindak sebagai ejen antioksida yang membantu tubuh menyerap radikal bebas dan membaiki sel badan yang rosak dan menyahkan toksin yang menyebabkan sel barah.

Bagi tumbuhan yang berwarna jingga pula, ia mengandungi beta karotene. Secara semulajadi tubuh akan menukarkan beta kerotene kepada Vitamin A jika diperlukan. Pada masa yang sama beta kerotene bertindak sebagai ejen anti oksida yang melindungi tubuh dari kebanyakkan jenis kanser dan penyakit jantung, memperlahankan kemaraan penyakit mata seperti katarak dari merebak. Antara sayuran yang berwarna hijau ialah lobak, cili dan limau pomelo.

Lobak, buah labu, mempelam dan buah aprikot adalah sebahagian contoh kumpulan makanan berwarna jingga. Sebagai contoh, labu adalah sumber vitamin B6 yang baik, selain sayur-sayuran hijau seperti bayam merah yang juga mengandungi banyak unsur pigmen beta karotene.



Kumpulan sayuran atau buahan yang berwarna jingga kuning pula mengandungi beta-crytoxanthin yang diklasifikasikan secara kimia sebagai xanthophylls iaitu kandungan ejen anti kanser dan mampu mempertingkatkan fungsi jantung. Beta-crytoxanthin juga membekalkan aktiviti anti oksida dalam tubuh. Nanas, oren, betik, jagung manis, buah limau nipis, pisang dan peach tergolong dalam kumpulan makanan jingga kuning.

Selain mengandungi beta-crytoxanthin, nanas juga mengandungi bromelin dan betik mengandungi papain. Bromelin dan papain adalah enzim proteolitik yang mampu membantu meningkatkan fungsi penghadaman tubuh badan manusia.

Bagi remaja yang sedang memasuki zaman perubahan dan dalam proses membentuk kematangan masalah ketikseimbangan hormon adalah satu masalah biasa. Pengambilan pisang adalah digalakkan kerana pisang banyak mengandungi vitamin B6 yang mampu membantu mengawal hormon.

Sayuran seperti bayam ,avokado, kacang hijau, kale, kubis, collard greens dan mustard greens diklasifikasikan sebagai sayuran berwarna hijau kuning. Sayuran ini kaya dengan lutien dan zeaxanthin yang membantu mengurangkan risiko penyakit kemerosotan macula dalam retina mata akibat peningkatan usia.

Bagi kumpulan sayuran hijau pula didapati mengandungi glucosinolates, sulforaphane, isothiocyanates dan indoles yang setiap satunya mempunyai peranan yang besar dalam mempengaruhi kesihatan yang baik. Sulforaphane dalam tumbuhan bersifat anti karsinogenik (anti kanser), manakala sulforaphane bersama dengan isothiocyanates adalah ejen antioksida dan merangsang pengeluaran enzim penyah toksin asli yang mujarab kepada tubuh. Indoles pula mampu mengelakkan sel-sel badan dari kerosakan sel dan penyakit kanser. Contoh sayuran yang tergolong dalam kategori ini ialah brokoli, kubis Brussels, Bok Choy, kubis bunga dan kubis.

Kebanyakan sayuran cruciferus (keluarga sayur kubis) juga berperanan mengurangkan risiko kanser. Umpamanya brokoli sumber yang kaya dengan Vitamin A, Vitamin C, beta-karotene dan asid folik. Kubis sebenarnya tidak mengandungi kolestrol, berkalori rendah dan sumber Vitamin C yang bagus. Malah kubis bunga adalah pembekal folat yang baik.

Sayuran seperti bawang putih, bawang merah dan kucai tergolong dalam kumpulan makanan putih dan berbau tajam. Ia mengandungi alel sulfida yang juga agen anti tumor, selain mampu mengurangkan kolestrol dan tekanan dalam darah.

Kumpulan makanan berwarna ungu sama ada buahan, sayuran atau bunganya berwarna merah, ungu dan biru ungu mengandungi anthocyanin iaitu agen anti oksida terbaik. Pigmennya mudah larut dalam air dan mampu memantulkan warna merah hinggalah ke biru. ia mampu mengandungi badan dari kerosakan osidatif yang menyebabkan penyakit jantung, kanser dan penuaan. Anngur ungu, beri biru, beri hitam, ras beri, kranberi, plum, buah prun, kismis, buah terung, blackcurrant dan kubis ungu tergong dalam makanan berwarna ungu.

Kesihatan yang baik akan memanjangkan hayat seseorang manusia jika diizinkan Allah Subhnahu wata'ala. Kajian terkini daripada Archives of Internal Medicine menyatakan bahawa darah yang mengandungi kandungan alpha-karotene yang tinggi boleh mengurangkan risiko sebanyak 39% kematian akibat dari semua sebab kesihatan termasuklah serangan jantung dan kanser.

Alpha-karotene ada tergolong daripada kumpulan antioksidan seperti yang disebutkan di atas (karotenoid, beta-karotene dan lycopene). Karotinoid dalam kajian tersebut didapati menyediakan kesan pertahanan melalui mitigasi antara kerosakan pemindahan oksigen ke DNA, protein dan lemak yang memainkan peranan penting dalam penyakit kronik seperi serangan jantung dan kanser.

Alpha-karotene secara kimianya sama dengan beta-karotene, tetapi dalam penyelidikan vitro telah menunjukkan alpha-karotene adalah lebih berkesan kira-kira 10 kali dalam "inhibiting proliferation" kepada sel neuroblastoma.

Di dalam al-Quran, Allah Subhanahu wata'ala berfirman dalam surah al-Isra ayat 82 yang bermaksud:"Dan kami turunkan daripada al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian."

Kata penulis buku "Kenali 15 Superfoods dalam al-Quran", al-Quran telah menyediakan pelbagai ubatan dan bahan yang boleh dijadikan ubat yang paling mujarab ini kerana al-Quran diturunkan oleh pencipta manusia.

Inilah yang saya katakan dipermulaan tadi iaitu topik 'Nutrition' ini datangnya daripada saranan al-Quran. Sesungguhnya sains adalah antara sekian banyak cabang ilmu yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu wata'ala untuk kita lebih memahami al-Quran. Bersempena dengan kita masih lagi di awal tahun 1432 ini marilah kita beriltizam untuk mengetahui ilmu-ilmu yang ada di dalam al-Quran. Kita yakin jika kita berusaha pasti kita akan dibantu oleh Allah Subhanahu wata'ala.

Justeru melalui artikel ini ,marilah beramal dengan apa yang kita belajar di sekolah supaya kita dapat menjadi orang-orang yang mampu menggalas tanggungjawab membangunkan negara yang tercinta. InsyaAllah.

Sumber:
1. Artikel "Warna terang sayur, buah pengaruhi kesihatan" oleh Habsah Dinin, Ruangan 1Klassifieds, Berita Harian, 6 Disember 2010
2. Kenali 15 Superfoods dalam al-Quran, Normadiah Daud, Perintis Books Sdn Bhd, cetakan 2010
3. http://www.knowabouthealth.com/eating-green-yellow-vegetables-extend-life/7053/

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--