expr:dir='data:blog.languageDirection' xmlns='http://www.w3.org/1999/xhtml' xmlns:b='http://www.google.com/2005/gml/b' xmlns:data='http://www.google.com/2005/gml/data' xmlns:expr='http://www.google.com/2005/gml/expr'> DEDAWAI BERISI: Membaca mempengaruhi pemikiran...

Wednesday, March 2, 2011

Membaca mempengaruhi pemikiran...


Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Allah Tuhan yang mentadbir sekalian alam kerana dengan limpah kurnianya dapat kita meluangkan masa untuk berada di alam siber ini. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad penghulu segala anbia dan mursalin.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada tahun 2008, rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun. Situasi ini membawa rakyat Malaysia menjadi antara masyarakat yang paling kurang membaca di dunia (Dewan Masyarakat Oktober 2010). Namun statistik ini saya pasti berubah jika kita melihat akan trend budaya membaca yang sedang meningkat sekarang. Sebagai contoh statistik jualan buku semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada tahun 2010 mencatatkan jumlah jualan buku sebanyak RM16 juta. Ini menunjukkan suatu peningkatan yang membanggakan.

Sesungguhnya membaca buku adalah sebahagian daripada langkah untuk menguasai ilmu. Di dalam ajaran agama Islam yang suci mambaca buku adalah sebahagian daripada keseluruhan budaya ilmu yang harus diterapkan kepada individu Muslim. Islam sebagai agama yang melengkapi atas segala-galanya menganjurkan konsep mencintai ilmu dengan lebih luas berbanding hanya taksub dengan buku dan naskhah majalah.

Sebuah pepatah Inggeris menyebut "What you read today, determine who you are tomorrow" atau "Apa yang anda baca hari ini akan menentukan siapa anda di hari esok". Membaca akan membina proses pemikiran kita ke atas sesuatu isu yang berlaku. Sebagai contoh jika kita membaca buku-buku Islamika kita akan menilai sesuatu isu dari sudut Islamnya, jika kita rajin membaca dan mentadabbur al-Quran kita akan menilai sesuatu isu itu berdasarkan al-Quran. Malah jika kita sering membaca buku-buku orientalis barat kita akan membuat penilaian berdasarkan pemikiran orientalis barat. Inilah yang dikatakan kuasa pengaruh budaya membaca ke atas pemikiran seseorang individu. Maka tidak hairanlah beberapa akhbar tempatan mengambil slogan seperti Utusan Malaysia dengan "Penyebar fikiran rakyat", The Star dengan "The People Paper" sebagai salah satu langkah untuk menyebarkan maklumat kepada orang ramai.

Gilang gemilangnya budaya membaca akan melahirkan suatu generasi kelompok masyarakat yang akan terbina peribadinya. Sejarah dunia telah memperlihatkan generasi emas Islam (zaman Rasulullah, para sahabat, tabi'in dan tabi' tabi'in) dan zaman keemasan Islam di Qurtubah (Cordova, Sepanyol) merupakan suatu generasi yang tiada tolok bandingnya dalam kegemilangan budaya membaca. Manusia yang hidup pada zaman ini mengambil tradisi membaca daripada tradisi al-iqra' yang merupakan saranan Islam dan kemudiannya dijelmakan melalui sunnah Rasulullah dalam bentuk yang lebih praktikal iaitu membaca untuk mencari kebenaran.

Membaca untuk mencari kebenaran akan membina cara berfikir yang akan merungkai kejahilan diri sendiri melalui tradisi mengkaji. Cara berfikir sebegini disokong oleh al-Quran melalui ayat yang cukup popular dalam surah al-Hujurat iaitu ayat 6 yang berikut

"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah (kebenarannya) dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu".

Ibnu Kathir dalam tafsirnya menyatakan ayat di atas termasuk sebagai ayat yang agung kerana mengandungi ajaran yang penting agar umat Islam tidak mudah menerima berita yang tidak jelas sumbernya. Ayat ini juga menerapkan sikap mengkaji, dahagakan kefahaman ilmu dan mencintai hakikat ilmu yang diketahui.

Semasa memberi komen mengenai ayat 6 ini, Tuan Guru Hj Hadi Awang di dalam karyanya "At-Tibyan : Tafsir Surah Hujurat" berkata, Di dalam ayat ini, Allah Ta'ala memberi suatu pengajaran kepada kita supaya jangan bertindak terburu-buru apabila menerima sebarang berita. Kita hendaklah mengkaji berita itu terlebih dahulu agar kita tidak membuat suatu keputusan yang merugikan kita (ms 35).

Jelaslah disini budaya membaca akan membina pemikiran seseorang individu itu agar lebih bersikap selektif dan berjiwa saintifik untuk melakukan kajian ke atas sesuatu berita yang diterimanya.

Budaya membaca amat perlu ada pada setiap individu muslim pada zaman kita ini. Zaman ini terlalu banyak berita-berita palsu yang datang melalui alat-alat sebaran am, surat khabar, majalah dan sebagainya. Berita-berita palsu ini akan menjadi lebih buruk lagi jika berlaku pilihanraya kecil di sesetengah kawasan Dewan Undangan Negeri atau Parlimen. Hinggakan saya menjadi bosan untuk membaca surat khabar dan melihat berita di televisyen.

Akhirnya marilah kita sama-sama cuba sedaya upaya memajukan pemikiran kita dengan mula memupuk budaya membaca dalam kehidupan kita. Kita pohon berbanyak-banyak rahmat dan dikurniakan kekuatan agar dapat memupuk budaya membaca ke atas diri sendiri daripada Allah Subhanahu wata'ala. Semoga kita akan terhidar dari fitnah berita-berita palsu yang mampu menggugat kesejahteraan kehidupan kita.

Wassalam...

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--