Monday, December 14, 2009

Realiti Hari Sukan Sekolah


Alhamdulillah bersyukur saya ke hadrat Tuhan sekalian alam kerana dengan limpah kurnianya dapat saya meluangkan masa pada pagi ini untuk menulis catatan terbaru dalam blog ini.

Tahniah saya ucapkan kepada pasukan bolasepak Malaysia kerana berjaya melayakkan ke peringkat separuh akhir dalam kejohanan sukan SEA 2009. Semoga mereka berjaya melayakkan dari ke pertandingan akhir. Kalau tak silap saya kali terakhir pasukan Malaysia beraksi di perlawanan akhir bolasepak sukan SEA ialah pada tahun 2001. Saya masih teringatkan keadaan di mana penjaga gol Malaysia pada ketika itu, Kamaruzaman melepaskan gol yang tak disangka-sangka. Hancur dan luluh penyokong di Stadium Shah Alam pada malam itu (saya antara salah seorang dari ribuan penyokong yang berada di stadium pada malam itu)

Semalam juga, pasukan olahraga Malaysia telah berjaya memiliki pingat emas yang pertama melalui atlet 400 m lompat pagar, Saudari Noraseela Khalid. Noraseela merupakan atlet yang muncul dari produk sekolah sukan bukit jalil. Saya masih teringat di waktu sekolah rendah dan menengah dahulu, acara olahraga sukan SEA merupakan slot yang saya tunggu-tunggu di kaca TV, kerana pada waktu itu, Malaysia begitu unggul dalam acara tersebut. Sebut sahaja nama Rabuan Pit, Romzi Bakar, G Shanti, Abdul Rahman Koyakutti, nama-nama mereka segar dalam ingatan kami di sekolah pada waktu itu.

Minat terhadap acara olahraga ini bermula daripada program hari sukan sekolah yang pada waktu itu (sekitar tahun 80-96), begitu meriah sekali. Justeru itu, pelajar serta guru pada waktu itu begitu mengikuti perkembangan sukan olahraga tempatan. Namun realiti pada hari ini, semua perkara itu telah berlalu dan keghairahan hari sukan sekolah tidak lagi dirasai malah sokongan ke atas pasukan olahraga Malaysia diperingkat antarabangsa semakin suram

Dalam artikel oleh Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dalam akhbar The Star 13 Disember 2009, beliau berkata

"Today, Sports Day is still an anual event, but the passion and its charm do not have as much an impact as it used to"

Maksudnya: Hari ini, Hari Sukan Sekolah masih lagi merupakan acara tahunan, tetapi keghairahan dan keindahannya tidak mempunyai kesan mendalam sebagai mana dahulunya.

Sebagai seorang guru di sebuah sekolah menengah, saya memang merasakan apa yang diutarakan oleh Tan Sri Alimuddin memang benar. Pada saya terdapat beberapa faktor yang menyebabkan Hari Sukan Sekolah tidak lagi seghairah dahulu, antaranya

1. Penubuhan sekolah sukan
Hari ini, sukan didedikasikan kurikulumnya ke Sekolah Sukan. Fokus penubuhan sekolah sukan adalah untuk melahirkan atlet-atlet yang berdaya saing diperingkat antarabangsa. Justeru itu, pelajar-pelajar diperingkat sekolah harian merasakan mereka hanya akan membuang masa meyertai acara sukan sekolah kerana sudah ada individu yang akan mewakili negara. Tetapi kita selalu lupa, bekas atlet seperti Zaiton Othman, Rabuan Pit dan Romzi Bakar lahir dari hari sukan sekolah. Saya masih ingat sewaktu di sekolah dahulu, kebetulan satu sekolah dengan Romzi Bakar, melihat Romzi berlari untuk rumah sukan kami adalah satu kepuasan kerana Romzi adalah harapan kami dan kebetulan pula rumah sukan kami tidak mempunyai atlet yang ramai.

2. Pengaruh hiburan yang melampau
Pelajar dewasa ini sudah tidak berminat lagi untuk menyertai acara sukan olahraga. Ini rentetan dari media massa terlalu mengagungkan artis lantaran pelajar hanya tahu bercakap tentang hiburan dan tidak mahu lansung mengambil tahu hal-hal sukan. Pengalaman saya sebagai ketua guru rumah sukan pada tahun 2003 dan 2006 membuktikan semua itu. Sukar saya mencari atlet-atlet yang akan mewakili rumah sukan saya dalam acara balapan dan padang. Pada mesyuarat terakhir sebelum kejohanan bermula, Setiausaha Sukan sekolah terpaksa mengurangkan acara dek kerana sambutan pelajar yang amat mengecewakan.

3. Kekurangan ilmu pengetahuan dari guru
Pada masa kini, kebanyakan guru di sekolah ialah guru perempuan. Dalam sidang parlimen baru-baru ini, kita diberitahu bahawa nisbah guru lelaki dengan guru perempuan ialah hampir 1:3. Selalunya yang terjadi guru-guru perempuan tidak mempunyai ilmu mengendalikan acara balapan dan padang. Ini bukan sahaja membantutkan minat pelajar, malah kadang-kadang merencatkan perjalanan sukan olahraga tahunan. Saya bawakan satu cerita yang berlaku di sekolah saya yang mana seorang guru perempuan memberitahu saya yang dia tidak dapat berada di padang kerana alergik dengan cahaya matahari. Apakah jawapan yang harus saudara berikan jika saudara berada di tempat saya?

4. Hala tuju sekolah
Memang tidak dinafikan visi semua sekolah di Malaysia ialah untuk menjadi cemerlang dalam bidang akademik. Lantaran itu, acara sukan menjadi sebagai salah satu acara sampingan hanya sekadar melepaskan batuk ditangga. Namun satu perkara yang perlu dinyatakan di sini, bukan semua individi itu mempunyai minat dan kemampuan yang sama. Sukan pada saya membentuk peribadi seseorang individu itu sendiri. Malah tuntutan agama Islam, menyuruh kita merehatkan badan dengan beriadah di waktu petang agar hati dan perasaan kita gembira apabila tiba waktu malam.

Sebagai kesimpulannya, kita sebagai pendidik harus menjadikan sukan bukan hanya sebagai alat untuk aktiviti fizikal sahaja malah perlu diperluaskan lagi sebagai alat sosial ke arah menghasilkan individu yang seimbang dalam jasmani dan rohani.

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--