Friday, December 4, 2009

Hijrahlah demi kejayaan dan kegemilangan


Alhamdulillah bersyukur saya ke hadrat Tuhan Yang Maha Esa kerana nikmat kelapangan masa dan dipanjangkan umur untuk menulis catatan terbaru dalam blog ini. Untuk makluman rakan-rakan pengunjung catatan ini merupakan catatan Islamik yang terakhir dalam blog ini. Segala catatan dan pengumpulan artikel berkaitan dengan Islam dan cara hidup akan saya paparkan dalam laman blog saya yang kedua iaitu 'TASHDIQ QALBI".

Blog "APPLIED SCIENCE AT SMTKK" saya akan dedikasikan untuk artikel dalam bidang sains gunaan KBSM, sains, isu-isu dalam dunia pendidikan dan pengumpulan artikel-artikel sains dalam majalah atau buku yang saya baca.

Rakan-rakan pengunjung,
Umat Islam diseluruh dunia tidak lama lagi akan menyambut 1 Muharram ataupun sambutan Maal Hijrah. Pada tahun ini 1 Muharram 1431 akan jatuh pada 18 Disember 2009.

Hijrah diambil daripada perkataan bahasa Arab daripada kata asal "hajara" yang bermaksud memutuskan perhubungan atau meninggalkan. Manakala dari sudut istilah pula, boleh dikatakan masudnya adalah sinonim dengan pemahaman masyarakat bahawa perkataan 'hijrah' memberi gambaran di fikiran tentang peristiwa perpindahan Rasulullah SAW dari kota Mekah ke kota Madinah. Peristiwa Hijrah Rasulullah SAW atau Hijraturrasul SAW ini adalah suatu peristiwa besar dan penting dalam sejarah umat Islam yang diingati sebagai suatu perjuangan yang bertatahkan pengorbanan suci demi menegakkan kedaulatan Islam di bumi Madinah. Suatu hijrah dari lembah yang penuh dengan kekejaman dan kezaliman kepada suatu destinasi yang akan dibina padanya tamadun manusia yang berasaskan hidayah dan wahyu Tuhan Sekalian Alam, Allah SWT.

Apabila melihat sejarah hijrah Rasulullah SAW ini kita dapat mengambil suatu inti pati bahawa penghijrahan tersebut membuka ruang yang lebih luas kepada membina kehidupan yang lebih baik atau cemerlang dari segala aspek. Umat Islam mula melaksanakan syariat Islam secara menyeluruh dalam pelbagai aspek kehidupan seperti ekonomi, sosial, pendidikan dan lain-lain lagi.

Kegemilangan ummah bukanlah sesuatu yang mustahil dan sukar dicapai sekiranya manusia yang bergelar insan berusaha untuk mencapai impian tersebut. Jalan terbaik untuk menggapainya ialah dengan melaksanakan suatu proses yang dinamakan 'hijrah insan'. proses hijrah ini seharusnya mampu diumpamakan sebagai satu revolusi insaniah yang perlu dicetus oleh setiap individu Muslim sebagai satu kebangkitan selepas tidur, menjadi kuat selepas lemah, mencapai kemajuan selepas kemunduran, menjadi aktif setelah pasif dan bertenaga selepas lesu.

Dalam rangka mengembalikan semula kegemilangan insan sebagai makhluk yang dijadikan dengan sebaik-baik kejadian, matlamat hijrah insaniah mestilah berpaksikan kepada akidah atau iman kepada Allah SWT. Hal ini kerana dengan berpaksikan akidah, ia akan membawa kepada suatu kesedaran daripada sentuhan jiwa dengan keimanan kepada Allah SWT yang Maha mencipta, Maha berkuasa, Maha mendengar dan bersifat dengan segala sifat kesempurnaan serta Maha Suci Allah SWT daripada segala sifat kekurangan. Kesedaran ini akan membawa perubahan jiwa yang menghasilkan suatu pembaharuan dan menetapkan tujuan hidup, pandangan hidup semangat dan cita-cita. Ia membawa kemerdekaan jiwa daripada kepercayaan terhadap sebarang kekuasaan selain daripada kekuasaan Allah SWT.

Sesungguhnya tiada perkara yang mudah dicapai apatah lagi untuk meletakkan diri insan di tempat yang sepatutnya sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Walaubagaimanapun ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai kerana Allah SWT telah memberikan bekalan akal kepada kita. Kegigihan, dedikasi dan kerja kuat yang lahir daripada akidah dan ketinggian iman terhadap Allah SWT pasti akan membuahkan hasil kejayaan yang mungkin tidak pernah terlintas pada fikiran kita.

Semoga tahun 1431H akam membawa kejayaan kepada kita kerana niat kita untuk berhijrah kepada kejayaan dan kegemilangan. InsyaAllah.....

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--