Sunday, March 21, 2010

Pendidikan Seks di Sekolah....suatu pandangan guru yang kerdil..


Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah yang melimpahkan kurnia-kurnia-Nya atas hamba-hamba-Nya dan memberi kemakmuran jiwa dengan sinar keislaman. Hanya dengan rahmat dan kehendak-Nya lah kita mampu meluangkan masa untuk berada di dalam alam siber ini

Salawat dan salam atas junjungan kita Nabi Muhammad Shallalahu 'alaihi wasalam, Nabi-Nya yang terpilih dan Rasul-Nya yang terkarib. Begitu juga atas anggota keluarganya serta para sahabatnya, para tabi'in sebagai pelita-pelita hidayah dan penghapus kesesatan.

Sesungguhnya seks adalah anugerah yang diberikan oleh Allah Subhanahu wata'ala kepada makhluk-makhluk ciptaan-Nya sama ada serangga, binatang buas, haiwan ternakan, tumbuh-tumbuhan dan juga manusia. Tujuannya adalah untuk mengembangkan keturunan atau zuriat sesuatu makhluk tersebut agar tidak mengalami kepupusan atau dalam kata lain untuk kesinambungan hidup.

Bagi makhluk yang bernama manusia, saluran untuk melampiaskan keinginan seks itu hanyalah melalui jalan pernikahan atau perkahwinan. Di dalam kitab Muhimmah fil ilmil hadith karangan Sheikh Abdullah ibnu Abdur Rahman al-Fathani, dinyatakan lima faedah orang yang berkahwin iaitu Pertamanya:Dapat anak; Keduanya:memecahkan akan syahwat; Ketiganya:menyelesaikan hati daripada mentadbirkan pekerjaan rumah;Keempat:menyukakan hati menunjukkan akan dia dengan sebab mu'asyarah dan mukhalatah dan Kelimanya:melawani hawa nafsu dan memerangi akan dia dengan mentadbirkan hak yang wajib atasnya bagi isterinya. Inilah lima faedah yang amat penting dalam ikatan perkahwinan itu.

Namun apabila saya membaca beberapa artikel dalam akhbar-akhabar arus perdana apabila mengulas tentang perlaksanan pendidikan seks di sekolah, saya agak terkilan kerana pendekatan yang disarankan seolah-olah ataupun terlupa dengan ajaran agama Islam. Malah kebanyakan artikel menyarankan kaedah pendidikan seks yang diamalkan di Barat

Bagi remaja di sekolah, permulaan kematangan biologi ditandai dengan berlalunya zaman kanak-kanak di mana bagi wanita ialah dengan kedatangan haid yang pertama dan bagi lelaki pula ialah dengan terkeluarnya air mani dengan sebab mimpi. Permulaan detik inilah yang akan membawa kepada perkembangan ciri-ciri seks sekunder lelaki dan perempuan. Ini seperti bagi lelaki suara mulai pecah, tumbuh bulu-bulu pada bahagian tertentu dan bagi perempuan seperti pembesaran buah dada, pembesaran tulang pinggul dan lain-lain yang berkenaan. Perubahan fizikal inilah yang akan membawa kepada perubahan psikologi yang bersifat kejiwaan (hawa nafsu keinginan pada jantina yang lain). Inilah zaman yang runcing dalam peringkat pertumbuhan manusia di mana mereka amat memerlukan bimbingan agar dapat mengendalikan diri.

Agak mendukacitakan hari ini apabila perkaitan seks dan dunia remaja semakin meluas sehingga terjadi kes-kes pemerkosaan, perzinaan, kehamilan luar nikah, terjadinya kes-kes pengguguran dan pembuangan anak serta bilangan anak luar nikah berdaftar yang semakin bertambah saban hari (Akhbar Berita Harian pada 21 Mac 2010 melaporkan sebanyak 17,303 anak luarnikah didaftarkan pada tahun 2009!).

Lantaran dari itu, muncullah desas-desus yang bertiup bagaikan ribut taufan yang menghendaki agar diadakan pendidikan seks di sekolah. Secara latar belakangnya, pendidikan seks bermula di negara Barat yang bertujuan untuk mendidik generasi muda mereka yang sudah rosak dengan gaya hidup bebas dan terlibat dalam masalah penyimpangan seks. Di sana pendidikan seks adalah bertujuan untuk mencegah agar tidak terjadi kehamilan di kalangan mereka yang duduk serumah (bersekedudukan) tanpa sebarang ikatan. Ini adalah kerana dasar orang Barat mengatakan kehamilan pada usia remaja akan menyebabkan masa depan remaja itu akan terjejas. Justeru itu mereka berkata apa yang berlaku sebenarnya ke atas remaja Barat ialah terjadi akibat kejahilan mereka tentang kaedah seks selamat.

Dalam hal ini, kalau diteliti ianya bercanggah dengan amalan yang di sarankan oleh agama Islam. Jelasnya pendidikan seks seperti di Barat itu tidak akan memberi kesan yang sepatutnya bahkan makin menambah biakkan maksiat hingga menjadi berleluasa.

Jika diselami dan diteliti dengan betul, pendidikan seks yang berlandaskan sistem pendidikan Islam bukan sahaja mencegah seseorang itu daripada mengandung tetapi melarang keras daripada berzina bahkan akan menimbulkan perasaan membenci penzinaan dan terus berusaha untuk menjauhinya tidak kira remaja atau mereka yang telah berkahwin. Pokoknya Islam menekankan tentang hinanya perbuatan tersebut serta azab hukuman untuk para penzina di dunia dan di akhirat kelak.

Sesungguhnya seks itu boleh menjadi mulia dan hina hanya bergantung kepada perlaksanaan hukum dan peraturan Allah Subhanahu wata'ala. Oleh kerana itu para remaja khususnya dan umat Islam amnya haruslah berupaya mengendalikan diri mereka agar dapat mencegah perbuatan zina yang keji itu. Antara langkah-langkah yang boleh dijadikan panduan untuk mencegahnya ialah:

Pertama:
Mencegah diri dari perkara-perkara yang mendekati zina di mana kita melaksanakan batasan-batasan pergaulan antara lelaki dan perempuan sebagaimana yang diajarkan oleh Islam. Perkara-perkara ini termasuklah menjaga pandangan mata daripada melihat perkara-perkara yang boleh menaikkan syahwat kita seperti menonton bahan lucah .

Kedua:
Tidak duduk atau tinggal berdua-duaan antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim. Hal ini disebabkan dibimbangi jika berlaku godaan syaitan yang selalu menggoda manusia kepada jalan yang keji.

Ketiga:
Tidak bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan, termasuklah berjabat tangan atau bersalaman.

Keempat:
Tidak bercampur antara lelaki dan perempuan di satu tempat (yang boleh menimbulkan fitnah)

Semoga perkongsian ini dapat membuka mata kita tentang pendidikan seks yang di amalkan di Barat. Dan kita seharusnya melawan kaedah ini sedaya upaya kita demi anak bangsa yang kita sayangi. Wassalam....

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--