Alhamdulillah bersyukur kita kepada Allah Subhanahu wata'ala kerana dengan limpah rahmatnya mampu kita meluangkan masa untuk berada di alam siber ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Shallalahu 'alaihi wasalam pembawa rahmat kepada sekalian alam.
Dalam belanjawan 2011 yang dibentangkan oleh YAB PM 1Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak mengumumkan satu projek bersepadu yang akan dibangunkan oleh Permodalan Nasional Berhad yang mana projek ini merupakan bangunan 100 tingkat yang bernilai sebanyak RM5 billion dan dijangka siap pada tahun 2015. Dalam ucapan PM juga beliau menjelaskan kewujudan menara 100 tingkat ini akan menjadi mercu tanda kebanggaan negara menjelang 2020.
Kewujudan bangunan pencakar langit secara umumnya menandakan pertumbuhan ekonomi, sosial dan kemegahan sesuatu bandar besar. Kuala Lumpur menjadi terkenal di mata dunia dengan Menara Berkembar Petronas dan kini satu lagi bangunan yang dinamakan dengan Warisan Merdeka akan mengambil alih mercu tanda Kuala Lumpur menjelang tahun 2020.
Sebenarnya sejarah bangunan pencakar langit ini mempunyai signifikan yang besar dalam dunia sains dan teknologi. Evolusi dalam sains dan teknologilah yang melahirkan pelbagai senibina bangunan pencakar langit yang unik dan menarik.
Menurut sejarah, penciptaan struktur mega bermula pada tahun 1777 selepas penemuan bijih besi. Rekaan pertama pada waktu itu ialah jambatan besi 'ironbridge' yang dibina di Coalbrookdale merentasi Sungai Severn Shrosphire England oleh Abraham Darby.
Pada tahun 1852, lif dicipta oleh Elisha Graves Otis. Penciptaan lif ini merangsang kepada binaan bangunan bertingkat pada awal kurun ke-20. Perkembangan pantas teknologi binaan ini diteruskan pula oleh revolusi senibina moden menggantikan senibina klasik Inggeris sebelum perang dunia pertama. Klasifikasi struktur moden dan klasik ini dapat dikenalpasti dengan melihat senibina dan penerapan sains dan teknologi dalam pembinaannya.
Perkembangan awal bangunan-bangunan tinggi merupakan hasil imaginasi arkitek-arkitek zaman Chicago School seperti Home Insurance Building di Chicago, Illinois yang diilhamkan oleh Barron Jenney. Bangunan 10 tingkat ini terkenal sebagai bangunan pertama tertinggi di dunia.
Tokoh yang paling menonjol dan digelar 'Bapa Pembangunan Pencakar Langit' pula ialah Louise Henry Sullivan dengan reka bentuk dan binaan 'Carson Pirie Scott' di Chicago pada tahun 1904. Beliau terkenal dengan rekaan yang menampilkan teknologi baru iaitu gabungan antara teknologi rangka keluli ke dalam seni bina bangunan klasik.
Sekitar tahun 1930-an, pembinaan bangunan pencakar langit begitu hebat berlaku dengan lahirnya bangunan 'Manhattan Company' pada tahun 1930, Bangunan Chrysler pada tahun yang sama dan bangunan yang meninggalkan banyak nostalgia dalam dunia perfileman iaitu Empire State Building pada tahun 1931.
Ketika Perang Dunia Kedua (1940-1945), era pembinaan bangunan tinggi bersaiz mega terhenti. Perang merencatkan ekonomi dunia pada waktu itu turut mengubah penampilan dan reka bentuk bangunan baru yang dibina. Fizikal bangunan pada ketika ini lebih ringkas dan kebanyakkannya berbentuk kubus yang diselimuti kaca sebagai struktur luarannya.
Pada akhir 1970-an berlaku anjakan paradigma di kalangan arkitek mengenai rekabentuk bangunan. Mereka mula mencari dan mencuba idea baru yang bertentangan dengan reka bentuk sebelumnya. Bangunan-bangunan yang direka tidak lagi sekadar berbentuk kubus kaca, tetapi sudah mula berbentuk yang bernilai estetika. Perubahan ini diisytiharkan secara simbolik dengan meruntuhkan bangunan Pruitt-Igoe Housing, St Louise hasil reka cipta Minoru Yamasaki pada tahun 1972. Dalam tempoh ini (1970-1980) muncul bangunan tinggi yang lebih moden seperti Bangunan Wacker Drive yang terletak di tebing Sungai Chicago (1979), bangunan World Trade Centre (WTC) setinggi 417 meter yang musnah pada 11 September 2001 juga bangunan Sears Tower yang dibina pada tahun 1974. Bangunan Sears Tower ini kekal menjadi bangunan tertinggi di dunia sehingga Menara Berkembar Petronas memintasnya pada tahun 1998.
Kemampuan sains dan teknologi serta daya imaginasi manusia telah merancakkan lagi perkembangan bangunan pencakar langit tertinggi di dunia. Bangunan yang dimaksudkan ialah Burj Al-Arab yang dibina di Emiriyah Arab Bersatu, Dubai dengan ketinggian 705 meter. Sehingga kini bangunan Burj Dubai menjadi struktur tertinggi buatan manusia dalam sejarah.
Bangunan kedua tertinggi di dunia terletak di Taipei, Taiwan. Ia dikenali dengan Taipei 101. dalam banyak aspek pencakar langit, bangunan ini merupakan salah satu pencakar langit paling canggih yang pernah dibina oleh manusia. Bangunan ini memiliki kemudahan serambut optik dan hubungan internet satelit yang dapai mencapai kelajuan satu gigabait persaat. Syarikat Jepun, Toshiba telah menyediakan dua lif terpantas di dunia dengan halaju keupayaan membawa pengunjung ke tingkat 89 dalam masa kurang dari 40 saat. Sebuat pemberat berjisim 800 tan dipasang pada tingkat 88 untuk menstabilkan bangunan ini terhadap sebarang gangguan yang timbul dari gempa bumi, taupan atau geseran angin.
Baca selengkapnya...
13 years ago