Sunday, December 30, 2012

Catatan ringkas tentang Ustaz Fadzil Noor

0 comments
Salam pertemuan setelah lama tidak bersua. Saya berharap para pengunjung blog saya berada dalam keadaan yang baik dan sentiasa berada di dalam rahmat tuhan yang maha Esa. Sepanjang cuti sekolah yang lalu antara aktiviti yang sempat saya rancangkan ialah bercuti bersama keluarga dan juga menghabiskan beberapa buah buku bergenre sejarah Islam, biografi tokoh yang hebat, politik dan pengetahuan agama Islam. Entri kali ini saya ini membicarakan sebuah buku terbaru daripada penulis politik yang terkenal iaitu Saudara Subky Haji Latif yang berjudul "FADZIL NOOR,dia guru, dia kawan" (FNdgdk)
Membaca buku berkaitan dengan kisah seseorang yang hebat menjadi suatu keasyikan bagi saya. Saya mula mengenali Ustaz Fadzil Noor kira-kira dalam tahun 1995 ketika saya aktif menjadi budak pelekat poster untuk PAS pada pilihanraya tahun tersebut.(Nota saya membesar dan menghabiskan masa selepas zaman persekolahan kawasan parlimen Pendang) . Kemuncak pertemuan dengan susuk tubuh individu yang hebat ini ialah melalui satu ceramah politik yang di adakan di Parlimen Pendang pada musim pilihanraya tahun 1995. Kalau tak silap saya itulah kali pertama Ustaz Fadzil bertanding di kawasan Parlimen Pendang menentang figura Umno yang hebat di situ pada ketika itu iaitu Datuk Othman Abdul. Buku yang saya telah baca ini dan ingin kongsikan sedikit sinopsisnya bersama para pengunjung ialah suatu catatan pengalaman hidup antara Saudara Subky Haji Latif dan Allahyarham Ustaz Fadzil Noor (UFN). Buku ini dihasilkannya sempena memperingati 10 tahun pemergian Ustaz Fadzil Noor. Peminat buku politik tentunya biasa dengan Haji Subky Latif melalui pelbagai buku politik yang dihasilkannya. Penulis menyatakan tentang buku ini " FNdgdk adalah suatu catatan ringkas, satu pandangan peribadi dan satu ingatan semula yang saya tahu mengenainya sebagai kawan dan yang saya boleh anggap sebagai guru" m/s x. Tambah penulis lagi "pengalaman hidup sezaman dengannya sangat berguna untuk dipelajari oleh orang-orang biasa bagaimana manusia biasa yang minat membaca dan cinta kepada ilmu, memanfaatkan apa yang dibaca dan berpegang teguh kepada cita-cita untuk mendaulatkan peraturan Islam." Buku ini juga merupakan buku yang kedua yang saya baca tentang membicarakan Ustaz Fadzil Noor (UFN) setelah buku dari Saudara Riduan Mohd Noor yang diterbitkan pada tahun 2011. Sepertimana yang telah saya kongsikan tentang kata-kata aluan diperenggan yang lalu, penulis mencatatkan pengalaman hidup beliau bersama dengan Ustaz Fadzil dengan membahagikan buku ini kepada 28 tajuk perbincangan. Antara yang menarik perhatian saya ialah Bab 6 : Terjun Padang, bab yang mengisahkan bagaimana UFN boleh mula terlibat dalam dunia politik bersama dengan PAS. Kata penulis segalanya bermula apabila ketika itu UFN masih lagi bertugas di UTM dan UFN di pilih oleh pimpinan PAS untuk bertanding pada pilihanraya tahun 1978. UFN tewas pada pilihanraya tahun itu dan ianya merupakan turning point kepada beliau untuk aktif dalam PAS. Setelah habis pilihanraya pada tahun itu, UFN dkenakan tindakan disiplin oleh pihak UTM di atas penyertaannya dalam pilihanraya. UFN kehilangan pekerjaan dan ianya bukanlah sesuatu yang mudah bagi seorang pensyarah yang berpendapatan lumayan kehilangan sumber pendapatan dalam sekelip mata. Pada saya inilah antara bentuk tekanan yang diberikan oleh pihak kerajaan kepada mereka yang berbeza pendapat dengan pihak kerajaan. Bermulalah berbagai cabaran yang getir yang terpaksa dihadapi oleh UFN kerana pada ketika itu keluarga UFN masih diperingkat pertengahan dengan anak-anak kecil yang masih bersekolah. Para pembaca akan dihidangkan bagaimana UFN mengharungi detik-detik yang sukar ini sehingga UFN muncul sebagai suatu bintang yang bersinar untuk PAS. Ba6 11: Ketua Pembangkang, juga menarik perhatian saya. Ini kerana pada pilihanraya tahun 1999, UFN berjaya memenangi kerusi Parlimen Pendang. Ianya agak signifikan bagi saya kerana pada tahun 1999 ialah tahun pertama saya menjadi pengundi yang berdaftar ketika berumur 22 tahun.Cumanya saya tidak mendafar sebagai pengundi di kawasan Parlimen Pendang kerana saya telahpun berpindah ke Sungai Petani. Kemasukan UFN buat kali pertama ke Dewan Rakyat selepas pilihanraya tahun 1999 bersama dengan kemenangan 27 kerusi parlimen oleh PAS membolehkan PAS mencalonkan seorang ahli perlimennya menjadi ketua pembangkang. UFN dipilih menjadi ketua pembangkang memandangkan beliau pada ketika itu ialah Presiden PAS. Inilah pertembungan pertama dalam Parlimen Malaysia dimana Perdana Menteri yang merupakan Presiden UMNO akan berbahas dengan Ketua Pembangkang dari PAS yang juga merupakan Presiden PAS. Jelas penulis pada mukasurat 124 dan 125, antara polemik yang cuba ditimbulkan ketika itu ialah isu songkok hitam dan kopiah putih. UFN kata penulis lebih gemar bersongkok hitam, antara yang membuatkan UFN berkopiah putih adalah kerana desakan para penyokongnya di Kedah. Ketika UFN masuk untuk mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat, beliau bersongkok hitam, ramai Ahli Parlimen Umno keliru. Timbul isu songkok hitam dan kopiah putih. Hinggakan dalam suatu muktamar PAS, ada perwakilan membangkitkan isu songkok hitam macam UMNO. UFN membidas dengan menyatakan "mengapa orang PAS suka sangat memberikan khazanah dan nilai Melayu pada orang UMNO, sampai songkok pun nak di berikan label orang UMNO, habis tu apa yang tinggal pada orang PAS". Itulah dua bab yang menarik yang sempat saya bincangkan dalam entri ini. Saya rasakan buku ini amat menarik untuk kita mengetahui kisah hidup UFN dari sudut pandang Saudara Haji Subky Abdul Latif. Pembaca akan dihidangkan dengan kisah-kisah yang mungkin tidak kita ketahui selama ini. Perjuangan dan pengorbanan yang dilakukan oleh UFN meninggalkan kesan yang mendalam pada generasi X (generasi lahir antara 1970-1980) di tanah air yang tercinta ini. Terima kasih kepada Saudara Haji Subjy Abdul Latif kerana sebuah buku yang baik dan berkualiti untuk tatapan kami generasi yang hidup sezaman dengan sejarah perjuangan politilk UFN. Semoga Allah menganugerahkan keberkatan kepada penulis di masa-masa mendatang. Sekian

Baca selengkapnya...

Thursday, October 11, 2012

Terasa hati...

0 comments
Salam pertemuan setelah lama tidak memuatkan sebarang cerita baru...kalau tak salah hampir 6 bulan saya tidak bercerita. Saya memilih tajuk di atas pada entri ini kerana saya sesuatu telah berlaku berkaitan dengan sukan kegemaran saya, sukan Petanque.Entah di mana kesilapan saya, pada kejohanan Petanque SMTV/KV tahun ini, saya tidak diberi peluang oleh pihak pengurusan asrama sekolah untuk menyumbangkan kepakaran saya. Sedangkan saya telah menempa kejayaan di tahun 2011 dengan membawa dua pasukan menjadi johan negeri, serta membawa pasukan lelaki menjadi Naib Johan pada peringkat kebangsaan. Kadang-kadang keadaan sebegini membuatkan kita keliru dan di himpit perasaan kecil hati. Itulah hakikatnya dalam kehidupan, umpama roda, kadang di atas dan kadang di bawah. Takdir tahun 2012 sudah menyatakan saya perlu berehat pada tahun ini. InsyaAllah tahun 2013 saya akan kembali untuk membawa pasukan yang lebih mencabar.
Perasaan ini sedikit terubat pada petang tadi ketika saya turun bermain bersama dengan pemain-pemain petanque di Kuala Kangsar. Mendengar kisah cabaran dan dugaan pasukan Petanque Malaysia yang baru sahaja menamatkan cabaran di Marseille dalam kejohanan Petanque dunia membuatkan saya lebih bersemangat untuk meneruskan perjuangan memperkenalkan sukan ini kepada murid-murid tercinta. Dalam kejohanan dunia yang berlansung dari 04/10 - 7/10 yang lepas, pasukan Malaysia berjaya layak ke peringkat suku akhir sebelum tewas kepada pasukan Itali. Satu pencapaian yang amat membanggakan bagi para peminat dan pendokong pasukan petanque di Malaysia. Manakala dalam acara 'shooting' pemain Malaysia Nuzul Azwan Ahmad Termizi (orang Kuala Kangsar), berjaya layak ke peringkat separuh akhir sebelum tewas kepada pemain Perancis, Leboursicaud Bruno. Untuk acara ini dimenangi oleh pemain Kemboja, Sieng Vanna. Maklumat kisah cabaran dan dugaan pasukan Malaysia diceritakan sendiri oleh bonda Nuzul Azwan sendiri. Bermula dari masalah kewangan pasukan Malaysia hinggalah masalah-masalah yang timbul ketika pasukan Malaysia berada di Perancis. Kisah ini membuatkan saya teringat ketika saya membawa pasukan petanque SMVKK ke Karnival sukan dan kebudayaan asrama SMTV/KV Malaysia tahun 2011. Saya lansung tidak mendapat sokongan dari segi pengurusan dan bantuan rakan-rakan malah pada ketika saya telah selesai bertungkus lumus di Pulau Pinang dan tiba di sekolah, ramai rakan-rakan sekerja menyalahkan saya kerana saya membuat kerja orang. Sedangkan pada permulaannya tiada siapapun ambil peduli dengan penyertaan sekolah. Itulah dugaan yang kadang-kadang terpaksa dihadapi jika kita berkecimpung dalam sukan yang tidak pun diketahui oleh masyarakat komuniti sendiri. Setiap kejayaan ada kisah-kisah yang mungkin kita rasa tidak masuk akal. Kerana apa, kerana pepatah melayu mengatakan "Kejayaan tidak akan datang bergolek" jika bergolek sudah tentu senang untuk menggapai kejayaan. InsyaAllah saya akan berusaha untuk menghasilkan kejayaan yang lebih gemilang dalam sukan petanque pada tahun 2013. Kepada bekas-bekas pemain petanque SMTV Kuala Kangsar yang melayari blog ini doakanlah kejayaan sekolah anda dalam sukan petanque pada tahun 2013. Sekian

Baca selengkapnya...

Saturday, April 14, 2012

Konsolidasi di Perak...

0 comments
Salam pertemuan untuk para pengunjung yang dihormati. Semoga saudara dan saudari berada dalam keadaan yang baik dan sejahtera hendaknya. Jika kurang sihat, ingatlah keadaan itu merupakan ujian kepada kita sebagai manusia di muka bumi ini.

Hari ini 14 April 2012, seluruh warga BPTV negeri Perak telah berkumpul di dewan INTIM Ipoh, Perak untuk program "Majlis Konsolidasi Transformasi Pendidikan Vokasional KPM". Kami berbangga juga kerana bersama-sama kami warga SMTV/KV Perak ialah barisan kepimpinan tertinggi BPTV iaitu Tuan Pengarah BPTV sendiri, Tn Hj Tajudin bin Jab, Tim Pengarah BPTV (Pengoperasian Sekolah), TP BPTV Dr Abd Rahman Ayob serta TP Bahagian Keguruan KPM Tn Mohd Khir bin Mohd Yusof. Tujuan utama majlis ini diadakan untuk menerangkan dasar-dasar BPTV kepada seluruh warga BPTV negeri Perak. Sebenarnya zon Perak adalah zon yang terakhir setelah 'road show' ini diadakan di semua zon-zon di Malaysia Barat dan Malaysia Timur.

Dasar transformasi pendidikan vokasional ini adalah hasil perbincangan di peringkat tertinggi BPTV untuk memperkasakan pendidikan vokasional seiring dengan usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Ianya juga merupakan pengalaman dan pengetahuan yang di terima oleh pihak pengurusan tertinggi apabila mereka mengadakan lawatan ke negara-negara maju. Keadaan di sana memperlihatkan kepada mereka bahawa pendidikan vokasional mendominasi pilihan pelajar dengan 75% pelajar memilih untuk aliran vokasional berbanding Malaysia hanya sekitar 8%.






Majlis pada hari ini dimulakan dengan sesi pertama yang telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah KPM Bahagian Perguruan Tn Hj Mohd Khir bin Mohd Yusof dengan tajuk "Konsolidasi Transformasi Pendidikan Vokasional". Antara isi ucapan beliau yang sempat saya catatkan ialah dasar ini bertujuan untuk memperkasakan pendidikan vokasional serta meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran dan tidak lagi berorientasikan peperiksaan sebaliknya struktur penilaiannya adalah berasaskan untuk mengeluarka potensi pelajar itu sendiri.

Slot kedua disampaikan oleh Tn Zainureen bin Mohd Noor dengan tajuk "Promosi dan Jerawaraya". Beliau menyatakan BPTV amat serius dalam melaksanakan dasar transformasi Pendidikan Vokasional dengan pelbagai promosi dan 'road-show' telah dijalankan sepanjang setahun yang lalu. Dasar ini katanya menumpukan kepada tiga hasil utama iaitu
1. 70% daripada hasil KV akan memenuhi industri sebagai tenaga kerja mahir dan berpendapatan tinggi
2. 20% melanjutkan pelajaran ke peringkat IPTA dan IPTS
3. 10% akan menjadi usahawan yang berpendapatan tinggi di masa hadapan




Sesi ketiga disampaikan oleh Timbalan Pengarah BPTV Tn Hj Abdul Rahman Ayob dengan tajuk "Transformasi Minda". Yang sempat saya catatkan hanya apabila ketika beliau memetik kata-kata Datuk Prof Sahol Hamid Abu Bakar iaitu "be part of the solution, not be the part of the problem" kerana pada ketika ini saya amat letih dan kelapan kerana pada ketika itu jam telah menunjukkan pukul 1245 tengah hari.



Sesi terakhir ialah apabila KP BPTV sendiri yang memberikan ucapan. Dan beliau sekali lagi menegaskan bahawa dasar transformasi ini akan membantu membawa Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020



Setelah mendengar penjelasan daripada barisan tertinggi BPTV, maka fahamlah saya akan dasar yang begitu hebat ini. Ianya akan membawa Malaysia menjadi antara negara pengeluar tenaga kerja mahir di dunia dan akan memacu Malaysia menjadi sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Maka persoalan yang timbul ialah di mana tempat saya sebagai guru akademik di dalam sistem KV ini. Ianya pun telah terjawab di mana tempat untuk saya adalah terhad dan saya pasti akan keluar daripada sistem ini. Tambahan pula ketika ini saya memegang jawatan GC Sains yang mana mulai tahun 2013 kekaburan mengenai subjek sains akan timbul. Kiranya tiada maka akan lenyaplah ilmu yang saya pelajari melalui pengalaman selama ini. Justeru itu, saya perlu membuat transformasi peribadi saya sendiri untuk terus relevan sebagai GC.

Berada dalam sistem vokasional selama hampir 10 tahun membuatkan saya banyak belajar tentang gaya dan cara hidup pelajar dan guru-guru di dalam sistem ini. Kebanyakkan pelajarnya adalah pelajar yang hampir tidak dihiraukan di sekolah dahulu. Bayangkan ada pelajar di dalam kelas saya sampai tingkatan 4 tidak pernah memegang atau memerhatikan mikroskop!...Itulah pelajar yang saya hadapi setiap hari. Malah ramai juga juga pelajar yang datang dari keluarga yang bermasalah. Ini sudah tentu membuatkan P&P saya semakin mencabar setiap tahun. Itulah antara pengalaman yang tidak dapat saya lupakan sepanjang saya berada dalam sistem ini. Pengalaman yang di timba di dalam sistem ini InsyaAllah akan mematangkan saya untuk meneruskan karier saya sebagai seorang guru.

Saya bersyukur kerana Allah takdirkan saya berada di dalam sistem ini sampai saat ini. Terima kasih buat rakan-rakan daripada bidang teknikal dan vokasional yang sentiasa membantu dan memberikan nasihat kepada saya ketika saya tergelincir daripada batasan. Buat kakak-kakak di ERT jasa anda kepada saya amatlah besar hanya Allah sahaja mampu membalasnya. Mana mungkin saya akan ada ilmu tentang membuat kek dan seni kulinari jika tidak di atas tunjuk ajar anda di ERT.

Semoga sistem vokasional akan terus maju ke hadapan dan akan membantu negara untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan semua warga SMTV/KV akan bersama memacu kearah negara berpendapatan tinggi dan mencapai matlamat wawasan 2020. InsyaAllah...

Baca selengkapnya...

Saturday, April 7, 2012

Dua buku menarik di akhir bulan Mac yang lalu

0 comments
Salam pertemuan kepada para pengunjung blog yang saya hormati. Semoga saudara/saudari berada dalam keadaan yang baik dan sentiasa berada dalam rahmat tuhan sekalian alam.
Dalam entri saya yang lepas saya ada menyatakan saya berada di Ipoh untuk tempoh seminggu sepanjang cuti sekolah. Dalam tempoh itu juga saya sempat ke beberapa buah kedai buku di sekitar bandar Ipoh. Sepertimana yang saya beritakan dalam entri yang lepas saya bertugas sebagai penjaga gelanggang di Institut Perguruan Ipoh, Ulu Kinta. Dala perjalanan ke IPG Ipoh saya melalui pasaraya Giant, jadi sempat saya singgah untuk melihat apa yang ada ditawarkan di pasaraya Giant pada ketika itu. Tapi apapun tawaran yang diberikan oleh pasaraya Giant telah saya tinggalkan kerana pada ketika itu saya melalui sebuah gerai jualan buku-buku agama. Terjumpalah saya akan dua buku keluaran Jundi Resources yang menarik jika dilihat dari kulit luarnya.

Maka saya pun teruslah membelinya dengan mengeluarkan budget kira-kira RM36.00untuk membeli kedua-dua buku tersebut. Sebenarnya hubungan saya dengan buku-buku keluaran Jundi Resources ini mula berdetak apabila saya membaca buku "Menerjang Badai:60 Tahun Mempersada Perjuangan". Sejak dari itu buku-buku keluaran Jundi Resources ini selalu menarik perhatian saya. Pada saya buku-buku keluaran Jundi Resources menambahkan pengetahuan saya tentang beberapa perkara yang jarang-jarang kita ketemui.

Dua buku yang saya maksudkan itu ialah "Ustaz Azhar:Daie sejuta Ummat" dan "Memahat Lekukan Sejarah:Sebuah Travelog BERSIH 2.0".




Kedua-dua buku ini ditulis dan dieditorkan oleh Ustaz Riduan Mohamad, seorang penulis dan pengkaji yang dianugerahkan kehebatan untuk menulis buku seperti suatu mesin.Semoga Allah panjangkan umur Ustaz Riduan untuk terus menyumbangkan ilmu kepada kita semua.

Buku "Ustaz Azhar:Daei Sejuta Ummat" memamg suatu buku yang menarik kerana ianya menceritakan tentang suatu fenomena yang berlaku ke atas anak muda masa kini iaitu fenomena Ustaz Azhar Idrus. Jika selalu melihat atau mendengar kuliah-kuliah agama yang disampaikan oleh para ustaz di dalam internet kita akan bertemu dengan seorang ustaz yang begitu tinggi ratingnya dalam You Tube. Hampir semua ceramahnya yang diuploadkan di dalam You tube mempunyai viewer melebihi 100,000 orang. Anak-anak muda merupakan peminat tegar beliau. Sehinggakan jadual kuliahnya disebuah universiti di ibu kota terpaksa diubah lokasinya kerana kehadiran penggemar kuliah agama diluar jangkaan penganjur. Terima kasih kepada Ustaz Riduan kerana menyusun buku ini dengan begitu baik sekali. Bab bab yang disusun mudah diikuti dan senang untuk saya mencicip maklumat daripada buku ini. Antara kandungan buku ini ialah bagaimana diceritakan permulaan Ustaz Azhar Idrus memulakan gelanggang daeinya, bantuan-bantuan yang diterima oleh Ustaz apabila ada antara manusia yang kurang berpuas hati dengannya menabur perkara-perkara fitnah ke atasnya. Juga terdapat dalam buku ini sisipan soal jawab Ustaz Azhar Idrus ketika beliau selesai sesi kuliahnya. Banyak juga informasi yang boleh kita ambil pada bahagian ini kerana sesungguhnya ilmu itu ada di mana-mana. Jika kita ingin mengetahui banyak perkara tentang Ustaz Azhar Idrus maka buku ini sesuai untuk kita miliki.

Buku kedua yang ingin saya kongsikan ialah kisah perjalanan hari 9 Julai 2011 kepada beberapa orang individu yang terlibat sepanjang program Bersih 2.0 diadakan. Terdapat 17 kisah menarik yang dimuatkan di dalam buku ini. Banyak maklumat yang boleh diambil daripada kisah-kisah individu yang terlibat kerana kisah-kisah sebegini tidak mungkin akan diceritakan dalam media arus perdana. Antara sebuah kisah yang menarik ialah bagaimana hubungan perkauman yang erat dan kukuh diantara masyarakat Malaysia yang berbilang kaum ketika melakukan demonstrasi. Orang Melayu menolong orang Cina dan Orang Cina juga sebaliknya menolong orang Melayu. Ia jelas bercanggah dengan laporan sesetengah media yang meyatakan ketegangan kaum akan memuncak dan persengketaan antara kaum akan meletus apabila perhimpunan dijalankan. Pada akhir buku ini dimuatkan beberapa keping gambar untuk tatapan pembaca tentang apa yag berlaku sebenarnya pada 090711 yang lepas. InsyaAllah buku ini akan menjawab beberapa persoalan yang mungkin ada ketika kita melihat ulasan peristuwa 090711 di dalam dada-dada akhbar arus perdana.

Wasalam

Baca selengkapnya...

Thursday, March 15, 2012

Buku bulan Mac 2012

0 comments
Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia kepada para pengunjung yang dihormati. Tentu saudara rakan pengunjung sedang beristirehat bersama keluarga ataupun teman yang tersayang. Tahniah diucapkan kerana dapat menyediakan masa emas bersama mereka yang kita sayangi.

Ketika saya menulis entri ini saya sebenarnya sedang melibatkan diri dengan kejohanan tenis MSSM 2012 yang sedang berlansung di bandaraya Ipoh. Rasa menyesal pun ada kerana menghabiskan cuti sekolah dengan menjadi penjaga gelanggang. Tapi setelah ditilik kembali, rasa gembira pun ada kerana inilah kali ke-3 saya terlibat dengan kejohanan MSSM. Bermula dengan bolatampar pada tahun 2008 dan 2009 kemudian tenis pada tahun 2012. Pengalaman yang diperolehi mungkin suatu hari nanti akan berguna kepada saya dalam meneruskan khidmat sebagai seorang guru, InsyaAllah.

Saya agak beruntung kerana ditempatkan untuk menjaga gelanggang tenis Institut Perguruan Hulu Kinta dimana berlansungnya perlawanan tenis bagi acara bawah 12 tahun perempuan. Lebih beruntung lagi kerana pasukan yang bertanding di venue ini terdiri daripada pasukan yang kuat dan yang kurang berpengalaman. Jadi perlawanan berakhir lebih awal daripada yang dijangkakan, kerana pasukan yang kuat begitu hebat daripada segi pukulannya dan tidak mampu di ambil oleh pasukan yang kurang berpengalaman. Perlawanan tamat menjelang pukul 12 tengah hari. Jadi saya mempunyai banyak masa diwaktu petang.

Masa yang terluang diwaktu petang membuatkan saya berkesempatan pergi ke beberapa kedai buku disekitar bandaraya Ipoh. Ketika membelek-belek buku, saya terjumpa sebuah buku yang sebenarnya diterbitkan dalam tahun 2010. Buku yang saya maksudkan ialah buku "Tribut Buat Sang Murabbi, Ustaz Hassan Shukri". Siapa Ustaz Hassan Shukri dan apa kaitan beliau hingga saya membeli buku yang menceritakan hal beliau ?. Ustaz Hassan Shukri(UHS) sebenarnya ialah antara tokoh yang terpenting dalam Parti Islam SeMalaysia (PAS). Sumbangan beliau begitu banyak dalam perjalanan PAS sehingga sampai ke tahap yang ada pada hari ini. Apa kaitan UHS dengan saya agak menarik untuk saya kongsikan bersama.



UHS sebenarnya merupakan sepupu kepada bapa mertua saya. Saya sebenarnya telah berkahwin dengan orang Banjar Sungai Besar, Selangor pada tahun 2003. Pada hari perkahwinan saya dalam bulan Disember 2003, saya berkesempatan bersalaman dengan beliau yang datang jauh dari Kuala Lumpur bersama dengan isteri dan anak-anak beliau. Inilah kehebatan orang Banjar sebenarnya, ikatan kekeluargaan amat utuh sekali kerana sebut sahaja di mana majlis perkahwinan akan dilansungkan mereka akan datang meziarahinya. Pada ketika itu, UHS merupakan senator di Dewan Negara, jadi hebatlah saya kan dapat bersalaman dengan senator pada hari perkahwinan. Itulah pertemuan pertama saya dengan beliau kerana memang saudara-saudara sebelah beliau tinggal di Sepintas, Sabak Bernam, tetapi beliau sudah menetap di Kuala Lumpur. Ucapan tahniah yang beliau sebutkan kepada saya dihari perkahwinan membuatkan saya bertuah kerana ucapan tahniah dari seorang senator Dewan Negara!. Pertemuan kedua saya dengan beliau ialah pertemuan tidak sengaja dengan melihat dari cermin kereta apabila beliau datang ke Padang Rengas, Perak pada tahun 2007 untuk menziarahi Madrasah Yahyawiyah. Saya hanya sempat melambai tangan kepada beliau dan dibalas dengan lambaian oleh beliau mungkin dengan rasa hairan kerana mungkin beliau telahpun lupa akan saya. Itulah pertemuan terakhir saya dengan beliau.

Buku ini hanya setebal 112 mukasurat dengan memuatkan 11 artikel menarik yang memuatkan kisah antara penulis artikel dan UHS bermula dari mukasurat 1 hingga 78, manakala halaman sesudah itu memuatkan galeri gambar UHS. Antara penulisnya ialah Editor bagi buku ini sendiri iaitu Ustaz Riduan Mohamad Nor, YB Khalid Samad, Hj Subky Latif, YB Mohd Nasir Awang dan beberapa wartawan dan bekas wartawan HARAKAH.

Petikan daripada buku ini...

"Jemaah diuji dengan kepayahan dan kesenangan namun beliau tetap dengan dirinya yang sederhana. Intailah dia di markas tarbiah, di halaman markas dengan hamparan rumpur hijau yang dipastikan terpelihara, memungut sampah sarap agar keceriaan markas melambangkan citra perjuangan Islam yang mendambakan kebersihan. Ustaz membersihkan tandas markas, memeriksa aliran longkang agar tidak tersumbat walaupun beliau seorang ahli legislative yang berkesan di Dewan Negara.

Sosok seperti ini juga sukar digalang ganti, mesra dengan anak muda, mudah berkira dengan orang tua, mendengar dengan setia rintihan dan masalah ahli bawahan. Marah dan jerkahlah, Ustaz akan membalas dengan senyuman, sedangkan dia juga mampu menunjukkan ‘ kebanjarannya’. Makan bersila, berlaga lutut dengan ahli bawahan dibawah rimbunan teduh pokok, bergurau mesra merapatkan jurang pimpinan dengan akar umbi yang pelbagai.
Saya akan terus memancang sebuah ingatan Ustaz Hassan terhadap kami, pimpinan pemuda.

“PAS parti orang kampung. Orang susah menyokong PAS kerana perjuangan Islam yang PAS bawa. Jagalah akar umbi. Jagalah cawangan-cawangan”."

Ustaz Hassan Shukri (1939 - 2010), pada saya merupakan seorang tokoh pejuang gerakan Islam yang penting yang telah banyak meyumbang ke arah pencerahan pemikiran masyarakat. Sebagai contoh seperti mana yang dikisahkan oleh Hj Subky Latif pada halaman 67 hingga 70, UHS adalah arkitek terpenting dalam penubuhan Markaz Tarbiyah PAS diseluruh negara. Semasa beliau memegang jawatan Setiausaha Agong buat kali kedua (1982-1989), PAS mengalami serangan yang begitu hebat sekali daripada pihak parti pemerintah, justeru penubuhan Markaz Tarbiyah adalah usaha yang terbaik sekali untuk merapatkan saf dalam perjuangan (pendapat saya).

Buku ini agak menarik untuk dimiliki kerana terdapat beberapa cerita yang menarik yang tidak diketahui oleh orang ramai. Saya rasa tidak rugi jika kita letakkan buku ini dirumah sebagai koleksi peribadi dalam perpustakaan dirumah kita.

Wasalam

Baca selengkapnya...

Monday, February 27, 2012

Petanque Piala Angkasa Negeri Perak 2012

0 comments
Alhamdulillah dapat bertemu untuk kali ini. Entri kali ini cuma akan bercerita tentang penyertaan pasukan Petanque SMV Kuala Kangsar ke kejohanan Petanque Piala Angkasa Negeri Perak 2012.

Cuba lagi tahun depan!...Itu adalah ungkapan yang paling sesuai bagi menggambarkan situasi penyertaan pasukan petanque untuk tahun 2012. Pasukan yang saya tubuhkan pada Februari 2011 masih lagi belum mampu menyaingi pasukan-pasukan yang mempunyai nama seperti SMK Bukit Merchu, SMK Simpang Beluru dan pasukan-pasukan dari daerah Kuala Kangsar. InsyaAllah pada tahun ini saya akan tubuhkan pasukan yang lebih boleh mencabar pada tahun hadapan.

Penyertaan pada tahun ini begitu meriah sekali dengan sebanyak 152 buah pasukan bertanding dari 93 buah sekolah menengah. Penyertaan lelaki sebanyak 72 pasukan sementara pasukan perempuan sebanyak 80 pasukan.






Pasukan lelaki SMV Kuala Kangsar berjaya melayakkan ke pusingan ke-3 dengan meletakkan tempat sebagai 16 pasukan terbaik di dalam negeri Perak. Dalam perlawanan penentuan ke suku akhir pada pusingan ke-3, pasukan lelaki SMV Kuala Kangsar tewas kepada SMK Ulu Kinta dengan kiraan 9-13. Manakala bagi pasukan perempuan pula berjaya layak ke pusingan ke-2 sebelum tewas dengan SMK Lambor Kiri dengan kiraan mata 11-13. Kekecewaan jelas tergambar pada wajah pelajar perempuan apabila target mereka untuk layak ke separuh akhir tidak dapat direalisasikan.






Inilah ketentuan Tuhan yang maha berkuasa atas setiap sesuatu. Kita hanya mampu merancang, tapi Tuhan saja yang akan menentukan sama ada berjaya atau tidak. Sebab itulah Allah sentiasa menyuruh kita berdoa kepada-Nya agar usaha kita akan mendapat perkenan daripada-Nya.

Wasalam.

Baca selengkapnya...

Thursday, February 9, 2012

Buku bulan Disember

0 comments
Salam pertemuan di dalam bulan kelahiran junjungan besar kita Nabi Muhammad Shallalahu alaihi wasalam. Semoga kehadiran bulan ini akan membuatkan kita mencari dan berusaha menambah pengetahuan kita tentang riwayat hidup Nabi yang kita sayangi dan sentiasa berharap untuk bertemu dengannya suatu hari nanti. Sebuah buku yang menarik untuk kita miliki pada bulan ini ialah buku Sirah Nabawiyah S.A.W ar-rahiq al makhtum karangan al-Sheikh Safiyyu al-rahman al-mubarakfuri. Buku ini telah pun diterjemahkan dalam bahasa malaysia dan telah berada di pasaran. InsyaAllah buku ini akan mengisi kekosongan pengetahuan kita tentang sirah perjalaan hidup Nabi Muhammad yang kita kasihi.

Dalam bulan-bulan yang lepas saya sempat menghabis sebuah buku biografi tentang seorang tokoh ulama yang saya kenali melalui tulisannya sejak diperkenalkan dengan kitab "aqidah ahli sunnah wal jamaah". Tokoh yang saya maksudkan ialah Tuan Guru Hj Said bin Ibrahim (1923-2001), seorang figura ulama yang memegang jawatan mufti sabah sebanyak 2 kali (1975-1978, 1985-1989).



Buku ini saya jumpa ketika saya pulang bercuti bersama keluarga di Kedah. Terima kasih kepada saudara Roosfa Hashim kerana berusaha menghasilkan buku yang amat bernilai ini. Semoga usaha yang murni ini dapat memperoleh balasan yang setimpal di hadapan Tuhan yang Maha mulia.

Pengarang membahagikan buku ini kepada 17 bab yang sarat dengan informasi tentang perjalanan kehidupan Tuan Guru. Jika kita pernah membaca kitab-kitab karangan Tuan Guru Hj Said, saya rasa buku ini akan melengkapkan pengetahuan kita tentang siapakah sebenarnya Tn Guru Hj Said. Antara maklumat yang menarik yang di muatkan dalam buku ini ialah betapa Tn Guru Hj Said merupakan seorang insan yang selalu berkelana untuk berdakwah. Bermula kehidupan kanak-kanak di Kelantan, mendalami ilmu agama di Jambi, Indonesia, menjadi tenaga pengajar di Kelantan dan Singapura. Seterusnya berkelana di Brunei, kemudiannya di Sabah dan akhirnya tiba di Kuala Lumpur membantu memperkukuhkan perkembangan Islam di ibu kota.

Tuan Guru Haji Said merupakan seorang ulama yang dianugerahkan kebolehan menulis dengan amat baik. Tidak hairanlah jika puluhan buku dihasilkan oleh beliau malah beliau memiliki syarikat penerbitannya sendiri iaitu Darul Ma'rifah. Antara karya beliau ialah:
1. Mengenal al-Quran (Media Hasda,1991)
2. Aqidah ahli sunnah wal Jamaah (Darul Ma'rifah, 1995,2001)
3. Penolakan Terhadap Penilaian semula hadith (Media Hasda, 1987), buku ini dihasilkan untuk menjawab kritikan golongan yang cuba memesongkan pemikiran umat Islam di Malaysia tentang kaedah pengumpulan dan penyusunan hadith.
4. Qanun Jinayah Syar'iyah dan Sistem kehakiman dalam perundangan Islam berdasarkan Quran dan Hadith (Darul Ma'rifah, 1996)
5. Perbandingan Aqidah dan Fahaman Umat Islam (Darul Ma'rifah, 1995)
6. Jinayah Murtad dari sudut Hukum Syara' dan Perundangan Islam (Darul Ma'rifah, 1998)
7. Asas Kekeluargaan dalam Islam (Penerbitan Knight, 1980)
dan banyak lagi (rujuk buku ms 106 dibawah tajuk :Pengarang Prolifik)

Tuan Guru Haji Said jatuh sakit tidak lama selepas menerima anugerah Ijazah Kehormat Sarjana Pengajian Islam dari Universti Kebangsaan Malaysia. Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada pukul 1.10 pagi 22 Disember 2001 (ms 124). Pemergian beliau pada usia 78 tahun merupakan satu kehilangan yang sukar di cari ganti. Benarlah kata-kata Nabi Shallalahu 'alaihi wasalam, "jika Allah berkehendak untuk mengangkat ilmu, maka akan diambil nyawa orang-orang yang pandai agama dikalangan kamu". Permata yang hilang ini telah berjasa untuk kita semua umat Islam di Malaysia bumi yang bertuah ini.

Kitab-kitab karangan Tuan Guru masih segar untuk di baca dan dijadikan rujukan ketika kita berada di dalam situasi yang mengelirukan. Sebagai contoh, akhir-akhir ini, media massa dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan menyuarakan tentang isu murtad, maka kitab "Jinayah Murtad dari sudut hukum syara' dan perundangan Islam" adalah jawapan kepada kekusutan dan kekeliruan yang mungkin kita alami.

Semoga roh Tuan Guru berada dalam rahmat Allah dan dikurniakan berada dalam taman-taman syurga yang indah di dalam alam keempat yang wajib dilalui oleh setiap manusia.

Sekian...

Baca selengkapnya...

Saturday, January 21, 2012

Bermulanya episod baru...

0 comments
Salam pertemuan setelah agak lama tidak berbicara dalam blog ini. Entah kenapa tidak dapat meluangkan masa di hadapan komputer untuk menaip sesuatu yang baru bagi melatih diri untuk menjadi penulis suka-sukaan.

Tahun 2011 sudah melabuhkan tirainya, kini tahun 2012 sudah membuka tirainya masuk sebulan. Detik manis, masam,suka dan duka yang dikecapi pada tahun 2011 masih segar dalam ingatan. Namun semua itu sudah berlalu dan akan menjadi kenangan yang abadi sebelum mata ini dipejamkan buat selama-lamanya. Pada tahun 2012 juga dalam konteks subjek Applied Science pengajaran dalam bahasa Inggeris telah digantikan dengan pengajaran dalam bahasa Malaysia melalui dasar MBMMBI dengan dasar yang dikatakan sebagai soft-landing PPSMI.

Justeru itu saya mengambil langkah untuk menukarkan nama blog ini kepada "DEDAWAI BERISI" kerana memikirkan peranan saya dalam membina dan menyusun sukatan untuk matapalajaran "Applied Science" telah dijumudkan dan saya tidak lagi mempunyai pengetahuan yang terkini tentang perkembangan subjek "Applied Science". Jadi kiranya rakan-rakan pengunjung bertanya tentang status dan perkembangan subjek "Applied Science" saya tidak mampu menjawabnya.

Pemilihan nama "DEDAWAI BERISI" adalah suatu inspirasi daripada satu nama tumbuhan ubi yang terkenal dirumah saya suatu waktu dahulu. Ubi ini dikenali sebagai ubi jaga di kawasan utara. Teringat suatu ketika dulu di kampung, tok wan selalu merebus ubi dedawai berisi setiap pagi jumaat untuk kami sekeluarga, sedapnya ubi itu pada ketika itu hinggakan ketika saya menulis kisah ini air liur saya mula dirembeskan.

Semoga dengan kehadiran tahun baru ini akan menjadikan kita lebih peka dengan persoalan hidup kita di atas muka bumi ini.

Baca selengkapnya...
 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--