Saturday, December 28, 2019

"Travelog Emas - Hafizul Hakim" sebuah buku yang patut dimiliki

0 comments
Salam semuanya. Sepanjang minggu lepas (23/12/19 - 27/12/19) saya berpeluang ke kedai buku MPH di Kinta City Ipoh. Kesempatan berada di dalam kedai buku tersebut menemukan sebuah buku berkaitan dengan simpanan emas fizikal yang ditulis oleh Saudara Hafizul Hakim. Untuk makluman para pengunjung Hafizul Hakim adalah antara pengedar Public Gold yang berjaya.
Saya akan memberikan sedikit review berdasarkan pembacaan saya pada buku yang telah saya miliki ini. Seusai saya menghabiskan bacaan buku yang setebal 103 mukasurat ini, makafahamlah saya akan maksud apa yang penulis ingin kongsikan. Penulis membahagikan bukunya kepada empat topik yang besar iaitu Matlamat, Pengurusan kewangan, Tabung Pupuk Habit Simpan dan Ilmu asas simpanan emas. Dalam membicarakan soal matlamat hidup dan kewangan penulis menekankan betapa pentingnya seseorang individu itu mempunyai matlamat kewangan. Malah penulis menekankan dalam m/s 6 dengan menyatakan "Tanpa matlamat, kita tak akan tahu ke mana hala tuju dan apa yang kita kehendaki secara jelas. Belajar buat matlamat!" Sesesungguhnya kehidupan kita didunia adalah amat singkat dan amatlah rugi jika kita tida meletakkan suatu sasaran yang jelas dalam menempuh penjalanan hidup. Penulis dalam membicarakan soal matlamat menggariskan beberapa panduan untuk meletakkan matlamat kehidupan dalam setiap peringkat umur iaitu di usia 20an, 30an, 40an dan 50an. Idea yang diberikan penulis boleh dijadikan panduan dengan mengubahnya mengikut kesesuaian perjalanan kehidupan kita. Sebagai contoh jika ada di kalangan kita yang baru sahaja menamatkan pengajian di peringkat universiti, boleh saja mengambil beberapa nasihat yang diutarakan oleh penulis untuk menyediakan matlamat di usia 20an.
Baca selengkapnya...

Tuesday, July 2, 2019

Ulasan buku "Elakkan dari disenarai hitam dalam pinjaman"

0 comments
Ketika pulang bercuti sambutan hari raya aidilfitri bulan lepas (Jun 2019), saya berkesempatan meluangkan masa untuk ke kedai buku Hasani Books Store di Alor Setar Kedah. Keistimewaan kedai buku Hasani di Alor Setar ialah mempunyai pelbagai genre buku untuk penggemar buku memilihnya. Saya memilih untuk membaca buku berkaitan dengan pengurusan kewangan yang ditulis oleh dua tokoh kewangan yang cukup dikenali oleh sesiapa yang sentiasa mencari pengetahuan dalam bidang pengurusan kewangan peribadi. Baik lah, buku yang saya maksudkan bertajuk "Elakkan dari disenarai hitam dalam pinjaman" tulisan Tuan Mohd daud Bakar dan Mohd Razman Salleh. Buku setebal 152 mukasurat ini membicarakantentang beberapa kaedah pengurusan kredit agar sentiasa di pandang berkemampuan oleh pihak yang memberi pinjaman terutamanya pihak bank.
Penulis memulakan mukadimah buku dengan menyatakan beberapa fakta yang menakutkan tentang apa yang berlaku dengan masyarakat diluar sana apabila berurusan dengan kewangan peribadi. Halaman v menceritakan statistik sehingga Februari 2017 menunjukkan sejumlah 85,338 rakyat Malaysia diisytiharkan muflis dengan kebanyakannya dalam lingkungan usia 30 an. Penulis juga memuatkan fakta yang menyatakan bahawa terdapat penjawat awam yang hanya mempunyai baki gaji sebanyak 15% sahaja untuk dibelanjakan setiap bulan akibat daripada pengurusan kredit yang lemah. Buku ini terbahagi kepada 11 bab dengan dua bab tambahan, bonus kepada para usahawan untuk meningkatkan tahap kredit mereka ketika menguruskan perniagaan. Memulakan bab 1, penulis berkongsi beberapa kaedah untuk menambah baik kedudukan kredit dengan menyenaraikan lima C bagi Kredit iaitu Capacity, Capital, Conditions, Collateral dan Character. Langkah pertama yang perlu pembaca lakukan seusai menghabiskan bab ini ialah duduk di meja dan menyenaraikan jumlah kredit terkini anda. Setelah berjaya menyenaraikan jumlah kredit semasa, bab 2 datang dengan perkongsian bagaimana mengetahui kedudukan kewangan terkini kita. Apakah aset-aset yang dimiliki dan apakah liabiti -liabiliti yang ditanggung ketika ini. Penulis juga berkongsi tentang kepentingan menyimpab wang dalam bentuk aset wang tunai dan juga dalam bentuk tradisional sebagai contoh memiliki aset emas. Sambung dalam post seterusnya sb masa mengajar dah sampai

Baca selengkapnya...

Tuesday, May 7, 2019

Buku "Pembiayaan Islam, Mengapa Wajib Pilih" patut dimiliki...

0 comments
Salam Ramadhan Kareem buat semua rakan pengunjung. Ketika saya memuatkan tulisan ini, kita di Malaysia berada dalam hari kedua di bulan yang penuh dengan keberkatan. Sama-sama lah kita berdoa agar kita sentiasa di berkati Allah SWT dan diperkenankan agar dapat bertemu dengan malam seribu bulan yang pasti berlaku dalam bulan Ramadhan ini. Pertemuan pada entri kali ini akan membincangkan sebuah buku berkaitan pengurusan kewangan Islam yang telah saya baca dalam dua minggu terakhir di bulan April yang lepas. Buku yang berjudul " Pembiayaan Islam: Mengapa wajib pilih" karya Saudara Ahmad Zairul bin Dzuljastri diterbitkan oleh Syarikat Pejuang Usahawan Sdn Bhd dan telah berada di pasaran sejak April 2018.
. Ini bermakna saya mengambil masa lebih kurang setahun untuk menjumpai buku ini dipasaran. Jelasnya kekurangan sumber bacaan berkaitan pengurusan kewangan Islam lebih-lebih lagi berkaitan pembiayaan Islam amat diperlukan oleh pembaca Muslim yang begitu dahagakan maklumat yang bersifat neutral yang tidak menyebelahi mana-mana institusi kewangan Islam yang menawarkan skim pembiayaan. Bagi saya penulis berjaya memberikan pemahaman dan pengetahuan tentang bagaimana sistem pembiayaan Islam berbeza dengan sistem pembiayaan konvesional. Buku setebal 155 mukasurat ini sarat dengan pengetahuan dan maklumat tentang sistem pembiayaan Islam. Penulis membahagikan buku ini kepada 11 bab dengan satu bab tambahan berkaitan dengan biografi penulis. Jadi bagi rakan pengunjung yang hendak mengetahui siapakah penulis buku ini, bolehla dapatkan buku ini di pasaran dan membaca tentang penulis di dalam bab 12. Penulis memulakan bab 1 dengan membincangkan "Pengenalan pembiayaan Islam". Penulis menerangkan tentang fungsi sesebuah bank dan menjelaskan faktor utama yang membezakan antara bank Islam dan bank konvensional. Jelasnya asas utama pengendalian perniagaan dalam bank Islam terletak pada ketetapan al Quran dan As Sunnah yang berdasarkan konsep adil dan saksama demi kepentingan masyarakat seluruhnya. Dalam bab ini juga penulis berkongsi tentang perkembangan sistem perbankan Islam di dunia yang bermula pada tahun 1963 dan khususnya di Malaysia pada tahun 1983 apabila Bank Islam Malaysia ditubuhkan. Kira-kira 20 tahun selepas penubuhan bank Islam pertama di dunia di bumi Mesir. Dalam bab 2, penulis membincangkan isu kekeliruan masyarakat berkaitan dengan pembiayaan Islam dan pembiayaan konvensional. Keistimweaan sistem kewangan Islam ialah bank Islam melalui tawaran pembiayaan memperolehi keuntungan dengan cara yang tidak bercanggah dengan Islam. Keuntungan dihasilkan melalui kontrak jual beli, perkongsian untung rugi dan beberapa kontrak lain yang diiktiraf oleh syariah. Penulis terus berkongsi lagi dalam bab bab seterusnya dengan mengutarakan isu-isu seperti pembiayaan Islam vs Riba, jenis-jenis pembiayaan Islam vs Hartanah, Pembiayaan Islam tiada unsur penindasan dan pengalaman dan kes study kontrak dalam pembiayaan Islam. Sebagai kesimpulan, sebagai pengguna terbesar di Malaysia dan juga dikategorikan sebagai pengguna Islam maka seharusnya pembiayaan Islam merupakan kemestian kepada pengguna Islam untuk melanggannya. Isunya bukan pilihan tetapi kemestian yang harus di ambil oleh setiap pengguna Islam. Pesaingan sengit antara bank konvensional menawarkan produk2 pembiayaan dengan kadar faedah yang rendah membuatkan terkadang kita sebagai pengguna Islam terpengaruh mengambil produk pembiayaan konvensional. Tetaplah hati dalam menyokong produk pembiayaan Islam kerana pasti ada keberkatannya. Menjadi juga tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim untuk mengutamakan keadilan dengan memilih produk pembiayaan Islam dan menyokong usaha penyelesaian masalah-masalah ketidakadilan yang diakibatkan oleh perbankan konvensional. Bagi saya, kepada pengguna-pengguna Islam diluar sana yang dahagakan pengetahuan tentang bagaimana sistem pembiayaan Islam menjalankan operasinya, maka buku ini wajib dimiliki sebagai bahan bacaan dan juga koleksi di dalam rumah tuan-tuan.
Baca selengkapnya...

Saturday, May 4, 2019

Ulasan Buku : Rabbaniyyin bukan Ramadaniyyin : Dr Syeikh Yusuf Al Qaradhawiy

0 comments
Salam pertemuan kepada pengunjung yang di hormati. Ketika menaip untuk entri ini, kita semua berada semakin hampir dengan kedatangan bulan Ramadan Kareem. Hari ini merupakan 28 Syaaban dan ini menunjukkan tinggal sehari lagi Ramadan yang di nantikan akan tiba. Marilah sama-sama kita memanjatkan doa pengharapan kepada Allah SWT agar kita dapat bertemu dengan Ramadan yang dinantikan. Buku yang dibaca oleh saya dan hendak dikongsikan dengan rakan-rakan pengungunjung pada entri kali ini ialah buku yang telah saya baca dalam tahun 2013. Buku ini saya baca semula pada tiga hari lepas dan rasa dalam diri saya untuk berkongsi sedikit pemahaman saya tentang apa yang saya hadamkan dari buku ini. Buku yang saya maksudkan ialah buku setebak 165 mukasurat karya As Syeikh Yusuf Al Qaradhawiy bertajuk "Rabbaniyyin bukan Ramadaniyyin : Beramal sepanjang masa.
Judul asal buku ini adalah Khutbah Asy Syeikh Yusuf Al-Qaradhawiy, Nafahat Al-Jumaat, Jadilah Rabbaniyyin Bukan Ramadaniyyin. Karya Dr Yusuf Al Qaradhawiy ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia oleh Muhammad Dzulhilman Bin Roslan. Sudah menjadi "umum balwa" bagi kebanyakkan orang Islam (termasuklah saya) apabila tibanya bulan Ramadan, kita berusaha melipat gandakan amalan kita. Solat berjemaahnya dijaga setiap waktu, Al-Quran dibaca sekerap yang mungkin, sedekah bertambah, solat sunat hampir setiap malam, qiamullail dan pelbagai lagi amalan akan cuba diusahakan sebanyak mungkin. Segala-galanya dilakukan untuk mengejar ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah SWT didalam bulan yang berkat ini. Tapi akhirnya, apabila berakhir bulan Ramadan, motivasi dan ketekunan kita semasa bulan Ramadan hilang bersama dengan berakhirnya bulan Ramadan. Jadilah kita orang yang hanya bertungkus lumus beribadat dalam bulan Ramadan yang di sebut oleh syeikh sebagai Ramadaniyyin dan bukan orang yang sentiasa istiqamah melakukan ibadah yang di sebut sebagai Rabbaniyyin. Inilah intipati yang terdapat dalam buku setebal 165 mukasurat ini, yang merupakan perbincangan tentang Ramadaniyyin dan Rabbaniyyin khutbah Syeikh Dr Yusuf al Qaradhawiy. Buku ini mengandungi 40 khutbah yang telah disampaikan oleh Dr Yusuf al Qaradhawiy dan ada di antaranya mengandungi soalan-soalan yang menimbulkan rasa ingin lebih tahu kepada para pembaca. Persoalan pertama yang dibangkitkan oleh As Syeikh Dr Yusuf ialah "Ramadan: Apa yang Lainnya". Beliau menimbulkan persoalan tentang berada ruginya kepada merekan yang mempunyai nama-nama indah Islam tetapi apabila datang kepada Ramadan mereka mengotorinya dengan aktiviti yang tidak bermoral. Khutbah pendek ini di akhiri dengan peringatan betapa mulianya bulan Ramadan dengan kehadiran malam lailatul qdar dengan memuatkan surat al Qadar sebagai motivasi kepada pembaca. Buku ini seharusnya di miliki untuk menambahkan lagi pengetahuan kita dan pembacaan di dalam bulan Ramadhan....tk
Baca selengkapnya...

Monday, April 29, 2019

Ulasan Buku : "Hamka: Permata Tafsir Bumi Nusantara"

0 comments
Ketika mengunjungi Pesta Buku Perak 2019 pada 24 April lepas bertempat di Pasaraya Mydin Meru Ipoh, saya berkesempatan masa dan diberikan rezeki untuk memiliki sebuah yang baru sahaja diterbitkan pada 15 Januari 2019 oleh PTS Publishing House. Buku tulisan Dr Muhammad Yusry Affandy, pensyarah fakulti Al Quran dan Hadis ini memang bertepatan dengan kehendak saya yang amat perlukan maklumat berkaitan dengan Buya Hamka dan karya teragung beliau iaitu Tafsir Al Azhar. Malah saya hanya mengambil masa kira-kira 3 hari untuk menghabiskan membaca buku ini yang setebal 232 mukasurat. Memang moleklah kiranya saya kongsikan ulasan peribadi saya berkaitan dengan buku ini di dalam posting saya pada hari ini.
Penulis dalam mukasurat 204 menyatakan "Semoga dengan terhasilnya buku ini, para pembaca dapat mengenali dan menghayati ketokohan Hamka sebagai ahli tafsir yang berpengaruh di rantau Nusantara". Memang benar sekali apa yang dihasratkan oleh penulis itu amat diperlukan oleh peminat tafsir al Quran yang dihasilkan bukan dalam Bahasa Arab. Malah menurut penulis, Buya Hamka merupakan ahli tafsir al Quran tunggal yang berjaya menghasilkan tafsir Al Quran dalam bahasa selain dari bahasa Arab pada zamannya. Penulis membahagikan buku ini kepada 21 topik perbincangan kecil bermula dari topik latar belakang Hamka hinggalah ke topik sumbangan Terhadap dunia Islam Nusantara. Amat istimewa pula, di dalam buku ini di tambah pula prakata penulis yang amat berharap agar para pembaca dapat mengenali ketokohan Hamka sebagai ahli tafsir terkemuka di Nusantara dan ditambah lagi dengan penggunaan contoh dan isu tempatan yang digunakan oleh Buya Hamka bagi menjelaskan ayat-ayat al-Quran. Tambahan lagi terdapat juga pantun, syair dan sajak alam Melayu yang dimuatkan oleh Buya Hamka di dalam tafsir Al Azhar menimbulkan lagi rasa ghairah pembaca yang amat meminati alam bahasa Melayu. Malah ucapan Perdana Menteri Malaysia kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein ketika menganugerahkan Hamka dengan Doktor Kehormat Persuratan di UKM, beliau berkata " Hamka bukan milik rakyat Indonesia sahaja, tetapi beliau juga adalah tokoh kebanggaan seluruh bangsa Asia Tenggara" Ringkasan topik Latar Belakang Hamka Prof. Dr. Haji Abdul Malik bin Dr. Syekh Haji Abdul Karim Amrullah, atau lebih dikenali dengan nama samaran Hamka, adalah ulama, novelis, ahli falsafah dan aktivis politik Indonesia yang mempunyai pengaruh yang besar di Nusantara ini. Pada zamannya, beliau adalah satu-satunya ulamak yang menulis tafsir al-Quran bukan di dalam bahasa Arab, tetapi di dalam bahasa Melayu. Beliau mula menulis tafsir ini ketika beliau memberi kuliah di Masjid Al-Azhar Padang dan menyiapkan tulisannya di penjara pada pemerintahan Soekarno. Hamka dilahirkan pada 17 Februari 1908 di Kampung Molek, Sungai Batang, Tanjung Raya, di Minangkabau, Sumatera Barat, merupakan anak pertama dari tujuh adik beradik. Ayahnya seorang guru agama, Haji Abdul Karim Amrullah. Bapanya antara ulama yang membuat pembaharuan agama di Minangkabau- yang lebih dikenali dengan gelaran Haji Rasul. Dalam topik Kembara Ilmu, penulis mendedahkan proses perkembangan ilmu pengetahuan Buya Hamka bermula dari rumah bersama dengan ayahnya. Ayah Buya Hamka begitu mengambil berat tentang perkembangan ilmu Buya Hamka sehinggakan walaupun sukar difahami di peringkat awal pengajian. Ketika berusia 4 tahun, Buya Hamka bersama keluarga berhijrah ke Padang Panjang, Suamtera Indonesia. Selain sibuk dalam lapangan ilmu, ketika kanak-kanak Buya Hamka sering meluangkan masa meninjau keadaan kampung setempat bagi bermain-main dan menangkap ikan. Buya Hamka juga mahir bersilat hasil daripada kembara beliau ke kampung-kampung. Melalui kembara ilmu inilah, Buya Hamka menghasilkan beberapa novel yang amal berkualiti seperti Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Di Bawah Lindungan Ka'bah, Merantau ke Deli, Terusi dan Keadilan Ilahi. Sumbangan karya yang mangagumkan membuktikan Buya Hamka adalah seorang sasterawan yang amat berpengaruh kerana novel tulisannya masih di baca sehingga ke zaman ini. Saya secara peribadi amat menyarankan rakan-rakan pengunjung untuk mendapatkan buku ini di pasaran kerana pembaca boleh mengenali siapakan Buya Hamka dan sumbangannya dalam ilmu Tafsir Al Quran di Nusantara. Dalam Bab 19 ketika membicarakan Sumbangan Buya Hamka terhadap Dunia Islam dan Nusantara, Dr Muhammad Yusry Affandy menyimpulkan enam sumbangan penting Buya Hamka iaitu (a) Mengembangkan ilmu (b) Menjana pemikiran dinamik (c) Merencanakan pembaharuan terhadap amalan masyarakat (d) Mempelbagaikan wacana dakwah (e) Mewujudkan persaudaraan Islam tanpa batasan, dan (f) Memimpi masyarakat dengan risalah Islam.
Baca selengkapnya...

Sunday, March 31, 2019

Kuliah Ustaz Dato' Shamsuri 18/03/2019 - mengimbau memori 2002

1 comments
Sengaja saja namakan tajuk post saya kali ini berkaitan dengan kuliah ustaz Shamsuri Hj Ahmad yang baru saja saya hadamkan melalui platform Zon Kuliah di Facebook. Kuliah Ustaz Shamsuri yang dirakamkan oleh pihak Zon Kuliah pada tarikh 18/03/2019 ini ternyata membuatkan saya mengimbau kenangan saya di tahun 2002 ketika saya menuntut di Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang. Pada tahun tersebut, saya begitu aktif mengikuti kuliah ustaz Shamsuri di Masjid Gelugor Pulau Pinang dan Masjid Padang Temusu Sungai Petani. Bayangkan dengan menunggang motosikal EX5 saya bergerak solo mengikuti kuliah Ustaz Shamsuri tanpa mengenal keletihan kerana selalunya akan pulang dr kuliah ustaz kira-kira jam 12 tgh malam kalau saya mengikuti kuliah di Masjid Padang Temusu. Letih dan penat tak terasa lansung pada ketika itu kerana atas sebab seronok untuk berada di dalam kuliah kitab Bahrul Mazi. Saya mula mengenali kuliah ustaz Shamsuri sekitar tahun 1995 ketika sedang belajar di Universiti Sains Malaysia. Ketika itu kuliah ustaz Shamsuri hanya boleh di dapati dalam bentuk kaset. Kaset itu pun dipasang oleh sahabat saya Anas Ibrahim di rumah sewa kami di Tronoh Perak. Maka bermula saat itu lah saya begitu tertarik dengan penyampaian Ustaz Shamsuri. Untuk makluman para pengunjung, kitab pertama yang saya ikuti melalui kaset ialah kitab "Muhimmah fil ilmi Hadis", yang mana hingga ke saat ini kaset-kaset itu masih lagi tersimpan kemas dalam jagaan saya. Saya berterima kasih tidak terhingga kepada Ustaz Shamsuri kerana dengan cara penyampaian beliaulah saya begitu meminati untuk mengasah membaca tulisan kitab jawi. Disamping kitab "Muhimmah fil ilmi hadis", saya telah melakukan pengumpulan kitab-kitab jawi di dalam perpustakaan mini saya dirumah, di mana sahaja toko buku Islam yang saya sampai, saya pasti akan mencari koleksi kitab jawi untuk di simpan di dalam perpustakaan mini saya. Tamat saya belajar di USM tahun 2000, sementara menunggu untuk mendapat tawaran kerja, saya bekerja sambilan di sebuah stesyen minyak di Sungai Petani. Selama 4 bulan saya bekerja, sempat saya kumpulkan wang untuk mendapatkan dua kitab yang digunakan oleh al-fadhil ustaz iaitu kitab Bahrul Mazi dan kitab Tafsir Nurul Ihsan. Teringat ketika saya hendak mendapatkan kitab Bahrul Mazi di Pustaka Amin di Sungai Petani (saya tak pasti sama ada toko buku ini masih lagi ada di Sungai Petani), tuan punya toko buku bertanya kembali kepada saya "betui ka anak nak beli kitab ni, payah nak cari orang muda reti baca kitab jawi ni", saya hanya senyum padanya dan mengeluarkan wang sebanyak RM450.
Saya sentiasa akan ingat angka itu kerana ia merupakan wang pertama yang saya kumpul hasil titik peluh saya bekerja sebagai pam atendan di stesyen minyak. Setelah mendapatkan kitab tersebut, semalaman saya membacanya (walaupun agak lambat memabaca tulisan jawi pada ketika itu) dan terus terang saya katakan kitab Bahrul Mazi cocok dengan namanya iaitu Lautan Madu, makin di baca, makin bertambah manis. Melalui kuliah al fadhil ustaz di dalam kaset juga, saya mendapat motivasi untuk memperbanyakkan koleksi perpustakaan mini saya dengan kitab-kitab tafsir terutamanya kitab tafsir Al Azhar karya agung Dr HAMKA. Alhamdulillah pada tahun 2012, saya dapat memiliki kitab tafsir ini dan ianya kini berada dalam perpustakaan mini saya untuk senang saya membuat rujukan ketika diperlukan. Akhir kata dalam entri kali ini, saya amat berterima kasih kepada sahabat saya Anas Ibrahim kerana memperkenalkan saya dengan kuliah Ustaz Shamsuri dan juga terima kasih kepada Ustaz Shamsuri kerana banyak memotivasikan saya melalui kuliah-kuliahnya walaupun Ustaz Shamsuri tidak mengenali saya. Saya sentiasa berdoa agar Ustaz di murahkan rezeki dan kekal sihat untuk menjalankan kerja-kerja dakwah....

Baca selengkapnya...
 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--