Wednesday, October 7, 2009

Bagaimana manusia mengesan halaju cahaya

0 comments
Dalam catatan saya berkaitan ceramah ustaz Dr Jamnul Azhar pada 27 September 2009, saya ada mengulas apa yang diperkatakan oleh Ustaz Dr Jamnul Azhar iaitu tentang kelajuan cahaya dan manusia yang pertama dan terakhir yang bergerak dengan kelajuan cahaya.
Cahaya diukur bergerak dengan kelajuan 300,000,000 m/s (299 792 458 m/s) atau dalam kata lain cahaya bergerak pada 300 000 km dalam masa satu saat.
Kelajuan cahaya adalah kemuncak segala kelajuan, justeru itu bagaimana manusia dapat mengesan halaju cahaya yang begitu pantas ini?

Untuk melihat,kita memerlukan cahaya. Pada zaman dahulu sewaktu manusia belum memahami sifat-sifat cahaya agak sukar untuk mereka memahami konsep 'melihat'
Pendapat pertama menyatakan mata manusia mengeluarkan cahaya bagi melihat. Pendapat kedua pula menyatakan objek itu sendiri mengeluarkan cahaya. Pada hari ini, kita telah mengetahui bahawa proses melihat itu berlaku apabila cahaya yang dipantul atau datang apabila imej objek memasuki mata. Cahaya ini difokuskan ke retina yang kemudian menghasilkan isyarat-isyarat tertentu dan ditafsirkan oleh otak sebagai penglihatan.






Dari aspek ilmu fizik, cahaya dikategorikan sebagai sejenis tenaga. Berbeza dengan bunyi yang merupakan gelombang mekanikal, cahaya tergolong dalam keluarga gelombang elektromagnet. Sebagai gelombang elektromagnet, cahaya tidak memerlukan medium sebagai bahan perantaraan pergerakannya. Selain itu cahaya juga mempunyai halaju yang sangat tinggi apabila bergerak melalui satu ruang vakum. Umum mengetahui bahawa halaju cahaya akan berkurang sedikit apabila melalui sesuatu bahan dengan ketumpatan tertentu. Kesan ini menyebabkan berlakunya fenomena pembiasan sebagaimana yang kita lihat apabila cahaya melaui kanta.

Walaupun kelihatan 'tenang' di luaran tetapi terdapat beberapa aspek cahaya yang menarik manusia untuk mengkajinya dengan serius. Kewujudan pelangi, warna biru langit dan serakan cahaya putih melalui prisma adalah sebahagian daripada misteri cahaya yang sangat menarik. Sebelum abad ke-17 lagi manusia telah menggambarkan cahaya itu bergerak serta merta sebaik sahaja dipancarkan. Hal ini disokong dengan hasil pencerapan semasa gerhana bulan. Dalam kejadian ini didapati tidak terdapat kelewatan masa sewaktu bayang bumi mula menutupi permukaan bulan. Cahaya bergerak pada kelajuan 300 000 km/saat. Dengan kelajuan sebegini kelewatan masa tidak akan dapat dikesan kerana mungkin tiada kelewatan yang berlaku.

Kelajuan cahaya pada 300,000 km/saat ini diterima oleh para saintis seluruh dunia sebagai halaju tertinggi yang boleh dicapai secara nyata. Maksud mudahnya ialah tiada apa yang boleh bergerak melebihi halaju cahaya. Kesan daripada syarat ini cahaya memerlukan satu tempoh tertentu untuk bergerak dari sebuah bintang ke bumi. Tempoh ini mungkin satu, sepuluh atau seribu tahun. Setelah tempoh ini berlalu, barulah cahaya itu sampai ke bumi dan kita melihat apa sahaja yang berlaku di bintang tersebut. Apa yang berlaku di bintang itu malam tadi tidak kita ketahui sehinggalah cahaya yang membawa maklumat tersebut sampai ke bumi bertahun-tahun akan datang. Jika kita boleh bergerak melebihi halaju cahaya kita boleh mendahului masa dan memberitahu penduduk bumi apa yang telah berlaku dibintang tersebut.

Selain itu satu lagi ciri yang menarik ialah halaju cahaya di dalam ruang vakum tidak boleh dikawal. Halaju cahaya ini tetap dan tiada apa yang boleh dilakukan untuk menambahkan kelajuannya ataupun menghentikannya. Halaju cahaya ini seolah-olah telah ditetapkan semenjak alam ini diciptakan. Sejak sekian lama saintis diseluruh dunia tidak pernah membayangkan bagaimana alur cahaya boleh dipecutkan, diperlahan, berhenti dan kemudian bergerak semula dengan kelajuan asal. Keadaan ini sangat menyerupai pergerakan kenderaan di darat.

Dalam kajian terkini, saintis percaya satu penemuan besar sedang dalam pembikinan. Mungkin tidak lama lagi manusia boleh menggerakkan cahaya lebih laju dari sekarang. Satu ujikaji yang dijalankan oleh Lijun Wang, seorang penyelidik NEC menunjukkan cahaya boleh bergerak melebihi halajunya sendiri. Dalam ujikaji ini denyutan cahaya laser yang dialurkan melalui satu kebuk mengandungi atom yang dibentuk khas. Kebuk ini mempunyai kepanjangan enam sentimeter dan berisi atom Sesium pada suhu berhampiran suhu sifar mutlak. Apa yang diperoleh menunjukkan seolah-olah halaju cahaya bertambah sehingga 300 kali ganda halaju asalnya. Dalam kata mudah kelihatan cahaya ini keluar daripada kebuk tersebut sebelum sempat habis memasukinya. Walaupun keputusan ujikaji ini sangat menarik tetapi saintis yang terlibat dalam bidang fizik menerimanya dengan berhati-hati. Ini kerana keputusan yang diperoleh akan memaksa satu penilaian semula kepada hukum-hukum fizik yang paling asas. Menurut Teori Kerelatifan Khas yang dicadangkan oleh Albert Einstein, tidak ada apa yang boleh bergerak melebihi halaju cahaya. Sekiranya prinsip asas ini dilanggar ianya akan bercanggah dengan hukum 'Sebab dan Akibat'. Hukum ini menyatakan 'sebab' sentiasa mendahului 'akibat'. Sebagai contoh kita perlu dicubit dahulu sebelum merasa sakit. Dicubit itu menjadi 'sebab' manakala sakit itu sebagai 'akibatnya'

Belum ada kaedah instuisi yang boleh digunakan bagi menerangkan hasil ini kerana atom Sesium yang digunakan adalah direka khusus dan tidak wujud secara semulajadi. Saintis dalam bidang fizik cukup sedar impak besar yang dihasilkan oleh ujikaji ini jika tidak dijelasskan dengan sepenuhnya. Oleh itu dengan pantas mereka menyatakan keputusan ujikaji ini tidak bercanggah dengan hukum 'sebab dan akibat tadi'. Hukum ini hanya sah kepada objek dan jasad tetapi tidak merangkumi kesan daripada gelombang cahaya. Pada hakikatnya keputusan yang menunjukkan isyarat cahaya keluar dari kebuk sebelum memasukinya adalah keledingan denyutan cahaya apabila berinteraksi dengan medium di dalam kebuk. Kesan daripada interaksi antara atom Sesium inilah yang menghasilkan isyarat dan mempunyai ciri-ciri yang sama dihujung yang satu lagi. Namun begitu isyarat ini hanya mempunyai ciri-ciri dan sifat-sifat yang serupa tetapi berkemungkinan bukanlah isyarat asal yang memasuki kebuk. Ini bermakna walaupun 'akibat' kelihatan berlaku sebelum 'sebab' berakhir, kita sebenarnya tidak boleh menghantar maklumat kesan suatu kejadian sebelum kejadian itu berlaku. Apa yang sebenarnya bergerak lebih laju daripada cahaya ialah 'kesan' dan mungkin bukan cahaya itu sendiri. Kita bernasib baik kerana hasil ujikaji ini belum memaksa kita menulis semula buku-buku sains dan fizik yang telah digunakan sekian lama. Namum begitu hasil ini telah menarik perhatian dan perbincangan dikalangan ahli-ahli fizik terbaik dunia dan dipercayai ujikaji-ujikaji lanjut akan menyusul tidak berapa lama lagi.

Sekiranya cahaya boleh bertambah halajunya, adakah cahaya juga boleh diperlahankan? Ini adalah satu lagi gelanggang bagi ahli-ahli fizik dalam usaha untuk memecahkan satu lagi rahsia alam. Sekumpulan ahli fizik yang lain pula menyatakan mereka telah menemui kaedah untuk memperlahankan halaju cahaya, memegunkannya dan kemudian melepaskannya semula dengan halaju asal. Seperti yang telah diketahui, halaju cahaya agak merosot sedikit apabila melalui bahan telus cahaya seperti air, kaca dan kristal. Kesan ini boleh dilihat dengan berlakunya pembiasan dan boleh dirumuskan dengan hukum Snell dari Willebrord Snellius (1580-1626) (sebenarnya hukum ini ditemui oleh saintis Islam bernama Ibn Haitam pada tahun 984, kemudian Willebrord Snellius pada tahun 1621 mengeluarkan persamaan matematik dan menyatakan ianya hukum beliau).

Ini adalah asas kepada teknik tersebut tetapi bukan menggunakan kaca atau kristal sebagai bahan yang dilalui cahaya. Para penyelidik ini menggunakan satu kebuk berisi gas yang direka khusus sebagai medium perantara bagi mendapatkan kesan yang lebih drastik. Dalam medium ini, cahaya menjadi semakin malap apabila halaju cahaya menyusut dan kemudian berhenti. Dengan memancarkan alur cahaya kedua, cahaya yang terperangkap tadi bergerak semula dengan halaju asal. Kita boleh mengambil anlogi seorang pelumba pecut merempuh sehelai kertas nipis. Pelari ini masuk ke dalam kertas dan kemudian hilang beberapa saat sebelum muncul semula disebelah satu lagi. Lebih menakjubkan kertas itu tidak terkoyak sedikit pun.

Kedua-dua ujikaji yang cuba untuk mengubahsuai kelajuan cahaya ini mungkin tidak mempunyai impak komersial pada hariini. Namum begitu sepertimana penemuan-penemuan besar yang lain, kesannya ke atas tamadun manusia hanya masa yang boleh menentukannnya. Jika benar ada kaedah untuk manusia bergerak dengan kelajuan jauh melebihi halaju cahaya, maka perjalanan kosmos merentas cakerawala mungkin boleh difikirkan. Kemampuan manusia untuk mengawal kelajuan cahaya seperti dalam penemuan kedua membolehkan penciptaan komputer generasi baru yang dikenali sebagai komputer kuantum. Komputer millenium baru ini mungkin tidak lagi menggunakan elektron sebagai asas operasinya tetapi menggunakan cahaya. Masalah utama berkaitan kaedah penyimpanan data menggunakan cahaya yang selama ini menyekat perkembangan komputer nampaknya sudah menunjukkan tanda-tanda boleh di atasi.

Kehebatan akal manusia memang tidak dapat dinafikan terlalu unik dan istimewa sehinggakan mampu untuk berfikir tentang kaedah untuk menambah dan melambatkan kelajuan cahaya. Tidak salah manusia berangan-angan untuk bergerak dengan kelajuan cahaya kerana ianya pernah berlaku pada Junjungan besar kita Nabi Muhammad dalam Peristiwa Israk dan Mikraj. Namun untuk memiliki keistimewaan bergerak pada kelajuan cahaya perlulah mendapat keizinan dari Allah SWT. Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu.

Wallahua'lam

Baca selengkapnya...

Tuesday, October 6, 2009

Module 7: Light and Optical system

0 comments
Saya berterima kasih kepada guru-guru Jurulatih Utama perintis Applied Science kerana memasukkan topik ini dalam sukatan matapelajaran Applied Science. Jasa mereka dalam menggubal sukatan dan huraian sukatan matapelajaran ini amat besar dalam perkembangan ilmu sains gunaan di Malaysia. Hanya Allah SWT yang dapat membalas jasa kalian semua.

Buat pertama kalinya dalam pembelajaran dan pengajaran secara formal, saya dapat berbincang bersama pelajar tentang kehebatan laser dan juga alat-alat yang diinovasikan hasil daripada pengetahuan tentang laser. Antara salah satu alat yang hebat dinyatakan dalam modul ini ialah gentian optik (optical fibre).

Perbincangan dalam buku teks KBSM tentang gentian optik tidaklah mendalam, justeru sebagai seorang guru kita harus mencari maklumat tambahan tentang gentian optik untuk kita kongsikan bersama pelajar yang kita sayangi waima menambahkan lagi ilmu yang sedia ada dalam pemikiran kita.

Saya teringat dengan kata-kata Cikgu Koay Cheng Kuan (GC Physics SMT Alor Setar) katanya "know your stuff,a then stuff them'

Sejarah Gentian Optik

Gentian optik telah mula digunakan sejak zaman Rom. Orang-orang Rom menggunakan gentian ini sebagai hiasan dalaman rumah. Pada tahun 1966 (6 tahun selepas kemunculan LASER), saintis berbangsa Inggeris Charles Kao dan George Hockman mengatakan bahawa gentian optik yang diperbuat daripada kaca silika tulen mampu membawa data atau maklumat yang berpulu-puluh ribu jauhnya. Pada tahun 1970, Robert Maurer, Donald Keck dan Peter Schultz dari Corning Glass Work New York berjaya mencipta gentian optik yang pertama. Gentian optik ini berupaya membawa 65 000 kali lebih banyak maklumat jika dibandingkan dengan wayar kuprum.

Jenis-jenis gentian optik




Terdapat dua jenis gentian optik secara umum iaitu gentian mod tunggal (Single mode fibre) dan gentian mod berbilang (Multiple Mode Fibre).
Gentian mod tunggal digunakan untuk penghantaran data pada jarak yang jauh. Gentian mod tunggal dapat membawa berjuta-juta data pada satu saat. Gentian ini mempunyai bilangan teras yang sangat kecil dan cahaya boleh melalui bahagian ini. Gentian mod tunggal akan menggunakan tenaga laser sebagai sumber cahaya. Gentian mod tunggal dilindungi oleh lapisan pelindung atau cladding yang tebal. Gentian mod ini juga memudahkan komunikasi jarah jauh.
Gentian mod berbilang digunakan untuk penghantaran data pada jarak yang terdekat. Gentian ini mempunyai bahagian teras yang besar. Biasanya gentian mod berbilang digunakan selalu kerana bahagian terasnya dapat mengumpulkan bilangan cahaya yang banyak dengan cepat dan memberikan laluan kepada cahaya untuk bergerak pada lorong yang berbeza.

Gentian optik dalam telekomunikasi

Gentian optik sangat berkesan digunakan dalam bidang telekomunikasi kerana muatan data dalam gentian optik tiada had. Misalnya sepasang gentian optik yang hanya sebesar rambut manusia mampu menghantar 10 juta saluran telefon biasa. Dengan menggunakan gentian optik juga, kejadian 'mencuri talian' tidak boleh dilakukan. Selain itu kabel gentian optik adalah jauh lebih murah jika dibandingkan dengan kabel kuprum (copper). Gentian optik juga mempunyai jangka hayat sehingga lebih dari 20 tahun bergantung kepada keadaan cuaca sesebuah negara itu.

Kaedah gentian optik

Untuk memahami kaedah gentian optik ini berfungsi, bayangkan straw minuman yang panjang ataupun paip plastik yang fleksibel. Mengambil contoh sebatang paip yang panjangnya beberapa batu. Sekarang bayangkan bahagian permukaan dalam paip yang telah disalut dengan cermin padu. Kemudian bayangkan pula yang anda sedang melihat ke dalam melalui hujung paip tersebut. Pada hujung yang satu lagi, cahaya lampu dipancarkan ke dalam paip tersebut. Oleh sebab binaan paip itu adalah dari cermin padu, cahaya lampu yang dipancarkan akan memantul ke bahagian dinding paip tersebut (walaupun paip akan melengkung dan berpintal-pintal) dan cahaya lampu akan dilihat pada hujung yang satu lagi. Sekiranya lampu tersebut dipasang dan dipadamkan secara berulang-ulang dengan menggunakan kaedah "Morse Code", kita akan dapat berkomunikasi melalui paip tersebut. Inilah prinsip asas kabel gentian optik.



Menggunakan kabel daripada tiub bersalut cermin memang berkesan, tetapi ia lebih besar dan susah untuk menyalut tiub yang dipasangkan itu dengan cermin padu. Oleh itu, kabel gentian oprik baik diperbuat daripada kaca. Kaca tersebut mestilah betul-betul asli. Walaupun beberapa batu panjangnya, cahaya masih boleh menembusi melaluinya (bayangkan kaca tersebut adalah lutsinar sehinggkan tingkap pada ketebalan beberapa batu masih boleh kelihatan dengan jelas). Kaca ini dibentuk menjadi satu gentian yang sangat halus dan ketebalannya bersamaan dengan sehelai rambut manusia. Gentian kaca ini kemudiannya disalut dengan dua lapisan plastik.
Dengan menyaluti gentian kaca tersebut dengan plastik, kita akan memperoleh cermin yang sama di sekeliling gentian kaca tersebut. Cermin ini akan membentuk pantulan dalaman, sama seperti cermin padu dipermukaan dalam tiub.
Untuk menghantar perbualan telefon melalui kabel gentian optik, signal suara analog akan diterjemahkan ke dalam signal digital. Suatu sumber cahaya laser pada satu hujung paip tersebut akan dipasang dan dipadamkan untuk menghantar setiap bit. Sistem gentian yang moden dengan satu sumber laser boleh memindahkan berbilion-bilion bit sesaat. Laser ini akan terpasang dan terpadam beribu-ribu kali sesaat. Sistem terkini adalah menggunakan beberapa sumber laser pelbagai warna untuk membolehkan pelbagai signal dihantar melalui gentian yang sama. Kabel gentian optik moden ini boleh membawa signal pada jarak sejauh kira-kira 60 batu (100 km)

Kelebihan gentian optik
Gentian optik telah muncul sebagai teknologi utama pada era teknologi komunikasi global terkini dan akan datang. Gentian optik mempunyai beberapa kelebihan seperti:
(a) Kos yang lebih murah berbanding media lain
(b) Mempunyai diameter yang lebih kecil
(c) Kabel yang ringan dan mudah dilentur
(d) "Less signal degradation"- kehilangan signal dalam gentian optik adalah lebih rendah berbanding medium lain
(e) Mempunyai muatan yang besar
(f) Isyarat cahaya-isyarat cahaya daripada satu gentian tidak mengganggu isyarat pada gentian lain di kabel yang sama, ini berbeza dengan isyarat elektrik
(g) Kuasa rendah-lebih rendah kuasa pemindahan diperlukan berbanding medium lain.
(h) Isyarat digital-ideal untuk membawa maklumat digital
(i) Tidak mudah terbakar-kerana ketiadaan arus elaktrik mengalir, risiko kebakaran adalah amat rendah

Semoga maklumat ini membantu kita memahami apakah itu gentian optik...

Baca selengkapnya...

Applied Science dalam Sukan Renang

0 comments
Bagi rakan-rakan yang meminati sukan renang, sama ada di peringkat ASEAN, ASIA dan DUNIA, sudah tentu anda tahu pada setiap kejohanan renang yang berlansung ada saja rekod baru dicipta.



Sejak dari kejohanan Olimpik di Beijing tahun 2008 sehingga catatan ini ditulis sudah lebih 100 rekod di pelbagai kejohanan telah dipecahkan.
Maka terlintas di fikiran ramai pemerhati sukan renang, adakah perenang di zaman moden ini semakin pantas? Ataupun masa semakin pantas? ,
Jawapannya.....

Inilah kehebatan ilmu sains gunaan yang dapat membantu para atlet untuk lebih mara ke hadapan. Memang tidak dinafikan kelebihan teknologi mutakhir ini dapat membantu pada atlet untuk menjadi lebih cemerlang dalam sukan yang diceburi mereka. Namun apabila kesemua atlet menggunakan teknologi yang sama, atlet yang terbaik masih akan menang.

Dalam sukatan matapelajaran Applied Science, modul 3 membincangkan tentang Kadar dan Rintangan (Rate and Resistance), antara rintangan yang harus dihadapi apabila menggunakan daya tujahan (thrust) ialah daya heretan (drag). Dalam konteks catatan saya ini, apabila seorang atlet renang berenang ia akan menghasilkan daya tujahan dan dalam masa yang sama ia akan menghadapi daya heretan. Daya heretan inilah yang menyebabkan atlet bergerak perlahan di dalam air lantas kerugian masa untuk mencipta rekod.

Pada tahun 2008 , syarikat pengeluar pakaian sukan renang terkenal, Speedo, telah menghasilkan satu pakaian renang yang hebat (state of the art) yang dinamakan Speedo LZR (dilancarkan pada 13 Februari 2008).

Pakaian ini telah digunakan oleh Micheal Phelps pada Temasya Olimpik Beijing dan hasilnya Micheal Phelps telah berjaya memenangi 8 pingat emas dengan memecahkan rekod dunia dalam 7 acara dari lapan yang disertainya.

Pakaian renang Speedo LZR ini menggunakan polimer sintetik (Rujuk modul 10: synthetic polimer) yang disebut membran poliuretena (polyurethene membrane) yang mana polimer ini berjaya mengurangkan daya heretan sebanyak 24%. Pakaian ini juga tidak menggunakan sebarang jahitan benang sebaliknya menggunakan teknik kimpalan ultrasonik (ultrasonic welding) untuk menambahkan lagi pengurangan terhadap daya heretan. Pada pakaian tersebut juga terdapat satu bahan penstabil yang baru dicipta yang dapat memberikan keseimbangan yang amat baik kepada perenang sepanjang berenang dalam perlumbaan.



Semasa dalam rangka untuk menghasilkan pakaian ini, Speedo telah menggunakan teknik imbasan badan (body scanning) kepada lebih 400 atlet elit untuk mendapatkan bentuk, saiz dan kontur yang optima. Penggunaan komputer (suatu perisian permodelan numerik) dalam dinamik bendalir , berjaya mengenal pasti bahagian badan yang menghasilkan daya heretan tertinggi justeru memudahkan panel poliuretena untuk merekabentuk pakaian.

Penghasilan pakaian ini tambah menarik lagi dengan penggunaan terowong angin (wind tunnel) NASA untuk memasti dan menghitung daya heretan terhadap 60 jenis fabrik lain berbanding membran poliuretena. Langkah ini kemudiannya dibantu pula dengan kehadiran pancutan air dari dalam terowong ke atas patung dan perenang sebenar untuk mengoptimakan penggunaan pakaian ini. Kaedah ini berjaya membuktikan pakaian Speedo LZR ini berhasil dalam mengalirkan kadar oksigen yang lebih baik ke atas otot semasa renangan dan juga mengekalkan badan dalam posisi yang lebih hidrodinamik.

Sebagai kesimpulannya, pakaian Speedo LZR ini adalah suatu ciptaan yang hebat hasil pengetahuan dalam bidang "applied science" iaitu hasil gabungan modul 3 dan modul 10.
.
Semoga catatan ini dapat membantu rakan-rakan menambahkan seri dalam sesi P&P semasa induksi ataupun menambahkan minat pelajar kepada matapelajaran yang kita sayangi ini...InsyaAllah.





Baca selengkapnya...

Monday, October 5, 2009

Kanak-kanak Indigo...

1 comments
Catatan sempena hari ulangtahun pertama blog "Applied Science at SMTKK"

"Otak Adi seperti kereta Ferrari, tetapi mereka mengajar seolah-olah Adi seperti kereta Kancil"
Adi Putra,10 tahun, wawancara Buletin Utama 2005


Di Indonesia pada tahun 2007, gadis cilik bernama Anissa, 5 tahun, mampu berbicara bahasa lain selain bahasa Indonesia seperti bahasa Inggeris, Arab, Belanda.

Di Afrika pada tahun 2008, Sheikh Sharifuddin, 5 tahun, mengislamkan beribu-ribu orang dalam satu ceramah agama dan dapat bertutur dalam lima bahasa iaitu Swahili, Arab, Inggeris, Perancis dan Itali.

Siapakah kanak-kanak yang istimewa ini? Dan bagaimanakah mereka muncul?

Fenomena kanak-kanak istimewa ini atau kanak-kanak indigo masih agak asing di Malaysia walaupun sudah lama diperdebatkan di Barat. Selain Barat, klinik dan sekolah khas yang menempatkan kanak-kanak indigo sudah diwujudkan di Indonesia dan Singapura.
Memang istilah kanak-kanak indigo sudah lama diperkenalkan. Istilah indigo mula-mula diperkenalkan pada tahun 1982 melalui buku Understanding Your Life Through Color tulisan Nancy Ann Tappe (Sesetengah berpendapat Edgar Cayce terlebih dahulu memperkenalkan istilah kanak-kanak indigo). Dalam buku Tappe, penulis mendakwa dirinya mempunyai kuasa psikik dan kelebihan melihat aura warna orang lain mendapati banyak kanak-kanak lahir dengan aura "indigo" pada tahun 1960-an. Dalam tulisan yang terkini oleh Savannah Thomas Arrigo di www.todayslocalnews.com pada tahun 2006, beliau menyatakan kira-kira 97% kanak-kanak di bawah 10 tahun adalah indigo, 70% individu yang berumur 15 tahun sehingga 25 tahun merupakan indigo, dan 40% orang dewasa berusia 25 hingga 38 tahun dikurniakan bakat indigo. Tappe juga menyatakan bahawa pada masa akan datang, kelahiran anak-anak indigo sudah menjadi situasi biasa.

Indigo berasal daripada bahasa Sepanyol yang bermaksud nila. Indigo yang banyak difahami ialah warna biru tua atau lebih tepat bermaksud spektrum warna pelangi antara ungu dengan putih. Warna ini berada diturutan keenam dalam spektrum warna pelangi ataupun deretan vertikal cakra (dari atas ke bawah). Dalam bahasa Sanskrit, warna indigo disebut "Cakra Ajna" yang terletak di dahi, iaitu tengah-tengah di antara dua mata. Menurut Tappe, warna itu boleh dilihat dengan "Kirlian Photography" (ciptaan Seymon Kirlian pada tahun 1939) ataupun dengan menggunakan alat teknologi pembaca aura yang dikenal sebagai "Aura Video Station", (AVS- ciptaan Johannes R. Fisslinger pada tahun 1997).

Namun demikian, dalam konteks catatan ini, "indigo" bermaksud kanak-kanak yang menonjolkan persepsi luar deria (ESP-Extrasensory perception) atau keupayaan yang tidak dapat dijelaskan dari segi saintifik dan aqliah. Kanak-kanak yang dikurniai kelebihan indigo ini biasanya mempunyai deria sensitif yang tinggi, kepekaan yang luar biasa dan pemikiran yang melangkau usia sebenarnya. Selain itu, kanak-kanak indigo berkebolehan dan mengongsi perasaan atau pengalaman orang lain (empati) dan mudah menterjemahkan sebarang keadaan yang berkaitan dengan misteri, spiritual,paranormal dan ghaib. Dalam kata lain, kanak-kanak indigo juga dikenali sebagai "Children of the Sun", "Millenium Children", "Highly Spiritual Children", "The Superphysic Children", dan "Blue Children" mempunyai kesedaran yang melebihi umur mereka.

Adalah tidak terlalu sukar untuk mengenali kanak-kanak indigo ini. Mereka dapat dikesan berdasarkan aura warna lain dan beberapa sifat lain. Dalam buku The Care and Feeding of Indigo Children, Jan Tobler menyatakan 10 ciri kanak-kanak indigo, iaitu:
1. Mereka datang ke dunia dengan rasa ingin berbakti
2. Mereka mempunyai perasaan untuk menghayati hak kewujudannya di dunia ini, tetapi hairan sekiranya hak kewujudan mereka itu dinafikan haknya.
3. Siapa dirinya bukan isu utama kerana mereka akan memaklumkan kepada ibu bapa berkenaan dirinya yang sebenar.
4. Sukar menerima peraturan yang ketat yang tidak munasabah.
5. Tidak suka melakukan sesetengah perbuatan seperti beratur menunggu giliran
6. Tidak gemar melakukan ritual atau perbuatan yang sudah ditetapkan aturannya tanpa memerlukan pemikiran yang kreatif.
7. Sering menemui kaedah yang lebih baik semasa melakukan sesuatu sama ada di rumah ataupun di sekolah sehingga menimbulkan situasi bukan konformis dalam sistem yang sedia ada.
8. Nampak seperti antisosial kecuali dalam kalangan orang yang sama sepertinya.
9. Tidak memberi tindak balas kepada peraturan-peraturan yang terlalu mengongkong
10. Tidak malu meminta apa-apa yang dimahukan.

Mungkin sesetengah orang tidak dapat tahan menghadapi kanak-kanak yang dikatakan terlalu "mengada-ngada" itu. Pakar atau doktor pun sukar mengesan keistimewaan indigo pada seorang kanak-kanak. Paling tidak pun, pakar atau doktor akan menyatakan anak-anak yang "pelik" itu sebagai penghidap ADD, ADHD, disleksia ataupun autisme lalu diberikan pil-pil yang boleh merosakkan keupayaan indigo mereka.

Dalam menghadapi kanak-kanak indigo, pendidikan yang teratur dan tersusun perlu dititikberatkan. Kata Faisal Tehrani (penulis novel tentang kanak-kanak indigo), "Saya tidak pernah menemui kanak-kanak indigo di Malaysia. Kebanyakan kanak-kanak indigo tidak terdedah kepada sebarang radiasi seperti televisyen, telefon dan komputer. Semua alat itu didapati boleh mengurangkan "kuasa" indigo kanak-kanak itu. Saya pernah menemui kanak-kanak indigo di Indonesia yang berada di kawasan kampung yang dikelilingi tumbuh-tumbuhan semulajadi."

Dalam masa yang sama, kanak-kanak indigo perlu diberikan pendidikan formal supaya mereka dapat membumikan "ilmu langitnya" demi kebaikan manusia. Hal ini penting bagi mengelakkan kanak-kanak itu dieksploitasi oleh ibu bapa menjadi "dukun" atau "bomoh". Di Indonesia, banyak kanak-kanak indigo digunakan dan dijadikan tempat rujukan untuk mendapat nombor-nombor ekor untuk kepentingan peribadi ibu bapanya. Disebabkan itulah, pemerintah Indonesia menubuhkan sebuah sekolah yang dikhaskan untuk kanak-kanak indigo, iaitu Direktorat Pendidikan Luar Biasa di Jakarta. Sekolah ini berbeza dari sekolah biasa kerana Direktorat Pendidikan Luar Biasa menangani kanak-kanak yang luar biasa atau kanak-kanak yang mempunyai kelebihan khusus berdasarkan silibus dan kaedah pembelajaran yang amat teliti.

Di Indonesia juga, terdapat komuniti yang menghimpunkan kanak-kanak indigo yang dikenal sebagai Komunitas dan Pusat Studi Indigo Indonesia (KPSII). Selain menjadi medan bertukar-tukar fikiran antara kanak-kanak indigo, komuniti itu menjalankan aktiviti seperti diskusi dan kaunseling bagi semua yang memiliki indigo sama ada kanak-kanak, orang tua ataupun ibu bapa yang memiliki anak indigo sebagai wadah penyebaran maklumat dan khidmat perundingan. Sehingga tahun 2010, pusat ini menyasarkan 5797 ahli indigo menyertai KPSII.

Di sana juag kaedah menangani kanak-kanak indigo sudah mara ke hadapan. Begitu juga Singapura yang sudah melatih kanak-kanak indigo menjadi pewaris pemimpin masa hadapan. Malaysia agak ketinggalan dalam menangani kanak-kanak indigo ini. Rata-rata peradigma pemikiran orang Malaysia menganggap kanak-kanak indigo lahir daripada keturunan syirik atau sihir ataupun menganggap kanak-kanak itu jelmaan syaitan atau jin.

Dengan berdasarkan pemikiran sebegini, kerajaan Malaysia masih berkira-kira mahu mewujudkan sebuah institusi khas untuk kanak-kanak indigo di Malaysia. Adakah sistem pendidikan kita mampu melayan anak-anak indigo? atau Adakah kanak-kanak berotak "Ferrari" harus dibiarkan mengikuti pendidikan formal biasa yang perlahan seperti "Kancil" baginya?

Di Malaysia, kita hanya mampu melihat dan berdoa kepada Allah SWT agar kanak-kanak indigo akan mendapat pendidikan yang sewajarnya dan nasib mereka terbela....

Wassalam...sekadar berkongsi maklumat...

Baca selengkapnya...

Sunday, October 4, 2009

Makanan Yang Tercemar

1 comments
Dalam modul 9, Nutrisi, salah satu topik yang dibincangkan ialah berkenaan dengan Pencemaran Makanan atau 'Food Contamination'. Agak menarik untuk mendedahkan pelajar tentang punca-punca pencemaran makanan.

Lebih daripada 250 jenis penyakit telah dikenalpasti boleh dipindahkan atau menjangkiti seseorang disebabkan makanan. Penyakit bawaan makanan dikelaskan sebagai keracunan makanan. Masalah ini bukan sahaja menyebabkan ribuan pesakit dimasukkan ke hospital, malah dalam sesetengah keadaan boleh menyebabkan makanan. Menurut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia, peratusan tertinggi kes yang dirujuk, membabitkan keracunan makanan akibat pencemaran makanan dijual kepada warga sekolah.

Biasanya, keracunan makanan yang berlaku pada orang dewasa dapat diatasi melalui pengambilan air ataupun ubat di kaunter farmasi. Namun, bagi kanak-kanak yang berusia kurang daripada lima tahun, wanita hamil dan kategori pesakit yang mempunyai sistem imun yang rendah, boleh mendapat komplikasi serius akibat memakan makanan tercemar.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan keracunan makanan, iaitu seperti mikroorganisma (bakteria, virus, parasit), agen toksik dan juga rasun makhluk perosak. Mikroorganisma terdapat di mana-mana sahaja, seperti di udara, air, tanah, pada manusis dan binatang.

Bakteria Penyebab Keracunan Makanan

Gejala keracunan makanan berbeza-beza mengikut jenis bakteria yang menyebabkan keracunan. Dalam banyak keadaan, bakteria tersebuttidak menjejaskan aroma, rasa dan rupa makanan itu sendiri, sebaliknya mengeluarkan toksin yang disimpan dalam makanan hingga mendatangkan bahaya kepada manusia.
Kehadiran toksin dalam makanan sukar dikesan jika hanya berdasarkan penglihatan mata kasar. Disebabkan sajian kelihatan baik, seseorang itu akan memakan makanan tercemar dan akhirnya mendapat kesan keracunan.

Selain itu, ada bakteria yang bertindak dengan menyebabkan inflamasi pada sel di usus kecil lalu menghalang penyerapan nutrien dan air ke dalam darah. Ruang lumen usus kecil akan dipenuhi cecair dan menyebabkan berlakunya cirit-birit. Keadaan ini jika berlaku secara berterusan akan menyebabkan badan kehilangan air, garam, elektrolit dan nutrien.

Mangsa akan mengalami penyahidratan dan komplikasi yang lebih serius seperti kerosakan ginjal. Selain cirit-birit, keracunan makanan akan menyebabkan mangsa mengalami demam, sakit kepala, muntah dan loya.

Sumber makanan yang ditanam di atas tanah seperti beras, gandum dan sayur-sayuran mudah terdedah kepada bakteria seperti Listeria monocytogenes, Clostridium botulinum dan Bacillus cereus yang terdapat dalam tanah.

Selain itu, patogen lain seperti Salmonella, Eschericia coli O157:H7, Campylobacter jejuni, Vibrio cholerea, parasit dan virus juga boleh dipindahkan semasa proses pengendalian makanan dilakukan. Bakteria ini akan melekat pada akar sayur-sayuran dan mencemarkan makanan jika tidak dibasuh bersih sebelum dimasak.

Makanan yang berasaskan susu seperti dadih dan keju pula mudah diserang oleh bakteria Staphylococcus aureus, Salmonella, C. jejuni, L. monocytogenes dan Shigella. Bakteria ini akan mengeluarkan enterotoksin, iaitu sejenis toksin yang tahan haba dan tidak mudah larut air. Toksin ini boleh mengubah kebolehtelpaan air pada ruang lumen dalam tempoh satu hingga lima jam selepas memakanan makanan tercemar.

Makanan yang mengandungi telur mentah atau kurang masak seperti mayones dan doh kuih juga boleh dicemari bakteria seperti Salmonella enteriditis.

Makanan dalam tin pula sering terdedah kepada bakteria Clostridium botulinum. Ia adalah baktera jahat yang hidup di persekitaran yang kurang atau tiada oksigen seperi di dalam tin. Makanan yang dimasak tidak sempurna seelum ditinkan boleh menyebabkan bakteria ini membiak dan mencemarkan makanan. Bakteria ini akan membebaskan neurotoksin botulin, iaitu sejenis toksin yang menghalang penghantaran isyarat kimia dalam sistem saraf autonomik manusia. Kesannya, seseorang manusia itu boleh mengalami masalah penglihatan, sukar menelan makanan, sukar bercakap dan bernafas. Gejala ini dipanggil "botulisme". Gejala ini boleh berlaku seawal 12 hingga 36 jam selepas toksin tersebut memasuki badan manusia. Kehadiran Clostridium boleh dikenalpasti apabila bau dan rasa makanan bertukar menjadi pelik ataupun tin kelihatan bengkak sebelum dibuka.

Masakan ayan dan daging pula mudah terdedah kepada bakteria Campylobacter, Salmonella dan E.Coli yang banyak terdapat di dalam saluran usus kecil haiwan. Pencemaran ke atas daging boleh berlaku semasa penyembelihan atau proses pemprosesan yang tidak dilakukan dengan berhati-hati. Untuk mengelakkan bakteria ini daripada mencemar makanan, ayam tau daging perlulah dibersihkan dan dimasak dengan sempurna agar bakteria ini mati sepenuhnya sebelum dimakan. Bahagian tengah daging dan ayam perlulah dipastikan masak pada suhu melebihi 75oC untuk membunuh bakteria jahat yang boleh menyebabkan keracunan.

Semoga nota tambahan ini dapat meningkatkan lagi kefahaman kita tentang keracunan makanan dan menambahkan seri dalam P&P kita dalam unit 9.2 "Food contamination"

Baca selengkapnya...

Gempa bumi datang tanpa petanda

1 comments
Pada 30 September yang lepas, Indonesia sekali lagi dikejutkan dengan kejadian gempa bumi yang berlaku berhampiran Padang, Sumatera.

Tiada siapa menjangka gegaran kuat yang berlaku pada skala Richter 7.6 itu akan berlaku memandangkan tumpuan diberikan kepada Gunung Merapi yang dijangka meletus pada bila-bila masa akibat siri gegaran kecil yang melanda Indonesia.

Menurut Kajian Geologikal Amerika Syarikat dan Agensi Geofizik dan Meteorologi Jakarta, epicenter atau pusat gempa terletak di 80 km timur laut Padang, Wilayah Sumatera Barat dan 85 km di bawah dasar laut.

Gempa bumi dengan magnitud 7.6 pada skala Richter diikuti dengan satu gegaran kecil dengan magnitud 6.2 selepas 22 minit gegaran pertama.
Kawasan yang paling teruk dilanda gempa merupakan pekan Padang, di Wilayah Sumatera Barat yang padat dengan penduduk.

Menurut Pusat Vukanologi dan Mitigasi Bencana Geologi Indonesia, gempa ini adalah berasal dari aktivitikerak bumi di Zon Subduksi Sunda di sebelah barat Pulau Sumatera.

Kedudukan Indonesia yang terletak di Lingkaran Api Pasifik memberikan pengaruh besar terhadap gempa bumi dan letupan gunung berapi.

Gegaran akan terus berlaku di rantau ini dan saintis memberi amaran, gelombang seismos yang lebih besar dijangka akan berlaku.

Lingkaran Api Pasifik dianggap sebagai satu bencana dengan mengambil kira sejak dari kejadian letupan Gunung Karakatao di pesisir Indonesia dengan kekuatan ledakan bom nuklear pada 1883 sehingga ombak tsunami di Lautan Hindi pada 26 Disember 2006 yang mengorbankan lebih 200,000 orang.

Gempa bumi di Wilayah Sumatera Barat pada 30 September 2009 mengorbankan lebih dari 2000 nyawa dan sehingga catatan ini ditulis masih terdapat 5000 mangsa yang terperangkap.
Marilah kita sama-sama berdoa sambil membantu sedaya upaya kita yang mampu terhadap rakan-rakan kita di Indonesia.

Gempa bumi yang berlaku di seluruh dunia dari tahun 2001

30 September 2009
Lebih 2000 orang maut dan lebih dari 5000 orang masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan apabila gempa berukuran 7.2 Richter melanda Bandar Padang, Sumatera, Indonesia.

27 Mei 2006
Lebih 5,000 orang maut apabila gempa berukuran 6.2 skala Richter melanda bandar Yogyakarta, Jawa, Indonesia.

1 April 2006
Seramai 70 orang terbunuh dan lebih kurang 1,200 cedera apabila gempa bumi berukuran 6.0 melanda kawasan pendalaman di barat Iran.

8 Oktober 2005
Satu gempa bumi berukuran 7.6 melanda utara Pakistan dan sebahagian wilayah Kashmir, mengorbankan lebih 73,000 nyawa manakala berjuta hilang tempat tinggal.

28 Mac 2005
Kira-kira 1,300 orang terbunuh ketika gempa bumi 8.7 skala Richter melanda Pulau Nias di barat Sumatera, Indonesia.

22 Februari 2005
Beratus-ratus meninggal dunia dalam gempa bumi pada magnitud 6.4 yang berpusat di kawasan pendalaman berhampiran Zarand di wilayah Kerman, Iran.

26 Disember 2004
Beratus ribu terkorban di rantau Asia termasuk Indonesia, India, Sri Lanka, Thailand dan Malaysia apabila gempa bumi berukuran 9.0 skala Richter yang berpusat di awah laut menyebabkan tsunami di rantau Asia.

24 Februari 2004
Sekurang-kurangnya 500 terkorban dalam gempa bumi di pinggir pantai Mediterranean, Maghribi.

26 Disember 2003
Lebih 26,000 terkorban apabila gempa bumi memusnahkan bandar bersejarah di Bam di selatan Iran.

21 Mei 2003
Algeria mengalami gempa bumi paling dahsyat dalam tempoh masa dua dekad. Lebih 2,000 orang terkorban sementara 8,000 lagi cedera dalam gempa di dasar laut berhampiran Sepanyol.

1 Mei 2003
Lebih 160 orang termasuk 83 kanak-kanak dalam kejadian bangunan asrama sekolah runtuh di tenggara Turki.

24 Februari 2003
Lebih 260 orang terkorban dan hampir 10,000 hilang tempat tinggal di wilayah Xinjang, barat China

31 Oktober 2002
Penduduk Itali trauma dengan kematian kanak-kanak dalam sebuah kelas di kampung selatan San Giuliano di Puglia apabila bangunan sekolah roboh.

26 Januari 2001
Satu gempa bumi magnitud 7.9 memusnahkan sebahagian besar wilayah Gujerat di barat laut India dan mengorbankan hampir 20,000 orang sementara berjuta hilang tempat tinggal.

Sekadar berkongi maklumat, jika ada kekurangan eloklah ditambah debagai salah satu percambahan maklumat....

Baca selengkapnya...

Saturday, October 3, 2009

Fakta tentang kejuruteraan genetik

2 comments
Salah satu modul yang menarik dalam sukatan matapelajaran Applied Science KBSM ialah berkaitan dengan Kesinambungan Hidup ataupun 'Continuity of Life'.
Bermula dari mukasurat 166 hingga 189, pelajar akan didedahkan dengan konsep seperti
1. Pertumbuhan sel (Cell Growth) yang mengandungi perbincangan tentang
(a) Struktur sel (Sel structure)
(b) DNA dan kromosom (DNA and kromosom)


(c) Mitosis dan sitokinesis (mitosis dan cytokinesis)
(d) Aplikasi Mitosis (Application of Mitosis)

2.Pembiakan (Reproduction) membincangkan

(a) Meiosis dan Sitokinesis (Meosis and Cytokinesis)
(b) Spermatogenesis dan oogenesis
(c) Permanian berhadas (Artificial Insemination)
(d) Kaedah Pencegahan Kehamilan (Prevention of Pregnancy)

3. Pregnancy (Kehamilan)

(a) Hubungan Janin dan Ibu (Relationship between Foetus and Mother)
4. Heredity (Pewarisan)
(a) Konsep Genetik (Genetic concept)
(b) Hukum Mendel (Mendel's Law)


Pengetahuan dalam bidang genetik dari proses biologi di peringkat sel seperti yang dibincangkan diperingkat sekolah akan membuka ruang untuk kita mempelajari perkembangan bioteknologi moden iaitu seperti satu produk boleh terhasil menggunakan proses-proses selular (sel) dan biologi molekul.

Lebih spesifik lagi, bidang tersebut yang juga dikenali sebagai kejuruteraan genetik, memanfaatkan pemindahan dan manipulasi genetik organisma hidup untuk menghasilkan produk baru atau pembaikan ciri-ciri produk atau mikroorganisma.

Kalau kita mengimbas kembali sejarah perkembangan bidang bioteknologi, ianya bermula dari sejak Tamadun Babylon iaitu 6000 tahun Sebelum Masihi. Kemudian perkembangannya menjadi semakin menarik selepas dua saintis, James Watson dan Francis Crick pada tahun 1953 telah mengesyorkan struktur molekul asid deoksiribonukleik asid (DNA)adalah 'heliks ganda dua' dan berkomplementari, yang merupakan ciri penting dalam pewarisan maklumat genetik. Ini kemudiannya diikuti dengan penemuan oleh Nirenberg, Matthaei, Khorana dan rakan-rakan pada tahun 1966 yang telah berjaya memecahkam kod genetik dan memahami bagaimana maklumat DNA digunakan dalam menjalankan aktiviti sel.

Perkembangan inilah yang membawa teknologi kejuruteraan genetik. Kejuruteraan genetik merupakan manipulasi gen tertentu yang dipindahkan dari satu spesis ke spesis lain bagi menghasilkan ciri-ciri yang tidak wujud sebelumnya. Perkembangan teknologi genetik yang semakin pesat telah digunakan dalam pelbagai bidang sebagai contoh dalam bidang

A. Farmaseutikal

Mengekstrak dan menulenkan sebatian aktif daripada tumbuhan yang boleh menghasilkan ubat-ubatan, barangan kosmetik, atau makanan kesihatan.

B. Pemakanan

Penghasilan enzim dalam teknologi makanan

C. Kesihatan dan Perubatan

Digunakan untuk menentukan asal usul penyakit berkaitan genetik seperti Sindrom Down, Hemofilia, sesetengah jenis kanser yang diwarisi, dengan mengenal pasti kod-kod genetik pada lokus DNA
Juga digunakan dalam penghasilan ubat-ubatan dan hormon perubatan.

C. Pertanian

Tumbuhan dan haiwan ternakan berkualiti dapat dihasilkan daripada bidang transgenik atau rekombinan DNA (DNA recombination)

Antara fakta yang menarik dalam perkembangan teknologi kejuruteraan genetik ialah
1. Tumbuhan transgenik pertama ialah tembakau dan petunia yang dihasilkan pada tahun 1983.


2. Tanaman seperti jagung telah diubahsuai secara kejuruteraan genetik bagi menghasilkan racun serangga di setiap sel dalam tunbuhan, hasilnya tumbuhan tidak dimakan dan hanya dikenali sebagai racun bagi serangga.

3. Dua ciri utama yang biasa digunakan dalam kejuruteraan genetik untuk tanaman adalah tahan terhadap racun herba dan serangan serangga.

4. 50 juta ekar tanaman yang telah mengalami kejuruteraan genetik telah ditanam di Amerika Syarikat pada 1998 meningkat 250% berbanding tahun sebelumnya.
5. Dianggarkan 70% makanan di pasar raya mempunyai bahan atau minyak daripada tumbuhan yang diubah secara kejuruteraan genetik.

6. Tumbuhan komoditi utama yang dijual di pasar raya adalah jagung yang tahan serangan serangga pada tahun 1999.

7. Kini tumbuhan yang diubah secara kejuruteraan genetik yang paling popular ialah jagung, kacang soya, kapas dan canola.


8. Rasa makanan yang diubah secara kejuruteraan genetik sama seperti makanan lain, kajian menunjukkan tiada perbezaan pada rasa, rupa atau memberikan perbezaan kepada tubuh manusia.
9. Tumbuhan makan organik dan konvensional sama khasiatnya dengan tumbuhan yang diubah secara kejuruteraan genetik.

10. Di masa akan datang tumbuhan yang diubah secara kejuruteraan genetik mungkin lebih bekhasiat. Saintis sedang membuat kajian bagi menghasilkan tumbuhan yang diubah secara kejuruteraan genetik lebih berkhasiat berbanding tumbuhan organik dan konvensional.
Misalnya beras yang dihasilkan dengan kandungan Vitamin A lebih tinggi dan kacang soya akan datang dengan lemak trans yang rendah. Kajian juga sedang dijalankan bagi menghasilkan kacang tanah dan kacang soya tidak alergik bagi mereka yang mengalami alahan.

11. Kebanyakan makanan ternakan dihasilkan daripada tumbuhan yang diubah secara kejuruteraan genetik dan ternakan serta ayam yang memakannya tidak meninggalkan kesan buruk. Hasil daging, tenusu dan telur daripada haiwan yang sama dengan haiwan yang memakan makanan konvensional.

12. Tumbuhan yang diubah secara kejuruteraan genetik dan hasil produknya telah diterima dunia. Pada tahun 2003, tumbuhan yang diubah secara kejuruteraan genetik telah ditanam pada lebih 167 juta ekar di 18 buah negara. Sejak ditanam secara komersial pada tahun 1996, tanaman yang diubah secara kejuruteraan genetik telah meningkat 40 kali ganda.

Semoga maklumat ini dapat membantu pelajar dan khususnya rakan-rakan guru dalam sesi set induksi semasa P&P Applied Science di dalam kelas.

Baca selengkapnya...

Friday, October 2, 2009

The first nuclear explosion test

0 comments
“If the radiance of a thousand suns were to burst at once into the sky, that would be like the splendor of the mighty one”

The Trinity explosion




Trinity was the first test of technology for an atomic weapon. It was conducted by the United States on July 16, 1945, at a location 35 miles (56 km) southeast of Socorro, New Mexico on the White Sands Proving Ground, headquartered near Alamogordo. Trinity was a test of an implosion-design plutonium device. The Trinity explosion, 0.016 seconds after detonation. The fireball is about 200 meters (700 ft) wide.Using the same conceptual design, the Fat Man device was dropped on Nagasaki, Japan, on August 9. The Trinity detonation was equivalent to the explosion of around 20 kilotons of TNT and is usually considered the beginning of the Atomic

Terjemahan dalam Bahasa Melayu

"Jika sinar seribu matahari meletup sekaligus di langit, ia akan menjadi seperti keindahan yang manakjubkan dan amat berkuasa"

Letupan Trinity



Trinity adalah ujian pertama daripada teknologi atom untuk senjata peperangan. Peristiwa ini berlaku di Amerika Syarikat pada 16 Julai 1945 , di lokasi 35 batu (56 km) tenggara dari Socorro, New Mexico pada White Sands Proving Ground, yang berpusat di Alamogordo. Trinity adalah suatu ujian daripada rekabentuk letupan peranti plutonium. Ledakan itu meletus hanya dalam masa 0.016 saat yang merangkumi keluasan 200 meter (700 kaki).Hasil kejayaan ini dan menggunakan rekabentuk dan konsep yang sama, peranti Fat Man dijatuhkan di Nagasaki, Jepun, pada tarikh 9 Ogos yang digelar sebagai bom atom. Letupan Trinity itu setara dengan ledakan sekitar 20 kiloton daripada TNT dan dianggap sebagai permulaan kepada era dan zaman Atomik.


Baca selengkapnya...

Module 9 : Nutrition

0 comments
An example of lesson plan for module 9 : Nutrition






Kalau imej dalam format JPEG ini kurang jelas, rakan-rakan boleh muat turun
Download ThemeGC.doc from FileFactory.com

It may be useful to all of you my friend out there...

Baca selengkapnya...

P&P yang berkesan

1 comments
Alhamdulillah...semalam telah selesai pemantauan dari pihak JPN untuk permohonan guru cemerlang DG44, secara khususnya saya merasa tidak berpuas hati dengan persembahan saya dalam pemantauan tersebut.
Dan kesimpulan dari sesi pemantauan tersebut saya merasakan saya tidak akan berjaya dalam permohonan pada tahun ini.
Terdapat beberapa kekurangan yang ketara semasa sesi pemantauan tersebut iaitu
1. Saya agak gagal dalam pemantauan P&P dalam kelas.
Walaupun perancangan saya untuk sesi tersebut agak rapi, tapi apabila sesi P&P berjalan saya telah membawa P&P ke arah yang berbeza dan tidak mengikut apa langkah yang dirangcangkan.
Antara komen dari pihak pemantauan ialah:
(a) teknik soalan yang ditanya dalam kelas tidak mempunyai aras iaitu aras senang, sederhana dan susah.
(b) tiada variasi dalam P&P dan tidak menunjukkan saya seorang guru yang cemerlang
(c) masih menggunakan kaedah konvensional iaitu berpusatkan guru dan bukan berpusatkan pelajar.
(d) Menggunakan banyak bahasa Melayu dalam pengajaran yang sepatutnya di ajar dalam Bahasa Inggeris

2. Tidak membuat analisis selepas peperiksaan bulanan dan peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun
Saya hanya menyediakan butiran keputusan peperiksaan yang tidak disertakan dengan analisis untuk pelajar lemah dan sederhana.
Tiada menyertakan tindakan susulan seperti program peningkatan untuk pelajar lemah dan sederhana.

3. Tidak membuat Jadual Spesifikasi Ujian semasa menggubal soalan

4. Tiada membuat graf pencapaian pelajar dari pertama kali kita mengajar kelas tersebut sehingga tamat menduduki peperiksaan awam.

5. Kurang berjaya mencungkil jawapan pelajar.

Segala teguran yang diberikan oleh pihak pemantau, InsyaAllah saya akan baiki untuk permohonan pada tahun hadapan. Kerana saya merasakan permohonan pada tahun ini tidak akan berjaya. Saya akan kembali memohon dengan lebih membuat perancangan yang lebih baik pada tahun hadapan.

Kepada rakan-rakan blogger SMTKKangsar yang ingin memohon guru cemerlang bolehlah mengambil teguran yang saya dapat ini sebagai pemangkin dan persediaan anda untuk menjadi guru cemerlang.
Wassalamm...

Baca selengkapnya...

Tuesday, September 29, 2009

Guru Berkesan

0 comments
30 September 2009 - Hari Penuh Makna dalam sejarah keguruan saya


Esok, InsyaAllah proses kedua dalam langkah menjadi guru cemerlang akan berlaku dalam sejarah kerjaya saya sebagai seorang guru. Setelah borang permohonan saya diterima, esok ialah proses pemantauan oleh Unit Akademik, JPN Perak.
Saya memohon kepada rakan-rakan blogger SMTKKangsar, pengunjung blog ini dan sesiapa sahaja hamba Allah agar mendoakan kejayaan saya dalam proses ini. Mungkin doa rakan-rakan akan dimakbulkan Allah SWT.

Sebagai seorang guru dan merupakan anak seorang guru, saya haruslah meneruskan cita-cita dan kesinambungan yang telah ditonjolkan oleh bapa saya semasa beliau menjadi guru dari tahun 1958 hingga 1996. Bapa saya telah berkhidmat sebagai guru selama 38 tahun.

Semasa saya melihat sejarah perkhidmatan beliau semasa beliau sibuk dengan urusan pencennya, saya sempat melihat gaji pertama beliau pada tahun 1958 iaitu sebanyak $22.50/bulan. Satu angka yang agak jauh jika dibandingkan pada hari ini.

Saya masih lagi menyimpan sebuah artikel yang diberi oleh ayah saya yang dipotongnya dalam Majalah Dewan Masyarakat keluaran Mei 2002. Artikel tersebut telah ditulis oleh mantan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia iaitu, Dato' Dr Abdul Shukor Abdullah sempena sambutan hari guru. Artikelnya bertajuk.....

Ciri-ciri guru berkesan


1. Bersikap profesional

2. Mempamerkan ciri-ciri kekuatan teori

3. Bertindak di atas landasan etika dan tatasusila kerja

4. Bermoral teguh

5. Sentiasa berusaha meningkatkan kualiti hasil pengajaran

6. Prihatin dengan kehendak murid dan ibubapa

7. Berkebolehan menilai kekuatan dan kelemahan murid-murid

8. Melengkapkan diri dengan kemahiran yang sejajar dengan tuntutan semasa
9. Menampilkan watak terpuji, berimej, berperibadi mulia, berwawasan sebagai pendidik unggul pada setiap masa

10. Mempastikan situasi "Guru mengajar murid belajar" wujud dalam kelas

11. Berupaya melahirkan 'persekolahan berwatak' supaya pelajar mempunyai kekuatan ilmu, berpesonaliti sihat dan serba boleh.

12. Berupaya membina minda pelajar yang cemerlang akademik.

13. Berupaya membentuk perwatakan murid dengan pelbagai keteguhan nilai diri (bermoral, berakhlak mulia, berketrampilan, pandai menyesuaikan diri dengan situasi tententu)

14. Taat dan setia terhadap perkhidmatannya, mempertahankan martabat profesionnya

15. Menunjukkan kesetiaan kepada kerajaan, bebas pendirian, tidak berbelah bagi.

16. Profesional dan menumpukan perhatian kepada P&P di sekolah

Semoga kita dapat menjadi guru yang mempunyai kesemua ataupun salah satu dari ciri-ciri di atas....InsyaAllah

Baca selengkapnya...

Monday, September 28, 2009

Andalusia dan Ilmu Tafsir

0 comments
Sejarah perkembangan ilmu tafsir di bumi andalusia


dipetik dari blog: khair-tamaddunummah.blogspot.com

Author: tamaddun ummah / Label: ANDALUS


Bahagian 1

1.11 Pengenalan Mengenai Andalus

Andalus atau Andalusia dikenali sebagai Taryessus pada zaman Purba. Andalus ialah sebuah wilayah yang terletak di utara Negara Maghribi, dan di selatan Sepanyol di dalam benua Eropah. Kedudukan wilayah ini di antara dua lautan iaitu di antara laut Mediterranean dan lautan Atlantik. Wilayahnya berbentuk segi tiga dan kini wilayahnya merangkumi selatan Negara Sepanyol dan Portugal. Ibu negeri Andalus ialah Cordova pada zaman pemerintahan Bani Umayyah. Antara kawasan terkenal di Andalus ialah Seville, Granada, Cordoba, dan Valencia. Perkataan Andalus diambil bersempena nama masyarakat peribumi Jerman iaitu ‘Vandalos’ yang telah menduduki wilayah tersebut sebelum kedatangan Islam sejak awal kurun kelima Masihi. Kemudian, pada tahun 711 Masihi, panglima Tariq bin Ziyad telah membuka kota Andalus dan menjadikan ia sebagai wilayah Islam pada zaman pemerintahan Bani Umaiyyah.


Terdapat beberapa faktor yang menarik perhatian penyelidik dan pembaca untuk mengetahui seterusnya mengetengahkan sejarah perkembangan Islam di Andalus. Ini kerana, pensejarahan Islam di Andalus sangat berbeza dengan pensejarahan Islam yang lain memandangkan Andalus merupakan satu-satunya wilayah yang terletak di benua Eropah. Sekiranya seseorang menelusuri historiografi Islam yang berkaitan dengan wilayah taklukan Islam, maka didapati bahawa kebanyakan wilayah taklukan Islam berada di dalam ruang lingkup wilayah Arab seperti Syam, Arab Saudi, dan Mesir yang rata-ratanya terletak di benua Asia dan Afrika sahaja. Justeru, dengan mengemukakan suatu gambaran perkembangan Islam di Andalus yang terletak di benua Eropah, ia secara tidak langsung memberi pendedahan kepada para pembaca akan keunikan dakwah Islamiah yang menjalar di seluruh pelosok dunia. Ia juga memperlihatkan pertembungan dua kuasa besar di dalam siri-siri peperangan di antara Islam dengan Kristian.

Bercerita mengenai Islam di Andalus, maka sudah pasti ia mempunyai perkaitan yang rapat dengan kerajaan Bani Umayyah. Kerajaan Bani Umayyah yang terbina di Andalus adalah rentetan daripada kerajaan Bani Umayyah yang bertapak di Damsyik, Syria apabila kerajaan Islam di bawah Khalifah al-Walid ibn Abdul Malik, khalifah yang kelima telah berjaya menakluki bumi Andalus melalui gabenornya. Sungguhpun kerajaaan Bani Umayyah di Andalus kurang popular di dalam liputan sejarah, namun apabila menyebut tentang tamadun Islam, maka tamadun Islam di Andaluslah dianggap sebagai tamadun Islam yang paling gemilang serta ia menjadi buah mulut masyarakat yang mengkaji ketamadunan Islam. Wilayah khilafah Bani Umayyah berpusat di Damsyik, Syria sehingga merentasi benua Eropah, manakala wilayah khilafah Bani Abbasiyah berpusat di Iraq, dan sekitar wilayah timur Arab.



1.12 Kronologi Sejarah Perkembangan Pemerintahan Islam Andalus

Sejarah yang dilalui umat Islam di Andalus dapat dibahagi kepada beberapa periode utama, iaitu:

1. Fasa pertama (91 H – 138 H / 709 M – 756 M)

Pada fasa ini, Andalus mula ditakluk dan ia kemudiannya berada di bawah pemerintahan para wakil gabenor yang dilantik oleh khalifah Bani Umaiyyah yang berpusat di Damsyik. Pada fasa ini, kestabilan politik Andalus masih belum tercapai secara sempurna. Terdapat pelbagai maslah yang timbul, seperti perselisihan di antara pemimpin, terutama akibat perbezaan suku dan golongan.

2. Fasa kedua (138 H – 238 H / 756 M – 852 M)

Pada fasa ini, Andalus berada di bawah pemerintahan seorang yang bergelar Amir yang berasingan dengan pusat pemerintahan Islam di Baghdad yang ditadbir oleh Bani Abbasiyah. Amir pertama ialah Abdul Rahman I berjaya mendirikan kerajaan Bani Umayyah. Pada tempoh ini, umat Islam mulai memperoleh kemajuan, baik dalam bidang politik, sosial, dan ekonomi, mahupun dalam bidang peradaban. Contoh-contoh pembaharuan yang telah dilaksanakan ialah Abdul Rahman I mengasaskan penubuhan Masjid Cordova dan sekolah-sekolah di kota-kota besar. Hisham I dikenali berjasa dalam menegakkan hukum Islam, dan Hakam I dikenali sebagai pembaharu dalam bidang kejuruteraan.

3. Fasa ketiga (238 H – 300 H / 852 M – 912 M)

Fasa ini berlangsung dari pemerintahan Muhammad Ibn Abdul Rahman yang kemudiannya diakhiri dengan Abdullah Ibn Muhammad. Pemerintahan pada fasa ini tidak banyak membuat perubahan sebaliknya terpaksa menghadapi pelbagai tentangan dari dalam dan luar negeri. Terdapat juga krisis dalaman yang dihadapi oleh pemerintah.

4. Fasa keempat (300 H – 366 H / 912 M – 976 M)

Pada fasa ini, Andalus diperintah oleh pemimpin dengan memakai gelaran khalifah. Khalifah yang mentadbir andalus pada ketika itu ialah Abdul Rahman III, dan anaknya al-Hakam II. Pada fasa ini, umat Islam Andalus mencapai kemuncak kemajuan dan kejayaan menyaingi kejayaan kerajaan Abbasiyah Baghdad.

5. Fasa kelima (366 H – 422 H / 976 M – 1031 M)

Fasa ini merupakan permulaan kepada kehancuran khalifah Bani Umayyah apabila khalifah Hisham yang ketika itu berusia sepuluh tahun menaiki takhta manakala tampuk pemerintahan dikuasai oleh al-Hajib Ibn Abi Amir secara mutlak. Setelah beliau wafat, negara Andalus yang sebelum ini makmur kemudian dilanda kekacauan akhirnya menuju kehancuran. Akhirnya, Dewan Menteri yang memerintah Cordova menghapuskan jawatan khalifah. Maka bermulalah Andalus berpecah kepada kerajaan-kerajaan kecil yang berpusat di kota-kota tertentu.

6. Fasa keenam (407 H – 667 H / 1016 M – 1268 M)

Andalus telah berpecah kepada kerajaan-kerajaan kecil. Namun, terdapat satu kekuatan yang dominan, iaitu kekuasaan kerajaan Murabbitun dan kerajaan Muwahhidun. Akan tetapi, kerajaan ini tidak dapat bertahan lama dan mengalami kehancuran. Pada tahun 1212 M, tentera Kristian memperoleh kemenangan besar di Las Navas de Tolesa. Kekalahan demi kekalahan yang dialami kerajaan Muwahhidun menyebabkan pemimpinnya memilih untuk meninggalkan Andalus sekali gus menamatkan pemerintahan Muuwahhidun di Andalus.

7. Fasa ketujuh (629 H – 897 H / 1232 M – 1492 M)

Pada fasa ini, Islam hanya berkuasa di daerah Granada, di bawah dinasti Bani Ahmar (Nasriyah). Peradaban ini kembali mengalami kemajuan sungguhpun secara politiknya, dinasti ini hanya berkuasa di wilayah yang kecil iaitu Granada. Setelah Ferdinand dan Isabella bersatu melalui perkahwinan, mereka akhirnya berjaya merebut kekuasaan terakhir umat Islam di Andalus ini. Dengan demikian, berakhirlah pemerintahan Islam di Andalus pada tahun 1492 M setelah jatuh ke tangan pihak Kristian.

Bahagian II

1.2 Sejarah Perkembangan Tafsir Al-Quran di Andalus

Tempoh dan era perkembangan tafsir Al-Quran di Andalus sebagai satu disiplin ilmu yang tersusun agak sukar untuk ditentukan secara spesifik disebabkan beberapa faktor tertentu. Antara faktor utama yang menyebabkan kesukaran dalam menentukan sejarah perkembangan tafsir Al-Quran adalah seperti berikut:

1. Senario perkembangan pelbagai cakupan ilmu berlaku secara serentak yang membawa kepada pengumpulan dan penguasaan ilmu secara menyeluruh yang oleh tokoh-tokoh ilmuan Andalus. Perkara ini telah dihuraikan dengan lebih lanjut di dalam kitab al-Tarikh al-Andalusiy dan kitab Tarajum al-A’lam fi al-Andalus. Secara umumnya, sekiranya seseorang cendekiawan Islam di Andalus terkenal dengan kepakaran di dalam sesebuah ilmu, secara tidak langsung beliau juga mempunyai kepakaran di dalam jurusan ilmu yang lain. Tambahan pula, hal ini dapat dilihat melalui biografi-biografi ulama’ Andalus di dalam kitab-kitab yang mengumpulkan tokoh-tokoh Islam di Andalus. Apabila melihat kepada biografi mereka, sudah pasti didapati kebanyakan tokoh-tokoh tersebut akan digambarkan sebagai: (…seorang yang pakar di dalam bidang feqh, ahli hadith, pakar tafsir Al-Quran, pakar bahasa…) dan hal ini sering kali dinyatakan di dalam kitab-kitab sejarah dan biografi ulama’ Andalus. Justeru, disebabkan ulama’-ulama’ terdahulu mampu menguasai sejumlah besar ilmu yang meliputi pelbagai jurusan, maka sudah pasti penulis agak sukar untuk menetapkan tempoh yang khusus bagi perkembangan ilmu tafsir Al-Quran secara spesifik.

Fenomena yang berlaku di atas merujuk kepada metodologi dan pendekatan yang dilakukan oleh penduduk bumi Andalus di dalam menggarap ilmu pengetahuan di Andalus. Ibn Khaldun berpendapat bahawa mereka memulakan pengajian ilmu dengan mempelajari ilmu Al-Quran dahulu, diikuti bahasa Arab, hadith, feqh, dan sebagainya. Kaedah ini hanyalah berlangsung di wilayah Andalus sahaja berbanding dengan wilayah Islam yang lain seperti yang dinyatakan oleh Ibn Khaldun.

Walaubagaimanapun, Abu Bakr Ibn al-`Arabi atau lebih dikenali sebagai Ibn al-`Arabi (M 543 H) mengkritik pandangan yang dikemukakan oleh Ibn Khaldun, seterusnya menyatakan pendapat bahawa penduduk Andalus mendahulukan pengajian bahasa Arab dan syair daripada pengajian al-Quran. Ini kerana, beliau beranggapan bahawa kaedah ini dapat memudahkan pengajaran al-Quran. Ibn Khaldun memuji pandangan yang dikemukakan oleh Ibn al-`Arabi. Namun begitu, Ibn Khaldun tetap dengan pendiriannya yang menyatakan bahawa pengajian Al-Quran didahulukan daripada pengajian bahasa Arab dan syair dengan alasan bahawa sekiranya seorang kanak-kanak memulakan pengajian dengan mempelajari ilmu bahasa Arab dan syair sahaja sehingga dewasa, maka dia akan mendapati halangan demi halangan yang menyukarkannya untuk mempelajari Al-Quran seperti kesibukan waktu. Ibn Khaldun juga melarang penggunaan sistem pengajaran yang menghimpunkan dua bidang seperti bidang bahasa Arab dan Al-Quran secara serentak dan terperinci melainkan penuntut ilmu tersebut mampu untuk memahami dan menguasai kedua-dua bidang ilmu tersebut dengan kefahaman yang menyeluruh.

2. Institusi pendidikan di Andalus seperti masjid-masjid sangat berkembang dan tersebar di setiap pelosok kota, kampung, dan sebagainya. Kuliah-kuliah serta halaqah-halaqah yang menerapkan kepelbagaian ilmu pengetahuan adalah banyak dan semakin berkembang dari semasa ke semasa, sama ada ilmu tersebut mengenai bidang Al-Quran, syariah, bahasa Arab, dan sejarah. Jelaslah tentang hal yang telah dinyatakan oleh Maqriy, pengarang kitab Nahf al-Tayyib iaitu: (Tiadalah wujud sekolah-sekolah yang khusus bagi penduduk di Andalus yang dapat membantu mereka menuntut ilmu yang khusus, tetapi mereka membaca dan menuntut kesemua ilmu di masjid-masjid.) Contoh terdekat yang dapat dilihat ialah masjid Cordova yang dianggap sebagai pusat gedung ilmu atau universiti. Masjid ini dikunjungi ribuan penuntut ilmu dari pelosok dunia khususnya negara Islam untuk menuntut ilmu. Begitu juga sekiranya seseorang mengkaji kitab-kitab biografi ulama’ Andalus, ia memperlihatkan kepada masyarakat tentang masjid-masjid merupakan medan utama memperolehi pelbagai ilmu pengetahuan bagi para ulama’ dan cendekiawan.

Fenomena ini berterusan sehingga akhir kurun ke-4 Hijrah ketika pemerintahan al-Mustansar khilafah Umayyah. Kegiatan ilmu pengetahuan di Andalus telah mencapai tahap ketamadunan yang tinggi. Pada era pemerintahan Bani Umaiyyah, kebangkitan ilmu kian pesat, apatah lagi khalifah pada zaman tersebut telah membuka dan mendirikan 25 buah sekolah rendah. Di peringkat pengajian tinggi pula, masjid Cordova yang telah dijadikan sebagai Universiti Andalus pada zaman tersebut telah menarik ramai penuntut ilmu di pelbagai wilayah lain untuk mengunjungi dan mempelajari ilmu pengetahuan di sana. Dikatakan juga bahawa rakyat Andalus telah mendirikan banyak sekolah dan gedung buku di setiap penjuru kawasan, dan mereka membina universiti-universiti bagi kemudahan pembelajaran di setiap ibu negeri di Andalus. Universiti-universiti tersebut merupakan satu-satunya pusat menuntut ilmu di benua Eropah salam satu jangka masa yang agak lama sedangkan pihak Kristian masih lagi berada dalam zaman kegelapan (Dark Ages) mereka.

Akhirnya, Cordova menjadi pusat keilmuan yang termasyhur di Eropah. Pemerintah-pemerintah Bani Umayyah sangat berminat dengan ilmu pengetahuan menjemput dan mengumpul ramai golongan intelektual dari berbagai-bagai tempat di Andalus. Apa yang menarik perhatian ialah, rata-rata penduduk Andalus berpegang kepada mazhab Maliki, maka pendekatan yang telah didedahkan kepada mereka adalah bersandarkan kepada Al-Quran dan sunnah. Namun begitu, bidang falsafah dan pemikiran begitu berkembang di Andalus dan bidang keilmuan di Andalus merupakan satu-satunya keilmuan yang mengkombinasikan di antara pendalilan naqal dan aqal. Maka lahirlah tafsir al-Qurtubi yang berasaskan sumber penafsiran al-Quran dan hadith di samping berlakunya ledakan pemikiran falsafah seperti yang telah dipelopori oleh Ibn Rusyd.

Pada zaman pemerintahan al-Hakam II, beliau memberi galakan dengan menghulurkan bantuan kepada kegiatan-kegiatan kesarjanaan dalam pelbagai bidang. Pengajian ilmu bahasa Arab juga berkembang hasil daripada pengajian tatabahasa al-Quran. Hal ini telah mempengaruhi rahib Yahudi untuk menyusun semula pengajaran kitab Taurat mengikut model pengajian bahasa Arab. Golongan wanita turut terlibat dalam kegiatan keilmuan dengan penglibatan mereka terutama orang miskin sebagai penyalin kitab suci Al-Quran. Di pinggir kota Cordova sahaja, terdapat 170 orang wanita bekerja sebagai penyalin Al-Quran kepada khat kufi. Masyarakat Andalus juga giat menghafal al-Quran dalam usaha untuk menguasai bahasa Arab. Begitu juga mereka membaca serta menulis dengan menggunakan bahasa Al-Quran sehingga dikatakan semua orang di Andalus tahu membaca dan menulis. Walaubagaimanapun, jika dibandingkan perkembangan ilmu wahyu iaitu Al-Quran dan hadith dengan ilmu `aqliyyah, perkembangan dalam bidang ilmu `aqliyyah agak lebih ketara di Andalus.

Sungguhpun sejarah perkembangan tafsir Al-Quran tidak dapat ditentukan secara khusus mengikut zaman-zaman tertentu, namun dapatlah disimpulkan bahawa ilmu ini bertapak di Andalus seiring dengan penerimaan rakyat Andalus terhadap agama Islam. Disebabkan Islam sangat berkembang di Andalus pada abad kedua Hijrah sehingga abad keempat Hijrah, penduduk Andalus pada ketika itu sangat memerlukan bimbingan hidup yang dapat dipetik melalui pemahaman terhadap ayat-ayat Al-Quran dan makna-maknanya. Para cendekiawan pula bersungguh-sungguh mendalami pelbagai ilmu pengetahuan termasuk ilmu tafsir Al-Quran dengan berpegang kepada kaedah-kaedah penafsirannya, penyusunannya, dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya. Masjid pula telah dijadikan sebagai sekolah dan universiti yang menjadi medan pertukaran maklumat, percambahan idea dan fikiran, peningkatan ilmu pengetahuan khususnya ilmu Islam, asimilasi ilmu Islam terhadap ilmu alam dan ilmu hayat seperti astronomi dan sebagainya.

Anjakan serta gelombang perkembangan ilmu semakin menyerlah sehinggalah pada tahun 201 Hijrah, maka lahirlah seorang tokoh terkemuka tafsir yang mempelopori perkembangan tafsir Al-Quran di Andalus iaitu Baqiy Ibn Makhlad (M 276 H). Beliau merupakan tokoh pertama yang menceburi bidang tafsir Al-Quran dan telah menghasilkan sebuah tafsir Al-Quran lengkap yang pertama di Andalus yang mengandungi 70 jilid seperti yang telah dinyatakan oleh pengarang-pengarang kitab tokoh-tokoh Islam di Andalus.

Kemudian, tokoh-tokoh tafsir semakin bercambah ramai dari semasa ke semasa. Antaranya ialah Makkiy Ibn Abi Talib al-Qaisiy (M 437 H) yang merupakan seorang ulama’ tafsir, dan pakar bahasa Arab, diikuti Abu Bakr Ibn al-`Arabi (M 543 H) yang mengarang kitab tafsir Ahkam al-Quran. Perkembangan ilmu tafsir ini diteruskan lagi dengan kemunculan beberapa tokoh tafsir terkemuka di Andalus seperti Ibn `Atiyyah (M 541 H), pengarang kitab al-Muharrir al-Wajiz, diikuti Imam Mufassir Ahmad Ibn Abi Bakr Ibn Farh al-Qurtubiy (M 671 H), penulis kitab tafsir al-Jami’ li Ahkam al-Quran, dan akhir sekali ialah Abu Hayyan al-Gharnatiy (M 745 H), pengarang kitab al-Bahr al-Muhit. Justeru, dengan kehadiran tokoh-tokoh ulama’ tafsir tersohor ini, tidak hairanlah jumlah tokoh-tokoh tafsir di Andalus mampu mencecah lebih 70 orang sehingga abad ke-10 Hijrah setelah melihat kepada buku-buku yang mengumpulkan biografi ulama’-ulama’tafsir di seluruh dunia!

Merujuk kepada metodologi tafsir al-Quran di Andalus, ulama’-ulama’ Andalus pada asasnya berpegang kepada tafsir bi al-Ma’thur, di samping merujuk kitab-kitab tafsir yang berkaitan. Sumber rujukan mereka mengenai kitab tafsir dapatlah disimpulkan terbahagi kepada dua bahagian, iaitu sumber dari timur dan sumber-sumber lain. Antara contoh-contoh kitab yang bersumberkan dari timur ialah tafsir al-Tabari, tafsir al-Razi, tafsir al-Mawardi, dan sebagainya. Manakala sumber lain-lain pula adalah seperti kitab Al-Hidayah ila Bulugh al-Nihayah yang dikarang oleh Makki al-Qaisiy yang juga merupakan tokoh Tafsir Andalus.

Daripada pensejarahan yang telah dikemukakan di atas mengenai perkembangan ilmu tafsir di Andalus, dapatlah disimpulkan bahawa ilmu tafsir mula bertapak di Andalus sebagai satu disiplin ilmu yang tersusun pada kurun ketiga Hijrah, kemudian berkembang pada kurun kelima Hijrah, seterusnya mencapai kemajuannya pada kurun keenam Hijrah rentetan daripada penghasilan karya tafsir oleh Ibn `Atiyyah, dan akhirnya mencapai kemuncak kegemilangannya pada kurun ketujuh dan kelapan Hijrah yang menyaksikan ciri-ciri, metodologi dan aliran-aliran para ahli tafsir yang tersendiri. Perkara ini akan dihuraikan secara terperinci di dalam bab berikutnya selepas mengemukakan biografi ringkas beberapa tokoh tafsir terkemuka di Andalus, insya Allah.

Bahagian III

1.3 Tokoh-tokoh Tafsir Andalus

Setelah membuat pemerhatian terhadap karya-karya yang mengumpulkan biografi tokoh-tokoh tafsir di dunia, didapati terdapat lebih daripada 70 orang ahli tafsir terdapat di Andalus sehingga abad ke-10 Hijrah. Menurut kitab Tabaqat al-Mufassirin karangan al-Daudi, bilangan ahli tafsir yang dapat dikenal pasti di Andalus adalah sekitar 75 orang. Namun, di dalam bahagian ini, penulis hanya memaparkan enam tokoh tafsir terkemuka Andalus yang hidup di dalam zaman yang berbeza, selaras dengan peringkat-peringkat perkembangan ilmu tafsir yang berlaku di Andalus.

1. Baqiy Ibn Makhlad

Masyarakat rata-rata mengenali ahli-ahli tafsir Andalus yang hidup pada abad selepas ketiga Hijrah, namun pada hakikatnya tidak ramai yang mengenali tokoh agung ini yang hidup pada abad ketiga Hijrah. Hal ini disebabkan beberapa faktor, antaranya:
i. Sedikit sahaja karya-karya biografi tokoh tafsir yang menceritakan riwayat hidupnya.
ii. Karya-karya beliau tidak dapat dikesan selepas kewafatannya, sehingga karya-karya beliau yang masyhur pada zamannya juga tidak dapat dikenal pasti mutakhir ini. Walaubagaimanapun, terdapat juga karya-karyanya dinyatakan di beberapa buku biografi ulama’-ulama’ tafsir sungguhpun metodologi penulisannya terhadap karya-karya tersebut sukar ditentukan. Turut dinyatakan juga di dalam kitab-kitab biografi ulama’-ulama’ (tarajum) bahawa karya tafsirnya sering digunakan oleh masyarakat dan menjadi rujukan mereka ketika beliau masih hidup. Olah hal yang demikian, Imam al-Zarkaliy telah berkata: (Baqiy Ibn Makhlad adalah seorang imam mujtahid, karya-karyanya tersebar, dan sering diguna pakai oleh penuntut ilmu ketika beliau masih hidup.)

Nama penuh beliau ialah Baqiy Ibn Makhlad Ibn Yazid al-Qurtubiy al-Andalusiy. Beliau dilahirkan pada bulan Ramadhan tahun 201 Hijrah dan panggilannya (kunyah) Abu Abd al-Rahman. Beliau merupakan seorang imam yang merendah diri, kuat beribadah, dan pakar di dalam ilmu tafsir dan hadith. Seorang yang tekun mencari ilmu dengan melakukan rehlah ilmiah ke beberapa buah negara untuk bertemu dengan ulama’-ulama’ seperti Yahya Ibn Bukair di Mesir, Hisyam Ibn `Ammar di Damsyik, Imam Ahmad Ibn Hanbal di Baghdad, dan lain-lain.

Bilangan guru-gurunya 284 orang, dan beliau sangat mengambil berat akan ilmu athar. Beliau adalah orang yang memainkan peranan penting dalam menyebarkan hadith-hadith di Andalus, dan dikatakan tiada seorang pun dapat menyainginya di dalam ilmu musnad dan tafsir pada zamannya. Pada bulan Jamadil Akhir 276, beliau telah menemui Ilahi.


2. Abu Bakr Ibn al-`Arabi

Pengenalan:
Nama penuh beliau ialah Muhammad Ibn `Abdillah al-Ma`afiri al-Andalusiy al-Isybiliy. Beliau lebih dikenali dengan panggilan Ibn al-`Arabi. Beliau dilahirkan di Seville, Andalus pada tahun 468 Hijrah dan beliau pernah menjawat kadi di kawasannya. Beliau meninggal dunia pada tahun 543 Hijrah.

Kedudukan Ilmunya:
Ibn al-`Arabi telah menguasai pelbagai bidang ilmu melalui rehlah ilmiah yang telah dilakukannya di negara-negara Arab Timur dan di Andalus sendiri. Antara bidang-bidang pengetahuan yang telah dikuasainya ialah ilmu feqh dan kaedah penentuan hukum, ilmu hadith dan perawi hadith, ilmu tafsir, peradaban Islam dan syair, dan sebagainya. Berkata al-Hajjari mengenai Ibn al-`Arabi: (Beliau adalah lautan ilmu, dan pembimbing bagi segala ilmu yang dihafaz.)

Karyanya:
Keilmuannya yang tinggi tidak dapat dipertikaikan lagi apabila beliau telah menghasilkan karya-karya yang begitu banyak dan bernilai. Di dalam bidang tafsir, karyanya yang terpenting dan terkenal ialah Ahkam Al-Quran dan Al-Qanun fi Tafsir Al-Quran al-`Aziz. Karya Ahkam Al-Quran yang dikarangnya akan dibincangkan dengan lebih lanjut di dalam bab seterusnya. Di dalam ilmu hadith pula, beliau telah mengarang kitab al-Masalik fi Syarh Muwatta’ Malik, dan kitab `Aridah al-Ahwadhi `ala Kitab al-Tirmidhi. Adapun di dalam bidang feqh dan usul feqh, karyanya yang terkenal ialah Al-Mahsul fi Usul al-Feqh.

Guru-gurunya:
Beliau mempunyai bilangan guru yang sangat ramai dari pelbagai negara memandangkan beliau seorang ilmuan yang sering melakukan pengembaraan ilmu. Antara guru-gurunya dan tempat beliau menuntut ilmu ialah Abu al-Hasan Ibn Musyrif dan Abu Hasan Ibn Daud al-Farisi di Mesir, Abu Nasr al-Maqdisi, Abu Hamid al-Ghazali, dan Abu Sa`id al-Rahawi di Syam, Ibn al-Tuyuri, Ja’far Ibn Ahmad al-Siraj, dan Abu Zakaria al-Tibrizi di Bahgdad, dan lain-lain lagi.

3. `Abd al-Haq Ibn `Atiyyah
Pengenalan:
Nama penuh beliau ialah `Abd al-Haq Ibn Ghalib Ibn `Atiyyah al-Andalusi al-Gharnatiy al-Maliki. Beliau dilahirkan di Granada, Andalus pada tahun 481 Hijrah dan membesar di sana. Bapanya telah mendidiknya menjadi seorang yang cintakan ilmu. Beliau pernah menjawat jawatan kadi di sebuah kawasan di Andalus yang bernama Mariyyah. Beliau juga pernah berazam untuk menjadi kadi di salah sebuah wilayah di Maghribi, tetapi beliau dihalang daripada memasuki negara tersebut, bahkan beliau dihalau daripada menjejakkan kaki terus di Maghribi. Pada 15 Ramadhan 541 Hijrah, beliau telah meninggal dunia di bandar Riqqah, mudah-mudahan rohnya dirahmati Allah.

Kedudukan Ilmunya:
Ibn `Atiyyah sangat mencintai ilmu, maka tidak hairanlah beliau dapat menguasai pelbagai cabang ilmu pengetahuan. Ketika menuntut ilmu, beliau meletakkan keazaman yang tinggi. Beliau seorang yang pakar di dalam ilmu tafsir, feqh, hadith, bahasa Arab, dan peradaban Islam. Al-Suyuti telah berkata mengenai beliau: (`Abd al-Haq Ibn `Atiyyah merupakan imam besar yang menjadi contoh teladan kepada ahli tafsir yang lain.)


Karyanya:
Karyanya yang termasyhur ialah mengenai ilmu tafsir. Tafsirnya yang bernama al-Muharrar al-Wajiz fi tafsir al-Kitab al-`Aziz merupakan tafsir bi al-ma’thur yang terulung di Andalus. Al-Suyuti telah menyatakan pandangan mengenai tafsirnya: (Ibn `Atiyyah telah menghasilkan karya tafsirnya dengan sangat baik, dan kitabnya itu menjadi sebenar-benar bukti yang menunjukkan ketokohan beliau di dalam ilmu bahasa Arab dan selainnya.) Ibn `Atiyyah sangat mengambil berat mengenai penghasilan tafsirnya dengan sentiasa menyatakan sumber rujukan yang diguna pakai olehnya dan mengutamakan pandangan yang rajih dan tepat. Beliau juga mengarang “Barnamij” yang memuatkan nama guru-gurunya dan hikayat yang diriwayatkannya daripada gurunya yang bersandar kepada Rasulullah s.a.w. Kemudian, Barnamij ini telah dimuatkan di dalam kitab tafsirnya dan menjadi salah satu bahagian di dalam karya tafsirnya.

Guru-gurunya:
Bapanya merupakan gurunya yang paling utama di dalam bidang Al-Quran dan hadith, dan beliau telah mengambil hadith secara bersanad daripada bapanya sendiri. Di dalam bidang bahasa Arab, beliau menuntut ilmu daripada Imam Abi al-Hasan Ibn Ahmad Ibn Khalaf al-Ansari, manakala bidang feqh pula daripada Sufyan Ibn al-`Asi Ibn Ahmad al-Asadi. Beliau tidaklah mengembara mencari ilmu di tempat yang jauh, dan hanya menuntut ilmu di sekitar wilayah Andalus di pusat-pusat ilmu.




4. Abu `Abdillah Ibn Farh al-Qurtubi

Pengenalan:
Nama beliau ialah Muhammad Ibn Ahmad Ibn Abu Bakr Ibn Farh al-Ansari al-Khazraji al-Maliki al-Qurtubi. Tarikh kelahirannya tidak dapat dipastikan kerana tiada sumber sejarah yang menyatakan tarikh kelahiran beliau. Namun, tarikh kewafatannya telah disepakati ulama’ pada malam Isnin, 9 Syawal 671 Hijrah. Para ulama’ memuji akan kehebatan ilmu yang dimilikinya, dan sifat yang terdapat pada dirinya. Beliau seorang yang zuhud dan kuat beribadah.

Kedudukan Ilmunya:
Para sejarawan memuji akhlak yang dimiliki Ibn Farh al-Qurtubi di samping ilmu pengetahuannya yang tinggi. Penghasilan karya-karyanya yang meliputi pelbagai aspek membuktikan bahawa beliau mempunyai pengetahuan yang luas. Berkata salah seorang anak muridnya mengenainya bahawa beliau seorang yang berdisiplin, mempunyai hafalan yang sangat baik, dan mahir di dalam pelbagai bidang keilmuan agama.

Karyanya:
Karyanya di dalam bidang tafsir ialah bernama Jami’ Ahkam Al-Quran wa al-Mubayyin lima Tadammanahu min al-Sunnah wa Ai al-Furqan. Menurut Ibn Farihun, karya ini merupakan karya yang memberikan manfaat terbesar dan teragung kepada umat Islam. Kitab tafsir ini mengandungi 15 jilid besar dan memuatkan hukum-hukum yang didapati di dalam Al-Quran, ilmu qiraat, i’rab, nasikh dan mansukh, dan sebagainya . Selain itu, beliau juga mengarang beberapa kitab lain, antaranya Kitab al-Tazkirah bi Umur al-Akhirah, dan Kitab Qam`u al-Hirs bi al-Zuhd wa al-Qana`ah wa Dhal al-Sual bi al-Kutub wa al-Syafa`ah. Ibn Farihun telah memberi komentar mengenai karyanya Qam`u ini dengan menyatakan bahawa beliau belum pernah menemui penulisan yang lebih baik daripada kitab ini.

Guru-gurunya:
Antara guru-gurunya yang tersohor ialah Ibn Rawaj, Ibn al-Jumairi, al-Syaikh Abi al-`Abbas Ahmad Ibn `Umar al-Qurtubi, al-Hasan Ibn Muhammad Ibn Muhammad al-Bukra al-Hafidh, dan lain-lain. Manakala di antara murid-muridnya ialah anaknya sendiri, iaitu Shihab al-Din Ahmad.

5. Athir al-Din Abu Hayyan al-Andalusi

Pengenalan:
Beliau ialah Muhammad Ibn Yusuf Ibn `Ali Ibn Yusuf Hayyan al-Andalusi al-Gharnatiy. Dilahirkan di Granada, Andalus pada tahun 654 Hijrah, dan panggilannya ialah Abu Hayyan, dan digelar sebagai Athir al-Din oleh sebahagian besar masyarakat Arab timur. Beliau juga sering melakukan pengembaraan ilmu dan beliau seorang ahli pakar bahasa, ahli tafsir, muhaddith, dan ahli sejarah.

Kedudukan Ilmunya:
Keilmuannya sangat terserlah apabila menguasai pelbagai cabang ilmu pengetahuan. Salah seorang muridnya pernah berkata: (Aku tidak pernah melihatnya melakukan perkara lain melainkan mendengar ilmu, atau menyibukkan diri dengan ilmu, atau menulis, atau membaca kitab…) Abu Hayyan turut terkenal dengan penghasilan syairnya yang begitu banyak. Manakala mazhabnya pula tidak tetap pada peringkat permulaan kehidupannya. Ketika beliau berada di Andalus, beliau berpegang kepada mazhab Maliki kerana rata-rata penduduk Andalus bermazhab Maliki, kemudian beliau berpegang kepada mazhab zahiri yang kian berkembang di Andalus ketika zamannya, dan akhirnya beliau berpegang kepada mazhab Syafi`i selepas menuntut ilmu di Mesir.

Karyanya:
Abu Hayyan telah menulis karya yang pelbagai dalam bidang keilmuan yang berbeza. Di dalam bidang tafsir, antara kitab yang telah dikarang oleh beliau ialah Al-Bahr al-Muhit fi Tafsir al-Quran al-Karim. Di dalam pengajian bahasa Arab pula, beliau telah menghasilkan karya Al-Asfar al-Mulakhkhas min Kitab al-Sighar yang merupakan kitab syarh bagi Kitab al-Tajrid yang dikarang oleh Sibawaih. Di dalam ilmu qiraat pula, beliau telah mengarang al-Nafi’ fi Qiraat Nafi’, al-Athir fi Qiraat Ibn Kathir, dan sebagainya.

Guru-gurunya:
Jumlah guru-gurunya begitu ramai, di antaranya ialah Abu Ja`far Ibn al-Tiba’ yang mengajarnya di bidang qiraat. Manakal di bidang hadith, beliau telah menuntut ilmu di Afrika, Mesir, dan Hijaz dengan syaikh al-Dimyati, al-Qutb al-Qastalan dan lain-lain. Dikatakan bahawa bilangan guru-gurunya di dalam bidang hadith dan bahasa Arab sahaja mencecah 450 orang.

Terima kasih yang tak terhingga kepada tuan empunya artikel ini. Maklumat yang diberikan memang ternyata sekali menambah pengetahuan saya tentang kegemilangan kota Islam di Andalusia.

Semoga maklumat ini berguna untuk kita semua dan menjadi pemangkin untuk kita mendalami ilmu menerusi pembacaan dan kajian. InsyaAllah.

Baca selengkapnya...
 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--