expr:dir='data:blog.languageDirection' xmlns='http://www.w3.org/1999/xhtml' xmlns:b='http://www.google.com/2005/gml/b' xmlns:data='http://www.google.com/2005/gml/data' xmlns:expr='http://www.google.com/2005/gml/expr'> DEDAWAI BERISI: Selamat bercuti... wahai pencinta dunia pendidikan

Saturday, November 20, 2010

Selamat bercuti... wahai pencinta dunia pendidikan


Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Tuhan Yang Maha Esa kerana dengan limpah rahmatnya mampu kita meluangkan masa untuk berada di alam siber ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita, Nabi Muhammad Shallalahu 'alaihi wasalam pembawa cahaya ke sekalian alam.

Semalam (19/11/2010) merupakan hari terakhir persekolahan bagi sesi pembelajaran 2010. Jika diimbas seperti terasa minggu lepas memulakan persekolahan, masih teringat lagi peristiwa-peristiwa di awal memulakan sesi persekolahan, namun sedar-sedar sudah tamat sesi persekolahan

Ya, Musim cuti sekolah akhir tahun kembali lagi, menemui seluruh warga pelajar dan guru. Ramai yang mengatakan cuti sekolah adalah suatu yang menyeronokkan dengan pelbagai tafsiran masing-masing. Ada di kalangan kita yang memikirkan tempat-tempat percutian yang belum dan perlu dilawati bersama keluarga. Ada yang merancang untuk ke kem-kem motivasi yang banyak ditawarkan sepanjang musim cuti sekolah. Ada yang ingin merasa dunia "pekerjaan sementara" untuk mencari pengalaman menempuh alam sesudah sekolah nanti. Tetapi juga pasti ada yang hanya dapat menghabiskan masa di rumah dengan memiliki masa dan peluang yang banyak untuk tidur, bermain permainan video, menonton televisyen, melayari internet atau bergayut di telefon

Walau apa puntanggapan atau penafsiran kita tentang percutian, seharusnya kita bersyukur kerana dapat bercuti dalam negara yang aman makmur seperti Malaysia. Kita seharusnya muhasabah diri kita dengan melihat rakan-rakan seagama yang tidak bercuti kerana berada dalam suasana peperangan, dilanda taufan puting beliung, gempabumi dan tanah runtuh. Dan sudah tentu kehidupan mereka dipenuhi dengan rasa ketakutan dan kegelisahan.

Berada dibumi Malaysia yang tercinta yang aman makmur sentosa ini membuatkan kita terlalu pasti menghargai nikmat yang dikurniakan ini. Marilah kita bersama-sama mencuba untuk belajar mengisi waktu cuti kita kali ini dengan pengisian yang bermanfaat dengan semaksimun yang mungkin mengikut kemampuan kita. Kerana apabila kita merancang sesuatu, walaupun tidak dapat dilaksanakan 100% sekurang-kurangnya kita berjaya melaksanakan 40% daripada perancangan kita, itu sudah dikira cukup bagus. Tetapi jika kita tidak merancang lansung, tidak berazam dan berusaha mendapatkannya belum tentu yang "bulat datang bergolek, yang pipih datang melayang".

Perkara pertama yang perlu kita titik beratkan ialah kita haruslah mempunyai niat yang betul. Cuti merupakan suatu anugerah dan peluang untuk kita beribadah kepada Allah Subhanahu wata'ala, pencipta langit dan bumi serta pengatur perjalanan setiap sesuatu yang ada di dalamnya. Justeru itu kita usahakan cuti kita pada kali ini menjadi suatu ibadah dengan berniat bercuti kerana Allah dan seterusnya berusaha menjauhi perkara yang menyalahi syariat Islam yakni melakukan perkara yang melibatkan dosa semasa tempoh cuti tersebut.

Perkara kedua ialah sentiasa berhati-hati dalam melakukan sesuatu perkara. Jika kita melakukan percutian bersama keluarga, sentiasalah melakukan pemerhatian dan pemantuan kepada anak-anak, adik-adik dan juga ibu bapa kita. Selain itu kita juga hendaklah prihatin terhadap keselamatan dalam ertikata lain semangat kerjasama dan kekitaan serta kesetiakawanan yang tinggi demi keselamatan dan kesejahteraan bersama. Nabi kita yang mulia ada menyebut "Allah tidak akan mencintai seseorang muslim itu, melainkan jika dia mencintai orang muslim yang lain seperti dia mencintai dirinya sendiri

Ketiganya kita haruslah banyak berdoa dan bertawakkal kepada Allah. Doa adalah suatu yang amat penting dalam kehidupan seseorang Muslim. Ungakapan 'Doa senjata Mukmin' itu menggambarkan betapa tajam dan berbisanya jika seorang mukmin itu berdoa. Disini bukanlah bermaksud agar kita sentiasa mendoakan untuk menjahanamkan orang yang kita benci atau musuh. Tetapi doa berfungsi untuk memandu arah perjalanan hidup kita agar sentiasa berada di atas landasan yang betul dan sentiasa diredhai Allah Subhanahu wata'ala.

Akhirnya marilah kita mengikut atau mengambil panduan tentang beberapa perkara yang boleh dimanfaatkan dalam masa percutian Antaranya ialah:

Merapatkan hubungan dengan keluarga. Kita boleh merapatkan lagi hubungan dengan keluarga dengan makan dan solat bersama.


Meningkatkan kualiti ibadah iaitu dengan menyertai rakan masjid, kem tahsin qiraah atau solat. Menimba ilmu melalui pengajian agama yang diadakan di masjid-masjid dan sebagainya.


Membantu adik-adik, anak-anak atau rakan-rakan dalam pelajaran


Membuat perbincangan tentang cita-cita dan perancangan masa depan


Meningkatkan kemahiran dalam pelajaran atau bahasa bagi mempersiapkan diri dalam menghadapi tahun-tahun yang akan datang. Iaitu sama ada mengikuti kelas tambahan atau memperuntukkan lebih masa untuk membaca sama ada di rumah atau di perpustakaan.


Memperuntukkan masa untuk belajar sesuatu kemahiran seperti jahitan, masakan, pertukangan dan sebagainya kemahiran yang mendatangkan faedah dimasa hadapan.


Semoga dengan sedikit perkongsian ilmu dan pandangan ini dapat memberi sedikit panduan kepada kita agar lebih matang dalam membuat pertimbangan dan tindakan. Dengan harapan agar cuti sekolah yang dilalui dapt diisi dengan perkara-perkara yang bermanfaat untuk diri sendiri dan orang lain. Kerana perkara-perkara yang bermanfaat ini dapat menjana minda, mengukuhkan silaturrahim sesama keluarga dan kaum kerabat, memperbaiki ruh dan akhlak kita.

Hakikat yang jelas ialah kita tidak dapat lari dari tugas sebagai hamba Allah yang wajib beribadah kepada-Nya dan menjadi sebagai khalifah Allah yang mesti memakmurkan bumi ini. Kita harus menjadi manusia yang tidak melakukan kezaliman terhadap diri sendiri dan penindasan terhadap orang lain. Justeru sentiasalah kita berusaha memperbaiki diri kita untuk kesejahteraan hidup diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

Wallahu a'lam


Sumber:
1. "Cuti yang bermanfaat", Nor Asmahan bt Abdul Kadir, Majalah Cahaya Nov/Dis 2006, JAKIM.
2. Bagaimana Memotivasikan Pelajar, Baharom Mohamad & Iliyas Hashim, PTS Professional, Cetakan 2009.
3. 66 Tips Mutiara Motivasi Cinta Islam, Ku Muhamad Asmadi b Ku Mohd Saad & Nor Syahida bt Ahmad, Pustaka Abdul Majid, 2009.

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--