Saturday, September 18, 2010

Dapatkah bumi kita diselamatkan?


Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang saya mulai catatan dalam entri pada kali ini. Selawat dan salam buat junjungan besar, Nabi Muhammad Shallalahu 'alaihi wasalam, ahli keluarga dan para sahabat baginda, para ambia, para syuhada, para aulia dan sekalian mukmin yang sentiasa berada dalam limpahan rahmat Allah Subhanahu wata'ala.

Bersyukur ke hadrat Allah kerana dengan limpah rahmat-Nya, mampu saya meluangkan masa untuk berada di dalam alam siber ini. Sesungguhnya budaya penulisan di dalam laman blog ini adalah satu kaedah bagi saya memantapkan penggunaan bahasa dan meningkatkan kefahaman terhadap apa yang saya baca. Mudah-mudahan perkongsian dari saya yang dhaif ini mampu sedikit sebanyak menambahkan pengetahuan para pengunjung sekalian.

Fenomena perubahan suhu yang ganjil telah banyak kali dibentangkan dan dihidangkan di dalam dada-dada akhbar. Musim dingin yang kurang dingin, tetapi kadang-kadang dikejutkan dengan ribut salji yang sangat sejuk. Fenomena El-Nino suatu masa dahulu yang menyebabkan banjir besar dan kemarau teruk di beberapa negara. Hakikatnya semua ini berpunca daripada pemanasan global yang mengganggu iklim dunia. Terbaru sepertimana yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia melalui laporan daripada Pusat Pentadbiran Hidupan Laut dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) yang menyatakan bumi mencatatkan suhu paling panas dalam tempoh lapan bulan.



Peningkatan suhu sejagat sedang mencairkan glasier dari Banjaran Andes di Peru hingga ke pergunungan Alps di Switzerland. Pada tahun 2000, Worldwatch Institute (WWI) berkata dalam laporannya, ais yang meliputi kawasan Antartik beransur-ansur menipis. Selepas setengah abad pada tahun 1997,kawasan tersebut kehilangan ais seluas 7,000 kilometer persegi (kmp) tetapi pada tahun 2000, ia kehilangan 3,000 kmp lagi, hanya dalam tempoh tiga tahun! Bayangkan berapa kmp yang hilang dalam tempoh sepuluh tahun. Sebenarnya jika diteliti melalui pembacaan dan kajian-kajian saintifik oleh saintis yang terlibat dalam bidang geologi, kita akan mendapati bahawa tanda-tanda pencairan berada di mana-mana. Jika diimbas satu peristiwa yang berlaku pada penghujung tahun 1997, di mana para pendaki di barat daya pergunungan Alps menjumpai mayat lelaki yang masih sempurna muncul dipermukaan glasier. Lelaki tersebut dipercayai terperangkap dalam ribut salji 5,000 tahun yang lalu dan tertimbus serta merta di bawah suhu beku ais. Juga satu peristiwa pada tahun 1999 dimana satu tubuh manusia lagi dijumpai ditengah-tengah glasier yang mencair di wilayah Yukon, barat Kanada. Lelaki ini dikatakan tertimbus hampir 6,000 tahun.

Negara-negara kepulauan Pasifik yang digambarkan sebagai mutiara yang tidak ternilai dan syurga dunia juga sedang diancam pemanasan global. Perubahan iklim dan peningkatan aras laut menjejaskan bekalan air, pengeluaran makanan, aktiviti pantai dan perikanan di pulau berkenaan. Sekurang-kurangnya dua motu atau pulau kecil telah tenggelam di Kiribati dan pada tahun 1998, Micronesia, Fiji, Kepulauan Marshal, Papua New Guinea, Samoa dan Tonga dilanda kemarau dengan teruk. Fiji kehilangan dua pertiga daripa eksport gulanya sementara Tonga lebih separuh tanaman buah-buahannya musnah. Di Macronesiahampir 40 pualu cincin ditenggelami air.

Keadaan yang membimbangkan ini membuatkan para saintis meramalkan pemanasan global dikhuatiri akan menjerumuskan berjuta-juta orang ke dalam kancah kebuluran pada abad ini. Mereka berkata, pengeluaran makanan akan menurun di Asia, sementara di Australia dan New Zealand menghadapi kekurangan bekalan air. Negara-negara Eropah akan di ancam banjir besar dan pantai timur Amerika lebih kerap dilanda taufan. Ancaman yang dihadapi di benua Afrika pula ialah bertambahnya "benua padang pasir" di benua itu.

Sebenarnya fenomena pemanasan global ini mempunyai kaitan lansung dengan kesan rumah hijau. Sinar ultraungu yang dipancarkan oleh matahari ke bumi, sebahagiannya akan dipantul semula ke angkasa lepas oleh atmosfera. Sebahagian lagi akan sampai ke bumi untuk memanaskannya. Haba yang sampai ke bumi akan dipantul semula oleh permukaan bumi ke angkasa lepas sebagai sinar inframerah. Tetapi tidak semua tenaga haba ini akan menembusi atmosfera. Kebanyakan tenaga haba ini akan diserap oleh gas-gas rumah hijau di atmosfera terutamanya gas karbon dioksida (CO2), karbon monoksida (CO), klorofluorokarbon (CCl4 @ CFCs), metana (CH4),oksida nitrogen dan sulfur dioksida. Haba yang terperangkap inilah yang meningkatkan suhu bumi.

Kesan rumah hijau akan mendatangkan pelbagai masalah kepada manusia. Air di lautan dan sungai akan menjadi panas dan lebih mudah tersejat. Tanah-tanah terutamanya di hemisfera utara dan latitud tengah akan menjadi lebih kering. Ruang atmosfera akan menjadi lebih panas. Arah angin pula akan berubah dan menyebabkan kejadian ribut kerap berlaku. Taburan hujan yang tidak seragam juga akan berlaku sehingga mengakibatkan kemarau, kerana pemanasan bumi yang tidak sekata. Aras laut akan naik dan banjir sedunia akan berlaku kerana bongkah-bongkah ais di Kutub Utara dan Kutub Selatan akan cair. Ia turut mengganggu aktivti-aktiviti seperti pertanian, perikanan dan bekalan air.

Selain memerangkap haba, sebahagian gas rumah hijau memusnahkan lapisan ozon yang berada kira-kira 10 km daripada permukaan bumi. Ozon ialah sejenis gas yang terdiri daripada tiga atom oksigen yang terletak di lapisan stratosfera bumi. Lapisan ozon merupakan lapisan semulajadi bumi dengan menyerap sinaran ultraungu yang merbahaya. Ia juga sangat penting untuk keseimbangan cuaca dunia. Malangnya, lapisan ozon ini kian menipis berpunca daripada pencemaran industri. Sejak dari tahun 1980-an lagi, pemantauan saintifik yang canggih telah mengenalpasti bahawa umumnya bahan pemusnah ozon ialah CFCs. Sebatian ini digunakan dalam berpuluh teknologi yang digunakan manusia setiap hari daripada pendingin hawa, peti sejuk, pemadam api hingga penyembur serangga. Gas ini boleh merebak hingga ke lapisan stratosfera sebelum terurai membentuk ion-ion klorin. Dari prisip tindakbalas kimia, 1 atom klorin berupaya memusnahkan lebih 100,000 molekul ozon. Menakutkan bukan?...

Pertambahan penduduk dunia sudah pasti meningkatkan penggunaan tenaga. Permintaan terhadap bahan api fosil dan bekalan tenaga elektrik akan bertambah, lebih banyak hutan akan ditebang dan kawasan perindustrian semakin banyak dibuka. Kesemua aktiviti ini akan mengakibatkan penambahan kuantiti gas rumah hijau di atmosfera dan seterusnya meningkatkan suhu bumi. Pertambahan penduduk dunia dari 6 billion sekarang kepada 9 billion menjelang tahun 2050 akan memburukkan lagi keadaan. Dengan jumlah yang ada sekarang pun, sesetengah negara terpaksa berhempas pulas untuk mengurangkan kesannya.

Dunia sudah semakin tua seperti mana, Allah Subhanahu wata'ala memperlihatkan kepada Nabi Muhammad SAW tatkala dalam peristiwa Israk baginda. Dimana baginda SAW melihat dunia dalam bentuk seorang wanita tua yang uzur ketika perjalanannya ke Baitul Maqdis.

Persoalannya, dapatkah bumi - satu-satunya tempat tinggal kita untuk beribadat kepada Allah Subhanahu wata'ala - diselamatkan daripada terus menerima akibat buruk perbuatan manusia sendiri. Atau mungkinkah manusia, salah satu daripada 16 juta spesies yang mendiami dunia ini, sedang bergotong royong memusnahkan alam ini, bukan memeliharanya?....

Renung-renungkanlah....

Wasalam...

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--