Alhamdulillah bersyukur saya ke hadrat Allah Tuhan sekalian alam kerana nikmat kesempatan masa yang begitu tinggi nilainya jika kita betul-betul menghargainya. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Shallalahu 'alaihi wasalam pembawa rahmat untuk sekalian alam. Selamat sejahtera dan kuntuman doa ditujukan kepada para sahabat baginda yang bertungkus lumus membantu baginda menyebarkan sinaran cahaya penyuluh sekalian alam.
Kemudian daripada itu,
Kata pepatah orang Melayu "Jauh perjalanan luas pemandangan, ramai kawan banyak pengalaman". Sewaktu dalam perjalanan pulang ke kampung isteri di Sungai Besar Selangor, saya sempat singgah di beberapa bandar dan solat di masjid yang terdapat di bandar tersebut. Setelah saya selesai bersolat di suatu masjid ketika menunggu isteri bersolat dan melayani anak-anak, saya sempat berbual dengan seorang pakcik yang cukup peramah. Usianya sekitar enam puluhan. Menurutnya, beliau mempunyai 12 orang anak, 7 lelaki dan lima perempuan hasil perkongsiannya dengan seorang isteri. Yang menariknya perbualan berkisar tentang kehidupan beliau masa lalu dan persediaannya menyambut hari raya. Rasa rakat juga saya kerana sesekali kurang jelas butir perkara yang diucapkan olehnya kerana sibuk melayani anak-anak yang pelbagai ragam pada ketika itu. Mengimbau kenangan lalu, Pakcik Samad seorang anak yang lahir dalam kelompok keluarg yang serba susah. Beliau anak keempat dari tujuh orang adik beradik. Kesusahan hidup menyebabkan bapa beliau melakukan pelbagai kerja dengan memerah keringat yang ada demi survival hidup. Katanya seawal usianya lima tahun lagi beliau sering di bawa oleh bapanya membantu menoreh getah di kebun, menangkap ikan di sawah dan sungai dan mencari kayu api jauh ke dalam hutan. Kata Pakcik Samad lagi keadaan itulah yang menjadi motivasi padanya untuk menjadi lebih cemerlang dan menghargai kehidupan. Tambah Pakcik Samad, mungkin sebab ketiadaan cabaran hiduplah yang menyebabkan para remaja pada hari ini terlalu asyik dengan hiburan sehingga terlupa bahawa mereka ada cabaran yang lebih getir di hadapann. Asyik mendengar kisah Pakcik Samad,saya di sapa oleh isteri. Walaupun saya rasa banyak lagi yang hendak diceritakan Pakcik Samad, tetapi jadual perjalanan ke Sungai Besar masih jauh lagi menyebabkan saya terpaksa berpisah dengan Pakcik Samad untuk meneruskan perjalanan.
Semasa memandu meneruskan perjalanan, cerita dari Pakcik Samad mengingatkan saya kembali dengan keadaan hidup saya sendiri yang pernah di alami semasa kecil dahulu. Tapi kehidupan saya agak berbeza kerana saya datang dari keluarga yang sepatutnya tidak susah tetapi menjadi susah. Ini semua takdir dan ketentuan Allah Subhanahu wata'ala untuk setiap penciptaanNya. Bapa saya bertugas sebagai seorang pendidik namun oleh kerana tekanan yang dihadapi dari keluarganya menyebabkan beliau sering terlupa tanggungjawabnya kepada keluarganya. Namun bagi saya itulah antara cabaran yang terpaksa saya hadapi sedari kecil bukanlah faktor tindakan bapa saya membuatkan saya tidak mempunyai motivasi untuk berjaya. Emak saya pula merupakan surirumah sepenuh masa. Saya mempunyai empat orang adik beradik, seorang kakak dan dua adik perempuan. Kami berlima (emak, kakak, saya, dua adik) tinggal di kampung bersama datuk dan nenek manakala ayah saya tinggal di bandar di rumah yang dibelinya. Sesekali ada juga kami menjenguk ayah di bandar. Kehidupan di kampung banyak mengajar saya untuk berdikari dan lebih menghargai kehidupan. Saya selalu di ajak datuk ke sawah dan membantunya mengutip getah sekerap di kebun getah. Apabila musim buah-buahan tiba, saya akan mengambil upah memanjat pokok manggis sebagai menampung pendapatan. Ketegasan emak juga adalah salah sati faktor untuk kami takut membuat salah. Kami adik beradik akan dirotan kalau didapati melakukan kesalahan seperti mencuri buah-buahan orang kampung, mandi di sungai sampai merah-merah mata dan juga tidak pergi mengaji al-Quran. Teringat juga saya dimana pernah dirotan dengan pelepah kelapa kerana tidak pergi sembahyang di surau dek kerana melencong bermain mercun (meriam buluh).
Pernah juga suatu ketika saya diikat pada sebatang pokok yang sarat dengan sarang kerengga kerana mencuri duit syiling sebanyak satu ringgit (2 keping syiling lima puluh sen) di rumah jiran. Saya teringat juga pada ketika itu baru saja menjejaki darjah empat, saya pernah dipukul dengan rotan di hadapan rakan-rakan sekelas kerana buku laporan yang banyak pen merah dari hitam. Waktu itu, kalau cikgu memukul kita atas sebab nakal atau tidak menumpukan perhatian dalam kelas, jangan diceritakan di rumah kerana kita tentu akan dipukul dengan lebih teruk lagi di rumah. Tapi sekarang awas, cikgu-cikgu jangan cari nahas pukul anak murid dalam kelas, tak pasal-pasal kenal pukul balik dengan anak murid. Ataupun kalau ibu bapa masuk campur lagi susah, sampai nak di bawa ke mahkamah. Akhirnya cikgu itu sibuk menguruskan hal-hal mahkamah dan mulalah meninggalkan tugasnya yang lebih penting. Kesian cikgu sekarang....
Gambaran dahulu dan sekarang amat berbeza. Walaupun ada pendapat mengatakan mengapa perlu dibanding bezakan, bukankah ianya suatu perkara yang biasa. Tapi bagi saya kadang-kadang kita perlu melihat sejarah tentang siapakah kita yang sebenarnya. Lima puluh sen dahulu boleh membeli 7 biji cekodok pisang (satunya sebesar penumbuk). sekarang lima puluh sen belum tentu dapat membeli 3 biji cekodok pisang. Selalunya emak saya akan membekalkan lima puluh sen ke sekolah sebagai duit saku. Saya akan simpan dua puluh sen yang saya akan gunakan untuk membeli guli. Kalau budak-budak lain makan di kantin, saya akan duduk di dalam kelas sambil memerhatikan rakan-rakan. Apabila rakan-rakan sudah pergi saya akan meneguk air paip dan membayangkan saya sudah makan tengahari.
Apabila tiba musim perayaan, saya selalunya tidak berkesempatan mendapat baju raya yang baru. Sealunya baju tahun lepas menjadi pakaian raya pada tahun seterusnya. Maka itulah satu sebab saya pada setiap hari Jumaat akan mengenakan baju melayu bersampin kerana saya tidak dapat merasainya pada usia budak dan remaja saya.
Kalau diingatkan keadaan hidup saya pada usia budak-budaj dan remaja memang agak sukar mungkin boleh mengalirkan air mata. Malah saya rasa keadaan itulah yang membuatkan dan melahirkan rasa syukur kerana dilahirkan dalam keadaan yang begitu sukar. Kerana sehingga sekarang saya dapat mengukur diri saya, menginsafi segala imbauan kenangan silam dan menjadikan saya dalam keadaan redha. Allah jua yang Maha Mengerti akan percaturan di dunia ciptaan-Nya ini. Setiap sesuatu percaturan Allah ada hikmahnya. Kita sebagai makhluk yang lemah seharusnya sentiasa mensyukuri terhadap segala pemberiannya.
Selamat hari raya aidilfitri...Maaf zahir dan Batin.....
Wasalam
13 years ago
0 comments:
Post a Comment