Saturday, September 4, 2010

Majlis Berbuka Puasa dan Khatam al-Quran


Alhamdulillah bersyukur kita kepada Allah Subhanahu wata'ala kerana dengan limpah rahmatnya kita mampu meluangkan masa untuk berada di dalam alam siber ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Shallalahu 'alaihi wasalam pembawa rahmat kepada sekailan alam.

Sesungguhnya kehadiran bulan Ramadhan adalah suatu rahmat dan anugerah dari Tuhan yang begitu besar maknanya jika kita selidiki dan amati dengan mendalam. Pada bulan Ramadhan ini berbagai ganjaran dan peristiwa besar berlaku dalam sejarah manusia antaranya sesiapa yang membanyakkan sedekah di bulan ini akan menerima ganjaran yang berlipat ganda. Begitu juga dengan peristiwa penurunan al-Quran dan anugerah malam Lailatul Qadar.

SMTKK juga tidak ketinggalan dalam usaha membangkitkan semangan Ramadhan. Antara aktiviti yang dijalankan pada 02 dan 03 September yang lepas ialah program Berbuka Puasa dan Majlis Khatam al-Quran.





Kedua-dua majlis ini amat bermakna bagi saya kerana ia bukan sahaja merupakan aktiviti tahunan malah ianya antara salah satu usaha membangkitkan semangat remaja terhadap roh Islam itu sendiri. Aktiviti ini antaranya dapat menyedarkan remaja bahawa Islam itu lebih cantik jika kita amalkan berbanding dengan budaya Barat yang nampak hebat tetapi hakikatnya akan melahirkan jiwa-jiwa yang kosong dan tertekan.








Majlis berbuka puasa pada tahun ini begitu meriah sekali dengan kehadiran guru yang membanggakan. Apabila aktiviti sekolah mendapat sambutan daripada warga pendidik ini membuktikan sekolah itu sebenarnya mempunyai kualiti dan ciri sebuah sekolah yang cemerlang. Pada saya tidak perlulah kita dinobatkan sebagai menggalas gelaran 'Sekolah Cemerlang' tapi jiwa dan diri setiap individu yang mendokong sekolah itu tertekan dan hidup dalam kepura-puraan. Apa yang penting ialah setiap warga sekolah bersama-sama menjayakan segala aktiviti sekolah dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh.




Saya tiadalah mengambil gambar guru-gur perempuan yang datang kerana takut pula disalah ertikan. Manalah tahu takut-takut di labelkan penyibuk pula ye. Gambar pelajar perempuan sempat saya ambil dalam lingkungan 3 minit sebelum waktu berbuka.



Setelah selesai berbuka puasa, guru-gur dan pelajar menunaikan solat Maghrib secara berjamaah dengan dipimpin oleh al-Fadhil Ustaz Khairol Anwor bin Ismail. Inilah keunikan berbuka puasa bersama pelajar di mana guru-guru dapat solat fardhu berjamaah bersama pelajar setahun sekali. Kadang-kadang perkara yang remeh bagi seseorang individu akan menjadi perkara yang begitu besar ertinya pada individu yang lain. Apa yang penting yang harus di tanam dalam lubuk hati seseorang pendidik ialah ikhlas dan tabah dalam mendidik manusia. Mungkin mereka (para remaja) tidak dapat menerima apa yang disampaikan oleh guru pada hari ini dek kerana pengaruh rakan, tapi kita mesti optimis yang suatu hari nanti mereka akan berubah apabila teringatkan nasihat gurunya di masa mendatang.



Program semarak kemerdekaan di bulan Ramadhan diteruskan lagi pada hari Jumaat lepas (03/09/2010) dengan majlis khatam al-quran peringkat sekolah. Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran ibu bapa. Sepanjang 10 tahun saya berada di SMTKK program khatam al-quran ini sudah dua tahun berjalan iaitu bermula pada tahun 2009. Pencetus idea untuk program ini ialah Mantan Pengetua Cemerlang SMTKK Tn Hj Aziz b Samshuddin.

Keunikan program ini ialah pelajar dan guru sama-sama membacakan ayat suci al-Quran semasa program khatam al-Quran. Tentunya program ini ada keberkatan yang tidak mampu untuk kita selidi kerana batasan pemikiran kita adalah terbatas untuk melihat perkara-perkara yang ghaib.







Majlis sambutan Ramadhan SMTKK pada tahun 2010 tahun ini diakhiri dengan majlis sambutan aluan Pengetua baru SMTKK iaitu En Hamid bin Jumhari. Semoga kehadiran Tuan Pengetua akan menambahkan lagi seri SMTKK dan memartabatkan banyak lag program-program pengislahan terhadap remaja. InsyaAllah.

Sebagai mengakhiri catatan saya pada kali ini, hayatilah sebuah doa berbentuk sajak daripada orang yang berdosa sebagai panduan kita merintih dan berusaha mendapatkan keampunan Allah Subhanahu wata'ala dalam bulan keberkatan ini....

Wahai Tuhan yang Maha Mendengar,
hamba-Mu ingin berbicara,
dengan suara yang paling halus,
kerana malu mengakui dosa,

Wahai Tuhan yang Menyempitkan,
kehidupan ahli fasik,
hamba-Mu tak mampu,
menahan seksa terhimpit,
di lembah kehinaan ini,

Wahai Tuhan yang Maha Melihat,
ketika malam gelita,
hamba-Mu memohon keampunan,
atas dosa yang terlihat oleh-Mu
ketika terangnya siang atau tiada cahaya,

Wahai Tuhan yang tak pernah
menzalimi semua ciptaan,
hamba-Mu sujud insaf,
setelah dihancurkan hidup,
dengan balasan derita
natijah kealpaan dan keangkuhan.

Wahai Tuhan yang menunjukkan
jalan lurus kepada orang yang terpilih
tunjukkanlah hamba-Mu ini jalan itu
untuk ku jejaki langkah mereka.

Wahai Tuhan yang memberi
kemudahan selepas kesusahan dan
kesulitan
bantulah hamba-Mu ini mengenali-Mu
agar hatiku terpaut
pada kasih-Mu

Sajak asal dari Mohd Fahmi, Bangsar, KL
Dari Majalah Milenia Muslim Jun 2010.

Wasalam....

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--