Alhamdulillah bersyukur kita kerana dengan limpah rahmat-Nya dapat kita meluangkan masa untuk berada di dalam alam siber ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Shallalahu 'alaihi wasalam pembawa cahaya yang telah dan akan menerangi seluruh pelusuk dunia.
Jika kita melihat kepada beberapa peristiwa yang berlaku samada di dalam negara kita Malaysia ataupun di luar negara, jelas kita dapat rasakan sesuatu kebangkitan yang pasti sedang berlaku berkaitan dengan agama kita. Sebagai contoh saya menjumpai satu artikel di dalam akhbar The Sun online (http://www.thesun.co.uk) bertarikh 28 September 2010 yang membicarakan tentang sebuah sekolah Katolik yang akan bertukar menjadi sekolah Muslim.
Dalam artikel ini yang ditulis oleh Richard Moriarty menyatakan bahawa Sekolah Katolik Roma Sacred Heart yang terletak di Lancashire, Blackburn mungkin akan menjadi sekolah Katolik yang pertama yang akan diserahkan kepada pengurusan Muslimin berikutan peningkatan mendadak jumlah pelajar Muslim sepanjang tempoh sepuluh tahun. Pemilik sekolah berkenaan terpaksa menutup sekolah berkenaan kerana bilangan pelajar Katoliknya hanya tinggal 3 peratus sahaja dan bilangan pelajar Muslim kira-kira 91 peratus. Beliau berkata hanya 6 orang pelajar Katolik daripada 200 orang pelajar di sekolah itu.
Peristiwa lain yang menunjukkan kebangkitan untuk agama ini ialah pembukaan sebuah kolej Islam pertama di Amerika Syarikat iaitu di Berkelay, California (seperti yang dilaporkan dalam http://www.cbn.com/cbnnews/us/2010/August/First-Muslim-University-Opens-in-US/.)
Kolej yang diberi nama Kolej Zaytuna akan menawarkan ijazah dalam bidang undang-undang Islam, teologi (ilmu berkenaan ketuhanan) dan Bahasa Arab. Pihak pengurusan berkata kolej-universiti ini menawarkan tempat kepada semua pelajar dari pelbagai agama namum berkata kolej-universiti ini menjadikan al-Quran sebagai sumber dan asas dalam setiap kurikulum universiti ini. Pada saya, ini adalah satu kejayaan pendakwah-pendakwah dan pencinta Islam di Amerika walaupun mereka menerima tekanan yang amat dahsyat pasca serangan 11 September 2001. Namun satu perkara yang kita harus letakkan dalam pemikiran kita, bahawa sesungguhnya kita semua berada di dalam perancangan Allah Tuhan yang Maha Pengatur setiap segala sesuatu. Kalau kita fikirkan apabila berlaku serangan 11 September 2001, dunia Islam menerima pelbagai tohmahan seperti menghasilkan negara pengganas dan ekstrim, sudah tentu kita menyalahkan individu yang membuat serangan itu. Namun perancangan Allah adalah diluar batasan pemikiran kita. Apa yang kita harapkan selalunya tidak baik untuk kita dan apa yang kita dapat adalah suatu yang terbaik untuk kita.
Dalam bidang kewangan Islam juga menunjukkan kebangkitan penggunaan sistem kewangan Islam. Bank negara Rusia dalam kenyataan pada 22 November 2010 sebagaimana dilaporkan dalam web Islamic Finance and Business (http://www.islamic-finance.ru/blog/) menyatakan persejuaan membina sebuah bank yang berasaskan prinsip Syariah Islam di ibu kota negara Rusia, Moscow. Kenyataan ini disokong oleh Yves Merch(European Central Bank policymaker) dengan katanya produk-produk perbankan Islam boleh meningkatkan kualiti sistem kewangan didunia. Di Rusia juga pada 19 November 2010 telah membuka taman industri halal yang pertama yang dinamakan "Halal Industrial Park “Baltach” (HIP “Baltach”)". Taman ini secara rasminya dibuka di Tatarstan. Pengurusan "Halal Industrial Park “Baltach”" berkata tapak industri halal ini ialah projek pertama untuk pengusaha makanan halal kecil dan sederhana yang akan memacu kepada industri makanan halal di Rusia dan seterusnya di dunia. Katanya lagi objektif utama projek ini ialah memajukan teknologi pemprosesan produk-produk tanaman, tanaman di tanam di belakang rumah, ternakan, dan juga penyusunan industri kecil dan sederhana dengan lebih teratur.
Semua kisah yang saya kongsikan di atas adalah peristiwa tentang kebangkitan manusia untuk memahami agama fitrah iaitu Islam. Kita sebagai seorang penganut agama suci ini sejak dari lahir lagi harus memantapkan diri kita dengan ilmu agama di dalam dada kerana kita harus menyakini suatu hari nanti pasti ada orang nonmuslim akan bertanya sesuatu tentang Islam kepada kita. Takkanlah disaat ada nonmuslim bertanya kepada kita, kita serahkan semuanya pada ustaz. Saya juga bukanlah dari latarbelakang berpendidikan agama, saya lahir dari sistem persekolahan di Malaysia. Daripada sistem ini, ramai pelajar begitu jauh dengan agama. Saya tidak salahkan sistem cumanya kita terpaksa berada dalam sistem ini kerana kita terlalu mengikut sistem pendidikan berorientasikan sistem pendidikan Barat.Saya masih teringat satu peristiwa di mana seorang auntie Cina bertanyakan soalan tentang tabbaruj dalam berpakaian bagi wanita, saya gagal menjawab soalan itu. Pada saat itu saya merasakan alangkah hinanya saya kerana saya tidak mampu memberi hujah kepada auntie Cina itu sedangkan saya seorang penganut agama Islam.
Sesungguhnya kebangkitan Islam terdapat dimana-mana cumanya bergantung kepada kita untuk menilainya. Sebagai contoh suatu peristiwa berlaku di Pulau Pinang baru-baru ini yang mana warga emas memulangkan kembali wang saguhati yang diberikan kepada mereka. Dalam peristiwa ini ternyata permainan politik daripada sesetengah parti politik telah membantu individu yang marhaen seperti saya lebih memahami Islam. Setelah membaca artikel dari Dr Mohd Asri, Ustaz Zahazan dan Ustaz Zaharuddin yang berkaitan dengan isu ini, saya lebih memahami bagaimana harus sikap seorang rakyat menerima sumbangan dari pihak kerajaan. Rupa-rupanya semuanya telah ditulis oleh ulama-ulama dahulu di dalam kitab-kitab besar mereka, cumanya kita ini sentiasa lalai dan dilalaikan oleh pelbagai perkara seperti hiburan yang melampau.
Akhir sekali sudah tentulah kita tidak mempunyai pilihan selain memperjuangkan ilmu dari ilmu Islam. Tapi kita harus ingat kebangkitan Islam bukanlah secara mendadak, ianya memerlukan masa, sampai bila masa diperlukan?...lamanya masa untuk kebangkitan itu bergantung kepada kehendak Allah, hanya Allah yang menentukan segalanya, tugas kita berusaha memahami agama ini dengan sedaya upaya. Kalau perjuangan kita tidak berjaya pada usia kita, haruslah diteruskan oleh anak-anak kita. Itulah perjuangan yang sebenar bagi saya dan jangan lupa, kebangkitan ini akan terus berlaku dan kita harus ingat dimana kita, bersama dengan kebangkitan, menentang kebangkitan atau hanya membiarkan kebangkitan berlaku di depan mata... Renungkanlah
Maafkan kiranya ada kesilapan dalam tulisan ini. Ianya adalah pendangan peribadi penulis berdasarkan pembacaan dalam suratkhabar dan beberapa buah buku.
Wallahu a'lam....
Baca selengkapnya...
13 years ago