13 years ago
Friday, October 11, 2013
Meniti usia 40-an
Artikel ini di ambil daripada berita harian pada 30/9/2013 tulisan Saudara Mohd Ali Muhammad Don
"Usia 40, masa berjinak ke masjid, surau...Individu dipanggil pakcik, makcik kena perbanyak ibadah sunnah"
Ada yang terkesima sehingga benar-benar percaya kehidupan hanya bermula ketika usia menjejaki umur 40 tahun seperti ungkapan popular wartawan Amerika Syarikat, Helen Rowland (Life begin at forty), yang sering dirujuk untuk dikaitkan dengan perubahan diri
Kepercayaan itu kemudian diterjemahkan dalam konteks negatif hingga masa ada sebelum 40 tahun diperuntukkanuntuk berhibur dan berseronok semata-mata. Ia diburukkan lagi dengan kepercayaan songsang hidup hanya sekali lalu perlu dihabiskan mengikut runtunan hawa nafsu.
Dari sudut pandang yang lain, seseorang yang menjejaki usia ini sebenarnya berada pada suatu tahap kematangan, nilai peribadi serta akhlak sempurna lalu mampu membuat keputusan dengan bijaksana. Umur ini juga permulaan umur dewasa yang selayaknya seseorang berfikiran waras dan melakukan sesuatu berasaskan pertimbangan akal sempurna.
Al-Quran secara khusus menyebut mengenai umur 40 tahun supaya menjadi peringatan manusia untuk muhasabah dan memikirkan hala tuju kehidupan diri sendiri.
Firman Allah dalam surah al-Ahqaf ayat 15 yang bermaksud "Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur 40 tahun, berdoalah dia dengan berkata: Wahai Tuhanku, ilhamkan daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu dan sesungguhnya aku daripada kalangan orang Islam."
Malah persoalan penting untuk dibicarakan ialah apakah yang perlu dilakukan oleh golongan yang sudah dan akan menjejaki umur 40 tahun. Adakah ia suatu permulaan kepada kehidupan dipenuhi keseronokan, kelalaian dan kealpaan atau difokuskan untuk dilipatgandakan usaha mendekatkan diri kepada Ilahi.
Bagi yang jarang solat berjemaah, boleh jadi inilah masa terbaik untuk mula berjinak-jinak ke masjid, Bagi yang selalu disibukkan dengan pelbagai aktiviti seharian, cubalah untuk mencuri masa bagi membaca ayat suci al-Quran mahupun melakukan pelbagai aktiviti mengikut sunnah Rasulullah. Jika belum berkesempatan menunaikan fardu haji kemungkinan bolehlah menyediakan perbelanjaan untuk menunaikan umrah dan menziarahi makam Nabi Muhammad Shallalahu alaihi wasalam sambil menanti kuota giliran haji. Ataupub setidak-tidaknya berusaha mempertautkan hubungan silaturahim antara sesama manusia bukan dengan menimbun dosa menceritakan keburukan dan perihal orang lain seharian.
Bagi golongan yang seronok menghabiskan masa berborak di warung atau kedai mamak, eloklah berubah kepada aktiviti yang lebih berfaedah. Apatah lagi ada golongan berusia 40-an, tetapi masih seronok bertukar pasangan dan berfoya-foya. Semua ini sepatutnya mula menjadi rutin harian golongan usia 40-an sebagai persediaan menyahut panggilan Ilahi yang bakal kunjung tiba tanpa disedari. Benar, mati tidak mengenal usia akan tetapi kalau sudah mula dipanggil pakcik dan makcik, tetapi masih berperangai buruk dan kebudak-budakan boleh jadi suatu petanda buruk buat individu berkenaan.
Ibrahim al-Nakhai pernah menyebut, seseorang yang sudah mencapai umur 40 tahun dan berada pada suatu perangai tertentu, maka ia tidak akan pernah berubah hingga datang kematiannya.
Umur 40-an turut mempunyai keistimewaan tersendiri kerana Allah SWT mengangkat kebanyakkan nabi dan rasul-Nya termasuk Nabi Muhammad SAW sebagai rasul untuk mengajak manusia kepada jalan mengesakan Allah SWT dan mencegah perbuatan mungkar pada ketika permulaan usia tersebut.
Rasulullah SAW bersabda:"Tidak akan berganjak kedua-dua kaki manusia pada hari kiamat kelak sehingga ditanya tentang empat perkara, iaitu umurnya kemana dihabiskan, usia mudanya kemana dipergunakan, hartanya dari mana diperoleh dan ke mana dibelanjakan dan ilmunya apakah sudah diamalkan." (Riwayat Imam at-Tirmizi)
Kematian tokoh Ulama Muda Indonesia iaitu Habib Munzir al-Musawa merangkap ketua Majelis Rasulullah iaitu majlis zikir terbesar di Jakarta pada usia 40 tahun sepatutnya dijadikan iktibar. Ia sememangnya suatu kehilangan besar buat umat Islam di Alam Melayu yang mengenal beliau sebagai ikon pemuda yang taat beribadah dan lidahnya basah dengan berzikir mengingati Allah SWT dan Rasul-Nya. Pemergian beliau bukan sekadar ditangisi, tetapi dijadikan pengajaran bahawa mati tidak pernah mengenal usia tua atau muda. Apabila sampai detik dan ketika yang ditentukan, ia tidak akan berganjak walaupun sesaat.
Tidak ada seorang pun mampu meramal detik kematian apatah lagi mengetahui bagaimana dan di mana dia akan dicabut rohnya oleh Malaikat Izrail. Lebih utama baik golongan tua atau muda, berusahalah untuk membuat persiapan menemui mati dalam keadaan khusnul khatimah.
Tinggalkan dunia ini dengan menabur jasa bakti dan nama baik sehingga dikenang buat selama-lamanya. Bak kata pepatah, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment