Monday, December 28, 2009

Seks dan remaja...suatu luahan...

0 comments
Alhamdulillah bersyukur kita kepada Allah SWT kerana limpah dan kurnianya dapat kita meluangkan masa untuk berada di hadapan komputer dan membelek-belek artikel dalam ruangan siber.

Tahniah diucapkan kepada pasukan bolasepak Piala Emas Raja-Raja Kedah dan Perlis kerana berjaya melangkah ke perlawanan akhir yang akan berlansung pada malam ini.

Rakan-rakan pengunjung sekalian,
Sejak bermulanya cuti persekolahan akhir tahun 2009, sama ada kita peka atau tidak, hampir setiap minggu akhbar-akhbar tempatan baik yang bahasa melayu atau lain-lain bahasa banyak membicarakan tentang pendidikan seks di sekolah. Sama ada penulis artikel tersebut mengikuti perkembangan suasana kurikulum sekolah saya tidak pasti. Tapi yang pastinya saya sebagai individu yang terlibat secara lansung dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan dalam bidang pendidikan, saya melihat pendidikan seks telahpun dijalankan di sekolah semenjak saya menjadi guru.

Ada diantara artikel memaparkan punca masalah keruntuhan akhlak terutama membabitkan hubungan sejenis adalah berpunca daripada kurangnya didikan seks di sekolah. Ianya seolah-olah cuba menyalahkan pihak sekolah dan kurikulum pendidikan yang pada anggapannya kurang menitikberatkan pendidikan seks. Tapi hakikat yang sebenarnyamereka sering lupa dengan tanggungjawab ibubapa sebagai pendidik, pengaruh media massa, naluri remaja itu sendiri dan juga faktor kehidupan remaja.

Melihat pada statistik yang dikeluarkan oleh WHO (World Health Organisation) berdasarkan kajian yang dijalankan ke atas remaja di Asia Tenggara menyatakan
1. Kehamilan dan proses kelahiran anak merupakan pembunuh nombor satu wanita muda
2. 45 % daripada meraka yang berumur 15 hingga 24 tahun mendapat jangkitan HIV
3. Kira-kira 500,000 pemindahan seksual berlaku setiap hari di kalangan remaja.

Malah kajian-kajian perubatan di Malaysia juga menghasilkan angka yang amat membimbangkan, contohnya kajian pada tahun 2007 mengatakan 18.2% remaja lelaki dan 17.1% remaja perempuan adalah begitu aktif dalam hubungan seks. 63.2% terlibat dengan budaya homoseksual (gay dan lesbian) dan bakinya selalu mengadakan hubungan seks dengan pelacur.

Kes-kes rogol yang dilaporkan juga semakin meningkat saban tahun. Pada tahun 2006 sebanyak 2,431, 2007 (3.098) dan pada tahun 2008 (3,414) kes.

Lebih membimbangkan lagi ialah kelahiran anak luar nikah. Dalam data yang diperolehi daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan sebanyak 451 kes dilaporkan pada tahun 2007 dan 365 kes pada tahun 2007. Remaja wanita berumur bawah 16 tahun memberikan statistik sebanyak 22.6%. Malah data yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara menyebut hampir 300,000 bayi baru lahir tanpa ayah didaftarkan dari tahun 2006hingga 2008. Ini menunjukkan puratanya sebanyak 78 bayi luar nikah baru lahir setiap hari!

Statistik yang lebih menyayat hati ialah bayi-bayi yang ditinggalkan atau dibuang meningkat setiap tahun. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan sebanyak 315 bayi ditinggalkan didaftarkan di JKM sepanjang tahun 2001 hingga 2004. Manalaka statistik dari Polis di Raja Malaysia melaporkan terpaksa mengendalikan kes pembuangan bayi sebanyak lebih dari 100 kes setiap tahun.

Hal ini berlaku kerana kurangnya pemantauan oleh ibu bapa dan ceteknya ilmu di kalangan para remaja. Sebagai contoh, remaja di Malaysia begitu cetek sekali dengan kaedah pencegahan kehamilan (contaception method). Satu statistik menunjukkan remaja di Malaysia antaranya
1. Sebanyak 20% mengadakan hubungan seks dengan pasangan yang baru tanpa menggunakan sebarang kaedah pencegahan kehamilan.
2. Lebih daripada 20% remaja perempuan tidak menggunakan alat pencegahan kehamilan kerana mereka tidak menyukainya.
3. Lebih 20% remaja perempuan tidak menggunakan alat pencegahan kehamilan kerana pasangan mereka tidak membenarkannya.
4. Kali pertama melakukan hubungan seks, kira-kira 60% pasangan tidak berbincang tentang kaedah pencegahan kehamilan dan mendapati agak sukar untuk berbincang mengenainya.
5. Lebih dari 56% tidak kenal atau keliru dengan kaedah pencegahan kehamilan.
6. Kira-kira 20% pasangan mengambil nasihat tentang kaedah pencegahan kehamilan dalam internet.
7. 59% lebih suka meminta nasihat daripada orang yang lebih berpengalaman
8. 91% merasakan kondom adalah kaedah terbaik dalam teknik pencegahan kehamilan.

Apapun pandangan remaja, kita perlu mengambil kira tanggungjawab ibubapa dalam mendidik anak-anak. Tanggungjawab ibubapa tidak hanya terbatas kepada keperluan pemantauan sahaja, tetapi merangkumi seluruh peringkat kehidupan anak-anak terutamanya aspek pendidikan seksual. Ibu bapa tidak seharusnya melepaskan tanggungjawab pendidikan seksual 100% kepada pihak sekolah kerana kita sedia maklum sekolah mempunyai batas-batas yang perlu dijaga agar keharmonian sistem terbela.

Pemahaman dan pemilihan kaedah pendidikan seksual yang tepat yang berlandaskan nilai-nilai keagamaan membolehkan mereka menjadi insan yang mampu menjaga diri dari perbuatan-perbuatan yang terlarang serta menyedari ancaman dan risiko daripada perbuatan zina.

Dalam permasalahan ini, pendidikan seks yang ingin kita sampaikan kepada generasi muda haruslah memberi penekanan bermula dari fungsi organ seks, tanggungjawabnya, halal haram yang berkaitan dengan organ seks dan panduan menghindari penyimpangan perilaku seksual.

Semoga luahan ini mampu membantu kita membimbing para remaja dan mengurangkan statistik yang makin membimbangkan......

Baca selengkapnya...

Saturday, December 26, 2009

Kenangan di Kuala Lumpur...

0 comments
Alhamdulillah dapat saya meluangkan masa untuk menulis catatan terbaru dalam blog ini setelah hampir dua minggu menyepikan diri.

Sepanjang 10 hari yang lepas saya berada di Kuala Lumpur menyelesaikan tugas rasmi untuk matapelajaran Applied Science. Tidak sempat untuk mengemaskini laman blog ini dek kerana kesibukan terhadap tugas dalam tempoh 10 hari itu.

Antara perkara yang menarik semasa di Kuala Lumpur ialahsaya dapat bertemu semula dengan dua orang rakan sekolah setelah hapir 15 tahun tidak pernah berjumpa. Keduanya saya bertemu dengan rakan satu Universiti dengan saya dan terakhirnya berjumpa dengan pelajar pertama yang saya ajar di SMT Kuala Kangsat pada tahun 2003/2004

Pertemuan saya dengan Saudara Jalil bin Muhammad dan Ahmad Latfi Abdul Halim, dua orang rakan sekolah saya semasa menuntut di SM Sains Tuanku Syed Putra Perlis nyata mengembalikan nostalgia indah ketika di sekolah. Kedua-dua mereka sekarang ini telah menjadi insan yang berjaya dan sedang meningkatkan diri untuk kemajuan bangsa dan negara. Tahniah kepada mereka berdua.

Abdul Raof rakan satu universiti dengan saya masih lagi ceria dan gembira seperti dahulu. Sekarang beliau bertugas sebagai pegawai di Jabatan Pendidikan Khas Kuala Lumpur. Raof sempat meluangkan masa untuk berbual dan membawa saya melihat keindahan malam di Kuala Lumpur. Pengalaman yang menarik bagi saya yang datang jauh dari Kuala Kangsar. Memang benar sekali ada yang mengatakan "Kuala Lumpur never sleep". Lampu-lampu neon disekitar Bukit Bintang tidak pernah padam sehingga waktu pagi. Makin dinihari makin ramai pulak pengunjungnya...

Semasa minum bersama Raof di kedai NZ bersebelahan dengan menara Public Bank, KL bertentangan dengan menara KLCC, saya di sapa oleh pelajar pertama saya di SMT Kuala Kangsar, Ahmad Tarmizi b Halideh, pelajar aliran teknik kursus kejuruteraan elektrik. Beliau sekarang bekerja sebagai technician di sebuah syarikat elektrik di kawasan Segambut. Tahniah dan teruskan usaha anda....

Pengalaman-pengalaman yang saya tempuhi di Kuala Lumpur ini menyebabkan saya gembira ditakdirkan menjadi seorang guru. Guru ramai kawan dan anak murid, jadi tak perlu risau kalau tiba di mana-mana bandar di negara Malaysia

Baca selengkapnya...

Tuesday, December 15, 2009

Kaedah berkesan...

1 comments
Alhamdulillah bersyukur saya kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurnianya dapat saya menikmati sinaran cahaya daripada matahari, kerana nikmat cahaya mataharilah dapat saya melihat peredaran siang dan malam.

Tahniah dan selamat berjuang buat pasukan bolasepak Malaysia di Sukan SEA kerana berjaya melayakkan diri ke pertandingan akhir menentukan emas dan perak pada 17 Disember ini.Semoga penantian peminat bolasepak Malaysia selama 20 tahun terhadap pingat emas sukan SEA akan dikecapi pada tahun ini.

Saya terpanggil untuk menulis catatan dalam blog pada hari ini kerana terbaca satu artikel dalam akhbar Berita Harian 14 Disember dalam ruangan pendidikan bertajuk:

"Kaedah Berkesan: Proses P&P perlu memfokuskan pelajar, galak interaksi dua hala"


Artikel ini ditulis oleh Rosniza Mohd Taha membicarakan kaedah konvensional P&P disekolah perlu diubah kepada kaedah P&P lebih berpusatkan pelajar. Ini berikutan hasil Ujian Amplitud murid tahun enam dalam UPSR membuktikan pelajar tidak mempunyai kemahiran insaniah. Daripada kajian terhadap 509,885 pelajar tahun enam, cuma 5.7% (29,084) mempunyai kemahiran menyelesaikan masalah dan membuat keputusan, 34.34% (175.101) mempunyai kemahiran berfikir manakala selebihnya tidak mempunyai kedua-dua kemahiran tersebut.

Daripada angka di atas dapatlah difahami berlaku ketirisan dan mungkin kegagalan dalam P&P disekolah lantaran terlalu menitikberatkan peperiksaan. Pembangunan potensi secara menyeluruh tidak berlaku malah mungkin lansung tidak dititikberatkan.

Mantan KPPM, Tan Sri Dr Wan Zahid Mohd Noordin menyarankan amalan P&P memfokuskan guru perlu dikaji semula. Beliau berkata tindakan guru yang terlalu mendominasi kelas melumpuhkan keupayaan pelajar dan tidak akan membantu dalam pengembangan kemahiran berfikir dan penyelesaian masalah. Tambah beliau, secara lansungnya tindakan guru tersebut sebenarnya tidak memberikan mesej malah akan menyebabkan pelajar memberi renungan kosong terhadap guru.

Dalam pada itu, beliau berpendapat keadaan ini berlaku bukan salah guru sepenuhnya. Guru dewasa ini diletakkan dalam pelbagai arahan seperti perlu menghabiskan sukatan pelajaran secepat mungkin untuk memberi laluan kepada aktiviti lain yang berlaku sepanjang persekolahan.

Saya sebagai individu yang terlibat secara lansung dalam sistem pendidikan Malaysia amat bersetuju dengan pandangan Tan Sri tersebut. Sepanjang tempoh persekolahan lebih kurang 250 hari setahun, guru dibebani dengan pelbagai aktiviti baik akademik mahupun sukan. Justeru ramai guru yang terpaksa keluar dan meninggalkan kelas keran komitmen terhadap aktiviti yang telah dirancang. Lebih memilukan lagi kadang-kadang pihak sekolah terpaksa bersiap sedia selama sebulan dek kerana lawatan orang-orang kanan dalam KPM. Sudah tentu pelajar akan digunakan sebagai pembantu dalam menyiapkan tempat dan sebagainya.

Namun untuk mencapai hasrat menjadi seorang yang ditakdirkan untuk menjadi guru, kita sebagai pendidik harus senantiasa mencari dan meneroka ilmu-ilmu baru yang boleh diadaptasikan untuk kegunaan P&P kita. Pelbagai bahan bacaan baik dalam buku ataupun di internet terbentang di hadapan kita untuk kita terokainya. Semuanya bergantung kepada kita.

Pelbagai kaedah P&P yang begitu baik sekali terdapat dalam bahan-bahan rujukan untuk meningkatkan kualiti P&P agar pembelajaran dua hala akan berlaku di dalam bilik darjah.

Perubahan tidak semestinya secara drastik, sebailknya boleh dilakukan secara berperingkat melalui kajian dan ujian rintis yang kita jalankan sewaktu dalam proses P&P. InsyaAllah P&P yang kita akan bawa dalam kelas nanti akan menjadi P&P yang akan memberi kesan kepada anak didik kita sehingga akhir hayat mereka.....

Baca selengkapnya...

Monday, December 14, 2009

Realiti Hari Sukan Sekolah

0 comments
Alhamdulillah bersyukur saya ke hadrat Tuhan sekalian alam kerana dengan limpah kurnianya dapat saya meluangkan masa pada pagi ini untuk menulis catatan terbaru dalam blog ini.

Tahniah saya ucapkan kepada pasukan bolasepak Malaysia kerana berjaya melayakkan ke peringkat separuh akhir dalam kejohanan sukan SEA 2009. Semoga mereka berjaya melayakkan dari ke pertandingan akhir. Kalau tak silap saya kali terakhir pasukan Malaysia beraksi di perlawanan akhir bolasepak sukan SEA ialah pada tahun 2001. Saya masih teringatkan keadaan di mana penjaga gol Malaysia pada ketika itu, Kamaruzaman melepaskan gol yang tak disangka-sangka. Hancur dan luluh penyokong di Stadium Shah Alam pada malam itu (saya antara salah seorang dari ribuan penyokong yang berada di stadium pada malam itu)

Semalam juga, pasukan olahraga Malaysia telah berjaya memiliki pingat emas yang pertama melalui atlet 400 m lompat pagar, Saudari Noraseela Khalid. Noraseela merupakan atlet yang muncul dari produk sekolah sukan bukit jalil. Saya masih teringat di waktu sekolah rendah dan menengah dahulu, acara olahraga sukan SEA merupakan slot yang saya tunggu-tunggu di kaca TV, kerana pada waktu itu, Malaysia begitu unggul dalam acara tersebut. Sebut sahaja nama Rabuan Pit, Romzi Bakar, G Shanti, Abdul Rahman Koyakutti, nama-nama mereka segar dalam ingatan kami di sekolah pada waktu itu.

Minat terhadap acara olahraga ini bermula daripada program hari sukan sekolah yang pada waktu itu (sekitar tahun 80-96), begitu meriah sekali. Justeru itu, pelajar serta guru pada waktu itu begitu mengikuti perkembangan sukan olahraga tempatan. Namun realiti pada hari ini, semua perkara itu telah berlalu dan keghairahan hari sukan sekolah tidak lagi dirasai malah sokongan ke atas pasukan olahraga Malaysia diperingkat antarabangsa semakin suram

Dalam artikel oleh Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dalam akhbar The Star 13 Disember 2009, beliau berkata

"Today, Sports Day is still an anual event, but the passion and its charm do not have as much an impact as it used to"

Maksudnya: Hari ini, Hari Sukan Sekolah masih lagi merupakan acara tahunan, tetapi keghairahan dan keindahannya tidak mempunyai kesan mendalam sebagai mana dahulunya.

Sebagai seorang guru di sebuah sekolah menengah, saya memang merasakan apa yang diutarakan oleh Tan Sri Alimuddin memang benar. Pada saya terdapat beberapa faktor yang menyebabkan Hari Sukan Sekolah tidak lagi seghairah dahulu, antaranya

1. Penubuhan sekolah sukan
Hari ini, sukan didedikasikan kurikulumnya ke Sekolah Sukan. Fokus penubuhan sekolah sukan adalah untuk melahirkan atlet-atlet yang berdaya saing diperingkat antarabangsa. Justeru itu, pelajar-pelajar diperingkat sekolah harian merasakan mereka hanya akan membuang masa meyertai acara sukan sekolah kerana sudah ada individu yang akan mewakili negara. Tetapi kita selalu lupa, bekas atlet seperti Zaiton Othman, Rabuan Pit dan Romzi Bakar lahir dari hari sukan sekolah. Saya masih ingat sewaktu di sekolah dahulu, kebetulan satu sekolah dengan Romzi Bakar, melihat Romzi berlari untuk rumah sukan kami adalah satu kepuasan kerana Romzi adalah harapan kami dan kebetulan pula rumah sukan kami tidak mempunyai atlet yang ramai.

2. Pengaruh hiburan yang melampau
Pelajar dewasa ini sudah tidak berminat lagi untuk menyertai acara sukan olahraga. Ini rentetan dari media massa terlalu mengagungkan artis lantaran pelajar hanya tahu bercakap tentang hiburan dan tidak mahu lansung mengambil tahu hal-hal sukan. Pengalaman saya sebagai ketua guru rumah sukan pada tahun 2003 dan 2006 membuktikan semua itu. Sukar saya mencari atlet-atlet yang akan mewakili rumah sukan saya dalam acara balapan dan padang. Pada mesyuarat terakhir sebelum kejohanan bermula, Setiausaha Sukan sekolah terpaksa mengurangkan acara dek kerana sambutan pelajar yang amat mengecewakan.

3. Kekurangan ilmu pengetahuan dari guru
Pada masa kini, kebanyakan guru di sekolah ialah guru perempuan. Dalam sidang parlimen baru-baru ini, kita diberitahu bahawa nisbah guru lelaki dengan guru perempuan ialah hampir 1:3. Selalunya yang terjadi guru-guru perempuan tidak mempunyai ilmu mengendalikan acara balapan dan padang. Ini bukan sahaja membantutkan minat pelajar, malah kadang-kadang merencatkan perjalanan sukan olahraga tahunan. Saya bawakan satu cerita yang berlaku di sekolah saya yang mana seorang guru perempuan memberitahu saya yang dia tidak dapat berada di padang kerana alergik dengan cahaya matahari. Apakah jawapan yang harus saudara berikan jika saudara berada di tempat saya?

4. Hala tuju sekolah
Memang tidak dinafikan visi semua sekolah di Malaysia ialah untuk menjadi cemerlang dalam bidang akademik. Lantaran itu, acara sukan menjadi sebagai salah satu acara sampingan hanya sekadar melepaskan batuk ditangga. Namun satu perkara yang perlu dinyatakan di sini, bukan semua individi itu mempunyai minat dan kemampuan yang sama. Sukan pada saya membentuk peribadi seseorang individu itu sendiri. Malah tuntutan agama Islam, menyuruh kita merehatkan badan dengan beriadah di waktu petang agar hati dan perasaan kita gembira apabila tiba waktu malam.

Sebagai kesimpulannya, kita sebagai pendidik harus menjadikan sukan bukan hanya sebagai alat untuk aktiviti fizikal sahaja malah perlu diperluaskan lagi sebagai alat sosial ke arah menghasilkan individu yang seimbang dalam jasmani dan rohani.

Baca selengkapnya...

Saturday, December 12, 2009

Sains, teknologi dan peperangan

0 comments
Alhamdulillah bersyukur saya ke hadrat Tuhan Yang Maha Esa, Allah SWT kerana dengan limpah kurnianya dapat meluangkan masa untuk mencatat catatan terbaru dalam blog ini.

Saya tertarik dengan satu artikel dalam akhbar "The Star" pada hari ini di muka surat 40 yang bertajuk "Iran may face new sanctions". Secara ringkasnya, artikel ini menyebut Amerika Syarikat akan berusaha untuk mengenakan tekanan baru ke atas Iran kerana usaha Iran dalam pengkayaan teknologi nuklearnya.

Pada pendapat saya,adalah salah tindakan Amerika Syarikat itu kerana telah beberapa kali Iran menyebut aktiviti nuklearnya bukan untuk tujuan ketenteraan. Namun Amerika masih lagi berlagak sombong kerana menganggap dia adalah polis dunia yang mahu memantau setiap aktiviti dalam negara orang.

Sikap skeptik Amerika ini pada pandangan saya berlaku kerana anggapan Amerika bahawa apabila di sebut sahaja tentang nuklear, mereka melenting dan menganggap ianya untuk peperangan. Sedangkan, Iran melakukan pengkayaan nuklear dengan tujuan meningkatkan penggunaan kuasa elektrik mereka.

Hal ini berlaku kerana, Amerika Syarikat pada akhir-akhir ini menjalankan berbagai kajian dan penyelidikan dalam bidang sains dan teknologi (S&T) yang lebih bertujuan untuk mendapatkan senjata yang termaju dan tercanggih bagi menunjukkan merekalah yang berkuasa dan mampu memusnahkan negara lain dalam sekelip mata.

Robert Merton dalam majalah Science, Technology and Society menyatakan bahawa pengetahuan S&T telah menyebabkan kesan negatif pada tiga bidang iaitu alam sekitar, ekonomi dan ketenteraan.

Pembangunan teknologi ketenteraan dan peperangan pastinya akan membawa kepada kemusnahan, kematian dan juga pencemaran alam sekitar. Bukan itu sahaja, impak selepas peperangan akan menyebabkan kemunduran sistem pendidikan, pengangguran, inflasi dan masalah pelarian perang.

Malah, persiapan dan persediaan sebelum sesuatu peperangan juga memerlukan perbelanjaan yang besar. Bagi mencapai matlamat ini, sesebuah negara itu terpaksa mengorbankan pelbagai sumber kewangan negara yang seharusnya diperuntukkan untuk kegunaan bidang lain yang lebih penting seperti pembangunan infrastuktur awam dan juga pendidikan.

Hakikat yang berlaku sekarang ini ialah kerana ilmu sains dewasa ini dicorakkan oleh tamadun Barat. Tamadun Barat lebih mementingkan ketenteraan lantaran takut kehilangan kuasa. Jika dilihat dalam sejarah, kemajuan tamadun-tamadun terdahulu seperti tamadun Islam, Yunani, Cina dan India banyak menghasilkan teknologi yang mesra alam dan berguna sehingga ke hari ini. Kemajuan dalam teknologi peperangan bukanlah agenda utama mereka dalam membangunkan ilmu sains.

Baca selengkapnya...

Thursday, December 10, 2009

Berapa cepat Objek Jatuh...?

0 comments
Apabila kita membaling bola ke udara, kita perhatikan bahawa selepas kelajuan asalnya, kelajuan bola itu akan dilambatkan secara berperingkat dan akhirnya menjadi sifar selama satu pecahan saat sebelum bola itu mula jatuh semula ke bumi. Apabila bola itu jatuh ke bumi, dapat diperhatikan bahawa kelajuan asal adalah rendah, namun kelajuannya semakin bertambah apabila bola itu jatuh.



Bagaimana ia jatuh? Ada kuasa ghaib yang menariknya kah?...

Bola itu jatuh ke bumi kerana ia ditarik oleh daya tarikan graviti. Bumi menarik semua objek ke pusatnya dengan daya yang disebut daya graviti. Disebabkan oleh daya graviti ini, semua objek yang jatuh memperoleh pecutan yang disebabkan oleh graviti. Ia selalunya ditandakan dengan simbol 'g'

Pecutan yang disebabkan oleh graviti memecutkan bola itu sekurang-kurangnya 9.8 meter sesaat asesaat(32 kaki sesaat sesaat). Ini bermakna bahawa pada setiap saat objek akan bergerak 9.8 meter lebih cepat berbanding saat sebelumnya. Kelajuan bola pada sela masa yang berlainan berubah-ubah seperti berikut.

Pada mulanya, bola ataupun objek yang jatuh adalah pegun ataupun kelajuannya adalah sifar. Pada akhir saat yang pertama, bola itu bergerak 9.8 meter sesaat sesaat. Pada akhir saat kedua, bola itu bergerak 19.6 meter sesaat sesaat (ms-2) dan pada akhir saat ketiga, 29.4 meter sesaat sesaat dan begitulah seterusnya. Malah bagi setiap saat, objek itu jatuh 9.8 meter lebih cepat berbanding kelajuannya pada saat yang sebelumnya.

Pecutan jasad atau objek yang jatuh secara bebas dalam vakum berubah-ubah sedikit dari tempat ke tempat akibat berlakunya sedikit perubahan dalam tarikan. Ini terjadi kerana jarak sesuatu tempat itu dari pusat bumi berubah-ubah sedikit sebanyak. Di London, nilai pecutan gravitinya ialah 9.807 m/s2, di Kutub Utara 9.8 m/s2 dan di Khatulistiwa 9.79 m/s2. Pada paras laut di Washington nilainya adalah 9.8008 m/s2. Pecutan akibat graviti ditakrifkan sebagai kadar perubahan halaju objek yang jatuh dengan mengambil kira masa yang diakibatkan oleh daya graviti. Oleh sebab ia merupakan ukuran kadar perubahan halaju, pecutan dinyatakan dalam unit meter per saat2.

Salah satu perkara penting yang harus diingat tentang objek yang jatuh adalah, tidak kira berapa berat sesuatu objek itu, ia akan jatuh pada kadar yang sama. Walaubagaimanapun, rintangan udara mungkin memberi sedikit kesan ke atas kelajuan objek yang jatuh. Fakta ini ditunjukkan oleh seorang saintis Barat yang masyhur bernama Galileo (sebenarnya teori ini telahpun dinyatakan oleh al-Khawarizmi) apabila dia menjatuhkan peluru meriam yang berat dan peluru senapang yang ringan pada waktu yang sama dari Leaning Tower of Pisa. Kedua-dua objek ini sampai ke bumi pada waktu yang sama.



Rintangan udara adalah sebab utama mengapa sesetengah objek jatuh dengan lebih cepat berbanding objek lain. Contohnya sehelai bulu burung akan terapung-apung dengan perlahan sehingga sampai ke bawah kerana ia menghadapi lebih banyak rintangan udara. Permukaannya yang agak besar membolehkan udara bertindak ke atasnya. Peluru yang licin dan berbentuk tajam akan jatuh dengan lebih cepat berbanding dengan sehelai bulu burung kerana ia akan mengalami sedikit sahaja rintangan udara. Tetapi dalam keadaan ruangan vakum, kedua-duanya akan jatuh pada kelajuan yang sama kerana tiada rintangan udara.

Baca selengkapnya...

Wednesday, December 9, 2009

Bagaimana batuk terjadi...

0 comments
Salah satu tanda peparu seorang perokok itu bermasalah ialah apabila ia kerap batuk. Kadang-kadang seseorang perokok itu tidak akan dapat tidur dengan nyenyak kerana batuk pada setiap malam..

Batuk merupakan penghembusan udara secara tiba-tiba dan kuat dari peparu. Batuk bertindak sebagai sistem pertahanan badan yang membantu mengeluarkan bahan berbahaya dari peparu, contohnya nanah atau darah. Namun batuk juga menyebarkan mikroorganisma yang mengakibatkan penyakit.

Seseorang itu akan batuk jika lapisan salur pernafasan mengalami kerengsaan. Saraf tertentu yang bergerak balas terhadap rengsaan ini menyebabkan individu tersebut mengambil nafas yang panjang. Saraf ini juga mengakibatkan salur udara tertutup separuh. Diafragma, iaitu otot besar yang terletak di bawah peparu mengecut dengan cepat lalu menolak udara keluar dari peparu. Kemudian salur udara akan terbuka dan udara memasuki salur pernafasan dan keluar melalui mulut.

Bahan rengsaan yang mengakibatkan batuk seperti merokok, pencemaran udara dan infeksi pernafasan. Kerengsaan ini mungkin mengakibatkan iritasi dan menyebabkan lapisan mukus dalam tekak menjadi tebal. Sesetengah ubat batuk membantu mengurangkan iritasi dan melonggarkan mukus supaya ia boleh dibatukkan keluar dengan mudah. Ubat yang lain pula mengurangkan aktiviti saraf tertentu yang mengakibatkan batuk.

Batuk yang berterusan akan menyebabkan komplikasi dalam pernafasan. Justeru itu, kepada rakan pengunjung yang merokok, fikir-fikirkanlah tentang masalah kesihatan yang bakal anda hadapi sekiranya anda terus merokok.

Baca selengkapnya...

Friday, December 4, 2009

Hijrahlah demi kejayaan dan kegemilangan

0 comments
Alhamdulillah bersyukur saya ke hadrat Tuhan Yang Maha Esa kerana nikmat kelapangan masa dan dipanjangkan umur untuk menulis catatan terbaru dalam blog ini. Untuk makluman rakan-rakan pengunjung catatan ini merupakan catatan Islamik yang terakhir dalam blog ini. Segala catatan dan pengumpulan artikel berkaitan dengan Islam dan cara hidup akan saya paparkan dalam laman blog saya yang kedua iaitu 'TASHDIQ QALBI".

Blog "APPLIED SCIENCE AT SMTKK" saya akan dedikasikan untuk artikel dalam bidang sains gunaan KBSM, sains, isu-isu dalam dunia pendidikan dan pengumpulan artikel-artikel sains dalam majalah atau buku yang saya baca.

Rakan-rakan pengunjung,
Umat Islam diseluruh dunia tidak lama lagi akan menyambut 1 Muharram ataupun sambutan Maal Hijrah. Pada tahun ini 1 Muharram 1431 akan jatuh pada 18 Disember 2009.

Hijrah diambil daripada perkataan bahasa Arab daripada kata asal "hajara" yang bermaksud memutuskan perhubungan atau meninggalkan. Manakala dari sudut istilah pula, boleh dikatakan masudnya adalah sinonim dengan pemahaman masyarakat bahawa perkataan 'hijrah' memberi gambaran di fikiran tentang peristiwa perpindahan Rasulullah SAW dari kota Mekah ke kota Madinah. Peristiwa Hijrah Rasulullah SAW atau Hijraturrasul SAW ini adalah suatu peristiwa besar dan penting dalam sejarah umat Islam yang diingati sebagai suatu perjuangan yang bertatahkan pengorbanan suci demi menegakkan kedaulatan Islam di bumi Madinah. Suatu hijrah dari lembah yang penuh dengan kekejaman dan kezaliman kepada suatu destinasi yang akan dibina padanya tamadun manusia yang berasaskan hidayah dan wahyu Tuhan Sekalian Alam, Allah SWT.

Apabila melihat sejarah hijrah Rasulullah SAW ini kita dapat mengambil suatu inti pati bahawa penghijrahan tersebut membuka ruang yang lebih luas kepada membina kehidupan yang lebih baik atau cemerlang dari segala aspek. Umat Islam mula melaksanakan syariat Islam secara menyeluruh dalam pelbagai aspek kehidupan seperti ekonomi, sosial, pendidikan dan lain-lain lagi.

Kegemilangan ummah bukanlah sesuatu yang mustahil dan sukar dicapai sekiranya manusia yang bergelar insan berusaha untuk mencapai impian tersebut. Jalan terbaik untuk menggapainya ialah dengan melaksanakan suatu proses yang dinamakan 'hijrah insan'. proses hijrah ini seharusnya mampu diumpamakan sebagai satu revolusi insaniah yang perlu dicetus oleh setiap individu Muslim sebagai satu kebangkitan selepas tidur, menjadi kuat selepas lemah, mencapai kemajuan selepas kemunduran, menjadi aktif setelah pasif dan bertenaga selepas lesu.

Dalam rangka mengembalikan semula kegemilangan insan sebagai makhluk yang dijadikan dengan sebaik-baik kejadian, matlamat hijrah insaniah mestilah berpaksikan kepada akidah atau iman kepada Allah SWT. Hal ini kerana dengan berpaksikan akidah, ia akan membawa kepada suatu kesedaran daripada sentuhan jiwa dengan keimanan kepada Allah SWT yang Maha mencipta, Maha berkuasa, Maha mendengar dan bersifat dengan segala sifat kesempurnaan serta Maha Suci Allah SWT daripada segala sifat kekurangan. Kesedaran ini akan membawa perubahan jiwa yang menghasilkan suatu pembaharuan dan menetapkan tujuan hidup, pandangan hidup semangat dan cita-cita. Ia membawa kemerdekaan jiwa daripada kepercayaan terhadap sebarang kekuasaan selain daripada kekuasaan Allah SWT.

Sesungguhnya tiada perkara yang mudah dicapai apatah lagi untuk meletakkan diri insan di tempat yang sepatutnya sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Walaubagaimanapun ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai kerana Allah SWT telah memberikan bekalan akal kepada kita. Kegigihan, dedikasi dan kerja kuat yang lahir daripada akidah dan ketinggian iman terhadap Allah SWT pasti akan membuahkan hasil kejayaan yang mungkin tidak pernah terlintas pada fikiran kita.

Semoga tahun 1431H akam membawa kejayaan kepada kita kerana niat kita untuk berhijrah kepada kejayaan dan kegemilangan. InsyaAllah.....

Baca selengkapnya...

Thursday, December 3, 2009

Standard Guru Malaysia - hasrat meletakkan guru Malaysia di persada antarabangsa

0 comments
Alhamdulillah, bersyukur saya kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurnianya dapat saya meluangkan masa di waktu ini untuk mengulas suatu isu dalam dunia perguruan.

Semalam Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melancarkan dokumen Standard Guru Malaysia.

Persoalan timbul:
1. Adakah guru di Malaysia tidak ada standard?
2. Adakah perkara ini sama dan berulang-ulang?
3. Apa itu SGM?)


"Kementerian Pendidikan Malaysia di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam (02/12/2009) telah melancarkan dokumen Standard Guru Malaysia (SGM) sebagai usaha berterusan untuk meletakkan sistem pendidikan negara setara dengan piawaian
(petikan dari Akhbar Berita Harian 03/12/09


Untuk makluman semua rakan pengunjung, Malaysia merupakan negara pertama di Asia Tenggara yang sedang berusaha untuk menaikkan sistem pendidikannya ke arah pendidikan bertaraf dunia dan berusaha untuk melahirkan rakyat yang mempunyai pemikiran kelas pertama. Malaysia juga merupakan negara pertama di Asean yang memperkenalkan kaedah piawaian guru.

Untuk merealisasikan usaha itu, KPM telah memperkenalkan dokumen SGM kerana dengan adanya guru yang berkualiti dan bertaraf dunia maka hasrat untuk menzahirkan semua yang dirancangkan akan terlaksana.Bagi mereka yang terlibat dalam sistam pendidikan di Malaysia, tentunya mengetahui kiranya guru berasa seronok di sekolah, maka sekolah tersebut akan mencapai kegemilangan dalam apa bidang yang disertai oleh sekolah itu baik dalam keputusan akademik ataupun kokurikulum.

Menjawab soalan pertama "Adakah guru di Malaysia tidak ada standard?" memerlukan pemantauan dan pembacaan yang banyak kerana soalan ini mungkin akan menyinggung beberapa pihak.

Sebenarnya guru di Malaysia telahpun memenuhi piawaian-piawaian tertentu. Saya sendiri pernah menjadi murid sekolah dan saya tahu bahawa guru-guru yang telah bertungkus lumus mengajar saya memenuhi standard. Jika tidak memenuhi standard, masakan saya mampu mendapat keputusan yang baik semasa di sekolah dahulu. Mereka semua adalah penetap piawaian bagi saya dan panduan standard bagi saya ketika saya menjadi saya menjadi guru sekarang.

Soalan kedua "Adakah perkara ini sama dan berulang-ulang?"

Manusia selalu lupa dan harus diingatkan secara berulang-ulang. Bukankah ayat-ayat dalam al-Qur'an itu ada yang berulang-ulang? Pengulangan sesuatu perkara yang baik amatlah perlu kerana ia akan menjadi peringatan kepada mereka yang selalu lupa.

Dalam dokumen SGM yang dilancarkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin ianya mengandungi suatu penanda aras yang mana guru mestilah memiliki tiga aspek utama dalam amalan nilai iaitu:

1. Profesionalisme keguruan
- meliputi 3 domain utama
(a) diri
guru haruslah mempunyai sifat amanah, ikhlas, adil, daya tahan dan saing yang tinggi dan cekap
(b) profesion
guru berusaha mencintai profesion ini dengan berketrampilan, integriti, kerja sepasukan dan proaktif
(c) sosial
guru juga aktif dan terlibat dalam organisasi masyarakat setempat, menjadi penjana modal insan dalam masyarakat, patriotisme, menjadi contoh dalam masyarakat dan kecintaan terhadap alam sekitar.

2. Pengetahuan serta kemahiran pengajaran
Aspek ini menuntut guru supaya:
(a) memiliki dan menguasai ilmu yang mantap agar dapat meningkatkan kualiti diri sendiri dan keprofesionalisme keguruan
(b) melaksanakan tugas dengan cekap dan berkesan
(c) kreatif dan inovatif
(d) mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif
(e) menambahbaik amalan pengajaran dan pembelajaran
(f) mengembangkan potensi secara menyeluruh

3. Pembelajaran tinggi
Memfokuskan kemahiran guru dalam
(a) membuat perancangan
(b) pelaksanaan dan penilaian berhubung dengan akademik dan kokurikulum.
(c) pengurusan hubungan kemanusian, masa, ruang dan sumber untuk mencapai pembelajaran berkesan.

Semoga perkongsian ini dapat menjawab tiga soalan yang saya utarakan di atas tadi.

Semoga kita warga pendidik dapat merealisasikan hasrat kerajaan ke arah pendidikan bertaraf dunia.

InsyaAllah......

Baca selengkapnya...

Wednesday, December 2, 2009

Review on Applied Science SPM Question

0 comments
Today was a big day for all teacher and student especially those who were involve in teaching and learning applied science in SM Teknik all over Malaysia. This day was the innagural SPM question for paper 4581/1 and 4581/2

For me, i was very eagerly looking forward to see the question. But....when i review the question in the afternoon, it was really disapointed. It is because the question was 80% concentrated on biology topic which is only 20% stress through out the KBSM syllabus.

As in my last posting in September i have stress out that applied science should stress more on physics topic because the student that i'm facing in school is a technical and mechanical oriented. We are not going to produced a student that going to be a biology oriented engineer but we are looking for individual that will be committed in the field of mechanical study's.

Looking back to what i have written:

"Applied science is the application of knowledge from one or more natural scientific fields to solve practical problems. Fields of engineering are closely related to applied sciences. Applied science is important for technology development. Its use in industrial settings is usually referred to as research and development (R&D)."

The purpose of biology topics (Module 8 and 9) and also chemistry (module 10), is just to introduce the student to a better understanding of nutrition, cell and reproduction. But when SPM question is 80% biology oriented, what happen to the 70% content of physics.

In my view, the person who incharge of building the question should done a lot of homework such as building better JSU (Jadual Spesifikasi Ujian) that contain more physics questions.

May be in the future they will charge it, or otherwise there is no point of introducing Applied Science subject to the vocational student.

Sorry for my English...i know there is a lot of error, please correct it..:)


Baca selengkapnya...

Saturday, November 28, 2009

Kimia - ilmu dari al-Quran

1 comments
Semasa zaman kegemilangan tamadun Islam pelbagai ilmu yang amat berguna kepada manusia telah muncul. Munculnya ilmu-ilmu yang berteraskan keyakinan dan iman yang mendalam kepada Pencipta yang Maha Agung menyebabkan kesuburan dan keseimbangan antara kehidupan manusia dan alam tercapai. Alam persekitaran melihat kebaikan yang dilakukan ke atas mereka lantaran pembangungan yang mengamalkan konsep simbiosis. Imaginasi ulama-ulama Islam pada zaman tersebut melangkaui batas pemikiran manusia seterusnya muncul ilmu yang amat berfaedah kepada manusia sejagat. Antara ilmu penting yang wujud pada zaman tersebut dan masih diiktiraf sehingga kini ialah ilmu kimia.

Dalam al-Qur'an, terdapat beberapa ayat yang menegaskan kepentingan melihat sesuatu kejadian antaranya firman Allah dalam;

Surah at-Thariq ayat 5 :"Maka hendaklah manusia memerhatikan daripada apakah mereka diciptakan."

Surah as-Shod ayat 7:"Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat. Sesungguhnya Aku akan menciptakan manusia daripada tanah."

Surah Yaasin ayat 80:"Iaitu Tuhan yang menjadikan untukmu dari api dari kayu yang hijau, maka tiba-tiba kamu nyalakan (api) daripada kayu itu."

Ketiga-tiga ayat di atas adalah sebahagian daripada ayat-ayat al-Qur'an yang menerangkan atau memberi isyarat tentang proses kejadian yang perlu dikaji oleh manusia. Melalui kefahaman yang tinggi terhadap ayat al-Qur'an, ulama-ulama Islam memperkenalkan istilah al-kimiyah (kimia).

Sebagai contoh, ayat 80 surah Yaasin merujuk kepada sumber bahan api hidrokarbon yang berasal dari pohon-pohon kayu yang hijau. Melalui proses-proses kimia, pohon-pohon kayu yang tertanam di dalam tanah akan mengalami tekanan yang sungguh kuat. Berjuta-juta tahun kemudian, ia bertukar menjadi arang batu, gas dan petroleum serta menjadi sumber bahan api dan kuasa yang utama.

Ilmu kimia merupakan salah satu cabang ilmu pengajian sains dan ianya tidak pernah wujud sebelum kebangkitan umat Islam dalam bidang ilmu pengetahuan. Walaupun bangsa Yunani telah memahami unsur-unsur atau elemen, tetapi mereka tidak pernah berjaya mengahsilkan bahan-bahan seperti alkohol, asid sulfurik (H2SO4), 'acqua regia' dan asid nitrik (HNO3). Bahan-bahan ini bersama-sama dengan Kalium (Potassium), K, sallmonic (ammonium klorida), NH4Cl, argentum nitrat (silver nitrate), AgNO3, merkuri klorida, HgCl2 dan penyediaan merkuri hanya ditemui oleh ahli-ahli kimia beragama Islam.

Saintis Islam telah menemui kaedah penyulingan, iaitu proses asas dalam kimia dan menggunakan kaedah-kaedah seperti berikut dalam pengkajian mereka:

1. Pemejalwapan (sublimation) - suatu kaedah pembersihan, contohnya penggunaan haba pada garam atau ammonium klorida
2. Penghabluran (crystallization) - penghasilan hablur-hablur kristal seperti garam
3. Penggumpalan (coagulation) - penghasilan bahan pelekat seperti gam.
4. Pengkupelan (cupellation) - kaedah untuk membersihkan bahan logam
Keempat-empat kaedah ini, adalah antara contoh sumbangan saintis Islam pada zaman kegemilangan tamadun Islam.

Antara bukti mudah tentang sumbangan saintis Islam dalam bidang kimia ialah istilah-istilah yang berasal dari perkataan Arab seperti kimia (al-kimiya), alkohol (al-kuhul), alembic (al-alambiq), alkali (al-qalawi) dan arsenik (ar-zirnikh).

Antara sumbangan terpenting umat Islam terhadap peradaban manusia ialah penciptaan bahan letupan. Sungguhpun ada pendapat mengatakan orang Cina adalah pencipta bahan ini untuk digunakan dalam mercun dan bahan api, tetapi saintis Islam telah menukarkannya menjadi bahan letupan yang digunakan dalam peperangan. Buktinya dalam peperangan di Sepanyol pada tahun 1342 M, iaitu peperangan mempertahankan kota Algericas, sebuah bandar di selatan Sepanyol yang diserang oleh Alphonse ke-11, bahan letupan telah digunakan buat kali pertama sebagai senjata ampuh.

Bahan letupan hanya diperkenalkan di Eropah pada abad ke-14, Roger Bacon (1214-1292) yang dikatakan pencipta bahan letupan hanyalah menceduk pengetahuan orang Islam sebelum itu.

Antara kejayaan saintis Islam yang tebesar adalah memajukan penghasilan kertas. Ziyad ibn al-Saleh, gabenor Samarkand di Asia Tengah telah menghantar satu angkatan tentera ke negara China pada tahun 751M. Angkatan tenteranya berjaya menawan beberapa orang banduan yang mahir membuat kertas. Banduan-banduan itulah yang mengajar orang Islam membuat kertas.

Pada tahun 794M, al-Fadl bin Yahya al-Barmaki, gabenor Khurasan telah membentuk satu proses membuat kertas dan membina kilang kertas pertama. Perusahaan ini sampai ke Syria dan Mesir pada abad ke-9, Andalusia (Sepanyol) dalam abad ke-10 dan Afrika Utara pada abad ke-11. Contoh kertas yang dihasilkan masih lagi dapat dilihat di perpustakaan Sepanyol. terutama di Escorial.

Bidang kimia telah melahirkan ramai saintis di kalangan umat Islam. Salah seorang yang masyhur ialah Jabir bin Hayyan al-Kufi (al-Geber) (738 - 813M). Kajian0kajiannya telah dibuku dan dikumpulkan menjadi sebuah ensiklopedia kimia yang agak lengkap pada zamannya. Banyak bukunya yang telah diterjemahkan ke bahasa Latin.

Antara jasanya ialah memperkenalkan kegunaan praktik kimia seperti membersihkan besi daripada campuran, menyediakan keluli, mencelup kain dan kulit, penggunaan minyak varnis untuk kalis air bagi kain dan memelihara besi, penggunaan mangan dwioksida untuk mewarnakan gelas dan penggunaan besi pirit (iron-pyrite) bagi tulisan emas dan penyulingan cuka kepada asid asetik yang pekat.

Jabir telah menolak teori penukaran jasmani daripada suatu logam yang murah kepada emas. Sebaliknya beliau ilmu kimia idea baru yang bernama 'sains keseimbangan' atau "al-ulum fil mizan". Jabir mengemukakan empat konsep bahawa setiap logam mempunyai sifat hakiki yang tidak berubah, tidak kira bentuk atau beratnya, besar atau kecilnya. Konsep ini adalah selari dengan Teori Atom Dalton (1766-1844) yang mengatakan bahawa:

1. Benda adalah terbina daripada butir-butir kecil yang tidak boleh di belah bahagi bernama atom.

2. Atom tidak boleh dimusnahkan atau diwujudkan (diciptakan) melalui proses kimia

3. Semua bentuk atom daripada sesuatu unsur adalah serupa dan berlainan daripada atom unsur yang lain.

Konsep keseimbanagan atau "al-ulum fil mizan" yang dikemukakan, menunjukkan analisis kualiti dalam kimia. Dalam sains moden terdapat konsep keseimbanagan kimia, keseimbangan termodinamik dan keseimbangan daya.

Terdapat beberapa orang saintis Islam yang terkemuka yang tidak kurang memberikan sumbangan yang bermakna kepada dunia sains kimia. Antara mereka termasuklah Muhammad Abu Bakar al-Razi, Dawud al-Antaki, Ibn al-Baytar, al-Baghdadi, Ibn Maimun, Ibn al0Nafis dan Abu Qasim al-Zahrawi.

Sesungguhnya segala sesuatu ilmu itu adalah dari Allah SWT kerana firman Allah dalam surah ar-Rahman ayat 1-4 yang bermaksud" 1. (Tuhan) Yang Maha Pemurah 2. Dialah mengajarkan al-Qur'an 3. Dia menciptakan manusia 4. Dialah yang mengajar manusia berkomunikasi.".

Bagi manusia yang mempunyai akal fikiran yang sentiasa memikirkan kejadian alam, sudah tentulah berusaha mentafsirkan ayat-ayat al-Qur'an untuk keseimbangan alam sejagat. Kerana Allah SWT menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi ini....

Baca selengkapnya...

Friday, November 27, 2009

Kepentingan imaginasi dalam sains

0 comments
"Imagination is better than knowledge"

Ungkapan di atas adalah terhasil daripada mulut saintis tersohor yang mengemukakan teori relativiti, Albert Einstein (1879-955). Dengan mempunyai daya imaginasi yang tinggi, Albert Einstein banyak mengemukakan teori-teori saintifik yang mendahului zamannya.

Imaginasi ataupun pemikiran futuristik bermaksud kemampuan atau daya khayalan untuk menggambarkan sesuatu dalam angan-angan atau mencipta sesuatu secara khayalan.

Imaginasi yang datang bersama dengan ilmu pengetahuan dan disaluti dengan nilai-nilai keislaman akan menghasilkan sesuatu yang hebat dan akan berada diluar jangkauan pemikiran manusia.

Itulah yang dilakukan oleh ramai saintis Islam di zaman kegemilangan tamadun Islam pada masa yang lampau. Pemikiran mereka sentiasa mendahului dunia mereka sehinggakan ada yang beranggapan mereka adalah orang yang kurang siuman. Perkara yang sama dilakukan oleh Albert Einstein dimana beliau mengemukakan pelbagai teori fizik yang menggemparkan dunia tanpa melakukan sebarang eksperimen pun di dalam makmal.

Sehingga kini, idea-idea dan imaginasi saintis-sainstis yang hebat suatu masa dahulu seperti al-Zahrawi, Ibn Sina, Ibn Haitam, Jabir al-Haiyam serta Einstein banyak membuka ruang ke arah kemajuan sains teknologi serta kehidupan manusia moden.

Dunia sains mutakhir ini begitu hangat memperkatakan tentang nanoteknologi. Nanoteknologi merupakan bidang yang mengkaji benda yang sangat halus dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Nanoteknologi juga adalah satu bidang sains untuk mengkaji perilaku zarah-zarah dan susunan molekul bagi menghasilkan sesuatu yang bermanfaat untuk kegunaan manusia. Untuk mengkaji dan melakukan ekspeimen dalam bidang nanoteknolgi, saintis menggunakan mikroskop berkuasa tinggi supaya dapat melihat struktur-struktur kecil sehingga mencapai skala nanometer iaitu satu per bilion meter ( 1 x 10-9)

Idea nanoteknologi ini muncul apabila seorang saintis fizik di California Institute of Technology (Caltech), Amerika Syarikat, Profesor Richard Feynman (1918-1998) berimaginasi untuk melihat mesin-mesin kecil bersaiz nano berfungsi seperti apa yang dapat dilihat dengan mata kasar. Pada tahun 1959, beliau membentangkan satu kertas kerja yang berjudul There is Plenty of Room at the Bottom yang mengemukakan idea mengenai nanoteknologi. Pada waktu itu, tiada seorang pun yang pernah membayangkan idea seperti beliau. Idea Feynman diteruskan pula oleh seorang lagi saintis iaitu K. Erik Drexler yang menulis sebuah buku penting mengenai gagasan nanoteknologi iaitu Engine of Creation pada tahun 1986 selepas seorang saintis Jepun, Norio Taniguchi(1974) mempopularka istilah nanoteknologi bagi kajian dan proses yang menggunakan alat dengan saiz kurang daripada satu mikrometer iaitu satu persejuta meter (1 x 10-6

Pada hari ini, idea dan imaginasi Feynman hampir menjadi kenyataan bahkan ada sebilangan produksudah dikategorikan sebagai produk nanoteknologi. Antaranya tiub nano karbon, solar sel nano, tabir matahari (sun screen), bahan kimia yang digunakan untuk membuat cat lebih tahan lama, fabrik pakaian yang boleh mencuci pakaian sendiri dan sebagainya.

Sama seperti kemunculan internet, ianya merupakan imaginasi pakar-pakar komunikasi semasa era Perang Dunia Kedua. Sewaktu era tersebut, mereka membayangkan sekiranya mereka dapat menyambung beberapa komputer agar memudahkan komunikasi mereka pada waktu itu. Maka terhasil projek menghubungkan rangkaian komputer untuk kegunaan tentera Amerika Syarikat yang dinamakan sebagai ARPANET

Setelah saintis-saintis tersebut berjaya menghubungkan komputer dengan jumlah yang banyak antara satu sama lain, mereka melihat potensi yang besar yang dapat dimanfaatkan oleh orang ramai melalui penemuan tersebut.

Akhirnya projek ARPANET dibubarkan dan rangkaian komputer bertambah dari semasa ke semasa bermula di universiti di Amerika dan kemudiannya merebak ke seluruh Eropah dan seterusnya ke seluruh dunia. Bermula pada saat itu, ia dikenali dengan istilah INTERNET seperti yang kita nikmati pada hari ini.

Boleh dikatakan setiap orang pada hari ini memiliki telefon bimbit. Telefon bimbit bermula dengan telefon selular mula digunakan di Amerika Syarikat pada tahun 1973 di Bandar Manhattan.

Ia kemudiannya dibangunkan oleh syarikat MOTOROLA yang kemudiannya bergabung dengan rakan seangkatannya di syarikat telekomunikasi terkenal AT&T untuk meningkatkan prestasi telefon celular tersebut. Idea awal ciptaan telefon bimbit ialah untuk memudahkan telekomunikasi dan bebas bergerak untuk di bawa ke mana-mana sahaja.

Martin Cooper dari MOTOROLA membayangkan bagaimana sekiranya manusia dapat membawa telefon yang ringan ke mana sahaja mereka pergi dan senang dihubungi. Dengan itu terciptalah telefon bimbit.

Pada hari ini, telefon bimbit menjadi keperluan yang sangat penting dalam kehidupan seharian. Fungsi-fungisnya bertambah setiap kali diperkenalkan model baru seiring dengan kepantasan perkembangan teknologi.

Terbaru pengeluar telefon bimbit tersohor di dunia, NOKIA, memperkenalkan konsep baru telefon dan gajet masa depan yang dikenali sebagai Morph.



Konsep Morph untuk keluaran produk gajet digital NOKIA masa depan merupakan gabungan seni dan teknologi yang elegan yang menggunakan nanoteknologi sebagai asas pembuatannya. Menurut saintis yang terlibat dalam projek Morph-Nokia ini, suatu hari nanti pengguna telefon berupaya mengubah gajet mereka menjadi bentuk-bentuk yang diminati seperti robot-robot dalam filem Transformer.



Konsep Morph pada telefon bimbit Nokia terbaru (akan dikeluarkan pada tahun 2015) menggunakan aplikasi nanoteknologi meliputi ciri-ciri kebolehlenturan, elektronik transparen, kemampuan pembersihan sendiri (self-cleaning), menggunakan tenaga solar dan antara mukanya (interface) yang canggih. Idea teknologi futuristik ini dikemukakan oleh penyelidik dari Pusat Penyelidikan Nokia dengan kerjasama Pusat Nanosains Cambridge, Universiti Cambridge, United Kingdom.

Pemikiran sains masa depan atau futuristik ini merupakan elemen yang sangat penting untuk melahirkan golongan saintis dan pencipta teknologi pada masa depan.

Imaginasi bersama ilmu pengetahuan disaluti kefahaman tentang nilai-nilai Islam akan menyemarakkan lagi kesuburan teknologi pada masa hadapan.

Baca selengkapnya...

Saturday, November 21, 2009

Kejohanan PSKPP Kali ke-37 Peringkat Negeri Perak

1 comments
Alhamdulillah bersyukur saya kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurnianya dapat saya meluangkan masa untuk mengemaskini laman blog ini.

Seperti pada tahun-tahun yang lalu dan telah berlansung sebanyak 37 kali, Pesta Sukan dan Kebudayaan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PSKPP) pada kali ini telah berlansung dengan jayanya di UITM Seri Iskandar, Seri Iskandar, Perak.



PSKPP merupakan acara tahunan khusus untuk semua pegawai-pegawai kerajaan yang berkhidmat dengan Kementerian Pelajaran Malaysia. Pada saya, acara ini harus diteruskan untuk kesinambungan budaya sukan dalam Kementerian Pelajaran Malaysia.


Kejohanan PSKPP peringkat negeri Perak pada kali ini berlansung dari 20 November hingga 22 November dan dianjurkan oleh PSKPP Daerah Perak Tengah. Gelanggang permainan dan penginapan yang disediakan oleh pihak penganjur ialah di UITM Seri Iskandar.

Saya berterima kasih kepada Saudara Zairol Anuar (baju hijau daun pisang dalam gambar di bawah), PTPS Bolatampar Daerah Kuala Kangsar kerana memberi peluang kepada saya untuk melibatkan diri dan membantu beliau menguruskan pasukan bolatampar sepanjang kejohanan tersebut.



Dalam kejohanan pada tahun ini, pasukan bolatampar PSKPP Kuala Kangsar diletakkan dalam kumpulan B bersama-sama dengan pasukan PSKPP Daerah Manjung dan Kinta Selatan.
Pasukan PSKPP Kuala Kangsar hanya berjaya menjadi naib johan kumpulan B. Kami tewas kepada PSKPP Manjung 2-0 (25-17,25-12) dan menang dengan PSKPP Kinta Selatan 2-0(25-15,25-17). Sebagai naib johan kumpulan, pasukan PSKPP Kuala Kangsar tidak berjaya ke peringkat separuh akhir kerana hanya johan kumpulan layak.

Tahniah dan terima kasih kepada PTPS dan semua rakan-rakan yang melibatkan diri dalam kejohanan pada tahun ini.

Pasukan Bolatampar PSKPP Kuala Kangsar 2009



Berdiri dari kiri: Saya, Khairul (SK Temin), Shahrizal (SMT), Duan (SK Methodist, Shukor (SK Bendang kering), Khalili (SK Bendang Kering) dan Helmi (SK Kg Kenang)
Duduk dari kiri: Syawal (SK Lasah), Abe (PKG Talang), Zack (SK Kg Kenang), Hazimin (SK SS Idris Al-Marbawi) dan Hasbullah (SMK Temenggong)

Semoga kejayaan akan menjelma di tahun-tahun akan datang....InsyaAllah

Baca selengkapnya...

Thursday, November 19, 2009

Kicap - Sumbangan Bakteria berguna...

2 comments
Sains bioteknologi adalah satu bidang yang sangat menarik dan menemukan kita dengan banyak perkara yang luar biasa dan kadang kala perkara yang tidak pernah terfikir oleh akal kita. Malah aplikasi ilmu ini dalam bidang makanan telah dimulakan sejak ribuan tahun yang lampau.

Salah satu daripada makanan yang paling popular dan terhasil daripada aplikasi ilmu ini dengan menggunakan bantuan mikroorganisma ialah kicap. Sos kacang soya berwarna hitam legam ini digunakan hampir di segenap ceruk bumi. Di setiap negara juga mempunyai kicap versi mereka sendiri sesuai dengan citarasa tempatan. Perkataan 'kicap' didakwa berasal daripada bahasa Hokkien, iaitu koechiap atau ke-tsiap




Kicap adalah penyedap makanan yang secara umumnya mempunyai rasa masin dan manis. Asasnya, kicap diperbuat daripada kacang soya, tetapi ada juga yang dibuat daripada air kelapa untuk menjadikan ia masin selain menggunakan ikan laut. Walaubagaimanapun, rasa masin kicap lazimnya datang daripada garam yang merupakan ramuan paling mustahak.

Kicap tulen diperbuat daripada soya yang ditapai atau diperam dengan koji. Koji atau nama lainya kulapuk adalah mikroorganisma dengan istilah saintifiknya Aspergillus orizae. Koji juga dikenali sebagai ragi. Tanpa kehadiran unsur penting daripada mikroorganisma ini, kicap tidak akan terhasil. Sesetengah kicap yang berjenama murah ada juga yang menggunakan protein soya yang dihidrolisis. Walaubagaimanapun, ia mempunyai warna yang berbeza, iaitu lebih pucat seakan-akan karamel.

Apabila kacang soya telah dibersihkan, ia akan direndam selama 12 jam sebelum dikisar atau dihancurkan. Setelah itu ia akan direbus bagi melembutkannya, kemudian ditapai dengan koji dan beberapa organisma terpilih lain untuk menjadikannya tempe kacang soya. Tempe ini dijemur dibawah cahaya matahari sehingga kering terlebih dahulum sebelum direndam dalam larutan garam.

Garam digunakan kerana ia adalah sebatian yang selektif terhadap pertumbuhan mikrob. Hanya mikrob yang dapat bertahan daripada garam yang dapat tumbuh dan hidup dalam larutan air masin soya tersebut. Umumnya, terdapat banyak jenis ragi dan bakteria yang rintang terhadap garam seperti Zygosaccharomyces dan Lactobacillus.
Mikrob-mikrob ini akan memecahkan protein menjadi asid amino dan komponen perasa lain serta mengahsilkan asid. Penapaian resebut hanya terjadi apabila kadar garan cukup tinggi, iaitu antara 15-20 peratus.


Tempe kacang soya ini akan direndam dengan larutan garam antara 10 hingga 15 minggu. Pada waktu siang hari yang panas, bekas rendaman selalunya diletakkan di bawah udara terbuka. Setelah penapaian dalam larutan garan selesai, saluran keluar bahagian dasar bekas dibuka dan cairan dikeluarkan. Cairan itu dikenali sebagai kicap No. 1. Kemudia kek-kek soya direndam lagi dengan larutan garam sehingga lapan atau sepuluh minggu dan diolah seperti kicap No 1. Setelah penapaian selesai, cairan kicap yang dikeluarkan ini dikenali sebagai kicap No 2 yang lebih pekat. Manakala kek-kek rendaman tadi tidak akan dibuang begitu sahaja., sebaliknya akan direndam pula dengan air bersih dan diproses menjadi makanan haiwan ternak.

Bagi menyediakan kicap yang mempunyai pelbagai perisa, beberapa ramuan tambahan lain akan dimasukkan seperti halia, lengkuas dan kulit kayu manis. Bahan-bahan ini biasanya dikisar halus dan dibungkus dengan kain sebelum direbus dalam larutan kicap.

Lazimnya gula meraj akan ditambah untuk diberi perisa manis kicap. Namun, banyak pengusaha kicap sekarang menambahkan monosodium glumatamat (MSG) untuk menyedapkan rasa. Apabila kicap siap dimasak, ditambah perisa, ditapis dan disejukkan barulah ia dibotolkan.

Kaedah membuat kicap ini adalah lebih kepada cara tradisional. Ramai yang mendakwa resepi membuat kicap datangnya daripada China sebagaimana asal usul namanya. Kemudian kicap ini mula tersebar ke Asia Timur, Asia Selatan dan Eropah. Berdasarka rekod yang dicatatkan oleh Kompeni India Timur Belanda, kicap pertama yang dikesan sebagai komoditi ialah pada tahun 1737 apabila 75 tong kicap dibawa belayar dari Dejima, Jepun ke Kepulauan Jawa (sekarang Jakarta). Manakala 35 tong daripadanya dikatakan di bawa terus ke Belanda.

Menjelang kurun ke-18, Isaac Titsingh menulis rekod tentang penapaian kicap yang digelar sebagai shoyu di Jepun (mungkin orang utara semenanjung Malaysia mengambil perkataan ini kerana di utara kicap dipanggil toyu). Meskipun banyak juga deskripsi terawal mengatakan sos soya ini disebarkan di Barat, tetapi catatan Isaac ini merupakan antara yang paling awal memfokuskan secara terperinci penapaian sos secara versi Jepun.

Pada pertengahan abad ke-19, sos soya ini semakin sinonim dengan produk China. Jumlah pengeluaran daripada negara Tembok Besar ini telah melebihi had pengeluaran pesaing Barat yang lain dalam pasaran semasa. Ada yang mendakwa, sebenarnya orang Eropah pada zaman awal memang tidak tahu menghasilkan kicap kerana mereka tidak faham mengenai fungsi ramuan terpenting, iaitu ragi atau koji.

Pada hari ini, berdasarkan kajian demi kajian dan semakin banyak bijak pandai dalam bidang sains, maka pembuatan kicap semakin dipermudahkan. Lebih-lebih lagi apabila mereka semakin memahami peranan bakteria dan bagaimana organisma ini bekerja. Malah, teknologi moden yang ada sekarang memungkinkan penghasilan kicap hanya dalam tempoh sehari dengan bantuan enzim yang sesuai. Namun terdapat sedikit kekurangan dalam teknik ini, dimana kualiti dan rasanya tidak seasli rasa penghasilan kicap menggunakan kaedah tradisional.

Selain menyedapkan makanan, menambah aroma dan membuka selera, kicap juga memberi faedah untuk kesihatan. Merujuk kepada penyelidikan daripada Universiti Singapura, kicap pekat China dikatakan mengandungi 10 kali ganda jumlah antioksida berbanding dengan wain merah. Antioksida dikatakan elok untuk mencegah penyakit kanser. Sungguhpun begitu, pengambilan kicap yang berlebihan tetap mengundang penyakit, sementelah lagi apabila ia ditambah dengan perisa makanan seperti MSG. Kicap boleh menjadi terlalu masin dan tidak sesuai dengan peghidap darah tinggi.

Kajian saintis daripada Agensi Piawaian Makanan UK pada tahun 2001 pula menyatakan kebanyakan kicap yang dihasilkan daripada kicap yang dihidrolisis, 22 peratus daripada sampelnya mengandungi bahan kimia yang boleh menyebabkan kanser. Bahan yang dikenali sebagai 3-MCPD, iaitu 3-monocloropropane-1,3-diol dikatakan melebihi daripada tahap keselamatan yang ditetapkan oleh pihak Kesatuan Eropah. Oleh itu, bahan yang terkandung dalam sos soya ini apabila melebihi tarikh luputnya boleh memudaratkan kesihatan pengguna.

Sememangnya kicap sudah begitu membudaya dalam kehidupan masyarakat sehingga setiap dapur rumah pasti mempunyai sekurang-kurangnya sebotol kicap. Jika tidak menjadi hidangan segera pada saat-saat genting, kicap juga boleh menjadi ubat yang berkesan bagi kulit yang terbakar.

Sesungguhnya setiap satu ciptaan Allah SWT itu jika diteliti akan memberikan seribu satu kegunaan kepada manusia yang melihat dan bijak bertindak sebagai khalifah Allah di muka bumi....

Baca selengkapnya...

Tuesday, November 17, 2009

Teknik Pembacaan Pantas

0 comments
Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadrat Tuhan Semesta Alam kerana dilimpahkan kesenangan dan berada dalam negara yang aman tenteram. Puji dan selawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW kerana mengajar manusia untuk menyerah diri kepada Allah SWT.

Firman Allah dalam surah ar-Rahman ayat 1-3 yang bermaksud:"1. Allah Yang Maha Penyayang, 2. Dialah yang telah mengajar al-Qur'an, 3. Dialah yang telah mengajar manusia kepandaian berbicara."

Seterusnya dalam surah al-Alaq ayat 1-5, firman Allah bermaksud:" (Wahai Muhammad!) Bacalah dengan nama Tuhanmu yang telah menciptakan (seluruh makhluk), 2. Ia menciptakan manusia dari segumpal darah, 3. Bacalah dan Tuhanmulah Yang Paling Pemurah, 4. Yang mengajarkan dengan pen, 4. Ia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya."

Dalam Tafsir fi Zilalil Qur'an, Sayyid Qutb Rahimahullah menyatakan berkenaan ayat 2, beliau menyatakan "al-Qur'an merupakan nikmat agung yang jelas menunjukkan rahmat Allah Yang Maha Penyayang terhadap manusia. Al-Qur'an merupakan terjemahan yang tepat dan smpurna bagi undang-undang alam ini dan bagi sistem hidup yang diatur oleh Allah untuk manusia di bumi.". Jelaslah al-Quran merupakan sebuah kitab dan bku panduan yang maha agung!

Seterusnya, ayat 1-5 dalam surah al-Alaq menegaskan tentang kepentingan membaca dan menulis. Bagi individu muslim yang ingin berjaya dalam kehidupan mestilah rajin membaca dan cuba sedaya upaya untuk mengajarkan kepada orang lain.

Pembaca yang bijak tahu akan seni atau teknik bacaan. Tanpa penggunaan seni pembacaan yang sesuai, seseorang akan gagal mencapai kemajuan yang besar dalam aktiviti lain. Tabiat membaca ini hendaklah dikembangkan perlahan-lahan demi kejayaan pada masa hadapan.

Sesetengah orang membaca kuat dan sesetengah orang lain membaca dengan senyap. Cara membaca senyap biasanya boleh menggarap lebih pemahaman. Sesetengah orang lain membaca lambat dan oranglain membaca cepat. Kedua-duanya tidak banyak beza, kerana kedua-dua kaedah ini boleh diamalkan. Yang penting bahan bacaan itu difahami dan diingati.

Semasa membaca, seseorang mungkin terjumpa beberapa binaan ayat dan kata yang sukar difahami.Jika anda berada dalam situasi sedemikian, anda hendaklah meminta bantuan kawan atau merujuk kepada kamus untuk mencari makna kepada perkataan tertentu taua cara menggunakan perkataan dalam ayat.

Semangat ingin tahu

Sebagai individu yang dahagakan ilmu, kita hendaklah mempunyai semangat ingin tahu. dalam masa yang sama, anda boleh cuba membina soalan-soalan. Dengan mengemukakan soalan demi soalan, maka akan memudahkan anda memahami topik yang dibaca dengan lebih mendalam. Cara ini membolehkan anda bersedia jika topik yang sama dibaca dalam buku yang berlainan ataupun jika topik itu berkenaan soalan-soalan dalam peperiksaan.
Dala konteks pelajar yang menduduki peperiksaan, pelajar dapat mengingat apa-apa sahaja bahan bacaan yang dibaca. Selain itu, pelajar harusnya merangka soalan-soalan yang memerlukan penambahan fakta atau perincian penjelasan.

Pembacaan pantas

Kadang-kadang terjadi dimana seseorang mengambilmasa yang lama untuk membaca. Hal ini berlaku kerana:
1. Membaca perkataan demi perkataan
2. Berhenti terlau lama di antara dua perkataan (berangan-angan)
3. Mengulang semua kandungan yang telah dibaca antara tiga hingga empat kali kerana kurang faham.
4. Tidak menumpukan perhatian
5. Wujd gangguan.

Proses pembacaan melibatkan 20 peratus pergerakan mata dan 80 peratus proses pemikiran. Pembacaan pantas adalah perlu kerana semakin pantas kita membaca, semakin banyak ilmu yang dapat kit fahami. Berikut adalah empat petua pembacaan pantas

1. Buat latihan membaca pantas. latih diri supaya boleh membaca dengan pantas selama 15 minit setiap hari. Jangan habiskan masa yang terlalu lama untuk membaca sesuatu patah perkataan

2. Jika anda tidak faham sesuatu perkataan atau istilah, jangan berhenti. Teruskan pembacaan dan agak maksud perkataan tersebut apabila membaca keseluruhan teks. Jika anda masih tidak faham akam maksud istilah tersebut, rujuk kamus apabila selesai membaca teks.

3. Jangan sebut perkataan yang anda sednag baca kerana ini akan melambatkan proses pembacaan. Jika anda memang terbiasa, gunalah gula-gula.

4. Hindarka bunyi bising dan gangguan. Pasang muzik yang tenang dan yang boleh meransang minda.

Bagaimana melatih mata melihat dengan pantas
1. Jangan baca perkataan demi perkataan. Bacalah sekumpulan perkataan dalam satu masa. Pandangan periferal akan membantu anda untuk membaca menggunakan kaedah ini.

2. Jangan mengulang bacaan teks yang sama beberapa kali.

3. Mata dan minda hendaklah ditumpukan ke bahan yang sedang dibaca. Jangan berkhayal.

4. Gunakan alat bantuan seperti jari telunjuk atau pen untuk menunjukkan perkara yang sedang dibaca. Alat bantuan ini akan membantu mata anda bergerak dengan lebih pantas.

5. Elakkan daripada berhenti membaca di antara ayat.

6. Pastikan anad duduk dengan selesa semasa membaca.

Petua meningkatkan keupayaan Pembacaan pantas

1. Pilih tempat yang sunyi dan mempunyai cahaya yang tidak terlalu terang atau terlalu gelap.

2. Amalkan pernafasan tenang

3. Nyataka tujuan anda membaca dengan jelas. Contohnya "Saya membaca untuk menambahkan ilmu saya".

4. Kedudukan badan mestilah tegak, kaki di lantai, kedudukan bahan bacaan ialah 20 darjah daripada permukaaan meja.

5. Jika anda suka, anda boleh mendengar bacaan al-Qur'an secara perlahan atau muzik yang tenang seperti baroque untuk membantu anda meningkatkan konsentrasi.

6. Jarak bacaan daripada mata anda ialah antara 40 cm hingga 60 cm.

7. Tanya soalan semasa anda membaca. Pastikan minda anda sentiasa peka

8. Ambil rehat yang tetap semasa membaca iaitu 10 minit untuk setiap satu jam membaca.

9. Buat peta minda bagi setiap topik yang anda telah baca.

Sekian, semoga dapat membantu anda untuk lebih minat membaca!



Baca selengkapnya...

Monday, November 16, 2009

AIDIL ADHA

0 comments
Lambang KORBAN CINTA dan KASIH SAYANG

Alhamdulillah, bersyukur saya kepada Allah SWT kerana dilimpahkan kesenangan dan kelapangan untuk berada di hadapan komputer dan menulis catatan terbaru dalam blog ini. InsyaAllah, jika dipanjangkan umur pada 27 November ini, kita akan bersama-sama merayakan sambutan Hari Raya Korban atau Hari Raya Haji.

Ketika semakin hampir untuk merayakan Hari Raya Aidil Adha, memori umat Islam seluruh dunia akan tertumpu kepada pengorbanan Nabi Ibrahim AS serta anaknya Nabi Ismail AS. Sebagaimana yang terungkap dalam sejarah, Nabi Ismail AS lahir daripada isteri Nabi Ibrahim AS yang bernama Siti Hajar al-Qibtiyah, berketurunan Mesir. Ketika itu usia Nabi Ibrahim sudah mencecah 86 tahun. Memandangkan telah sekian lama Nabi Ibrahim menunggu-nunggu kelahiran cahaya mata, maka dengan kelahiran Nabi Ismail AS, kasih sayang baginda tertumpu sepenuhnya terhadap anaknya itu. Namun atas kehendak Allah SWT, Nabi Ibrahim telah diuji untuk berpisah dengan anak dan isterinya. Baginda diperintah Allah SWT membawa anaknya Ismail yang masih kecil dan masih menyusu itu berserta isterinya berhijrah dari Palestin menuju ke Makkah yang ketika itu begitu tandus dan tiada seorang pun manusia menetap di sana.

Tinggallah Ismail AS dan ibunya Hajar dengan hanya berbekalkan sekantung kurma dan sekantung air yang disediakan oleh Nabi Ibrahim. Sebelum Nabi Ibrahim pergi meninggalkan anak dan isterinya, berkatalah Hajar pada suaminya:"Wahai Ibrahim, mengapa anda tinggalkan kami berdua di negeri yang tandus dan tanpa teman seorang pun?" Nabi Ibrahim AS tidak menoleh dan tidak pula menjawab. Hajar terus mengekori dan mengulangi pertanyaan itu sebanyak tiga kali, namun Nabi Ibrahim AS tetap tidak bersuara. "Apakah Allah menyuruhmu berbuat demikian", tanya Hajar. "Ya", jawab Nabi Ibrahim AS singkat. "Jikalau begitu, kami yakin bahawa Allah tidak akan membiarkan kami berdua menderita.", tegas Hajar. Kemudian Nabi Ibrahim bergegas meninggalkan mereka berdua. Hajar mendidik anaknya Ismail hingga akhirnya baginda menjadi seorang manusia yang bijak dan sangat penyabar.

Pada suatu ketika apabila Nabi Ibrahim pulang untuk menjenguk anak dan isterinya, Allah SWT sekali lagi telah memerintahkan baginda dengan satu perintah yang amat berat iaitu perintah agar Nabi Ibrahim menyembelih anak kesayangannya, Nabi Ismail AS. Dalam al-Quran disebutkan tentang hal ini sebagaimana ayat yang bermaksud:"Lalu Kami berikan kepadanya (Ibrahim) berita yang menggembirakan, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang penyabar. Maka tatkala anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata:"Wahai anak kesayanganku!Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab:"Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu. InsyaAllah ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar." (as-Saffat:101-102)

Seterusnya disebutkan lagi dalam al-Quran yang bermaksud:"Setelah kedua-duanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu) dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu, telah menjalankan perintah Kami). Serta Kami menyeru:"Wahai Ibrahim! Engkau telah meyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu.". Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah ujian yang nyata; Dan Kami (Allah) tebus anak itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar." (as-Saffat:103-107)

Demikianlah pengorbanan yang telah dibuat oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail AS yang sanggup berkorban demi menjunjung perintah Allah SWT. Tidak terlihat pada sikap mereka sebarang keraguan atau keberatan. Cinta kasih mereka kepada Allah SWT tiada tolok bandingnya sehinggakan masing-masing sanggup berpisah dan bercerai nyawa. Sebab itulah Nabi Ibrahim AS dideri jolokan Khalilullah iaitu kekasih Allah.

Pengajaran Ibadah Korban

Sesungguhnya keikhlasan dalam pengorbanan menuntut kita menghayatu kisah teladan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS seperti yang disebutkan dalam al-Quran, Firman Allah yang bermaksud:"Sesungguhnya adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim AS dan pengikut-pengikutnya, contoh ikutan yang baik",...(al-Mumtahanah:4)

Pengorbanan mereka menjadi titik tolak bermulanya sejarah ibadah korban yang dilakukan oleh umat Islam setiap kali tibanya Aidil Adha. Ia lambang pengorbanan antara hamba dan Tuhannya.

Hukum melakukannya adalah sunat mu'akkad (sangat dituntut) dan ia merupakan salah satu bentuk ubudiah atau perhambaan diri seorang hamba kepada Allah SWT. Menurut ulama fiqh, ibadah penyembelihan haiwan korban merupakan amalan yang paling utama pada Hari Raya Aidil Adha. Amalan ini dimaksdudkan sebagai salah satu bentuk kesyukuran kepada Allah SWT di atas segala kurniaan yang diberikan, menghapuskan segala dosa yang dilakukan disamping memberi kesempatan kepada sanak saudara dan pada tetangga menikmati daging korban yang diagih-agihkan. Firman Allah SWT yang maksudnya:"Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal ikhlas yang berdasarkan takwa daripada kamu."...(al-Hajj:37)

Menyedari betapa ikhlasnya pengorbanan Nabi Ibrahim AS ketika melakukan perintah Allah SWT dan betapa mulianya Nabi Ismail AS yang rela hati mengorbankan dirinya untuk disembelih oleh ayahandanya yang tercinta, maka begitula hendaklah kita sebagai umat Islam mencontohinya dalam melakukan ibadah korban. Ketulusan cinta Nabi Ibrahim AS menerima perintah untuk menyembelih anak kesayangannya Ismail, anak yang ditunggu-tunggu kelahirannya sejak sekian lama sampai ia mencecah usia tua serta keperibadian Nabi Ismail AS yang benar-benar memahami perintah Allah bahawa perintah itu harus segera dilaksanakan tanpa ditunda-tunda harus disemai dalam sanubari umat Islam yang sepatutnya berserah diri dalam penuh kesabaran dalam mengharungi setiap ujian Allah. Bahkan inilah yang melambangkan kepasrahan kita terhadap Allah tanpa sedikitpun merasa takut mahupun kecewa melainkan menerimanya secara lansung dan lapang dada.

Hakikat 'korban' adalah merupakan salah satu ujian daripada Allah SWT yang denganya setiap muslim dapat mengukur sejauh mana keimanan dan ketaatannya kepada perintah Allah. Sesungguhnya Allah telah berjanji bahawa mereka yang sanggup berkorban kerana-Nya akan diberi limpahan pahala yang besar disisi-Nya. Dengan itu berbahagialah orang-orang yang berkorban dan mudah-mudahan akan termasuk di kalangan orang-orang yang berbuat kebaikan.

Sumber rujukann:
1. Panduan melaksanakan ibadah korban dan akikah, Abdullah, Perniagaan JahaBersa, 2003
2. Majalah Cahaya, JAKIM, Disember 2006
3. Majalah Pendidik, JAKIM, Nov/Dis 2007

Baca selengkapnya...

Idealisme Vs Hedonisme

0 comments
Sedar atau tidak, pada setiap tahun pada bulan-bulan tertentu kita dihidangkan dengan karnival Jom Heboh, Suarasa dan bermacam lagi karnival yang gah dilaungkan setiap hari di saluran media utama tanah air. Selalu kita lupa tentang Pesta Buku Antarabangsa dan Pesta Komputer atau PC Fair. Umum mengetahui kepentingan pesta buku mengatasi kepentingan karnival Jom Heboh. Namun kita selalu lupa........


Kita seharusnya mengubah paradigma dalam pendidikan daripada hanya berpusatkan pelajaran kepada pelajar. Maksudnya, tumpuan harus kepada 'manusia' bukan hanya semata-mata pada subjeknya. Pelajar atau remaja mesti dilihat sebagai seorang manusia yang mesti di didik agar mempunyai wawasan diri, prinsip kepercayaan (belief) dan nilai (value). Inilah yang dikatakan idealisme dalam kehidupan.

Idealisme sangat berkait rapat dengan fitrah manusia. Setiap manusia inginkan kebaikan, kebenaran dan kesempurnaan. Fitrah inilah yang bergolak dalam setiap jiwa terutamanya generasi muda. Mereka inginkan sesuatu yang murni, pasti dan sejati untuk memenuhi gelora, cabaran, ketidakpastian dan semangat penerokaan zaman remaja.

Pemuda Ashabul Kahfi merasa resah terhadap raja dan rakyat yang menyembah berhala. Remaja seperti Sayidina Ali k.w berani membuat keputusan untuk beriman kepada Nabi Muhammad SAW, suatu tidakan yang menentang arus kepercayaan majoriti rakyat pada ketika itu. Semangat yang sama berlaku kepada 'The Young Turks'-remaja Turki yang berani menentang kejumudan kesultanan Uthmaniyah untuk memodenkan negara mereka. Di Malaysia contohnya, semasa muda sebagai mahasiswa, Anwar Ibrahim dan rakan-rakan menentang dasar kerajaan atas dasar keperimanusian keperitan dan kesusahan hidup penoreh getah di Baling, Kedah. Remaja-remaja di atas adalah contoh remaja-remaja yang sedang menempuh semangat penerokaan zaman remaja. Remaja ini juga mempunyai idealisme dalam perjuangan mereka.

Tidak kira samaada condong ke kiri atau ke kanan, ke arah kebatilan atau kebenaran, idelisme akan terus membara dan menyala dalam diri remaja yang inginkan kebaikan untuk diri, keluarga dan masyarakatnya. Bagi mereka yang kematian idelisme akan terjerumus dalam kancah hedonisme iaitu hidup semata-mata untuk hiburan dan bersuka-suka. Walaupun golongan hedonisme ini mudah dikawal, tidak banyak karenah dan senang diperintah, namun sifat kepimpinan dan semangat perjuangan dikalangan mereka bagai sudah 'dikembiri'. Mereka ini sudah kematian wawasan dan hidup hanya untuk memenuhi kepentingan diri. Perbezaan manusia yang punya idelisme dengan mereka yang dirasuk hedonisme adalah jelas sekali. Demi kesinambungan generasi akan datang, kita mestilah memilih tergolong dalam manusia yang mempunyai idelisme.

Selalunya golongan idelisme di kalangan manusia berfikiran kritis, berjiwa berani dan adakalanya sedikit emosional. Besar kepala (degil) dan kepala besar (bijak) selalunya lazim kelaziman. Mereka yang berjiwa pemimpin selalunya mempunyai paradigma yang berbeza daripada kebanyakan orang. Hakikat inilah yang perlu disedari dan serasi dengan kita. Jangan setiap perbezaan dianggap pertentangan. Sebagai contoh, sewaktu anak remaja dalam proses transisi zaman kanak-kanak menuju alam dewasa, dalam pertarungan dalam diri antara mula inginkan kebebasan dan masih inginkan pimpinan, seorang ayah yang bijak akan lebih 'mendekati' kepada anaknya

Idealisme umpama air yang mengalir. Ia tidak boleh diempang, ditahan dan disekat. Jika dahulu warna idealisme condong ke arah sosialis, nasionalis dan komunis, kini warna itu kelihatan terarah kepada Islamik. Peralihan ini berkait rapat dengan arus kebangkitan Islam yang berlaku hampir di seluruh dunia. Kebangkitan dan penindasan umpama hukum daya (force). Apabila terdapat 'daya' yang menekan Islam di Kosovo, Bosnia, Kashmir, Selatan Thailand, Selatan Filipina dan lain-lain di pelosok dunia, akan terjadi satu daya yang bergerak. Ertinya Islam telah bangkit. Idealisme inilah yang memberi nafas baru kepada manusia yang tercari-cari prinsip dan pegangan hidup selama ini.

Perlu diingat idealisme bererti 'pencarian ke arah satu kesempurnaan'. Pencarian ini umpama aliran air yang tidak akan dapat disekat. Langkah terbaik ialah menyediakan saluran yang teratur untuk mengalirkannya. Ibu bapa perlu memanfaatkan semangat kritis di kalangan remaja masa kini untuk menyalurkan idealisme yang tepat. Di sekolah pula, idealisme perlu ditanamkan melalui matapelajaran sejarah, sivik dan kewarnegaraan, pendidikan agama Islam dan lain-lain. Mata pelajaran sejarah misalnya, janganlah semata-mata dihafal dan difahami pada aspek tarikh, kronologi peristiwa dan natijahnya sahaja. Namun sesuatu yang bersifat kefahaman dan penghayatan sepatutnya dipasakkan ke dalam minda dan jiwa pelajar.

Jika gagal berbuat demikian, tidak hairanlah jika idealisme akan kehilangan 'air dan baja' sewaktu diperingkat sekolah rendah dan menengah lagi. Akibatnya, tokoh pejuang, cendiakawan, ulama, pemimpin, sasterawan dan pendidik tidak 'hidup' dalam minda hati remaja. Lantaran kekosongan itu, minda dan hati remaja dengan mudah diisi oleh celebriti-celebriti terkenal di kalangan bintang filem, penyanyi dan ahli sukan. Anasir-anasir hedonisme dengan cepat mendominasi elemen-eleman hedonisme.

Pada peringkat itu, remaja telah mengalami satu 'kehilangan' dalam hidup. Sama ada mereka sedari atau tidak, mereka sebenarnya telah kehilangan role model untuk diteladani. Apa yang tinggal hanyalah idola untuk dipuja dalam khayalan cinta ataupun angan-angan remaja. Bagi yang 'happy go lucky' terus 'terbius' dengan cara hedonisme. Namun bagi mereka yang serius dengan hidup, akan terus mencari dan mencari.

Dalam pencarian inilah mereka bertemu dengan Islam yang sebenar. Islam bukanlah satu jalan 'escapisme' tetapi ia adalah wadah tempat kembali semua fitrah tabi'e manusia yang sentiasa tercari-cari Pencipta-nya. Manusia hanya akan menemui kesempurnaan hakiki apabila dia menginsafi ketidak-sempurnaannya di hadapan Yang Maha Sempurna, Allah SWT. Idealisme inilah yang sepatutnya menjadi matlamat setiap manusia.

Sumber rujukan:
1. Penipuan Revolusi, Harun Yahya, Saba Islamic Media, Mei 2002
2. Majalah Cahaya, JAKIM, Disember 2000.
3. Dewan Siswa, DBP, April 2009

Baca selengkapnya...

Saturday, November 14, 2009

All the best for you guys.....

0 comments
To all my applied science students from 5 KFL and 5 AUTO, i would like to wish you all the best and good luck for your coming SPM examination.

Hopefully your dreams will comes true. May all your effort and difficulties that have been tested since the early of 2009 will be paid as good result in your SPM.

Good luck!

Baca selengkapnya...

Thursday, November 12, 2009

Kepentingan menuntut ilmu dari perspektif Islam

0 comments
Ilmu adalah sesuatu yang penting pada masa kini. Orang yang menguasai ilmu adalah orang yang paling beruntung dan mampu mencorakkan kehidupan diri sendiri dan orang lain. Tanpa ilmu, manusia akan hidup dalam kesusahan, kepayahan, keperitan, penderitaan, ditindas dan dihina. Oleh sebab itu, Islam mewajibkan setiap umatnya menuntut ilmu, mendalami ilmu dan seterusnya menguasai ilmu. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Menuntut ilmu itu wajib ke atas orang Islam lelaki dan perempuan" (HR Ibnu Majah).

Tanpa ilmu sama ada ilmu duniawi mahupun ukhrawi, kita akan terus ketinggalan dalam arus kehidupan pada hari ini. Tidak boleh tidak, kita yang bergelar individu muslim perlu menuntut ilmu sebanyak-banyaknya agar kita dapat mengubah nasib kita dan saudara seagama kita yang lain ke arah kehidupan yang lebih sempurna dan selesa. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sesiapa yang mengkehendaki dunia hendaklah berilmu. Sesiapa yang menghendaki akhirat, hendaklah berilmu; dan sesiapa yang menghendaki kedua-duanya maka hendaklah berilmu." (HR Bukhari dan Muslim). Oleh itu, selagi badan kita masih kuat dan otak kita masih cergas dan cerdas, adalah lebih baik kita gunakannya untuk mendalami ilmu.

Jangan disia-siakan usia yang ada dengan melakukan perbuatan yang merugikan masa depan. Tabiat suka membuang masa, asyik berhibur dari pagi ke malam, terlibat dengan gelaja yang kurang sihat, mengambil dadah dan sebagainya, ia akan hanya menjerumuskan diri kepada sebuah kehidupan yang melarat, merempat dan hina pada masa depan. Hal ini berlaku disebabkan ketiadaan bekalan ilmu untuk masa tua. Ketika mana orang lain sibuk menimba ilmu, mereka pula sibuk menjahilkan diri. Akibatnya perkembangan kehidupan mereka akan menempuh pelbagai kegagalan dan kekecewaan. Itulah natijah bagi mereka yang memilih jalan salah pada usia mudanya.

Golongan pendidik dan remaja harus mengutamakan ilmu pengetahuan kerana ia satu kewajipan kepada setiap umat Islam, Orang yang berilmu bukan sahaja mendapat sanjungan manusia, bahkan dipandang mulia oleh Allah SWT. Firman Allah dalam surah al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud:"Allah mengangkat orang beriman di kalangan kamu dan orang berilmu beberapa darjat."

Kecenderungan manusia mutakhir ini mendapatkan sanjungan dan pujian masyarakat sehingga sanggup melakukan perkara yang dilarang oleh agama seperti berpelukan antara lelaki dan perempuan, mengabaikan sembahyang dan sebagainya perlulah dijauhi. Apalah sangat nilai pujian dan sanjungan manusia sekiranya dalam masa yang sama menanggung kebencian dan kemurkaan Allah SWT.

Kita perlu ingat, dengan mencari keredhaan Allah SWT nescaya keredhaan dan sanjungan manusia akan menuruti kita. Demikian juga sebaliknya, jika kita utamakan pujian dan sanjungan manusia daripada perintah agama, maka kemurkaan dan kebencian Allah akan menimpa kita. Orang yang banyak ilmu di dada adalah orang yang makin dekat dan takut kepada Allah SWT tidak kira ilmu dunia atau ilmu akhirat. Firman Allah dalam surah al-Fatir ayat 28 bermaksud: " Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang yang berilmu." Lantaran itu, orang yang benar-benar berilmu adalah orang yang semakin kurang melakukan dosa dan maksiat kepada Allah SWT. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa golongan yang terjerumus ke dalam gejala sosial adalah mereka yang kurang berilmu. Ini kerana orang yang berilmu tidak akan melakukan perkara dan perbuatan yang sia-sia dan merugikan seperti itu. Oleh itu, janganlah kita sekali-kali mengabaikan ilmu. Tambahan pula, tanpa ilmu di dada, tiada siapa yang rugi melainkan diri sendiri dan kaum keluarga. Sanggupkah kita menggadai maruah diri dan keluarga jika kita seorang yang berilmu?

Bagaimanakah orang yang berilmu boleh mendapat kedudukan dan martabat yang tinggi di sisi Allah SWT?

Jawapan untuk soalan di atas ialah kerana kelebihan dan rahmat menuntut ilmu itu sendiri. Sabda Rasulullah SAW bermaksud:"Sesiapa yang berjalan di suatu jalan untuk menuntut ilmu, Allah menebus dosa-dosanya yang telah lalu." (HR Ibnu Majah)

Sabda baginda lagi bermaksud: "Sesiapa yang berjalan di suatu tempat jalan untuk menuntut ilmu pengetahuan, Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga." (HR Muslim). Berdasarkan hadis ini, jelaslah kepada kita betapa besarnya fadhilat dan kelebihan yang diperolehi oleh mereka yang menuntut dan menimba ilmu. Sehinggakan diampun segala dosa-dosa yang lalu dan dipermudahkan jalan menuju ke syurga. Oleh itu amat beruntunglah mereka yang tidak mensia-siakan usia mereka di dunia, sebaliknya digunakan segala masa, tenaga, wang ringgit dan kekuatan tubuh badan untuk menimba ilmu sebanyak-banyaknya.

Bangsa yang tidak berilmu adalah bangsa yang mundur, pendidik yang kurang berilmu menjadi statik dan tidak bergerak corak pemikirannya, remaja yang tidak berilmu pula adalah remaja yang tidak menyumbang apa-apa, baik untuk diri sendiri, keluarga, masyarakat mahupun negara.

Lantaran mengelakkan diri dari menjadi statik dan merugikan orang lain, tuntutlah ilmu walau di mana sahaja kita berada. Terlalu banyak sumber ilmu di negara yang kita cintai ini boleh diperolehi melalui kuliah-kuliah di masjid-masjid, sekolah, toko buku dan sebagainya. Janganlah kita hiasi diri kita dengan kejahilan, kemuduran dan kegagalan.

Akhir sekali, jangan biarkan hidup kita terus tertindas, ketinggalan dan merana, sebaliknya kita berupaya mengubahnya dengan bekalan ilmu dunia dan akhirat. Tanpa ilmu, wang ringgit yang banyak akan hilang sekelip mata. Tanpa ilmu, badan yang kuat dan sihat bertukar menjadi sakit dan derita. Sebaliknya dengan ilmu, harta yang sedikit boleh bertambah berganda-ganda. Dengan ilmu juga, cacian bertukar kepada kepujian, kesusahan bertukar kepada kesenangan dan kemaksiatan bertukar kepada ketakwaan.

Renung dan fikirkanlah......

Sumber rujukan:
1. Tafsir al-Quran
2. Majalah Cahaya, JAKIM, November/Disember 2006, Artikel oleh Mohd Zamir b Bahall.
3. Sairus Salikin, Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, Kelebihan menuntut ilmu.

Baca selengkapnya...

Tuesday, November 10, 2009

Tokoh Maal Hijrah Yang Pertama

2 comments
Alhamdulillah, bersyukur saya kepada Allah SWT kerana dipermudahkan dan diberikan kelapangan masa untuk berkongsi maklumat bersama dengan rakan pengunjung sekalian.

Apabila umur semakin meningkat, saya teringat saat-saat indah sewaktu dalam tempoh mencari kerja selepas tamat melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Dalam tempoh tersebut saya mempunyai banyak masa untuk menghadiri kuliah-kuliah pengajian di masjid sekitar Sg Petani dan utara Pulau Pinang. Antara kuliah pengajian yang tak pernah saya tinggalkan pada waktu ialah kuliah pengajian Ustaz Hj Shamsuri Hj Ahmad di Masjid Bakar Arang, Sg Petani. Ustaz memilih untuk membaca kitab Bahrul Mazi (Lautan Ilmu) karangan ulama melayu yang hebat iaitu Al-Syeikh Muhammad Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi. Untuk pengetahuan rakan-rakan pengunjung kitab Bahrul Mazi adalah antara kitab tulisan melayu jawi yang terawal dihasilkan dalam dunia melayu selepas kemerdekaan Tanah Melayu.

Setelah tamat mengambil kursus diploma perguruan di Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang, Alhamdulillah saya ditempatkan untuk mengajar di Padang Rengas dan kebetulan berdekatan dengan tempat penulis kitab Bahrul Mazi. Hampir setiap minggu saya akan melalui kawasan tanah perkuburan Syeikh Muhammad Idris dan saya berdoa semoga roh Syeikh Muhammad Idris tergolong dikalangan orang-orang yang soleh. Amin

Siapa dia Al-Syeikh Muhammad Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi?

Al-Syeikh Muhammad Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi dilahirkan pada tahun 1893 dan merupakan anak kepada Haji Abdul Rauf bin Jaafar berketurunan Minangkabau dan Asma' binti Abdul Karim berasal dari Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, Perak. Kedua-dua ibubapa beliau berhijrah ke Mekah selepas berkahwin pada awal tahun 1890-an untuk mengerjakan ibadat haji dan menuntut ilmu pengetahuan. Sifat bapanya yang suka berhijrah di samping cekal menuntut dan menjana ilmu tertumpah kepada anaknya yang dilahirkan di tanah suci dan membesar serta mendapat bimbingan dalam suasana keilmuan kerana berada di Makkah dan Madinah.

Al-Syeikh Muhammad Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi membesar dalam sebuah keluarga yang mengandungi 8 orang adik beradik dan beliau adalah anak yang sulung. Beliau menghabiskan zaman remaja dan mudanya di Makkah dalam suasana keilmuan khususnya mendalami pembelajaran ilmu al-Quran, ilmu Nahu, Saraf, Balaghah, Usuluddin, Fekah, Hadis, tafsir dan Tasawwuf.

Ketika berumur 20 tahun iaitu pada tahun 1913, beliau dan keluarganya kembali ke Tanah Melayu dan menetap di Lubuk Merbau, Kuala Kangsar. Nama "al-Marbawi" adalah gelaran yang diambil dari nama kampung Lubuk Merbau. Sejurus selepas kembali dari Makkah dan di atas semangat keilmuan yang tinggi, Al-Syeikh Muhammad Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi memasuki sekolah Melayu Lubuk Merbau untuk mendalami dan menghayati bahasa dan persekitaran Melayu walaupun umurnya agak lanjut bagi tujuan berkenaan. dalam tempoh 10 tahun selepas kembali dari Makkah, beliau berhijrah dari sebuah pondok ke pondok yang lain iaitu memasuki pondok Syeikh Wan Muhammad di Bukit Chandan, Kuala Kangsar; Pondok Tuan Hussin al-Mas'udi di Kedah; Pondok Syeikh Ahmad Fatani di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan Pondok Tok Kenali di Kelantan. Pondok-pondok ini dipilih oleh beliau disebabkan kemasyhuran dan pengiktirafan terhadap guru-gurunya. Malahan beliau pernah mengungkapkan bahawa ilmu pengetahuan guru-guru yang mengajar di pondok Tok Kenali adalah setanding dengan pengetahuan mereka yang mengajar di Masjidil Haram.

Keluarga dan Keperibadian

Al-Syeikh Muhammad Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi mempunyai perwatakan yang pendiam, lemah lembut dan suka meraikan tetamu atau kawan. Antara tetamu yang pernah mengunjunginya semasa di Mesir ialah Profesor Hamka dan Pak Sako. Kehidupan beliau cukup sederhana dan sentiasa merendah diri. Al-Syeikh Muhammad Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi mewarisi sifat dan keperibadian kedua orang tuanya yang terkenal alim dan berjiwa pendakwah. Pada usianya 10 tahun, beliau telah berjaya menghafal 17 juzuk al-Qur'an dan beberapa buah kitab muktabar. Ketajaman fikiran beliau membuktikan beliau tergolong dalam kelompok manusia yang cerdik pandai.

Beliau berkahwin sebanyak tiga kali iaitu pertamanya dengan Hajjah Khadijah binti Mohd Adham yang dikahwininya kira-kira setahun sebelum berangkat melanjutkan pelajaran ke Mesir. Perkongsian hidup dengan Hajjah Khadijah mereka telah dikurniakan dengan 10 orang anak. Namun 9 orang anaknya meninggal dunia ketika masih kecil iaitu 8 orang ketika berumur antara satu hingga dua tahun, dan seorang yang bernama Ahmed meninggal ketika berusia 10 tahun. Kesemua anaknya meninggal di Mesir. Hanya seorang anak beliau iaitu Hajjah Mariam yang kembali ke Malaysia bersama ibunya dan menetap di Malaysia sejak tahun 1960. Al-Syeikh Muhammad Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi juga dikatakan berkahwin dengan seorang wanita Arab, tetapi perkahwinan tersebut hanya kekal kira-kira tujuh tahun. Perkahwinan seterusnya ialah dengan Munirah binti Abdul Wahab, seorang wanita berbangsa Mesir dan dari kedua-dua perkahwinan ini, beliau tidak mempunyai anak.

Kerjaya dan melanjutkan pelajaran

Selepas Al-Syeikh Muhammad Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi menamatkan pengajian di beberapa buah pondok seperti yang disebutkan tadi, beliau ditawarkan bekerja sebagai guru agama di salah sebuah sekoah di Perak. Kemudian pada tahun 1924, beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti al-Azhar di Mesir. Kepandaian beliau terserlah apabila beliau berjaya memperoleh pencapaian tertinggi dari universiti itu

Semasa berada di Universiti al-Azhar, Al-Syeikh Muhammad Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi melihat masalah dalam kalangan pelajar-pelajar Melayu yang sukar bertutur dan memahami bahasa Arab. Beliau mengambil langkah dengan menyusun sebuah kamus Arab-Melayu bersama-sama lima orang rakannya yang lain. Namun, pada pertengahan jalan dalam penulisan kamus itu, seorang demi seorang rakan-rakannya menarik diri.

Penarikan diri oleh rakan-rakannya itu tidak mematahkan semangatnya dalam menerbitkan kamus Arab-Melayu. Berkat usahanya yang gigih, pada tahun 1927 sebuah kamus Arab-Melayu berjaya diterbitkan dengan judulnya Qamus al-Marbawi. Kamus ini cukup terkenal dan mendapat sambutan ramai hingga penerbitnya terpaksa mengulang cetak berpuluh-puluh kali.

Sumbangan kepada Nusantara dan Alam Melayu

Jasa dan sumbangan besar Al-Syeikh Muhammad Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi ialah dalam membentuk minda umat Islam khususnya umat Melayu Islam di Nusantara terhadap kecintaan kepada ilmu bahasa Arab. Qamus al-Marbawi sehingga kini masih dianggap kamus terbaik untuk memahami bahasa Arab.

Kejayaan dalam menghasilkan kamus Arab-Melayu menjadi batu loncatan bagi diri beliau untuk terlibat secara aktif dalam penghasilan karya-karya ilmiah yang lain. Antara hasil tulisan beliau ialah:
(a) Kitab Bahrul Mazi
merupakan sumbangan terpenting dalam pengajian ilmu hadis di Malaysia. Kitab ini adalah ringkasan kepada sunan al-Tirmizi.
(b) Menterjemahkan Bulugh al-Maram
Kitab ini adalah karya tokoh hadis yang terkenal iaitu Ibn Hajar al-Asqalany. Kitab ini diterjemahkan sepenuhnya dalam bahasa Melayu tulisan jawi.
(c) Ringkasan Qamus Melayu-Arab bergambar dan Teladan Belajar Bahasa Arab yang senang.
(d) Qamus Penuntut
(e) Tafsir Surah Yaasin
(f) Tafsir al-Fatihah
(g) Tafsir al-Qur'an al-Marbawi
(h) Nizam al-Hayat
(i) Asas Islam (Usul al-Islam)
(j) Tafsir al-Qur'an Nur al-Yakin
(k) Quran bergantung Makna
(l) Kamus segala ilmu
(m) Mu'jam al-Ka'inat
(n) Punca Ugama
dan banyak lagi untuk saya sebutkan disini.

Bakat penulisan Al-Syeikh Muhammad Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi bukanlah setakat menghasilkan karya dalam pelbagai bidang pengajian Islam, malah beliau turut dikenali sebagai penggerak kepada kesedaran ummah untuk sama-sama berjuang memperoleh kemerdekaan daripada penjajah.

Sumbangan beliau dalam bidang agama dan persuratan Arab-Melayu adalah terlalu besar untuk dihitung. Pada 5 Julai 1980, beliau dianugerahkan ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia. Kemudian pada 1 Muharam 1408H/1987M, beliau dianugerahkan gelaran Tokoh Ma'al Hijrah 1408 iaitu sebagai penerima pertama apabila anugerah ini diadakan. Semasa menerima anugerah beliau berkata: "Aku menulis bukan untuk anugerah, penulisanku hanya kerana Allah SWT"

Penutup

Sikap Al-Syeikh Muhammad Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi yang terlalu cintakan serta dan dedikasi terhadap ilmu pengetahuan sehingga ke akhir hayat telah memartabatkan diri beliau bukan sahaja di Malaysia malah menjangkau di seluruh Nusantara seperti di Selatan Thailand, Selatan Filipina, Indonesia dan Singapura.

Dengan meninggalkan harta yang amat bernilai kepada kita semua umat Melayu di Nusantara, Al-Syeikh Muhammad Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi kembali menemui Allah SWT pada pukul 8.40 pagi di Hospital Besar Ipoh ketika berusia 96 tahun pada tarikh 14 Rabiul Awal 1410 bersamaan 13 Oktober 1989. Jenazah beliau dikebumikan di Kampung Lubuk Merbau, Kuala Kangsar bersebelahan dengan pusara isterinya Hajjah Khadijah Mohd Adham.

Semoga roh Al-Syeikh Muhammad Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi sentiasa dicucuri rahmat oleh Allah SWT.

Marilah sama-sama kita menghadiahkan al-Fatihah untuk Al-Syeikh Muhammad Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi sempena 20 tahun kepulangan beliau menemui Allah. Al-Fatihah.

Sumber rujukan

1. 50 Tokoh Islam Yang Mengubah Dunia; Ahmad Amri Zainal Adnan dan Nurasyikin Ahmad; PTS Milennia Sdn Bhd. 2009
2. Majalah Cahaya;November/Disember 2006; Jabatan Kemajuan Islam Malaysia; m/s 29-30.
3. Kitab Bahrul Mazi.
4. Qamus al-Marbawi.

Baca selengkapnya...
 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--