Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Allah Tuhan sekalian Alam kerana dengan limpah rahmatnya kita dapat meluangkan masa untuk berada di alam siber ini. Bagi mereka sentiasa berfikir sesungguhnya kekuasaan Allah Subhanahu wata'ala adalah Maha Agung dan Maha Besar dalam mentadbir alam yang dengan cukup sempurna dan tiada sebarang kecacatan serta celanya.
Selawat dan salam ke atas sebaik-baik manusia yang sentiasa namanya di bibir kita, Nabi Muhammad Shallalahu 'alaihi wasalam, keluarganya serta para sahabat baginda, para tabi'in, para tabi' tabi'in yang telah bersusah payah memperjuangkan Islam untuk kita nikmati pada zaman ini.
Salah satu daripada hikmah pensyariatan solat ialah melalui solat ianya dapat menghasilkan suatu tindakan yang akan memndekatkan kepada matlamat kita iaitu mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wata'ala.Begitulah hebatnya hikmah disebalik solat.
Maka melalui intipati inilah orang-orang Jepun mencipta budaya kerja "5S" iaitu SEIRI-sisih, SEITON-susun, SEISO-sapu, SEIKETSU-seragam, SHITSUKE-sentiasa amal. Inilah kaedah yang diamalkan dalam sistem kerja orang-orang Jepun tanpa menyedari ianya sebenarnya lahir dari hikmah pensyariatan solat.
Semalam (24 April 2010), SM Teknik Kuala Kangsar telah dengan jayanya melancarkan program "5S" di sekolah. Program ini adalah untuk memupuk budaya kerja yang bersih dalam persekitaran bengkel di SM Teknik Kuala Kangsar.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh al-fadhil ustaz Khairol Anwor bin Ismail. Disusuli dengan ucapan dari Tuan pengetua dan seterusnya ucapan perasmian oleh YDP PIBG SM Teknik Kuala Kangsar, Tn Hj Nori b Tn Hj Hussin. Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil perlantikan kepada guru-guru berkenaan. Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada pelajar yang berjaya dalam acara kuiz 'Amalan 5S".
Semoga dengan bermula program "5S" ini, budaya bersih dapat diterapkan di dalam persekitaran bengkel di SM Teknik Kuala Kangsar.
Sepertimana yang saya katakan di atas, antara hikmah pensyariatan solat 5 waktu ialah melahirkan seorang individu yang mempunyai mentaliti yang berminda super. Tambahan pula antara solat 5 waktu itu, solat subuh mempunyai nilai yang amat istimewa. Jika kita mampu mendirikan solat subuh secara berjamaah, maka kita akan digeruni oleh pihak musuh kerana kekuatan nilai yang tak mampu digambarkan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh sahabat yang mahsyur, Abu Hurairah RA, Baginda Rasulullah SAW bersabda:"Kalaulah manusia tahu tentang kelebihan yang ada pada azan dan saf yang pertama, kemudian mereka tidak memperolehinya melainkan cabut undi nescaya mereka akan membuat undian untuk mendapatkannya, dan kalaulah mereka tahu tentang fadhilat solat isyak dan subuh nescaya mereka akan pergi bersolat berjamaah walaupun dalam keadaan merangkak".
Maka bertitik tolak dari hadis inilah, saya dan beberapa orang rakan sedaya upaya cuba menerapkan budaya soalat subuh berjamaah di asrama sekolah. Kerana kita yakin hanya mereka yang bersolat subuh secara berjamaah mempunyai minda yang berkualiti dan kelas pertama.
Alhamdulillah, program ini sudahpun masuk ke kali yang kedua dan sudah menampakkan ada nilainya. Pelajar nampaknya lebih menghargai solat wajib pada waktu yang lain. Mungkin inilah salah satu daripada kebekatan solat subuh secara berjamaah.
Saya teringat akan kata-kata Dr Richard Carlson dalam bukunya menasihati kita, "Ingatlah perjalanan sejauh 1000 kilometer bermula dengan langkah pertama. Kadangkala kita hendak memulakan sesuatu yang baru mungkin terasa berat sekali. Kadang-kadang terasa mungkin kita tersilap langkah. Tapi sebenarnya jangan kita cepat cemas kerana jika tidak kita bermula dari sekarang mungkin pada tahun hadapan kita berada di tempat yang sama.."
Hanya dengan menjaga solat, kita akan mampu mengembalikan roh Muslin dalam diri setiap remaja seperti sebuah rangkap tulisan Sayyid Abul Hassan Ali An-Nadwi "Seorang Muslim mesti akrab dengan solat. Seorang Muslim harus menganggap solat sebagai teman sejati yang membantu mendapatkan jalan keluar ketika kesulitan datang menghimpit"
Akhirnya janganlah kita lupa untuk menunaikan 5S yang telah disyariatkan kepada kita walaupun kita sibuk dengan 5S dari negara Jepun......
Wallahu 'alam.....
13 years ago
0 comments:
Post a Comment