Saturday, July 31, 2010

Kejohanan PSKPP kali ke-38 negeri Perak

0 comments
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Subhanahu wata'ala, Tuhan yang telah memberikn kepada kita nikmat kesihatan tubuh badan dan memanjangkan umur kita serta memberikan kekuatan kepada kita untuk melakukan perkara yang kita senangi dengan jayanya. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Shallalahu 'alaihi wasalam yang telah bertungkus lumus menebarkan dakwah sehingga mampu dikecapi kita di benua Nusantara ini.

Sepatutnya entri ini saya masukkan pada minggu lepas iaitu sebaik sahaja kejohanan PSKPP peringkat negeri Perak tamat. Namun kerana kekangan masa dan kesibukan menguruskan rutin hidup sepanjang minggu tidak sempat saya memuatkan artikel ini.

Kejohanan PSKPP Negeri Perak 2010 pada tahun ini dianjurkan oleh Pejabat Pelajaran Kinta Selatan. Kejohanan ini berlangsung selama 3 hari iaitu bermula dari 23 hingga 25 Julai bertempat di Kolej Matrikulasi Perak, Gopeng



Sejak saya mula menyertai kemeriahan kejohanan PSKPP pada tahun 2006 saya bermula dengan sukan bola tampar. Tugas sebagai pengurus pasukan telah saya pikul selama 3 tahun dengan bantuan Saudara Zairol Anuar Omar. Nyata keinginan untuk mnjadi pemain lebih mengatasi daripada menjadi pengurus. Mengeluarkan peluh di tengah padang adalah satu pengalaman dan saat yang indah. Justeru pada tahun ini saya beralih arah dengan bermain hoki. Hoki merupakan sukan ketiga kegemaran saya di sekolah. Waktu sekolah dahulu pernah mewakili sekolah untuk pasukan bawah 15 tahun. Jadi pengalaman yang lampau mungkin dapat mambantu saya ketika bermain dalam kejohanan PSKPP pada tahun ini.



Gelanggang permainan yang disediakan oleh pihak penganjur agak jauh dari Kolej Matrikulasi iaitu di SMK Datuk Bendahara CM Yusuf, Tanjung Tualang. Tanjung Tualang merupakan pekan yang tidak pernah dikunjungi oleh saya. Ia tentu suatu pengalaman yang manarik bila berada disana.



Perlawanan pertama pasukan hoki PSKPP Kuala Kangsar ialah bertemu dengan PSKPP Manjung. Kuala Kangsar menang dengan jaringan 1-0. Perlawanan kedua dengan PSKPP Perak Tengah berkesudahan dengan seri 0-0. Perlawanan ketiga dengan PSKPP Larut Matang Selama berkesudahan dengan 1-0 hasil jaringan bekas rakan serumah saya Saudara Zamzuraimi Darus.

Keputusan tersebut melayakkan pasukan Kuala Kangsar ke peringkat separuh akhir bertemu dengan PSKPP Batang Padang. Keputusannnya kami tewas dengan 1-0. Dalam penentuan tempat 3-4, pasukan Kuala Kangsar berjaya menewaskan PSKPP Perak Tengah dengan 1-0. Ini bererti pasukan hoki Kuala Kangsar pada tahun 2010 berjaya menduduki tangga ketiga dalam kejohanan PSKPP negeri Perak 2010.

Tanhiah diucapkan kepada rakan-rakan sepasukan sekalian. Namun pada tahun ini saya kehilangan seorang rakan dari sukan bolatampar iaitu Mohammad Ee Abdullah yang mengalami sesak nafas dan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Amin....

Hidup dan mati adalah ketentuan Tuhan yang maha Esa. Kita sebagai manusia mestilah mempunyai perjuangan untuk melayakkan kita menjadi manusia yang berguna di muka bumi ini..

Wasalam

Baca selengkapnya...

Friday, July 30, 2010

Ramadhan tetamu yang dinanti...

0 comments
Alhamdulillah bersyukur saya ke hadrat Allah Subhanahu wata'ala kerana dengan limpah rahmatnya mampu saya meluangkan masa untuk mencatatkan sesuatu di dalam blog ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Shallalahu 'alaihi wasalam pembawa obor menerangi seluruh alam.

Semasa kecil saya mengenali Ramadan hanya sebagai bulan puasa yang di dalam bulan itu terdapat sesi mengikat tekak dan perut dengan berlapar dahaga dari waktu selepas sahur hinggalah waktu berbuka. Mungkin juga pada ketika itu saya berpuasa hanya kerana melihat ahli keluarga dan orang disekeliling membuat perkara yang serupa ditambah dengan pelbagai umpan juadah ketika hendak berbuka. Jadi mungkin puasa yang saya amalkan pada ketika itu dianggap sebagai satu budaya melebihi dari maksud agama.

Apabila menjejaki alam remaja hinggalah ke saat ini barulah saya sedar yang bulan Ramadhan adalah raja segala bulan dalam kalendar umat Islam sesuai dengan sejarahnya sebagai bulan turunnya al-Quran dan kitab-kitab terdahulu iaitu Zabur, Taurat dan Injil. Ilmu tentang Ramadhan ini bertambah apabila saya baru selesai membaca buku "Ramadan Tetamu yang Dirindui" tulisan ulama dan umarak, Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang.



Buku ini banyak menyedarkan saya lantaran menginsafi betapa selama 33 tahun ini saya belum cukup kenal dengan Ramadan dengan lebih dekat dan akrab. Kupasan oleh Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang walaupun hanya setebal 133 mukasurat tetapi cukup memuaskan hati saya. Sememangnya banyak buku di pasaran yang membicarakan tentang Ramadhan sebagai ibadah fardhu ain iaitu perkara ketiga dalam rukun Islam tetapi buku bersaiz mini B4 ini memberikan bab-bab bonus yang jika dihitung sebanyak 18 bab iaitu seperti Suai Kenal Ramadhan, Sejarah Puasa, peristiwa besar pada bulan Ramadhan, Puasa daripada perspektif Kesihatan, Puasa dari perspektif psikologi dan ganjaran bonus untuk orang berpuasa.

Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang menulis sejarah berpuasa bermula sejak Nabi Adam 'alaihissalam sebagai membayar kafarah dosanya kerana memakan buah larangan di dalam syurga. Sejarawan kemudiannya mengesahkan dapatan amalan puasa juga dilakukan oleh bangsa Mesir purba, Yunani, Romawi dan Hindu. Orang Yahudi da Quraisy sebelum kedatangan Rasulullah Shallalahu 'alaihi wasalam juga berpuasa pada hari Asyura.

Bulan Ramadhan juga selalu disinonimkan sebagai bulan istirehat. Berbetulan pula ulasan penulis pada mukasurat 1 dan 2 yang menerangkan asal perkataan Ramadhan ialah daripada perkataan Arab iaitu Ramadha (Ra-Mim-Dhad). Maksudnya ialah meletakkan senjata di antara dua batu bagi diasah supaya tajam dan berkilau. Menjadi kebiasaan kepada masyarakat Arab berperang pada bulan Syawal. Makanya pada bula sebelum itu, mereka mengasah senjata dan menghiasinya. Oleh itu mereka menamakan bulan itu dengan nama Ramadhan. Mungkin kerana sebab bulan istirehat inilah umat Islam pada awal zaman kebangkitannya bagai mendapat satu tenaga istimewa yang luar biasa walaupun dibakar terik matahari dan dihambur ribut kering padang pasir tak berair.

Bab 7 merupakan bab yang menarik untuk dihayati kerana dalam bab ini penulis memuatkan fakta-fakta sejarah tentang peristiwa besar yang berlaku di dalam bulan Ramadhan. Antara yang diungkapkan oleh penulis ialah peristiwa penurunan al-Quran sebagaimana yang tercatat didalam al-Quran pada ayat 185 surah al-Baqarah yang bermaksud "Beberapa hari yang ditentukan itu ialah bulan Ramadhan. Bulan yang diturunkan di dalamnya (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk untuk manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu pemisah antara yang benar dan salah.". Peristiwa penurunan al-Quran adalah peristiwa besar bagi umat manusia kerana ianya akan menandakan perlantikan dan pengisytiharan Rasul untuk menjadi pemimpin.

Dalam bab 7 juga, penulis menulis, pada hari Jumaat 2 Ramadhan tahun kedua Hijrah berlakunya perang pertama dalam Islam yang dikenali sebagai perang Badar. Tentera Islam seramai 313 anggota berjaya dalam berhadapan dengan 1000 tentera Musyrikin yang lengkap bersenjata. Allah Subhanahu wata'ala merakamkan kejayaan tersebut dalam surah Ali Imran ayat 123-125, "Sesungguhnya Allah menolong kamu dalam Perang Badar, sedangkan pada masa itu kamu orang yang lemah kerana itu bertakwalah kepada Allah supaya kamu mensyukurinya.".

Penulis juga memuatkan kisah yang berlaku pada tanggal 10 Ramadhan tahun kelapan hijrah dengan umat Islam berjaya memasuki kota Makkah tanpa menumpahkan darah kaum musyrikin yang melanggar perjanjian Hudaibiyyah. Pembukaan kota Makkah ini adalah makna kemerdekaan yang sebenar kerana ia tidak pernah dijajah takluk oleh Parsi, Rom, Inggeris, China, Perancis dan tamadun besar yang sezamannya. Segalanya tidak mustahil bagi Allah untuk memberi bantuan kepada orang-orang yang benar-benar bertakwa sebagaimana pernyataan Allah Subhanahu wata'ala dalam surah al-Fath ayat 1 yang bermaksud "Sesungguhnya kami memberikan kepadamu kemenangan yang nyata.".

Tahun kesembilan hijrah merakamkan banyak peristiwa yang boleh dijadikan iktibar. Penulis menceritakan tiga kisah penting iaitu Peristiwa perjalanan Nabi Muhammad dalam Peperangan Tabuk, Khalid al-Walid meruntuhkan berhala al-Uzza dan Penyerahan bandar Thaif. Peristiwa perjalanan Nabi Muhammad ke Tabuk amat penting dalam sejarah Islam kerana peristiwa ini menyerlahkan kekuatan ketakwaan kaum muslimin yang menyerahkan harta dan diri mereka untuk Islam. Mereka tidak sedikit pun beralasan mengelakkan diri dari menyumbang walaupun kemarau yang melanda membahang mereka. Sebalinya, mereka berlumba-lumba menyumbangkan harta masing-masing. Abu Bakar menyerahkan seluruh hartanya, Umar al Khatab menyumbangkan separuh daripada hartanya dan Uthman Affan menyumbangkan harta yang terlalu banyak hinggakan Rasulullah berdoa supaya Allah meredhainya. Manakala oran-orang yang tidak mempunyai harta menangis kerana tidak ada harta untuk disumbangkan. Peristiwa Khalid al-walid meruntuhkan berhala al-Uzza memberikan isyarat bahawa warisan jahiliyah perlu dihapuskan walaupun ia adalah warisan sejarah yang disanjung tinggi. Ini kerana tinggalan jahiliyah mampu merosakkan akidah yang menjadi asas kepada semua amalan Islam. Peristiwa penyerahan bandar Thaif juga berlaku dalam tahun ke-9 Hijrah. Bandar Thaif pernah mencatatkan sejarah apabila penduduknya menghalau Nabi Muhammad semasa beliau berdakwah disana. Juga peristiwa pembunuhan Urwah bin Mas'ud oleh penduduk Thaif. Walaupun pelbagai perkara yang tidak baik dilakukan oleh penduduk Thaif, Rasulullah tetap berdoa supaya Allah mengurniakan hidayah kepada Bani Thaqif. Akhirnya pada lima hari sebelum berakhirnya Ramadhan tahun ke-9 Hijrah rombongan mereka datang menyerahkan bandar Thaif sebagai menyerah dengan kebangkitan Islam. Sesungguhnya bulan Ramadhan adalah bulan rahmat dimana pemelukan Islam turut berlaku secara aman di Yaman pada bulan Ramadhan tahun ke-10 Hijrah.

Bulan Ramadhan juga bulan yang penuh dengan seribu satu keajaiban bagi kemenangan Islam sesudah kewafatan Baginda Rasulullah. Yang paling masyhur ialah pembukaan pintu Islam untuk ke benua Eropah dengan penaklukan Andalusia. Dengan hanya 12,000 kekuatan bala tentera Islam di bawah pimpinan Tariq bin Ziyad yang dihantar oleh Bani Umayyah untuk berhadapan dengan 100,000 tentera Gothik di tempat sendiri di bawah pimpinan Raja Roderick. Islam seterusnya bertapak selama lebih lapan abad bermula dari Semenanjung Liberia. Peristiwa penaklukan kota Andalusia ini berlaku pada 28 Ramadhan tahun 92 Hijrah.

Banyak lagi kisah-kisah kemenangan Islam yang menarik yang di bawa oleh Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang di dalam buku ini. Buku ini memang terlalu sesuai untuk di baca oleh semua rakan-rakan pengunjung kerana Ramadhan semakin hampir tiba. Kita sebagai pencinta agama Islam ini terlalu ingin melihat kemenangan berpihak kepada kita. Seharusnya kita menilai dan mentakrifkan semula komitmen kita kepada agama dengan bukan hanya dengan sekadar berpuasa dengan lapar dahaga dan kemudian berbuka dengan selera yang berlipat ganda. Jika kita inginkan kemenangan mohonlah kepada Allah supaya kita dapat bertemu dengan Ramadhan pada tahun ini dan jadikanlah Ramadhan pada tahun ini suatu Ramadhan yang indah yang tak pernah dibayangi oleh perasaan kita. InsyaAllah.....

Wasalam....

Baca selengkapnya...

Tuesday, July 20, 2010

Kejadian Masa Hadapan dalam al-Quran dan Hadis

0 comments
Alhamdulillah segala puji yang tertentu hanya bagi Allah Subhanahu wata'ala yang memberikan rahmat kesempatan masa untuk berada di alam siber ini. Salam dan selawat buat Rasul junjungan yang berjuang dengan terhadap pelbagai dugaan sehingga alam ini disinari dengan nur keindahan Islam.

Ketika dalam masa menghabiskan bacaan tentang sejarah kekhilafahan di bumi Turki saya tertarik dengan kisah seorang sahabat Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasalam yang namanya Abu Ayub al-Anshari. Kisah sahabat ini cukup unik kerana rumah beliaulah terpilih takkala Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasalam berhijrah ke Madinah sebagai tempat rehat. Dan pada akhirnya beliau (Abu Ayub al-anshari) meninggal dunia di bumi Turki. Mengapa beliau jauh dikebumikan dari kampung halamannya. Inilah yang dikatakan keunikan al-Quran serta hadis Rasulullah dan kekuatan keyakinan para sahabat memegangnya. Abu Ayub al-ashari begitu ingin menjadi sebahagian daripada orang yang berada di dalam hadis yang dikeluarkan oleh Imam Ahmad yang bermaksud "Sesungguhnya umatku akan menawan kota Konstantinople. Pemimpinnya adalah sebaik-baik pemimpin dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.".Lantaran dari keinginan untuk berada di dalam kelompok ini Abu Ayub al-Anshari menyertai tentera bani Umayyah walaupun usianya sudah lanjut. Inilah pada pandangan saya kekuatan Islam, dimana agama yang suci ini mengajar setiap penganutnya bermotivasi dan memandang ke hadapan.

Cerita yang saya kutip di atas menggambarkan sesuatu yang datang dari Rasulullah dan dari al-Quran adalah bersifat futuristik. Inilah antara keajaiban Islam. Sebagai contoh yang pertama, ayat 27 surah al-Fath menyampaikan khabar gembira bahawa umat Islam akan menakluki kota Makkah yang ketika itu masih di bawah kekuasaan orang-orang musyrikin. Firman Allah yang bermaksud "Sesungguhnya Allah akan membuktikan pada rasul-Nya tentang kebenaran mimpinya dengan sebenarnya (iaitu) bahawa sesungguhnya kamu pasti akan memasuki Masjidil Haram, InsyaAllah dalam keadaan aman, mencukur rambut dan kepala dan mengguntingnya, sedang kamu ketahui dan Dia memberikan sebelum itu kemenangan yang hampir (Penaklukan Khaibar)". Melalui penelitian yang terperinci, ayat ini seolah-olah mengumumkan satu lagi kemenangan yang akan terjad sebelum penaklukan kota Makkah. Apa yang berlaku memang seperti dinyatakan oleh Allah Subhanahu wata'ala iaitu kaum muslimin menakluki perkampungan Khaibar dan kemudiannya memasuki kota Makkah. Pemberitaan mengenai peristiwa ini akan terjadi di masa hadapan hanyalah sebahagian daripada keagungan di dalam al-Quran.

Sepotong ayat lain yang menarik mengenai peristiwa masa hadapan ialah ayat 1-4 surah ar-Rum. Firman Allah yang bermaksud "Alif, Lam, Mim. Telah dikalahkan bangsa Rom. Di tanah yang paling rendah di permukaan bumi, dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang dalam beberapa tahun. Bagi Allah lah urusan sebelum dan sesudah.". Ayat ini menyatakan bahawa Empayar Rom (Empayar Byzantin) akan menemui kekalahan yang besar tetapi kemudiannya ia mendapat kemenangan. Ayat ini diturunkan lebih kurang tahun 620 sebelum Masehi, hampir 7 tahun selepas kekalahan teruk kerajaan Kristian Byzantin di tangan penyembah berhala Persia. Tetapi ia didedahkan di dalam ayat tersebut bahawa kerajaan Byzantin akan mendapat kemenangan kembali dalam masa yang singkat.

Memang jika kita melihat kepada sejarah dunia apabila kekalahan yang begitu teruk dialami oleh kerajaan Byzantin, ada yang menjangkakan empayar Byzantin akan musnah malah ada yang ahli sejarah berpendapat adalah sesuatu yang mustahil untuk ia bangkit semula. Sehinggakan apabila ayat 1-4 surah ar-Rum ini didengar oleh kaum musyrikin Makkah, mereka mempersendakan ayat ini dengan beranggapan bahawa kemenangan yang dinyatakan oleh al-Quran itu tidak akan menjadi kenyataan.

Lebih kurang 7 tahun selepas ayat 1-4 surah ar-Rom diwahyukan, pada Disember 627 selepas Masehi, peperangan sengit di antara empayar Byzantin dan empayar Persia berlaku di Ninaveh, dan kali ini, askar Byzantin tidak disangka-sangka berjaya menewaskan tentera Persia. Beberapa bulan kemudian, kerajaan Persia telah membuat perjanjian dengan Byzantin, yang mewajibkan mereka menyerahkan kembali kawasan yang mereka rampas. Di akhirnya, kemenangan kerajaan Rom yang dinyatakan oleh Maha Suci Allah di dalam al-Quran menjadi kenyataan.

Begitulah hebatnya al-Quran jika kita mengkajinya......

Sumber:
1. www.HarunYahya.com
2. Majalah i Julai 2010.

Baca selengkapnya...

Thursday, July 15, 2010

Iqra' membina kecemerlangan tamadun

0 comments
Alhamdulillah bersyukur saya ke hadrat Allah Subhanahu wata'ala kerana dengan limpah rahmatnya mampu saya meluangkan masa di ketika ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Shallalahu 'alaihi wasalam. Dan juga berbanyak kuntuman doa khas buat seluruh pejuang Islam yang menempuh pelbagai dugaan sehingga agama yang suci ini dapat dikecapi oleh kita generasi di akhir zaman ini.

Perkataan iqra' ialah perkataan Arab yang membawa erti bacalah. Justeru itu perkataan ini menghasilkan suatu budaya membaca yang agung dalam sejarah kehidupan manusia. Daripada budaya membaca telah lahir tokoh-tokoh cendiakawan Islam yang besar dan masyhur seperti Abu Qasim al-Zahrawi, Ibn Haitam, Jabir Ibnu Haiyan, Ibn Sina, Ibn Rusyd, al-Farabi, al-Khawarizmi dan ramai lagi

Kebanyakan mereka bukan sahaja mahir dalam sesuatu bidang malah juga menguasai cabang-cabang ilmu yang lain. Ibnn Sina misalnya terkenal sebagai pakar perubatan juga mahir dalam bidang astronomi, fizik dan matematik. Abu Qasim al-Zahrawi diakui sebagai "The Father of Modern Surgery" juga pakar dalam ilmu kimia, matematik dan astronomi. Malah lebih mengkagumkan ialah kedua-dua mereka juga seorang hafiz al-Quran.

Itulah kecemerlangan peradaban tamadun Islam yang membina tamadun melalui kekuatan ilmu. Ia merupakan kesan lansung dari budaya iqra' yang menuntut umat Islam supaya sentiasa membaca, mengkaji dan menulis.



Benarlah janji Allah bahawa orang yang berilmu sama ada ilmu duniawi dan ukhrawi, fardhu ain atau kifayah tetap teristimewa dan berbeza daripada yang lain-lain sebagaimana firman-Nya dalam ayat 11, surah al-Mujadalah



"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi ruang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan"

Kata As-Syahid Syed Qutb dalam Fi Zilalil Quran "Tujuan ayat ini ialah menggalakkan kaum muslimin agar melapangkan hati sebelum melapangkan tempat kerana apabila gati seseorang itu lapang dan toleren, sikapnya akan turut lapang dan toleren."

Dalam Tafsir al-Munir, Dr Wahbah menerangkan ketika mengulas kalimah "Dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama" bahawa Allah menaikkan beberapa darjat ornag mukmin dan para ulama dari segi ganjaran pahala di akhirat dan mendapat sanjungan di dunia. Ketinggian di sisi Allah Subhanahu wata'ala dinilai dengan ilmu dan iman. Bukanlah dengan kedudukan di dalam majlis. Darjat orang mukmin diangkat dengan keimanannya terlebih dahulu kemudian dengan ilmunya.

Jadi jelaslah perkataan iqra' yang diturunkan dalam wahyu pertama melambangkan ilmu, yang terangkum di dalamnya makna membaca, menyelidik dan berfikir. Perkataan bismirabbika pula melambangkan keikhlasan. Jika ilmu yang terlambang dengan perkataan iqra' itu melambangkan asas tamadun umat dan tamadun dunia, maka ikhlas yang terlambang dengan kalimah bissmirabbika melambangkan jiwa dan roh tamadun tersebut.

Justeru untuk menjadi sebuah bangsa yang hebat dalam keilmuannya haruslah dipupuk budaya iqra' dan menjadikan ianya tradisi yang mantap dengan memiliki sikap yang positif. Kedua-dua kaedah ini pasti akan melahirkan satu bangsa yang meletakkan komitmen yang tinggi pada kesediaan berterusan untuk menerokai maklumat dan ilmu pengetahuan yang baru.

Marilah kita sama-sama berusaha memupuk budaya membaca kerana budaya membaca akan melahirkan budaya ilmu dan kesannya ialah pembangunan dalam masyarakat atau bangsa yang berorientasikan maklumat, pendidikan dan keilmuan..

Wasalam..

Baca selengkapnya...

Sunday, July 11, 2010

Mengimbau daulah khilafah yang hilang di bumi Turki

1 comments
Alhamdulillah bersyukur saya ke hadrat Allah Subhanahu wata'ala kerana dengan limpah rahmatnya mampu saya meluangkan masa untuk berada di alam siber ini dan berpeluang berkongsi pendapat dengan para pengunjung sekalian.

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Shallahu 'alaihi wasalam kerana sinar cahaya Islam yang di bawa baginda mampu dikecapi oleh kita generasi mutakhir ini. Pengorbanan para sahabat baginda serta seluruh pejuang Islam pada setiap zaman membuktikan kecekalan dan kewibaan mereka takkala kita melihat kembali sirah kedatangan Islam ke bumi Nusantara.

Hampir dua minggu saya tidak memuatkan entri terbaru dalam blog ini kerana pertama tidak mempunyai kesempatan untuk berbuat sedemikian dan keduanya saya terlalu asyik menghabiskan tiga buah buku yang membicarakan kisah tentang Negara Turki.

Sepertimana yang kita ketahui jika kita melihat peta dunia, negara Turki merupakan negara dua benua (Asia dan Eropah). Hakikat yang kita lupa ialah Turki bukan hanya tanah penyambung antara benua Asia dan Eropah tetapi Turki juga merupakan jambatan penghubung Nubuwwah dengan zaman kini. Semboyan Rasulullah Shallalahu 'alaihi wasalam tentang kejatuhan kerajaan Byzantine tercipta pada zaman Empayar Uthmaniyah apabila kota Constantinople jatuh ke tangan tentera Islam pada 29 Mei 1453M. Kini Constantinople menjadi Istanbul.

Keinginan untuk mengetahui hal-hal berkenaan dengan Turki bermula apabila saya mendengar kisah hidup tentang Sultan Muhammad al-Fatih, khilafah daulah Uthmaniyah yang menakluk Constantinople. Terasa teruja untuk melihat Turki dengan lebih jelas lagi. Lantara dari itu saya mencari buku berkaitan dengan Turki

Buku pertama yang saya baca ialah sebuah buku berbentuk catatan perjalanan kembara Ustaz Hasrizal Abdul Jamil di Bumi Turki. Untuk makluman saudara pengunjung Ustaz Hasrizal ini sebenarnya lebih dikenali dengan nama Abu Saif dan tuan empunya laman "saifulislam.com". Jika saudara ada membaca buku "Aku terima nikahnya" tentu mengenalinya. Buku "Secangkir Teh Pengubat Letih" mengisahkan pengalaman kembara Ustaz Hasrizal pada mengenal hati budi kenalan dan teman, perkongsian persaudaraan sepanjang berada di bumi Khilafah Uthmaniyah



Buku ini membicarakan tentang keadaan kehidupan masyarakat Islam Turki yang menerima pelbagai dugaan demi menegakkan syiar Islam di sebuah negara yang mengamalkan sistem sekular. Antara yang menarik yang terdapat dalam buku catatan Ustaz Hasrizal ini ialah perbezaan pemikiran masyarakat Islam Turki jika dibandingkan dengan masyarakat Islam Malaysia. Di Turki, rakyatnya begitu terperinci dalam melihat berita dan begitu prihatin tentang apa yang berlaku dalam persekitaranya. Ini berbeza dengan negara Malaysia, dimana ramai di antara kita yang mengambil sikap tidak peduli malah ada yang hampir tidak mahu lansung melihat perkembangan terkini berkaitan dengan negara.

Buku kedua yang saya baca ialah buku "Turki Negara Dua wajah, Pengkhianatan Ataturk terhadap Dunia Islam". Buku ini karangan As-Syahid Dr Abdullah Azzam, Seorang ulama’ yang memilih untuk hidup sebagai mujahidin, meninggalkan segala kesenangan hidup dan pendapatan yang lumayan. Kisah syahidnya diketahui oleh semua. Beliau akan terus menjadi qudwah kepada mujahidin dan pendakwah sepanjang zaman. Moga Allah menerima ruhnya dan menggantikan kepada umat ini mujahid seumpamanya.



Buku ini membicarakan bermula dari kejatuhan khilafah Uthmaniyyah, pentadbiran Mustafa Kemal Ataturk hinggalah keadaan Turki pada ketika ini. Sejak kejatuhan Empayar Khilafah Uthmaniyyah hasil komplot antara Kamal Ataturk dan penjajah Inggeris, Turki dicanangkan oleh Eropah sebagai model negara yang ideal bagi semua negara Islam yang terjajah. Hakikatnya, Ataturk telah menjauhkan Islam dari kepimpinanan hidup manusia. Buku ini mengupas seluruh daya usaha dan upaya gerakan Yahudi Internasional untuk meruntuhkan kekhilafahan Islam terakhir melalui bonekanya Musthafa Kamal Ataturk.

Buku yang ketiga berkenaan Turki yang menarik untuk dibaca ialah sebuah buku karangan seorang pelajar perubatan di Ireland saudara Jhaz Kitaro. Buku " Travelog Turki Bumi Khalifah" mengisah perjalanan kembara saudara penulis selama 13 hari di bumi Turki.



Menariknya buku ini ialah dilengkapi dengan gambar-gambar yang menarik sekitar lawatan saudara penulis di bumi Turki. Sesungguhnya bumi Turki kaya dengan khazanah tamadun Islam yang hebat. Melihat kepada ulasan dan penceritaan serta gambar-gambar yang dibawa oleh penulis membuktikan bahawa Turki merupakan sebuah empayar yang hebat. Memang ada logiknya seorang bangsawan British menyebut apabila soalan berikut diajukan kepadanya "Kenapa hanya Turki yang dimerdekakan, sedangkan negara-negara Arab yang lain masih dibawah pemerintahan kolonial?" Lord Curzon menjawab "Hakikatnya Turki telah dimusnahkan dan tidak akan bangkit lagi, kerana kita telah menghancurkan kekuatannya-Khalifah dan Islam".

Turki mempunyai sejarah yang gemilang. Namun harus diingat untuk mana-mana bangsa mencapai kegemilangan hanyalah dengan berformulakan kesolehan dan ketakwaan. Ini telah terbukti apabila bangsa Arab terleka kerajaan mereka digantikan oleh orang-orang Turki. Umat Melayu mampu memimpin dunia jika berteraskan formula kesolehan dan ketakwaan. InsyaAllah.....

Baca selengkapnya...
 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--