Wednesday, October 14, 2009

Langkah-langkah untuk memperkuatkan sistem pertahanan badan


Dalam dua catatan berkaitan dengan dengan pencemaran makanan oleh bakteria, telah diterangkan lebih dari 250 penyakit adalah disebabkan oleh makanan. Secara umumnya kita boleh mengelakkan jangkitan bakteria melalui makanan dengan mengamalkan cara hidup yang bersih seperti mengamalkan pengendalian makanan dengan cara yang bersih, sentiasa basuh tangan dan peka semasa memilih makanan.

Dalam catatan kali ini, saya ingin berkongsi pula langkah-langkah pencegahan dan perlindungan yang lebih menyeluruh menerusi sistem ketahanan badan.

Sistem ketahanan badan adalah komponen yang sangat kritikal pada tubuh manusia. Ia melindungi badan kita daripada serangan penceroboh seperti bakteria, kulat, virus dan menahan jangkitan penyakit berbahaya seperti kanser. Ia juga sangat berkesan dan mempunyai "daya ingatan" jangkitan-jangkitan sebelumnya dan bersedia menghadapinya pada masa depan. Namun, sama seperti mana-mana sistem badan, sistem ketahanan badan boleh merosot sekiranya tidak ada penjagaan yang rapi. Untuk memastikan ia berfungsi pada kadar optimum, langkah-langkah berikut bolehlan dijadikan panduan;

1. Makan dengan betul

Secara teorinya, ianya mudah; hanya makan makanan yang betul dengan secukupnya apabila lapar. Malangnya tabiat ini adalah sukar diamalkan kerana kita sering tertarik dengan pilihan makanan yang tidak berkhasiat. Kita makan mengikut perasaan dan emosi, atau tidak mengtahui sama ada ia makanan yang "betul". Oleh itu, tip-tip berikut boleh membantu:

(a) Jangan makan berlebihan

Makan berlebihan boleh menyebabkan kegemukan dan kegendutan dan membahayakan sistem ketahanan badan. Kajian yang dijalankan oleh saintis di Universiti of North Carolina at Chapel Hill School of Medicine telah menunjukkan kegendutan (obesity) menghalang sistem ketahanan badan daripada berfungsi dengan baik. Justeru, ini akan mengurangkan daya ketahanan terhadap jangkitan. Dalam kajian tersebut, tikus yang gendut didapati 50% kurang berupaya untuk membunuh virus selesema (influenza) berbanding dengan tikus yang biasa, dan penyelidik percaya bahawa keadaan ini sama dengan manusia.

(b) Pilih jenis makanan yang betul

Jenis makanan yang dipilih juga tidak kurang pentingnya. Terdapat beberapa jenis nutrien dan makanan yang boleh mempertingkatkan sistem ketahanan badan seperti;
(i) makanan yang kaya dengan Vitamin C seperti buah-buahan sitrus dan brokoli
(ii) makanan yang kaya dengan Vitamin E seperti kekacang dan bijirin
(iii) bawang putih
(iv) makanan yang kaya dengan zink seperti kekacang, ayam belanda, ketam, tiram dan daging lembu.
(v) makanan yang mengandungi bioflavonoid seperti yang terdapat dalam buah-buahan dan sayuran.
(vi) makanan yang kaya dengan karoten seperti lobak dan keladi.

Kadang-kadang kita juga boleh mengambil nutrien-nutrien ini dalam bentuk pil, tetapi pilihan makanan yang segar merupakan sumber vitamin dan mineral terbaik untuk badan. Pengambilan suplemen juga tidak boleh diserap dan digunakan dalam badan sebaik mungkin.

2. Bersenam selalu

Menurut President's Council on Physical Fitness and Sports (PCPFS), data daripada pelbagai kajian menunjukkan bahawa senaman yang kerap dan konsisten boleh mengurangkan pengambilan cuti sakit anda. Dalam tiga kajian yang berasingan yang diterbitkan dalam Research Digest PCPFS, wanita yang meluangkan masa 35 hingga 45 minit untuk berjalan kaki 5 kali seminggu selama 12 hingga 15 minggu mengalami pengurangan dalam cuti sakit berbanding dengan kumpulan kawalan yang kurang bersenam. Walaubagaimanapun, senaman juga tidak semestinya yang berat untuk mendapatkan kesihatan yang baik. Malah senaman yang sederhana mungkin mempunyai keputusan yang lebih baik. Satu kajian yang dijalankan oleh Medicine and Science in Sports and Exercise mendapati bahawa jangkitan respirasi lebih ketara di kalangan atlet semasa latihan yang berat. Oleh itu, dalam apa jua senaman yang anda buat, berikan perhatian pada badan anda. Jikalau anda tidak berkemampuan, jangan sesekali memaksa diri anda.

3. Dapatkan tidur yang secukupnya
Tidur yang cukup dapat meransang dan menguatkan sistem ketahanan, manakala kekurangan tidur mempunyai kesan yang sebaliknya. Menurut pengkaji corak tidur dalam jurnal Seminars in Clinical Neuropsychiatry, kesan buruk terhadap fungsi ketahanan yang ketara dapat selepas beberapa hari kita kekurangan tidur. Menurut National Institutes of Health in Amerika Syarikat, orang dewasa secara puratanya memerlukan 7-8 jam masa tidur. Untuk memastikan anda mendapatkan masa tidur yang berkualiti, elakkan dari minum minuman berkafein (seperti kopi dan teh), tembakau dan arak.

4. Menguruskan tekanan
Adalah tidak mungkin untuk menghilangkan semua tekanan hidup, tetapi bagaimana anda memilih untuk menghadapi tekanan boleh memberikan impak yang besar kepada kesihatan anda. Mengelak daripada menghadapi masalah dan tidak menyelesaikannya boleh menukarkan tekanan jangka pendek kepada tekanan kronik yang boleh menyebabkan masalah kesihatan. Menurut National Institutes of Health di Amerika Syarikat, hormon-hormon yang dilepaskan semasa tekanan kronik boleh meningkatkan risiko kegendutan (obesity), penyakit jantung, kanser dan pelbagai jenis penyakit yang lain. Hormon tekanan ini boleh berfungsi dalam dua cara, sama ada menghapuskan sel darah putih (yang melawan penyakit), atau menghidupkan sistem keimunan hiperaktif yang boleh meningkatkan risiko menghidap penyakit auto imun (auto-immune). Untuk itu luangkanlah masa untuk melepaskan stres beberapa kali seminggu seperti bersenam, berbual bersama rakan, berenang ataupun melakukan aktiviti yang anda gemari.

Sumber:
Buletin Pengguna, KPDNKK, Mei 2009

1 comments:

Cikgu Mahfuza Mahmud on October 16, 2009 at 10:04 PM said...

Ternyata akhirnya berbalik kepada cara hidup yang sihat.

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--