Monday, October 19, 2009

Pemimpin orang mukmin dalam ilmu hadis


Alhamdulillah bersyukur saya ke hadrat tuhan yang maha Esa kerana limpah kurnianya dapat saya meluangkan masa untuk menulis catatan berkaitan dengan seorang tokoh yang amat tinggi ilmunya dalam bidang hadis. Beliau yang saya maksudkan ialah Imam Bukhari atau nama sebenarnya Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Mughirah bin Bardizbah.

Ketokohan dan sumbangan ilmu Imam Bukhari dalam bidang ilmu hadis amat bermakna dan berguna sekali kepada seluruh umat Islam justeru itu Imam Bukhari digelar Amirul Mukminin fil Hadith.

Abad ketiga Hijriah merupakan waktu yang agak kucar kacir dalam dunia Islam di mana terlalu banyak hadis-hadis palsu dicipta oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk kepentingan peribadi masing-masing. Zaman ini dikenali sebagai zaman tabii' tabi'in (zaman mereka yang sempat berjumpa dengan mereka yang berjumpa sahabat Rasulullah SAW). Kalau dikira dari tahun kewafatan baginda Rasulullah SAW ianya kira-kira 200 tahun selepas kewafatan Rasulullah SAW.

Pada waktu ini juga muncul enam tokoh ulama pengumpul terkemuka hadis sahih. Mereka adalah tokoh-tokoh tang paling berjasa, terkenal dan termasyhur dalam mengumpulkan hadis. Mereka ialah
(a) Imam Bukhari
(b) Imam Muslim
(c) Imam Abu Daud
(d) Imam Tirmizi
(e) Imam Nasa'i
(f) Imam Ibn Majah

Ulama yang paling terkemuka kerana budaya kerjanya yang teramat sistematik ialah Imam Bukhari. Imam Bukhari dilahirkan di Bukhara, Uzbekistan, pada 13 Syawal tahun 194 H (810M) bertepatan pada hari Jumaat dan selepas solat Jumaat. Tidak lama selepas bayi yang baru lahir itu membukakan matanya, ia telah hilang penglihatan. Bapanya amat bersedih hati. Ibunya yang soleh menangis dan sentiasa berdoa kepada Allah memohon agar bayinya dapat melihat. Kemudian dalam tidur, ibunya bermimpi didatangi Nabi Ibrahim yang berkata:"Wahai ibu, Allah telah menyembuhkan penyakit puteramu dan kini ia telah dapat melihat kembali. Semua itu berkta doamu yang tiada hentinya.". Ketika ia terbangun, penglihatan bayinya telah menjadi normal.

Buta di masa kecilnya.
Keliling dunia mencari ilmu.
Menghafal ratusan ribu hadits.
Karyanya menjadi rujukan utama setelah Al Qur’an.
-syair untuk Imam Bukhari oleh penduduk Bukhara-

Datuk beliau adalah al-Mughirah, keturunan Arab yang telah memeluk Islam du hadapan al-Yaman al-Ju'fi, seorang tabi'in (golongan mereka yang pernah berjumpa dengan para sahabat Rasulullah SAW). Nama Imam Bukhari diambil sempena tempat kelahirannya iaitu Bukhara, Uzbekistan.

Bapa Imam Bukhari merupakan seorang yang berilmu, amat warak (menghindari yang syubhat atau meragukan) dan takwa. Bapanya meninggal dunia sewaktu Imam Bukhari masih kecil. Diceritakan bahawa ketika menjelang kewafatannya, bapa Imam Bukahri berkata "Dalam harta yang aku miliki ini, tidak terdapat sedikitpun wang yang haram mahupun yang syubhat.". Ayahnya meninggalkan harta yang banyak dan berkat, ini membolehkan Imam Bukhari hidup dalam perkembangan dan pertumbuhan yang baik. Disamping itu, beliau dirawat dan dididik oleh ibunya dengan tekun dan penuh perhatian

Semenjak kecil lagi, nilai intelektual Imam Bukhari telah terserlah. Allah SWT menganugerahkan kepadanya hati yang cerdas, fikiran yang tajam dan daya hafalam yang amat kuat serta teristimewa dalam menghafal hadis. Beliau amat warak, mempunyai daya ingatan yang luar biasa serta menunjukkan kesungguhan dalam pembelajarannya.

Ketika berusia 10 tahun, Imam Bukhari telah banyak menghafal hadis yang dikatakan sehingga 70,000 hadis Rasulullah SAW. Ketika berumar 16 tahun, Imam Bukhari pergi ke Mekah bersama ibu dan abang sulungnya untuk menunaikan haji. Imam Bukhari terlalu seronok berada di Mekah sehinggakan beliau memanjangkan tempoh lawatannya di Mekah untuk membolehkan beliau berguru dengan cendiakawan di Mekah. Pada umur 18 tahun, Imam Bukhari menerbitkan bukunya yang pertama mengenai para sahabat Rasulullah SAW yang bertajuk At-Tarikh al-Kabir. Imam Bukhari amat meminati sejarah dan ini mendorong kepada cetusan mendalami ilmu hadis. Justeru itu, Imam Bukhari mengembara ke pelosok tanah jajahan Islam untuk mendalami ilmu hadis.

Semasa pengembaraannya, Imam Bukhari hanya mempunyai satu matlamat iaitu mengumpulkan sebanyak mana ilmu yang mungkin boleh dikumpul untuk membolehkan beliau membuat pengumpulan sunnah Rasulullah SAW yang terbesar. Beliau begitu giat menulis dan pada satu ketika beliau berkata: "Saya telah menulis dan mengenali 1,800 orang. Setiap satunya meriwayatkan hadis Rasulullah SAW dan saya hanya menulis mengenai mereka yang telah lulus ujian yang ditetapkan.".

Beliau merakamkan hadis Rasulullah SAW dalam bukunya yang agung iaitu Al-Jami' al-Sahih (Sahih Bukhari). Beliau membuat penyelidikan selama 16 tahun dan meneliti 600,000 hadis sebelum memilih 7,525 buah hadis yang beliau berpuas hati menepati takrif kesahihan yang beliau tetapkan



Sepertimana setiap pejuang Islam, Imam Bukhari juga tidak terlepas dari menerima dugaan Allah SWT. Kejadian ini berlaku semasa lawatan dan persinggahan Imam Bukhari di Naisabur. Fitnah ini dilakukan oleh ulama-ulama yang dengki kepadanya. Mereka meniupkan tuduhan bahawa Imam Bukhari sebagai orang yang berpendapat bahawa al-Quran sebagai makhluk. Fitnah tersebut turut mempengaruhi, menimbulkan kebencian dan kemarahan gurunya di Naisabur, az-Zihli sehingga ia berkata:"Barangsiapa berpendapat lafaz-lafaz al-Quran adalah makhluk, maka ia adalah ahli bidaah. Ia tidak boleh berbicara dan majlisnya tidak boleh dihadiri dan barangsiapa masih mengunjungi majlisnya, curigailah dia.". Setelah timbulnya pengisytiharan itu, orang ramai mula menjauhinya. Namun setelah beberapa lama kemudian, Imam Bukhari terlepas dari fitnah yang dituduh kepadanya. Setelah itu, Imam Bukhari keluar negeri Naisabur kerana berpendapat keluar dari negeri lebih baik untuk menjaga diri dengan harapan fitnah yang menimpanya reda.

Imam Bukhari amat berhati-hati dan bersopan dalam berbicara serta dalam mencari kebenaran yang hakiki di saat mengkritik perawi. Terhadap perawi yang begitu jelas diketahui pembohongannya, memadai dengan beliau berkata:"Perlu dipertimbangkan. Para ulama meninggalkannya atau para ulama berdiam diri tentangnya.". Perkataan yang tegas tentang perawi yang tercela ialah:"Hadisnya diingakari".

Meskipun beliau amat sopan dalam mengkritik para perawi, namun ia banyak meninggalkan hadis yang diriwayatkan oleh seseorang hanya kerana orang itu diraguinya. Dalam sebuah riwayat diceritakan beliau berkata:"Aku meninggalkan 10,000 hadis yang diriwayatkan oleh perawi yang perlu dipertimbangkan dan meninggalkannya juga dalam jumlah yang sama atau lebih yang diriwayatkan oleh perawi pada pandanganku perlu dipertimbangkan."

Selain dikenali sebagai ahli hadis, Imam Bukhari juga sebenarnya adalah ahli dalam feqah. Dalm perkara mengeluarkan fatwa, beliau telah sampai pada darjat mujtahid mustaqiil (bebas, tidak terikat pendapatnya pada mazhab-mazhab tertentu) atau dapat mengeluarkan hukum secara individu. Beliau mempunyai pelbagai pendapat hukum yang diterokainya sendiri. Segala pendapat itu kadang-kadang selari dengan mazhab Abu Hanifah, kadang-kala sesuai dengan mazhab Imam Syafie dan kadang-kadang berbeza dengan kedua-duanya. Selain itu, pada suatu masa beliau memilih mazhab Ibn Abbas dan pada masa lain memilih mazhab Mujahid dan 'Ata serta sebagainya. Maka kesimpulannya, Imam Bukhari adalah seorang ahli hadis yang terulung dan ahli feqah yang berijtihad sendiri walaupun yang lebih menonjol adalah kepakarannya sebagai ahli hadis.

Pengembaraannya ke pelbagai negeri telah mempertemukan Imam Bukhari dengan begitu ramai guru-guru yang berkualiti dan boleh dipercayai dalam bidang hadis. Diceritakan bahawa beliau menyatakan:"Aku menulis hadis yang diterima dari 1,080 orang guru yang semuanya adalah ahli hadis dan berpendirian bahawa iman adalah ucapan dan perbuatan.". Diantara guru-guru itu ialah Ali Ibn al-Madini, Ahmad Ibn Hanbal, Yahya Ibn Ma'in, Muhammad Ibn Yusuf al-Farabi, Makki Ibn Ibrahim al-Bakhi, Muhammad Ibn Yusuf al-Baykandi dan Ibn Rahawaih. Guru-guru yang hadisnya diriwayatkan dalam kitab Sahihnya seramai 289 orang.

Kerana kemasyhurannya sebagai orang alim yang begitu pintar, sememangnya ramai anak muda dan manusia ingin belajar dan mendengar terus hadis daripadanya. Tidak dapat dihitung berapa jumlah orang yang meriwayatkan hadis dari Imam Bukhari sehingga ada yang meriwayatkan anak muridnya seramai lebih dari 90,000 orang. Di antara sekian ramai anak muridnya, yang paling menonjol ialah Imam Muslim bin al-Hajjaj, Tirmizi, Nasa'i, Ibn Khuzaimah, Ibn Abu Dawud, Muhammad bin Yusuf al-Firabri, Ibrahim bin Ma'qil an-Nasafi, Hammad bin Syakr an-Nasawi dan Mansur bin Muhammad al-Bazdawi.

Imam Bukhari telah menunjukkan pencapaian yang cemerlang dalam bidang yang meliputi

(a) Hadis
Imam Bukhari adalah manusia yang mencapai tahap tertinggi dalam bidang ilmu ini.
(b) Tafsir
(c) Feqah
(d) Sejarah dan biografi
(e) Jarah dan Ta'dil
Imam Bukhari merupakan orang pertama yang mengemukakan ilmu Jarah dan Ta'dil
(f) 'Ilal
Ilmu ini membawa maksud kecatatan yang tersembunyi dalam hadis. Merupakan ilmu yang begitu terperinci dan paling rumit kerana tersembunyi.
(g) Bahasa dan Sastera


Hasil Karya Imam Bukhari yang termasyhur

(a) Al-Jaami' as-Sahih (dikenali sebagai Sahih Bukhari).
(b) At-Tarikh al-Kabir
(c) At-Tarikh al-Ausat
(d) Kitab al-Kuna
(e) Adh-Dhu'afa'
(f) Al-Adab al-Mufrad
(g) Al-Qiraat Khalfa al-Imam (dikenali sebagai Juz al-Qiraat)
(h) Juz raf'ul Yadain
(i) Kejadian Perbuatan Hamba

Setelah lama mengembara, suatu ketika Imam Bukhari mendapat surat kiriman penduduk Samarkand yang isi kandungan surat memohon Imam Bukhari supaya menetap di negeri mereka. Lalu kemudiannya, beliau pergi untuk memenuhi permintaan mereka. Ketika dalam perjalanannya sampai di Khartand, sebuah desa kecil yang terletak dua fasakh sebelum Samarkand beliau singgah untuk mengunjungi beberapa ahli keluarga yang tinggal di desa kecil itu. Di desa itu, Imam Bukhari jatuh sakit hingga menemui ajalnya. Beliau meninggal dunia pada malam Aidilfitri tahun 256H pada usia 62 tahun.

Sesungguhnya Imam Bukhari merupakan salah satu tanda kekuasaan dan kebesaran Allah di muka bumi ini. Allah telah memberikan kepercayaan kepada Imam Bukhari dan para tokoh penghimpun hadis yang lain untuk menghafal dan menjaga sunnah-sunnah junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW. Dalam satu riwayat, Imam Bukhari pernah berkata:"Aku menghafal hadis sebanyak 100,000 buah hadis sahih dan 200,000 hadis yang tidak sahih.".

Tentu para pengunjung dan rakan-rakan tertanya apa kaitan Imam Bukhari dengan Applied Science? InsyaAllah saya akan ceritakan dalam catatan akan datang. Sebagai klunya dapatlah saya katakan kaedah yang dilakukan oleh Imam Bukhari dalam menyusun hadis dalam kitabnya Sahih Bukhari adalah begitu sistematik dan saintifik sekali......

Catatan ini sebagai percambahan ilmu tentang Imam Bukhari dalam Bahasa Melayu. Terlalu sedikit rujukan di Internet tentang Imam Bukhari dalam bahasa Melayu.

Wassalam.....

Sumber rujukan
1. Kecendekiawanan Imam Bukhari, Khairul Ghazali, Progressive Publishing House Sdn Bhd, Cetakan 2009

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--