Friday, October 16, 2009

Hari Kualiti Pelajar


Bersyukur saya kepada tuhan yang Maha Esa kerana nikmat kesenangan yang diberikan yang tidak mungkin dapat dihitung dengan apa jua peralatan pun.

Rakan-rakan pengunjung, pada lebih kurang jam 6.30 petang tadi berlaku gegaran berskala 6.4 skala Richter di Ujung Kulon, kira-kira 260 kilometer, barat ibu kota Jakarta. Marilah kita sama-sama berdoa agar tiada ancaman tsunami yang bakal melanda.

Rakan-rakan sekalian,
Sejak dari peristiwa Tsunami2004 hingga gempa bumi di Padang, Indonesia, ramai nyawa telah terkorban. Peristiwa ini telah mengajar ramai cendiakawan dan ahli fikir Islam di Nusantara mentafsirkan bahawa kejadian bencana alam ini memberikan umat Islam berfikir tentang tiga perkara
(a) Bencana alam ini adalah balasan dan azab dunia kepada mereka yang sering meninggalkan suruhan dan perintah Allah
(b) Peristiwa gempa bumi dan tsunami adalah ujian kepada mereka yang beriman untuk mengukuhkan lagi keimanan dan ketakwaan mereka
(c) Kejadian yang berlaku adalah sebagai peringatan kepada mereka yang sering lupa akan tujuan dan amanah yang diberikan kepada mereka di dunia ini.

Hulurkanlah bantuan sedapat mana mungkin kerana rakan-rakan seagama dengan kita sedang menderita. Dan janganlah kita melakukan perkara-perkara yang mengundang kemurkaan Allah SWT.

Rakan-rakan sekalian,

Pada 15 Oktober 2009, telah berlansung majlis anugerah kualiti SMT Kuala Kangsar. Sebenarnya entri ini seharusnya dimasukkan secepat mungkin kerana ada beberapa perkara yang harus saya kongsikan dengan rakan-rakan pengunjung sekalian (Masalah kelewatan ini kerana sambungan stremyx saya agak bermasalah kerana nak muat naik gambar yang bersaiz kecil pun mengambil masa yang lama). Majlis ini berjalan dengan begitu baik sekali sehinggakan tetamu VIP yang diundang seolah-olah dilupakan kerana ditenggelami oleh artis jemputan.

Tujuan majlis kualiti ini diadakan adalah untuk meraikan serta menghargai sumbangan dan penat lelah pelajar dalam mengharumkan nama sekolah dalam bidang akademik, ko-akademik dan kokurikulum. Alhamdulillah tujuan asal tercapai tetapi tujuan ini telah ditenggelami oleh perkara yang lebih tidak penting (ini pandangan peribadi penulis)



Majlis yang diadakan dihadiri oleh tetamu kehormat En Shamsul Bahri b Md Dali, Timbalan Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Insan Naza Automotive Manufacturing Sdn Bhd. Ibu bapa pelajar dan bekas pelajar juga hadir bersama dalam majlis ini. Malah majlis diserikan lagi sehingga menenggelamkan tetamu VIP (satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku) dengan kehadiran penyanyi artis yang lahir dari rancangan Akademi Fantasia iaitu Khai, Rosma dan Shahri.





Majlis juga diserikan dengan dendangan lagu yang begitu mengasyikkan dari Tuan Pengetua Kanan sehinggakan beliau mendapat pujian dari salah seorang artis Akademi Fantasia. Teruja dengan pujian itu, beliau tampil lagi mendendangkan 4 buah lagu lagi. Tahniah dan hebat sekali beliau. Akhir sekali artis jemputan iaitu Khai, Rosma dan Sahri menyampaikan lagu masing-masing dan disorak gemuruh oleh pelajar-pelajar SMT Kuala Kangsar.





Seperti mana dalam catatan saya yang lepas, umum mengetahui bahawa sekolah adalah tempat untuk mendidik pelajar menimba ilmu secara teori dan amali, mengajar agar berkelakuan baik, bersopan santun, berakhlak mulia dan semua perkara yang baik. Apa yang berlaku pada majlis 15 Oktober 2009 adalah sebaliknya, pelajar didedahkan dengan budaya yang kurang sopan dengan melihat artis berpakaian menjolok mata serta berlaku sorakan yang melampau dari pelajar. Saya sendiri bagaikan hendak menangis apabila teguran dan nasihat saya dalam kelas tentang berkelakuan sopan hanya seolah-olah menjadi lakonan dan skrip saya di dalam kelas. Tidak mungkin akan dilaksanakan oleh pelajar.

Rakan-rakan sekalian,

Ingatlah satu hadis yang bermaksud:"Daripada Abu Sa'id Al-Khudri r.a berkata: Bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:"Kamu akan mengikuti jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka". Sahabat bertanya, "Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksudkan?". Nabi SAW menjawab, "Siapa lagi kalau bukan mereka". (H.R Muslim)

Antara salah satu budaya orang Yahudi dan Nasrani ialah mengagungkan penyanyi dan penghibur serta suka akan perkara-perkara yang berkaitan dengan muzik.

Saudara-saudaraku,

Renungkanlah perkongsian ilmu saya ini, jika kita mampu untuk mengelakkan dari fitnah ini, elakkanlah, jika tidak berdoalah kepada Allah agar kita diselamatkan dari fitnah yang datang....

Wassalam


4 comments:

Hj Adam said...

JIka artis dijemput dalam hari menganugerahkan pelajar yang menunjukkan kecemerlangan(Hari Anugerah Pelajar), maka ini merupakan satu tragedi kepada sistem pendidikan negara. Ini memang perbuatan 'guru yang terlampau'.

Cikgu Mahfuza Mahmud on October 18, 2009 at 3:30 PM said...

suatu peristiwa yang julung-julung kali berlaku. Ini tanda 'kehebatan' SMTKK.

Anonymous said...

Nyata perjuangan untuk memartabatkan pendidikan di Malaysia telah berpatah balik ke belakang..pada saya hiburan akan menyebabkan pelajar dan guru akan lalai dalam menempuh arus cabaran dala pendidikan negara...Hamdi, SMK Penanti, BM, Pulau Pinang

Yus_5auto on November 14, 2009 at 9:31 AM said...

assalamualaikum.betoy tu cikgu sebenarnya saya pun naik menyampah tengok pakaian rosma tu.adakah perkara ini tidak boleh difikirkan oleh Pengetua kita?Tuha saja yang lebih tau.

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--