Peperiksaan Akhir Tahun (PAT) akan bermula dari 2 November hingga 18 November 2009. Selain dari PAT, pelajar tingkatan lima akan menempuhi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.
Masanya sudah tiba. Segala penat dan lelah semasa belajar dan mengulangkaji sejak dari awal tahun akan diuji. Ketika inilah kefahaman akan diukur dan diberikan markah.
Namun begitu, peperiksaan bukan setakat menduga kecemerlangan akademik pendidikan, bahkan pencapaian akademik juga digunakan bagi membuka pintu untuk kejayaan lain yang lebih besar pada masa mendatang.
Saya ingin berkongsi dengan pelajar tentang teknik semasa menjawab soalan. Mungkin apa yang saya ingin kongsikan ini telahpun diketahui. Jika anda telah mengetahuinya anggapkan ini sebagai salah satu dari pengukuhan ilmu yang diketahui.
Cuba amalkan langkah-langkah berikut semasa anda menjawab soalan:
1. Tenang dan jangan terburu-buru semasa membaca dan menjawab soalan.
Apabila menjawab soalan, lakukan dengan tenang dan jangan terburu-buru. Walaupun anda mempunyai masa yang singkat, jangan terlalu tergesa-gesa membaca soalan. Luangkan masa yang cukup untuk membaca dan memmahami apa-apa yang dikehendaki oleh kertas soalan. Baca arahan yang diberikan agar anda tidak tersilap menurunkan jawapan ditempat yang salah.
2. Bahagikan masa
Sweaktu duduk di meja peperiksaan, setelah mendapat kertas soalan, anda haruslah membahagikan masa. Waktu yang diberikan untuk menjawab sesuatu kertas soalan adalah terhad.Anda tidak diberikan waktu yang panjang. Oleh hal yang demikian, anda harus menentukan masa yang mampu diperuntukkan bagi setiap bahagian kertas soalan. Bahagikan masa bagi setiap soalan. Jangan membazir masa.
3. Jawab soalan yang mudah dahulu
Ketika mula menjawab, luangkan masa untuk melunaskan soalan yang paling mudah dahulu. Jawab soalan yang anda pasti betul atau yang memang yang telah dijumpai dalam latih tubi sebelum menduduki peperiksaan. Semua pelajar mempunyai kemahiran masing-masing. Topik yang mudah bagi seorang pelajar barangkali susah dan sukar bagi pelajar lain. Cari soalan yang paling mudah bagi anda dan tangani soalan itu dahulu. Jika terdapat soalan yang sukar dijawab, tinggalkan dahulu. Terus menjawab soalan yang mudah dahulu. Soalan sukar ditinggalkan supaya motivasi anda kekal tinggi pada sasi menjawab kertas soalan. Selain itu, anda juga berpeluang mengumpul banyak markah yang mudah ketika minda masih segar dipangkal peperiksaan. Soalan yang sukar selalunya memerlukan banyak masa untuk dilangsaikan.
4. Semak semula jawapan
Anda harus meluangkan sedikit masa untuk menyemak setiap soalan dan jawapan. Mungkin ada soalan objektif yang anda tersilap tanda di kertas jawapan atau perkataan yang tersilap eja. Pastikan bahawa apa-apa yang anda tulis benar-benar menjawab soalan dan mematuhi arahan yang diberikan.
Sekian, Semoga berjaya!
Sumber:
Dewan Siswa, DBP, Oktober 2009
13 years ago
0 comments:
Post a Comment