Saturday, May 22, 2010

Renung dan fikir....

0 comments
Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu wata'ala atas segala rahmat dan kurniaNya. Apabila di kenang-kenang dan dinilai sudah tentu kita akan merasai yang bahawa sesunggunhnya kita tiadalah memiliki apapun melainkan mengharapkan rahmat Allah semata-mata.

Selawat dan salam atas junjungan besar Nabi Muhammad Shallalahu 'alaihi wasalam, sinar cahaya dan rahmat bagi sekalian manusia. Walaupun tidak pernah kita menatap wajah Rasulullah, namun setiap hari apabila semakin mendekati ajaran dan nasihat beliau terasa Rasulullah memang adalah seorang insan terpilih sebagai rahmat sekalian alam.

Entry pada kali ini bertujuan untuk berkongsi secangkir maklumat yang saya dapat melalui pembacaan sebuah kitab karangan seorang ulama Islam terkenal iaitu Ibnu Qayyim al-Jauzi berjudul "Merawat Penyakit Hati". Tambahan pula saya terbaca sebuah artikel (entri pada 15 Mei 2010) dalam blog sahabat saya "Akar Bangsa" yang membicarakan soal penyakit hati.



Maka terdetik di hati untuk berkongsi ilmu dengan rakan-rakan pengunjung sekalian.

Kemudian daripada itu,



Syeikh Ibnu Qayyim al-Jauzi dalam kitabnya berpendapat hati terbahagi kepada tiga iaitu:
* Hati yang sihat dan selamat, iaitu hati yang selalu menerima, mencintai dan mendahulukan kebenaran. Pengetahuannya tentang kebenaran benar-benar sempurna, juga selalu taat dan menerima sepenuhnya.
* Hati yang keras, iaitu hati yang enggan menerima dan tidak taat dan menerima sepenuhnya.
* Hati yang sakit, jika penyakitnya sedang teruk, maka hatinya menjadi keras dan mati, jika ia mampu melawan dan mengalahkan penyakit hatinya, maka hatinya akan menjadi sihat dan selamat.

Makanya, daripada ketiga-tiga wajah hati yang tersebut di atas, apa yang perlu diusahakan oleh setiap individu yang menjadi Muslim ialah memiliki sekeping hati yang sihat dan selamat. Jika kita merasakan hati kita keras ataupun sakit, maka hendaklah sedaya upaya berusaha mengatasi hati keras dan mengubati hati yang sakit. Hati yang keras dan sakit, jika dibiarkan akan menghadapi beberapa perkara yang bahaya dan mudharat. Antara yang ditakuti ialah seperti memandang perkara buruk dan baik adalah sama sahaja atau mungkin mempercayai yang baik itulah mungkar dan yang mungkar itulah baik, menjadikan hawa nafsu sebagai pedoman dan pada akhirnya akan menjadikan bisikan syaitan sebagai penyuluh arah sepanjang kehidupan.

Saudara-saudara pengunjung yang dirahmati Allah sekalian,

Hati yang sedang sakit dan keras tidak boleh diubati dengan kebendaaan maksud saya dengan wang dan harta. Ianya perlu dirawat dengan dengan menbaca al-Quran dan berusaha mendalami isi kandungan maknanya. Selain itu kita perlu sedaya upaya mengamalkan apa yang mampu kita amalkan dari al-Quran berpandukan pedoman yang diberikan oleh Rasulullah Shallalahu alaihi wasalam. Kerana berusaha mengamalkan sunnah akan menghidupkan hati. Melalui al-Qurang juga kita dapat menambah pengetahuan kita dan membantu ke arah pembentukan akhlak terpuji.

Membaca al-Quran juga boleh menjana ingatan kepada Allah dan meneguhkan ketakwaan. Inilah sebenarnya tujuan al-Quran diturunkan kepada manusia. Firman Allah dalam surah Al-Isra' ayat 82 yang bermaksud "Dan kami turunkan dari al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman dan al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang yang zalim selain kerugian." Maka melalui intipati ayat ini jelaslah selalu membaca al-Quran akan membantu mengingati Allah Subhanahu wata'ala serta mengindahkan hati, menenangkan fikiran dan perasaan. Umpama ungkapan Ibn Qayyim dalam bukunya zikir itu penting bagi manusia seperti perlunya ikan kepada air.

Saudara-saudara pengunjung yang mempunyai masa untuk berada di sini,

Kita hendaklah selalu perlu ada keinsafan dalam hati bahawa kita hanya sebagai hamba hina disisi Allah. Rasa rendah diri, menjadikan ibadah yang dilakukan dengan ikhlas, bersungguh-sungguh dan berkualiti. Rasa rendah diri sudah pasti akan menghindarkan dari sifat sombong dan menyakini bahawa hanya Allah yang Maha Besar dan Maha Agung. Orang yang sentiasa merendah diri, hatinya akan menjadi tenang, senang menerima hidayah serta mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah. Sabda Rasulullah Shallalahu alaihi wasalam, bermaksud:" Allah tidak menambah terhadap hamba yang memberi maaf melainkan kemuliaan, dan seseorang tidak merendahkan diri kepada Allah melainkan Allah meninggikannya." (Hadis riwayat Muslim).

Hati juga akan berkembang mekar apabila sentiasa mengingati kematian yang pasti akan kedatangannya. Makhluk yang lemah seperti manusia satu masa nanti pasti akan mengalami peristiwa kematian. Apabila sentiasa ingat tentang kematian yang pasti tiba, sudah tentu akan melembutkan hati.

Saudara-saudara pengunjung yang mempunyai kelapangan,

Memang tidak dapat disangkal berlakunya pelbagai masalah sosial, keruntuhan akhlak di kalangan masyarakat baik remaja mahupun dewasa dewasa ini adalah akibat dari tandusnya budi pekerti dan budaya Islam. Ini berlaku adalah akibat daripada penyakit hati sedang menular dalam masyarakat kita hari ini. Masyarakat hari ini terlalu jauh dengan nilai-nilai Islam. Terlalu banyak remaja yang malas melaksanakan ibadah fardhu, enggan menerima nasihat, tidak gemar meluangkan masa mendengar ceramah atau menghadiri majlis ilmu. Awas kerana sabda Rasulullah Shallalahu alaihi wasalam bermaksud,"Dan sesungguhnya sejauh-jauh manusia daripada Allah adalah mereka yang berhati keras." (Hadis riwayat at-Tirmizi).

Kekerasan hati boleh dilembutkan apabila kita sentiasa mengisi waktu dengan perkara yang mendekatkan diri kita kepada Allah. Renungkan dan fikirkanlah.....



Wassalam......

Baca selengkapnya...

Monday, May 17, 2010

Anda ingin berjaya, bacalah buku ini.....dan berusahalah

0 comments


Alhamdulillah kita panjatkan puji dan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu wata'ala yang telah memudahkan kita hambaNya yang dhaif ini untuk berada dan meluangkan masa melayari internet pada ketika ini.

Selawat dan salam untuk junjungan mulia Nabi Muhammad Shallalahu alaihi wasalam penghulu segala ambiya. Sesungguhnya pengutusan Nabi Muhammad Shallalahu alaihi wasalam adalah rahmat untuk sekalian alam. Teringat saya kisah dalam sirah Rasulullah Shallalahu alahi wasalam di awal permulaan baginda hendak menerima wahyu. Semasa Rasulullah Shallalahu alaihi wasalam dalam perjalanan ke Gua Hira', baginda ditegur oleh batu dan pokok-pokok dengan ucapan salam "Assalamualaikum, wahai pesuruh Allah". Sungguh ajaib peristiwa ini dan ianya kekal menjadi sebagai salah satu bukti bahawa baginda memang pesuruh Allah.

Masa yang terluang yang merupakan anugerah yang amat berharga. Dalam kelapangan masa itu sempat saya membaca sebuah buku bertajuk "Jika anda ingin berjaya, Bersolatlah".




Buku ini merupakan karya seorang pakar motivasi dan penulis yang prolifik. Beliau lebih dikenali dengan nama Ustaz Muhammad Rusli Amin.
Ustaz Muhammad Rusli Amin lahir di Maluku Utara pada tanggal 30 Disember 1962. Beliau adalah seorang penceramah di Indonesia. Sehingga kini, beliau sudah menulis sebanyak 20 buah buku.

Buku ini sebenanya merupakan sebuah buku yang membincangkan hikmah solat dari sudut motivasi untuk kejayaan. Memang bertepatan sekali tajuk ini dihuraikan oleh Ustaz Muhammad Rusli Amin kerana Ustaz Muhammad Rusli memang merupakan seorang pakar motivasi yang terkenal di Indonesia. Malah buku ini memaparkan prinsip-prinsip kejayaan dalam solat yang pasti akan memberikan inspirasi kepada dalam usaha mengubah kehidupan dan mendapatkan keuntungan dan kemulian diri. Buku ini mengandungi 14 topik yang kesemuanya merupakan hikmat kepada pensyariatan solat.
Bab 1: Hidup Bersama Solat
Bab 2: Hikmah daripada Niat Solat
Bab 3: Keikhlasan
Bab 4: Kekuatan Motivasi
Bab 5: Tindakan menentukan kejayaan
Bab 6: Modal Rohani
Bab 7: Pengulangan
Bab 8: Memperbaharui Diri
Bab 9: Mendahulukan yang Utama
Bab 10: Menjadi Manusia yang Cekal Menghadapi Ujian
Bab 11: Melakukan dengan Lebih banyak
Bab 12: Konsentrasi
Bab 13: Pengurusan Masa Demi Kejayaan
Bab 14: Mengembangkan Kekuatan Habluminannas

Hakikat sebagai seorang manusia yang mengakui dirinya sebagai seorang Muslim memang tidak dapat dipisahkan dengan bersolat wajib sebanyak lima waktu sehari semalam. Ini ditambah pula dengan solat-solat sunat untuk menambahkan kekuatan iman dan keikhlasan kepada Tuhan yang Maha Pencipta. Solat sebenarnya bukan hanya soal ritual semata-mata, tetapi mengandungi pengajaran, makna dan hikmah dalam pelaksanaannya. Hikmah itulah yang seharusnya mewarnai kehidupan seorang Muslim sepanjang menempuh hidup di dalam dunia ini.

Saya tertarik dengan ulasan penulis dalam Bab 13 yang membincangkan hikmah solat dan pengurusan masa. Tanpa disedari rupanya-rupanya ibadah solat mengajar kita mengenai kepentingan waktu, ketetapan waktu dan lebih berdisiplin terhadap waktu. Antaranya penulis memuatkan kata-kata Maulana Syeikh Abu al-Hasan Ali an-Nadwi yang mengungkapkan
"Solat fardhu yang lima ini, dengan waktu dan rakaatnya, adalah makanan rohani. Ia suntikan kesihatan yang menghilangkan segala penyakit manusia. Ia disyariatkan oleh Sang Pencipta yang bukan hanya menguasai jiwa manusia tetapi lebih daripada itu. Dialah yang mencipta segalanya dengan pengetahuan dan kebijaksanaan yang tidak terbatas. Maka kita perlu beriman dan tunduk kepada hikmah yang disyariatkanNya. Kita harus mengerjakan solat tepat pada waktunya, dengan didorong ketaatan dan ketundukan pada perintah Allah. Tiada yang tahu mengenai rahsia waktu-waktu itu kecuali Allah dan RasulNya. Demikian juga mengenai cahaya, keberkatan dan rahmat Allah yang turun pada waktu-waktu itu."

Percayalah dengan membaca buku ini pasti saudara akan dapat merasai dan mengalami perubahan luar biasa dan mendapat inspirasi daripadanya. InsyaAllah...

Baca selengkapnya...

Saturday, May 15, 2010

Guru....Jasamu tak ternilai bagiku....

0 comments


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Segala puji dan syukur hanya bagi Allah Tuhan semesta alam. Selawat dan salam untuk Rasulullah Shallalahu 'alaihi wasalam.

Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu wata'ala yang telah memberikan kita kesempatan masa untuk meluangkan masa untuk berada di dalam alam siber ini. Nikmat kesempatan masa adalah antara nikmat yang amat berharga jika kita menilai hakikat masa dengan sebenar-benarnya. Masa sesungguhnya begitu penting dalam kehidupan seseorang manusia. Sebagai contoh kalau saya mengambil kira diri saya sendiri, sedar atau tidak saya telah lama meninggalkan alam persekolahan walaupun terasa baru sahaja berada di Tingkatan 5.




Hakikatnya, haruslah kita sentiasa sedar umur kita semakin meningkat dan kita akan semakin hampir untuk meninggalkan alam dunia dan menuju ke alam yang seterusnya.

Saudara-sauadara pengunjung yang berbahagia,
Dalam merentasi kehidupan di alam ini, antara perhiasan yang amat baik untuk diri kita ialah kita mempunyai kekuatan dalam ilmu pengetahuan. Dengan adanya bekal ilmu pengetahuan dalam diri kita, kita akan mampu untuk menongkah arus cabaran yang bakal datang sepanjang perjalanan hidup kita. Dalam proses pencarian ilmu pengetahuan, sedar atau tidak kita akan menemui dan belajar dengan guru. Guru ibarat pembantu dan pembimbing bagi kita sepanjang proses pencarian ilmu pengetahuan.

Tidak kira apa jua status jawatan kita sekarang sama ada jurutera, doktor,peguam, menteri kabinet atau sesiapa sekalipun, jika ditanya siapakah yang banyak berjasa dalam membantu mereka membina kerjaya dan masa depan selain dari ibu bapa, sudah tentu jawapannya 'cikgu'. Sebagai contoh, antara amalan yang dilakukan oleh ulama dan cendiakawan Islam pada masa yang lampau dalam menulis kitab mereka ialah menyatakan nama guru yang pernah mengajar mereka.

Guru ibarat lilin yang membakar diri yang pada akhirnya ia akan musnah (Walaupun saya tidak bersetuju dengan peribahasa ini kerana mengambarkan guru pada akhirnya tidak akan dikenang kerana lenyap dari pandangan mata) akan berusaha dengan gigih dan tekun untuk memastikan anak bangsanya menjadi insan yang berguna pada suatu hari nanti. Sepanjang kehidupan saya sebagai pelajar dan menjadi guru, belum pernah saya bertemu dengan seorang cikgu yang mendoakan kegagalan anak didiknya. Jasa dan pengorbanan cikgu dalam memenuhi tanggungjawab mendidik anak bangsa sememangnya tidak dapat di nilai dengan wang ringgit ataupun apa bentuk material sekalipun. Hanya kepada Allah sahajalah terserah bagaimana ganjaran yang bakal diterima kelak.



Tidak dapat saya gambarkan betapa mulianya hati seorang guru dalam mendidik pelajar untuk mencapai kejayaan tanpa mengira darjat, kaum dan agama. Walaupun berlaku perubahan dalam sistem kehidupan manusia sama ada dari segi sistem politik atau sosial, profesion perguruan tetap disanjung tinggi dikalangan masyarakat yang menyifatkannya sebagai suatu kerjaya yang mulia dan berjasa. Malah boleh dikatakan kerjaya guru memerlukan suatu anjakan minda yang maksima kerana seorang guru itu tidak hanya mendidik berdasarkan mata pelajaran yang di ajarnya sahaja tetapi tumpuan lebih daripada itu. Sebagai contoh seorang guru haruslah mempunyai kebolehan dalam bidang lain seperti menyampaikan tazkirah,mengendalikan aktiviti sukan, menguruskan unit beruniform, menyelenggara aktiviti kelab dan persatuan dan lain-lain aktiviti luar darjah. Melalui aktiviti ini, kadang-kadang jiwa anak didik dapat dibentuk untuk lebih menghargai ilmu.



Seorang guru sebenarnya sentiasa berusaha memupuk nilai positif kepada pelajar dengan menerapkan nilai-nilai murni di hati pelajar sambil menaikkan semangat cintakan agama seterusnya akan melahirkan satu generasi yang mencintai Islam, sayangkan negara disamping berkebolehan menjaga hubungan antara kaum dalam konteks masyarakat majmuk seperti di Malaysia.

Malah tidak keterlaluan jika saya katakan, tanggungjawab guru sebenarnya lebih luas daripada berada di dalam kelas kerana guru senantiasa bertindak sebagai ibu bapa kedua yang berperanan mencorakkan masa depan pelajar. Ini dapat dilihat melalui peranan guru di sekolah-sekolah berasrama samada asrama penuh ataupun asrama harian. Guru-guru yang bergelar warden adalah ibu bapa kepada pelajar sepanjang pelajar berada di dalam kawasan asrama.



Justeru itu, tidak hairanlah pada tanggal 16 Mei setiap tahun, sambutan Hari Guru diadakan di Malaysia bagi meraikan dan menghargai jasa para pendidik yang bertungkus lumus menabur jasa dan bakti demi memastikan anak bangsa mencapai kejayaan.

Terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana pada tanggal 16 Mei, seluruh sekolah di serata pelosok negara akan meraikan sambutan Hari Guru sama ada secara besar-besaran atau sederhana (mengikut kemampuan kewangan kelab guru sekolah) bagi menunjukkan penghargaan kepada insan yang setiap hari tanpa jemu berusaha menerangi kehidupan orang lain. Pada hari itu juga pelbagai aktiviti dijalankan seperti nyanyian lagu "Guru Malaysia" oleh guru dan aktiviti permainan bersama pelajar. Hari itu hanya datang sekali dalam setahun, jadi kebanyakkan guru pasti tidak akan melepaskan peluang menunjukkan bakat yang telah terpendam selama setahun!......

Bagi pelajar, kesempatan menikmati hari itu umpama peluang keemasan mereka melahirkan rasa hormat atau penghargaan mengikut cara masing-masing sama ada melalui kad atau ucapan sebagai tanda kenang-kenangan.

Setiap tahun, sambutan Hari Guru mempunyai temanya yang tersendiri sebagai contoh pada tahun 2010 temanya berbunyi "Guru Pembina Negara Bangsa". Semoga tema ini dapat dijayakan dengan sepenuhnya oleh rakan-rakan guru sekalian. Pada tahun ini lebih 300,000 guru diseluruh negara akan diraikan pada hari tersebut. Tahniah cikgu dan teruskan usaha anda yang mulia.

Akhir sekali kepada semua guru-guru yang pernah mendidik saya hingga mampu berdiri dengan jayanya sebagai seorang manusia..."Terima Kasih Cikgu"...Saya sentiasa mendoakan cikgu selamat di dunia dan di akhirat tak kira di mana pun cikgu berada..

Wassalam.....

Baca selengkapnya...

Tuesday, May 11, 2010

Kita selalu lupa pada sumbangan guru kita.....

0 comments
Segala pujian dan syukur kepada Allah Subhanahu wata'ala atas segala nikmat yang dikurniakan ke atas kita. Nikmat kesihatan dan kelapangan masa adalah antara nikmat yang tak dapat di nilia dengan apa sahaja kemampuan yang kita ada.

Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wasalam. Terima kasih yang tidak terhingga kepada para pejuang Islam sedari zaman sahabat, tabi'in, tabi' tabi'in hinggalah ke zaman kita ini kerana membawa sinar kebenaran sampai mampu dirasai dan di nikmati oleh kita generasi akhir zaman.

Kerjaya sebagai seorang guru adalah suatu kerjaya yang amat memerlukan ketenangan yang lahir dari dalam lubuk hati yang dalam. Tanpa ketenangan itu tak mungkin seorang guru akan mampu mentarbiah dan mengajar dengan baik di dalam kelas.

Entah kenapa sejak saya menceburi dalam bidang pendidikan sebagai seorang guru sedari tahun 2002, apabila tiba bulan Mei setiap tahun saya akan sentiasa merasakan sesuatu tentang profesion ini. Bulan Mei adalah bulan yang agak istimewa di kepada guru di Malaysia kerana pada tarikh 16 Mei telah diwartakan sebagai Hari Guru. Untuk makluman tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada tarikh yang sama dalam tahun yang sama 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council ) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report Of The Education Commitee ) sebagai dasar pelajaran negara kita. Dokumen tersebut dikenali sebagai Laporan Razak, telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak hari itu. Setelah diluluskan dalam kabinet pimpinan Tun Abd Razak, maka perayaan hari guru mula di sambut di negara kita bermula pada tahun 1972 dengan tema "Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara ".

Tetapi lama kelamaan kita semakin terlupa dengan sumbangan individu yang bergelar guru atau lebih dikenali dengan panggilan "cikgu". Cikgu-cikgu di serata pelusuk negara sebenarnya antara pejuang dan peyumbang terbesar dalam melahirkan pemimpin baik dalam keluarga, masyarakat mahupun dalam negara. Namun apabila kita semakin dewasa dan semakin hebat dari segi material yang ada pada kita, kita lupa siapakah yang berjaya mengubah kita menjadi seperti sekarang.

Malah sejak akhir-akhir ini, apabila tiba sahaja tarikh perayaan hari guru, ada sahaja aktiviti yang kurang menggembirakan hati para guru. Sebagai contoh pada tahun guru-guru disuruh membawa penyapu dan penyodok untuk membersihkan kawasan sekolah pada hari guru. Sudah tentu ramai guru yang terasa kecil hati dengan tindakan ini.

Begitu juga pada tahun ini, program gotong royong Satu Malaysia telah di tetapkan oleh Kementerian di adakan pada 15 Mei 2010. Sepatutnya hari itu hari untuk guru berehat di rumah bersama keluarga sambil menanti mana tahu ada bekas pelajar atau pelajar datang menziarah di rumah. Antara beratus ribu guru yang ada di Malaysia ini, sudah tentu ada yang tidak berpuas hati dengan penetapan yang dilakukan oleh pihak kementerian, sebagai contoh luahan seorang guru dari Sarawak dalam akhbar berita harian



Pihak Kementerian Pelajaran menegaskan program gotong royong ini adalah sebagai pemangkin kepada ikatan ukhwah antara guru dan pelajar. Sebagai mana jawapan Unit Komunikasi Korporat, KPM seperti di bawah



Betulkah dakwaan ini? Hanya guru dan pelajar sahaja tahu tentang perjalanan aktiviti gotong royong.

Sek Men Teknik Kuala Kangsar juga tidak ketinggalan menjalankan aktiviti gotong royong ini. Cumanya fokus utama gotong royong pada kali ini adalah dikawasan asrama. Alhamdulillah sambutan dan kerjasama dari pihak guru amat baik sekali. Cumanya kehadiran pelajar adalah agak mengecewakan kerana ramai pelajar pada hari itu terlibat dengan perlawanan ragbi MSSPk, program Bahasa Melayu dan juga kehadiran pelajar luar yang amat mendukacitakan. Walaupun kehadiran pelajar tidaklah memberansangkan namun program tetap dijalankan dengan jayanya. Itulah kehebatan profesion guru, program tetap akan dijalankan walaupun mempunyai kekurangan tenaga kerja.







Akhir sekali, saya mengucapkan "Selamat Hari Guru" buat semua guru di Malaysia terutama guru-guru yang pernah mengajar saya di SK Langkasuka Yan (84-89), SM Yan (90), SM Ibrahim Sg Petani (90), SM Tuanku Syed Putra Perlis (90-94) dan SM Sultan Mohamad Jiwa Sg Petani (95-96). Semoga anda semua senantiasa di rahmati Allah dan berada di dalam lindungan rahmatNya. InsyaAllah.....

Baca selengkapnya...

Tuesday, May 4, 2010

Buku yang harus di baca oleh setiap ketua keluarga..

0 comments
Alhamdulillah bersyukur kita kepada Allah Subhanahu wata'ala kerana dengan limpah rahmat-Nya mampu dan dapat kita meluangkan masa untuk berada di dalam alam siber ini. Sesungguhnya tiadalah berupaya kita sebagai manusia untuk melakukan sesuatu perkara melainkan hanya dengan rahmat dan pertolongan dari Allah Subhanahu wata'ala jua.

Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita, Nabi Muhammad Shallallahu alaihi wasalam penghulu segala anbiya serta menjadi utusan terakhir yang membawa sinaran yang terang benderang untuk dinikmati oleh sekalian manusia.

Alhamdulillah kesempatan masa yang ada pada bulan April yang lepas sempat saya gunakan untuk menghabiskan membaca sebuah buku karangan Professor Dr Sidek Baba. Buku yang saya maksudkan itu ialah buku "Keluarga Sakinah"



Seperti mana yang saya nukilkan dalam entri saya sebelum ini, saya amat meminati tulisan-tulisan Professor Dr Sidek Baba sejak membaca beberapa tulisan beliau di dalam salah sebuah akhbar arus perdana. Cikgu Sidek (panggilan mesra beliau), setakat ini telah menghasilkan 14 buah buku. Alhamdulillah setakat ini saya telah membaca 4 buah buku tulisan beliau. Cumanya pada entri kali ini saya akan berkongsi sedikit sinopsis tentang apa yang saya baca dalam buku "Keluarga Sakinah"

Melihat pada tajuk buku ini pada mulanya di Pustaka Syafi Kuala Kangsar pada anggapan saya ianya hanyalah sebuah novel biasa. Namun detikan dan ilham dianugerahkan oleh Allah Subhanahu wata'ala untuk membeli dan membacanya. Rupanya-rupanya buku ini amat berkaitan sekali dengan konsep "Rumahku Syurgaku' yang menjadi tuntutan dalam agama Islam yang saya anuti.

Perkataan sakinah adalah perkataan Arab yang membawa maksud tenang. Keluarga yang tidak tenang, tidak bahagia jauh sekali mampu bersifat syurga. Justeru itu, perlulah kita kembali menghayati al-Quran dan Hadis Rasulullah tentang penduan menghasilkan keluarga yang tenang dan sejuk mata memandang. Hanya dengan panduan kedua-dua sumber itulah yang mampu membina sebuah keluarga sakinah.

Terdapat 40 bab dalam buku ini yang membicarakan pelbagai topik bermula dari hikmah manusia dijadikan berpasang-pasangan. Penulis mengemukakan pandangan Islam dan Barat tentang kejadian manusia dalam berpasang-pasangan. Dalam bab-bab yang seterusnya penulis menghuraikan kepentingan berkeluarga, persiapan menjadi ibu dan ayah, membina keluarga dan rumahtangga, memelihara anak-anak sebagai zuriat untuk masa depan, membentuk watak anak, komunikasi dalam keluarga dan bab-bab yang terakhir membicarakan persiapan meninggalkan anak-anak yang soleh dan solehah.

Pada saya, kesemua topik yang diutarakan oleh penulis adalah lengkap kerana penulis berhujah membebaskan pemikiran dangkal dan sempit oleh pasangan sejenis (gay dan lesbian) iaitu persamaan dan hak atau gender. Pasangan-pasangan ini mendakwa mereka juga berhak hidup bersama malah harus diiktiraf sah kerana diikat atas nama tali perkahwinan. Tetapi mereka sebenarnya lupa apabila disebut soal pembentukan keluarga dan melahikan zuriat, mereka benar-benar memporak perandakan institusi masyarakat dengan budaya hidup yang amat memalukan

Penegasan penulis dalam bab-bab pembentukan keluarga sakinah, institusi kekeluargaan bermula dengan ibu bapa yang merupakan sekolah pertama bagi zuriat yang dilahirkan. Anak-anak adalah kain putih, ibu bapalah yang mencorakkan kain putih itu. Seharusnya ibu bapa berusaha sedaya upaya menjadi contoh tauladan dan ikutan yang baik kepada anak-anak.

Antara tanggungjawab atau amanah penting ibu bapa yang disebut penulis kepada anak-anak mereka ialah mengajar anak-anak cara bersyukur kepada atas segala nikmat dan terutama sekali nikmat dilahirkan dalam Islam dan menjadi Muslim. Tujuan ajaran ini adalah agar anak-anak tidak kufur dan merasakan bahawa nikmat Islamlah nikmat yang paling agung sekali dalam semua-semua nikmat Allah yang tidak terhitung banyaknya.

Saya amat tertarik dengan bab penutup buku ini iaitu bab 40 : "Meninggalkan anak-anak yang soleh". Sebenarnya sedar atau tidak masa kita berpindah ke alam yang keempat semakin hampir. Nabi Muhammad berpesan kepada kita, iaitu ada tiga perkara yang pahalanya tidak akan putus walaupun setelah kita meninggalkan alam dunia iaitu 1. Ilmu yang bermanfaat, 2. Sedekah jariah dan 3. Anak-anak yang soleh. Pandangan penulis dalam bab ini membuktikan penulis seorang yang berpengalaman dalam dunia pendidikan berdasarkan pengalaman-pengalaman beliau selama ini. Untuk menghasilkan anak yang soleh bukanlah suatu tugas yang mudah tetapi ianya boleh diusahakan kerana panduan dan petunjuk telah diberikan oleh Nabi Muhammad Shallallahu alaihi wasalam. Kata penulis "Pembentukan anak soleh boleh berlaku menerusi kaedah didikan atau tarbiah yang berterusan. Anak yang soleh mempunyai jalur berfikir yang lebih jelas dan benar serta dalam masa yang sama mampu menyelesaikan masalah berbangkit walaupun sesukar mana. Anak soleh seperti ini akan menaburkan jasa yang baik kepada umat, dirinya dijadikan contoh dan teladan dan sebutan, wataknya merendah diri dengan jiwa tawadduk yang disegani serta doanya adalah doa yang baik dan bakal diterima Allah"

Buku ini mesti dibaca bagi setiap ketua keluarga dan pasangan yang ingin mendirikan rumahtangga. Ini kerana pembentukkan mujahid dan mujahidah bermula daripada tarbiyah dan contoh teladan dari seorang bapa.

Sekadar berkongsi maklumat...Wassalam.


Baca selengkapnya...
 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--