Semasa berada di pejabat sekolah tengahari tadi, saya di sapa oleh bekas pelajar saya.
"Assalamualaikum cikgu.."
"Waalaikumussalam....rasa-rasa macam kenal?" jawab saya apabila tersentak di sapa oleh bekas anak murid.
"Saya Farid cikgu, anak murid cikgu tahun 2003/2004." jawabnya serta menjelaskan siapa dia sebenarnya.
"Farid mana?.." tanya saya inginkan penjelasan, kerana dalam kamus saya bukan sedikit anak murid nama Farid.
"Farid Awang Kechil"..
"Ohh...ha...ingat-ingat" sahut saya apabila memori saya tentang Farid ini kembali dalam kepala saya.
"Buat apa kat sini?..Dah kerja ke belajar lagi?...Kalau masih belajar, belajar kat mana?" sambung saya inginkan penjelasan
"Saya datang ambil sijil SPM cikgu, sekarang dah habis buat diploma dan ingat nak sambung ijazah" katanya menjawab soalan-soalan yang saya kemukakan.
"Bagus tu, teruskan cita-cita tu, mungkin mana tahu Farid akan dapat ke PHD pulak lepas ni" kata saya memberikan semangat kepadanya.
"Terima kasih cikgu...emmm takpa la cikgu ye...saya dah lama ni nak kejar ke Ipoh pulak nak jumpa kawan ni...lain kali kita jumpa lagi ye".
Setelah saya melihat anak murid saya berlalu pergi, fikiran saya melayang mengingatkan zaman semasa menjadi pelajar di universiti sepuluh tahun yang lepas. Memang sewaktu memegang taraf "student" ianya membawa 1001 memori manis dan pahit yang menjadi bekalan dalam meneruskan perjalanan hidup.
Namun keadaan menjadi mahasiswa pada zaman saya agak berbeza dengan mahasiswa sekarang. Teringat semasa mula mendaftarkan diri di kampus, saya datang bersama kawan berdua dari Kedah ke Pulau Pinang menaiki bas dari Guar Chempedak ke Butterwoth kemudian menaiki feri dengan membawa bagasi yang agak berat. Bapa saya sendiri yang menyuruh kami datang sendiri ke kampus kerana katanya "Lebih baik hangpa pi sendiri, kalau ayah dan mak ikut sekali belanja lebih".
Apabila sampai di kampus, saya dan rakan terpaksa berjalan kaki lebih kurang sejauh 1.5 km untuk ke tempat pendaftaran. Bayangkanlah peluh yang keluar pada ketika itu. Keadaan sekeliling pada hari pertama pendaftaran sesak sekali, jalan di dalam universiti begitu sesak sekali, kerana ramai baru seperti saya datang ditemani dengan keluarga, tidak seperti saya yang datang sendirian menaiki bas. Sedih juga mengenangkan keadaan pada ketika itu,namun bila diingatkan bahawa sesungguhnya setiap manusia itu dilebihkan atas seorang manusia, saya redha dan akur.
Berbekalkan duit tunai RM400 dan sebuah beg yang berisi baju T dan kemeja saya tiba di kampus pada hari itu dan itulah bekalan baju dan belanja saya sebelum mendapat bantuan kewangan dari pihak kerajaan. Jika hari ini, duit sebanyak itu mungkin belum mencukupi, sekarang ni belanja bulanan hampir mencecah RM300, siap dengan kemudahan telefon bimbit dan komputer riba.
Teringat pesan mak pada ketika keluar dari rumah pada pagi itu "Hang pi belajaq betul-betul na, ayah dengan mak selalu dok doa kat hang bila hang sampai di sana.".
"Hang pandai-pandaila jaga diri di sana, jimat cermat pakai duit." Kata-kata begitu keluar kerana pada waktu itu, belum ada komunikasi canggih seperti telefon bimbit dan internet yang boleh menghubungkan manusia. Sudah tentu perpisahan yang dialami pada hari itu pasti akan memisahkan anak dan ibu dalam jangkamasa yang lama.
Apabila terfikir tentang itu, seingat saya sepanjang 4 tahun di peringkat sarjana muda, jarang saya menghubungi ayah, emak dan adik-adik di kampung. Bukan bermakna sombong atau lupa tetapi kemudahan dan faktor kewangan yang menghalang saya menghubungi mereka. Sesekali apabila pulang bercuti barulah berjumpa dengan mereka.
Begitupun, pengalaman sebegini yang mengajar saya menjadi tabah dan berhati-hati menempuh perjalanan hidup. Masa tidak selalu pulang ke kampung saya manfaatkan dengan melawat seluruh negeri Malaysia Barat. Banyak pengalaman yang diperoleh daripada interaksi saya dengan penduduk setempat. Minda menjadi luas.
Sengaja saya berkongsi kisah ini hanya sebagai sebuah memori yang indah semasa bergelar sebagai pelajar universiti. Saya bersyukur kepada Allah Subhanahu wata'ala kerana diberikan rahmat dan peluang untuk berada di dalam suasana kampus. Ianya satu pengalaman yang indah dalam hidup saya. Apa saja pengalaman yang ditempuhi pada zaman itu memberikan laluan untuk saya lebih bersemangat menempuh hari mendatang...
Wassalam..
Baca selengkapnya...
13 years ago