expr:dir='data:blog.languageDirection' xmlns='http://www.w3.org/1999/xhtml' xmlns:b='http://www.google.com/2005/gml/b' xmlns:data='http://www.google.com/2005/gml/data' xmlns:expr='http://www.google.com/2005/gml/expr'> DEDAWAI BERISI: Tokoh Nasionalis Islam dan Melayu di Nusantara

Saturday, October 10, 2009

Tokoh Nasionalis Islam dan Melayu di Nusantara


Buku dibaca bulan ini

Dr Burhanuddin Al-Helmy: Satu Kemelut Politik

Alhamdulillah bersyukur ke hadrat tuhan yang maha Esa kerana dengan limpah kurnianya dapat saya meluangkan masa untuk menulis catatan pada hari ini.
Pujian dan selawat juga ditujukan kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW kerana mengajar manusia untuk menyerah diri kepada tuhan yang Maha Esa.

Pada bulan lepas (bulan September) sempena dengan sambutan bulan kemerdekaan negara Malaysia yang ke-52, saya berkesempatan untuk mencari dan menghabiskan membaca buku bibliografi tentang tokoh yang begitu hebat iaitu buku yang menceritakan kisah hidup dan perjuangan Dr Burhanuddin Al-Helmi hasil nukilan daripada Prof Dr Ramlah Adam pensyarah Jabatan Sejarah Universiti Malaya.




Sejarah perjuangan tokoh-tokoh Nasionalisme kebangsaan yang tidak seiringan dengan penjajah British selalu dilupakan dan penceritaannya sering akan dikaitkan dan ditenggelami dengan kehebatan dan keunggulan tokoh-tokoh daripada UMNO seperti yang digembar gemburkan oleh media saban hari.

Saya sendiri mengalaminya, dimana saya pertama kali mendengar nama Dr Burhanuddin Al-Helmy sekitar tahun 1998 pada usia saya kira-kira 21 tahun. Itupun setelah membaca majalah Detik yang telah ditamatkan percetakannya oleh KHDN.

Saya bukanlah ekstremis politik yang menyebelahi mana-mana pihak, tetapi ketokohan Dr Burhanuddin Al-Helmy patut dijadikan panduan kerana falsafah dan pemikirannya mendahului zaman kehidupannya.

Buku yang ditulis oleh Prof Dr Ramlah Adam ini mengandungi 339 mukasurat dan telah diulang cetak sebanyak 3 kali (1996, 2000 dan 2003) dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Agak sukar untuk mencari buku ini kerana saya hanya menjumpai buku ini semasa pulang ke kampung di Kedah dan terjumpa buku ini di sebuah pesta buku di Alor Setar. Kalau mencari di Cawangan Kedai Dewan Bahasa dan Pustaka pun belum tentu kita menjumpainya.

Buku ini bagi saya adalah satu penceritaan yang agak menarik kerana penulis berjaya mengumpulkan maklumat peribadi dari segi pendidikan, perjuangan beliau melalui ahli keluarga dan teman rapat Dr Burhanuddin Al-Helmy sendiri. Buku ini mengandungi 11 bab

1. Zaman Remaja

2. Kegiatan Politik Semasa Pendudukan Jepun

3. Memimpin Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM)

4. Menyokong Malayan Union 1946

5. Bekerjasama dengan PUTERA-AMCJA

6. Berkelana dalam politik

7. Mencari tapak politik

8. Memimpin PAS

9. Ahli Parlimen, 1959-1964

10. Penggerak PAS, 1960-1964

11. Perjalanan Akhir, 1965-1969


Penulis membawakan kisah perjalanan awal hidup Dr Buhanuddin di Taiping, Perak. Dr Burhanuddin lahir dalam sebuah keluarga yang mementing pendidikan. Malah bapa Dr Burhanuddin sendiri merupakan seorang guru agama di Kampung Changkat Tualang, Taiping Perak. Penceritaan ini diteruskan dengan penulis membawakan kisah ketajaman pemikiran Dr Burhanuddin sehinggakan Dr Burhanuddin terpilih untuk mendapat suatu biasiswa dari seorang saudagar India Muslim untuk melanjutkan pelajaran ke India.

Semasa zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu, penulis mengatakan perjuangan Dr Burhanuddin lebih meriah dan diiktiraf kerana Dr Burhanuddin banyak terlibat dalam perbincangan ilmiah dan banyak memberikan sumbangan ilmiah terhadap pemerintah Jepun. Kata Dr Burhanuddin apabila orang menanyakan apakah Dr Burhanuddin agen Jepun, bingkas Dr Burhanuddin dalam satu tulisannya menyatakan perjuangannya adalah mengikut kaedah Nabi Musa di zaman Firaun.

Perjuangan Dr Burhuddin dalam meningkatkan kesedaran Nasionalisme kebangsaan Melayu yang berteraskan kefahaman kepada ajaran Islam nyata dianggap ancaman kepada pihak British. Pelbagai tekanan dan dugaan yang dihadapi oleh Dr Burhanuddin sehingga beberapa kali Dr Burhanuddin telah dipenjarakan oleh British. Perjuangannya dalam Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya adalah suatu yang bermakna bagi Dr Burhanuddin sendiri dan juga orang melayu kerana PKMM sebagai parti Melayu yang pertama yang tampil untuk memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu. Namun apabila PKMM dilabelkan sebagai agen komunis, PKMM terpaksa dibubarkan. Dan Dr Burhanuddin berkelana mecari arah tujuan dan hala perjuangan politiknya.

Sekitar tahun 1955 ramai tokoh-tokoh pemimpin dalam PAS sebuah parti serpihan UMNO, cuba mendekati Dr Burhanuddin untuk memujuknya menyertai PAS. Tawaran mereka diterimanya kerana beliau merasakan PAS adalah secocok dengan falsafah politik Islam yang sentiasa ada di dalam jiwanya. Nyata penyertaannya dalam PAS telah banyak mengubah corak perjuangan PAS itu sendiri, PAS muncul parti pembangkang yang berjaya menguasai dua buah negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu pada pilihanraya tahun 1959 dengan 14 kerusi parlimen. Ini merupakan antara kejayaan terbesar PAS dalam sejarah penglibatan politik mereka di Malaysia.

Dr Burhanuddin adalah seorang tokoh Nasionalime Melayu yang unggul, beliau sentiasa tampi ke hadapan dalam memperjuangkan isu-isu orang Melayu dan konsep Melayu Raya. Malangnya musuh-musuh politik beliau sentiasa cuba untuk menjatuhkan beliau sehinggakan Dr Burhanuddin telah dijatuhkan kelayakan menjadi ahli parlimen pada tahun 1964 dan dituduh sebagai agen Indonesia semasa peristiwa konfrontasi Malaysia-Indonesia 1963 dan ditangkap mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 28 Januari 1965.

Semasa dalam tahanan ISA, sebagai seorang yang kuat beribadat dan seorang pengamal perubatan beliau begitu tertekan dengan suasana dan layanan yang diberikan dalam tahanan. Antaranya beliau diberikan tempat tidur di lantai simen, membuang air di tempat yang terbuka yang boleh dilihat oleh sesiapa sahaja. Dr Burhanuddin terpaksa menahan takkala sampai waktu untuk membuang air besar dan kecil dek kerana perasaan malu. Perbuatan beliau telah menyebabkan beliau mengalami masalah kesihatan dan pada pada awal tahun 1969 beliau dimasukkan ke dalam Hospital Taiping. Kesihatannya amat terjejas dan teruk sekali. Kerajaan pada akhirnya memutuskan untuk membebaskan Dr Burhanuddin tanpa syarat, tapi Dr Burhanuddin tidak menandatangani surat pelepasannya kerana beliau merasakan beliau tidak bersalah. Akhirnya, pada 10 Oktober 1969, beliau menghembuskan nafas terakhir dan tertutuplah tirai hidup seorang pejuang yang sangat gigih menegakkan ideologinya. Tidak ada penghormatan negara unutknya; jenazahnya hanya dilawati oleh rakan-rakan terdekat dan penyokong yang menyanjungi jasanya.

Hari ini genap 40 tahun pemergian tokoh nasionalis Melayu yang hebat ini. Ideologi beliau untuk menubuhkan satu negara Melayu dengan ciri-ciri Melayu unggul akan sentiasa dikenang oleh merekan yang mempunyai akal dan fikiran. Marilah kita sama-sama membaca ummul kitab sebagai hadiah kepada beliau atas sumbangan beliaun yang tak ternilai. Al-Fatihah...

Sebagai kesimpulan, dapatkanlah buku ini sebagai rujukan ataupun koleksi peribadi anda. Mungkin anda akan berjaya mengubah paradigma pemikiran anda...
Wassalam...

1 comments:

saiful nazaree on April 10, 2013 at 9:40 AM said...

assalamualaikum..

jika berminat untuk mendapatkan buku-buku terbitan DBP dgn kadar diskaun menarik, sila email saifulnazaree@gmail.com. kadar diskaun menarik sah untuk belian tunai sahaja.

terima kasih

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--