Sunday, June 20, 2010

Mengapa sukan harus dijadikan bahan pertaruhan?

0 comments
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Tuhan Yang Maha Esa lagi banyak limpah rahmatnya. Jika mahu dihitung nikmatnya sudah tentu tidak akan terhitung. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Shallalahu 'alaihi wasalam pembawa rahmat kepada sekalian alam. Rahmat dan keselamatan dipohon kepada Allah Subhanahu wata'ala diberikan kepada kaum keluarga baginda, para sahabat dan seluruh pejuang Islam yang membantu baginda Shallalahu 'alaihi wasalam dalam menyampaikan risalah kebenaran ini hingga mampu dikecapi oleh kita pada zaman ini.

Selama lebih kurang lima hari saya tidak dapat menjenguk dan menulis entri terbaru dalam blog ini kerana berada di kampung kelahiran isteri tercinta. Kedamaian suasana dan kehidupan di kampung melahirkan rasa sejuk dalam sanubari. Di antara perkara menarik apabila diteliti dalam suasana kehidupan di kampung ialah suasana ukhwah yang subur. Bayangkan walaupun penduduk kampung hanya sekitar 50 buah rumah sahaja tetapi mampu mendirikan masjid yang tersergam indah tanpa bantuan pihak luar. Ditambah pula pendapatan isi kampung hanya dengan berbekalkan sawah padi dan kebun kelapa sawit. Inilah ajaran Islam yang mementingkan semangat persaudaraan antara sesama penganutnya.

Sepanjang tempoh lima hari itu juga, selain dari membantu bapa mertua menebas semak samun di kebun kelapa sawitnya, saya dianugerahkan kelapangan masa membaca beberapa buah buku dan menilai beberapa artikel tentang beberapa isi di dalam surat khabar tempatan. InsyaAllah ulasan buku saya akan masukkan dalam entri pada esok hari, entri pada kali ini saya ini berkongsi dengan para pengunjung blog tentang suatu isu yang sedang hangat diperkatakan iaitu kelulusan pertaruhan bola sepak secara legal oleh kerajaan. Bersama dengan perbincangan ini, saya muat naikkan artikel ulasan beberapa pemimpin Melayu dan bukan Melayu tentang isu ini.

Bagi diri saya sendiri, saya memang amat meminati sukan bolsepak sedari bangku sekolah rendah lagi. Saya membesar di Kedah yang mana pada ketika itu sewaktu disekolah rendah (84-89), pasukan Kedah merupakan pasukan yang sering layak ke pertandingan akhir Piala Malaysia. Kalau diperingkat dunia, pada waktu itu adalah zaman kemuncak bagi Diego Maradona. Saya sentiasa mengikuti perkembangan bolasepak sehingga saya manjadi seorang guru. Jika diimbas kembali, hampir kesemua stadium bolasepak di Semenanjung saya telahpun sampai, yang belum sampai cuma stadium bolasepak di Johor dan Pahang. Tapi entah kenapa sejak isu judi bolasepak diperkatakan, saya menjadi tawar untuk menonton perlawanan bolasepak Piala Dunia. Saya cuma mengambil tahu keputusan perlawanannya sahaja tanpa menyaksikan perlawanannya lansung di kaca televisyen.

Maka dengan timbul rasa tawar itu, saya mencari jawapan di dalam surat khabar, kalau-kalau ada komen dari pemimpin untuk merungkaikan kekusutan tentang isu judi ini. Maka sepanjang minggu di kampung (14-19 Jun) saya mengumpul artikel dari surat khabar tentang isu pertaruhan dalam bolasepak ini.

Bermula dengan artikel yang di petik dari akhbar sinar harian 14 Jun 2010



Kemudian komen dari mantan Perdana Menteri Malaysia yang paling lama pada 15 Jun yang mana komen ini seolah-olah membuka pintu kelambu





Apabila pintu kelambu sudah di buka, maka banyaklah nyamuk akan masuk dan mengigit orang yang sedang tidur seperti saya (saya yang dimaksudkan ialah orang Melayu beragama Islam)







Saya merasa sedih dengan perkembangan ini, sukan bolasepak yang saya gemari sedari sekolah rendah lagi akan tercemar dengan unsur-unsur yang tidak bermoral dan melanggar batas-batas agama. Perbuatan pertaruhan akan mengundang seribu satu macam masalah nanti. Memang ada benarnya kata-kata Prof Sidek Baba dalam bukunya "Melayu Perkasa", beliau menyatakan "Ramai orang Melayu yang berjaya lupa kepada amanah membangunkan bangsanya, terlalu sombong kepada kedudukan dan jawatan sehingga terlupa ramai di kalangan generasi terdidik Melayu melihat gelagat mereka dengan perasaan kecewa yang amat mendalam. Malahan faktor-faktor yang menjadi asas ketuanan Melayu tidak lagi dilihat sebagai amanah untuk dipertahankan. Meremehkan isu-isu keagamaan dan bahasa Melayu adalah satu contoh penghakisan terancang di kalangan orang Melayu itu sendiri. Ianya dilakukan oleh pemimpin Melayu sendiri yang merasakan jati diri tidak penting lagi dan tidak bersedia untuk mendengar pandangan ilmuan Melayu yang prihatin" (Melayu Perkasa, m/s 202)

Apa saja pendapat dan pandangan yang dikeluarkan jika ianya mendatanga perbalahan maka wajiblah kita mengambil jalan yang amat mudah penyelesaiannya iaitu al-Quran dan Sunnah Rasulullah Shallalahu 'alaihi wasalam. Jelas perbuatan pertaruhan adalah dilarang sama sekali oleh Allah Subhanahu wata'ala sepertimana dalam surah al-Maidah ayat 90-91


"Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan bertenung nasib dengan batang-batang anak panah adalah suatu perbuatan keji yang termasuk dalam perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan itu agar kamu beruntung (90). Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak, judi dan mahu memalingkan kamu dari mengingati Allah daripada mengerjakan solat, maka hendaklah kamu memberhentikannya.(91)
Pada saya yang dhaif dan fakir ini, biar apapun alasan kita dalam isu ini, haruslah kita berpegang kepada Kitabullah dan Sunnah Rasul jika kita berbeza pendapat. Janganlah kita sanggup menggadaikan nilai-nilai Melayu Islam demi untuk keuntungan yang bakal mengundang seribu satu musibah.

Sama-samalah kita bermohon kepada Allah Subhanahu wata'ala semoga kita diberikan taufik dan hidayahnya dan mati dalam keadaan keimanan....

Wasalam dan Assalamualaikum...


Baca selengkapnya...

Sunday, June 13, 2010

Bertemu dengan Sukarelawan Freedom Flotilla

0 comments
Sebagai pemula bicara dalam entri pada waktu ini saya mulakan dengan lafaz segala pujian dan kesyukuran kepada Allah Subhanahu wata'ala kerana rahmat dan kasih sayangNya kepada kita melalui pelbagai nikmat yang tidak terhitung. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia, Nabi Muhammad Shallalahu 'alaihi wasalam yang merupakan pembimbing utama dalam perjalanan manusia menemui Penciptanya.

Kesempatan masa dan ketenangan waktu malam merupakan satu nikmat yang amat tinggi nilainya. Ketenangan waktu malam seharusnya dijadikan waktu untuk kita mendalami ilmu dalam apa cara sekalipun sama ada melalui membaca buku mahupun menghadiri kuliah-kuliah ilmu di masjid dan surau. Alhamdulillah saya merasa begitu bertuah pada malam ini (12/06/10), kerana dapat meluangkan masa untuk menghadiri program "Untukmu Palestina" yang di adakan di tempat saya.

Majlis tersebut di serikan dengan kehadiran dua orang tokoh yang terkenal dengan kerja-kerja amal di Malaysia iaitu Tn Hj Mohd Azmi b Abd Hamid (Setiusaha agung MAPIM) dan Saudara Mustafa Mansur iaitu peserta Misi LL4G yang menaiki kapal Mavi Marmara.

Untuk sesi yang pertama ceramah disampaikan oleh Tn Hj Azmi dengan tajuk "Selamatkan Zuriat Ummah". Isi utama ceramah yang disampaikan oleh Tn Hj Azmi ialah berkenaan dengan masalah keruntuhan akhlak yang amat membimbangkan. Cikgu Azmi menayangkan beberapa gambar bagaimana bayi-bayi luar nikah dibuang seperti bukan manusia. Ada bayi yang dlemparkan di dalam semak, dalam tong sampah dan lebih memilukan apabila melihat anak kecil itu digonggong oleh seekor anjing. Apakah rakyat Malaysia pada hari ini sudah sampai ke tahap bangsa Jahiliyah bahkan pada saya lebih dari itu? Renungkanlah.



Justeru itu, Cikgu Azmi sebagai seorang insan yang amat prihatin dan pejuang yang komited menyeru dan menyarankan setiap individu berusaha dengan sedaya upaya mengambil bahagian dalam usaha membendung masalah ini. Setiap individu Muslim haruslah membendung masalah pokoknya iaitu perbuatan menghampiri zina. Janganlah kita membiarkan anak-anak kita ataupun kaum kerabat kita menghampiri zina. Permulaan kepada perbuatan inilah yang akan mengakibatkan wujudnya masalah yang lebih parah lagi iaitu melakukan hubungan kelamin. Marilah kita bersama-sama cuba sedaya upaya kita mencegah penyakit ini kerana Islam datang dengan kaedah "Prevention is Better than Cure" bukannya kaedah "Merawat setelah Parah"

Slot yang kedua dalam sesi ceramah pada malam tadi disampaikan oleh Saudara Mustafa Mansur iaitu wakil MAPIM (Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia) yang menyertai misi konvoi Life Line For Gaza (LL4G). Saudara Mustafa Mansur menceritakan detik-detik seorang pejuang diancam oleh tentera zionis sewaktu tentera zionis menyerang kapal Mavi Marmara. Untuk makluman pada mulanya Saudara Mustafa Mansur menaiki kapal Chalengger II, tetapi kapal tersebut mengalami masalah maka Saudara Mustafa Mansur diminta menaiki kapal Mavi Marmara.



Saudara Mustafa memulakan dengan salah persepsi beliau ke atas bangsa yahudi. Seharusnya kata beliau, para peserta konvoi harus menyiapkan diri bahawa mereka akan berhadapan dengan kekejaman zionis yang serius. Kerana tentera Yahudi akan melakukan apa sahaja untuk menyeksa para aktivis. Kata Saudara Mustafa Mansur lagi, kepergian ke Palestin bukanlah untuk melancong malah kemungkinan ia pergi untuk tidak kembali lagi.

Saudara Mustafa Mansur menyambung lagi kisahnya ketika tangan diikat dibelakang dan disuruh melutut. Para aktivis dipaksa duduk dalam keadaan itu selama berjam-jam tanpa dibenarkan membuang air ataupun makan. Maka pada waktu itu, timbullah pelbagai persepsi pemikiran yang agak goyang dalam minda Saudara Mustafa. Antaranya, bersediakan untuk syahid dan sejauh mana kesediaan untuk bertemu dengan Allah Subhanahu wata'ala.



Dipendekkan catatan, para aktivis pun dibawa masuk ke Israel dan dimasukkan ke dalam penjara. Takkala itu seluruh dunia menekan Israel dan Israel berada dalam keadaan goyang. Maka teringatlah peristiwa di mana Nabi Muhammad Shallalahu 'alaihi wasalam mengepung Yahudi Bani Qainuqak, di mana rentetan dari peristiwa itu Yahudi di halau dari kota Madinah. Oleh kerana takut akan tekanan dunia dan ancaman serangan oleh Turki maka para aktivis dilepaskan dan tiba di Jordan pada keesokan paginya.

Akhir sekali, Saudara Mustafa Mansur menyarankan kepada semua pejuang perlulah bersiap sedia dengan
1. kekuatan ilmu dan kekuatan roh
2. pemikiran yang amat kuat
3. kekuatan emosi.

Setakat ini dahulu, InsyaAllah saya akan sambung dalam entri yang seterusnya....
Wasalam

Baca selengkapnya...

Saturday, June 12, 2010

Mengatasi Penyakit Tidur dan Malas...

0 comments
Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu wata'ala kerana dengan limpah kurnianya kita dapat bangun dan berada dalam keadaan sihat untuk melakukan aktiviti harian kita. Selawat dan salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad Shallalahu 'alaihi wasalam, keluarga dan para sahabat yang berjuang untuk menyebarkan dan menegakkan syiar Islam di atas muka bumi ini.

Di dalam kitab Bidayatul Hidayah karangan Al Imam Hujjatul Islam Al Ghazali r.a iaitu dalam bab Adab-adab melaksanakan Ketaatan, Imam Al Ghazali berkata "Hendaklah kamu berusaha supaya dapat bangun tidur sebelum terbit fajar dan hendaklah zikrullah (baca doa bangun tidur) yang mendahului segala sesuatu, baik di hatimu atau lidahmu.



Apabila meneliti saranan dari Imam Ghazali ini, ianya adalah satu saranan yang mencabar kerana untuk bangun di kala dini hari adalah suatu yang sukar jika kita tidak membiasakannya sedari kecil lagi. Antara halangan yang perlu di atasi ialah sifat malas dan penyakit mudah tidur kembali setelah bangun dari tidur.

Dalam mencari jawapan untuk mengatasi masalah itu, saya terjumpa satu artikel yang menarik dari Ustaz Fawwaz Fadhil Noor tentang mengatasi masalah di atas. Untuk makluman ustaz Fawwaz ialah anak kepada Almarhum Ustaz Fadhil Noor. Sekarang beliau sedang mendalami ilmu di Mesir. Mungkin satu hari nanti ustaz Fawwaz akan muncul sebagai salah seorang pejuang menegakkan syiar Islam dan mengeluarkan pemikiran umat Islam dari belenggu penjajah. InsyaAllah. Di bawah ini artikel yang saya ambil dari blog beliau "Pemikiran Imam Al-Qardawi". Hayatilah dan cuba atasi masalah malas ini untuk kebaikan kita bersama.

Penyakit mudah tidur dan malas merupakan halangan utama bagi seorang pelajar untuk membaca dan belajar.
Pelajar yang berjaya selalunya mengurangkan waktu tidurnya,dia tidak mengalah kepada mengantuk dan malas.
Tips-tips yang boleh mengelakkan seseorang pelajar daripada tidur:
1: Apabila sesorang itu mengantuk dan berasa malas,jangan turutkan perasaan itu,sebaliknya ubahlah ketempat lain atau lakukan aktiviti lain atau mandi atau berborak dengan kawan seketika,selepas itu dia akan cergas semula.
Apabila kamu menuruti perasaan kamu untuk tidur maka ia akan menjadi kebiasaan kamu apabila kamu terasa untuk tidur kamu terus tidur. Ini akan merugikan kamu di dalam pembelajaran.
“ Barangsiapa menguasai nafsunya sekali dia akan mengusai dirinya selama-lamanya”
2: Fikirkan Kamu Adalah Harapan Umat Dan Agama
Apabila kamu terasa mengatuk dan malas,kamu cuba fikirkan kamu adalah harapan agama dan umat. Cuba bayangkan betapa ruginya agama dan umat apabila kamu tidur. Sebagai seorang pelajar kamu harus sedar bahawa ramai dikalangan umat Islam tidur waktu pertengahan malam atau tidur sampai kesubuh,kalau yang berjaga pun, dia tidak membaca buku.
Maka kalau kamu sebagai pelajar pun tidur, maka siapa yang mempertahankan agama dan umat ini,dalam masa yang sama agama dan umat akan lemah dan ketinggalan.

3: Membaca Buku-Buku Kisah Orang Berjaya
Di antara perkara-perkara yang membantu seseorang pelajar tidak mudah tidur dan malas ialah membaca buku-buku kisah orang yang berjaya. Pembacaan seperti ini penting untuk menanam minat dan semangat untuk mencapai kejayaan di dalam menuntut ilmu.
Apabila sesorang pelajar selalu membaca buku-buku kehidupan ulama,dia akan mendapati bahawa kejayaan di dalam menuntut ilmu tidak akan dicapai dengan berehat sebaliknya ia dicapai dengan kepenatan.
Berkata seorang ulama “ Tidak akan merasai nikmat ilmu mereka yang tida merasai kepenatan di dalam menuntut ilmu”.
Pelajar perlu bezakan di antara kejayaan di dalam peperiksaan dan kejayaan di dalam ilmu. Kejayaan di dalam peperiksaan mungkin kita boleh capai dengan sedikit usaha tetapi ilmu tidak mungkin dicapai melainkan dengan usaha sebab ilmu lautan yang perlu diredah. Dan kebiasaannya orang yang berenang dia merasai kepenatan.

4: Bergaul Dengan Orang-Orang Rajin
Di antara ubat yang paling mujararab seklai kita bergaul dengan orang rajin, tidak membuang masa kepada perkara –perkara yang sia-sia. Selalu menjaga waktunya. Menunaikan kewajipan sebagai pelajar. Tidak menangguhkan kerja yang boleh disiapkan hari ini kepada hari esok kerana sikap suka menangguh kepada hari esok itu adalah sikap orang-orang lemah.
Kata ulama, manusia seperti angin,kalau ia berada ditempat yang wangi,ia akan menjadi wangi,kalau ia berada ditempat yang busuk maka ia akan menjadi busuk. Begitulah manusia. Sebab itulah kata ulama “ Duduklah dengan seseorang,kamu akan jadi sebangsa dengannya”. Maka kita duduk dengan orang rajin insyallah kita akan jadi rajin.
5: Berdoa
Inilah senjata kita yang paling ampuh dengan kita selalu meminta doa kepada Allah Taalaagar dihindari penyakit malas dan mudah tidur bukan pada waktunya. Bacalah doa yang Nabi صلى الله عليه وسلم ajar
اللهم أني أعوذ بك من الهم والحزن، وأعوذ بك من العجز والكسل وأعوذ بك من غلبة الدين وقهر الرجال
Ulanglah doa ini berkali-kali agar kita menjadi muslim yang rajin dan cergas serta kuat. Orang mukmin yang kuat lebih disukai oleh Allah Taala daripada mukmin yang lemah.
Muda-mudahan tulisan ini memberi menfaat kepada saya dan pembaca. Amin

Baca selengkapnya...

Friday, June 11, 2010

Guru Sebagai Penyelidik

1 comments
Alhamdulillah bersyukur saya ke hadrat Allah Subhanahu wata'ala kerana nikmat kesempatan masa dan mempunyai talian internet yang baik walaupun berada di kawasan pinggir bandar. Sesungguhnya nikmat kelapangan masa adalah salah satu di antara nikmat yang besar pada kita yang bergelar manusia. Bayangkan sahaja betapa ramai rakan yang kita jumpa seharian begitu berada dalam kesibukan sekali hinggakan kadangkala terkeluar ungkapan tidak cukup masa.

Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita, Nabi Muhammad Shallalahu 'alaihi wasalam utusan Allah, pembawa berita gembira dan pemberi ingatan kepada kita manusia yang sering lalai dalam setiap lapangan yang kita ceburi. Berbanyak terima kasih diiringi dengan doa kepada para sahabat Baginda dan para seluruh pejuang Islam yang telah bertungkus lumus menongkah arus cabaran pada setiap masa untuk membawa panji agama Islam dengan berteraskan tauhid dan ilmu pengetahuan.

Prof Dr Sidek Baba di dalam bukunya "Melayu Perkasa" menukilkan "Kekuatan Umat Islam Melayu pada masa kini ialah membangunkan modal insan dengan tunjangan ilmu dan proses pendidikan yang integratif atau bersepadu. Tanpa kekuatan ini tidak mungkin kita mampu menghadapi rempuhan globalisasi yang amat hebat jaringannya.". Di antara salah satu kekuatan dalam disiplin ilmu ialah sentiasa melakukan penyelidikan. Sebagai seorang guru yang terlibat secara lansung dalam proses pembangunan modal insan diperingkat akar umbi seharusnya kita senantiasa melakukan penyelidikan demi menaikkan mutu pengajaran kita di dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam kelas.

Alhamdulillah sepanjang tempoh saya terlibat dalam bidang pendidikan ini, saya telah didedahkan dengan kaedah menjalankan kajian tindakan terhadap proses P&P saya. Sepanjang tempoh itu saya telah menjalankan 5 kajian tindakan untuk rujukan peribadi saya dan ada di antara kajian itu membuahkan hasil yang setimpal dengan usaha yang dilakukan. Entri ini bukanlah untuk membincangkan kajian tindakan yang saya jalankan, tetapi entri ini ingin mengulas salah satu buku yang saya baca semasa melaksanakan kajian tindakan. Buku yang saya maksudkan ialah buku "Guru Sebagai Penyelidik" yang ditulis oleh En Abdul Rahman b Abdul Majid Khan (sekarang bertugas sebagai Penolong Kanan Pentadbiran di SMK Malim Nawar, Perak)


Kalau tak silap saya bolehlah saya katakan buku ini antara buku yang pertama membincangkan proses kajian tindakan dalam Bahasa Melayu. Tahniah kepada Cikgu Abdul Rahman.

Penulis membahagikan buku ini kepada enam bab yang membincangkan proses penyelidikan yang harus dilalui oleh seorang pendidik dalam melaksankan kajian tindakan iaitu

Bab 1: Pengertian Penyelidikan
Bab 2: Kajian Tindakan
Bab 3: Proses Kajian Tindakan
Bab 4: Pelan Tindakan Pengurusan Projek dan Kertas Cadangan
Bab 5: Pendokumentasian Laporan
Bab 6: Penyeliaan Pengajaran dan Kajian Tindakan
Itulaha kandungan tajuk-tajuk yang terdapat dalam buku ini. Perlu tuan/puan yang berminat mendapatkannya untuk membedah siasat buku ini. Walaubagaimanapun saya akan cuba memberikan gambaran kasar yang terbaik melalui sinopsis saya dalam proses membaca buku ini. Antara yang terdapat dalam buku ini ialah,

KEPENTINGAN KAJIAN TINDAKAN TERHADAP GURU BARU atau PENGALAMAN

Berikut adalah pendapat mengenai kepentingan kajian tindakan terhadap guru baru atau berpengalaman , iaitu:

1) Guru akan sentiasa memperbaiki mutu P&P
2) Guru akan mendapat idea untuk mempelbagaikan kaedah dan strategi P&P
3) Kajian tindakan dapat membantu guru dalam melahirkan modal insan yang berkualiti
4) Kajian tindakan dapat membantu guru untuk berperanan secara aktif dalam pembangunan pendidikan di Malaysia
5) Guru akan menjadi semakin peka terhadap persekitaran P&P
6) Menanamkan sikap mengkaji dalam diri guru
7) Hasil dapatan kajian tindakan guru boleh berkongsi bersama guru yang lain dengan itu penambahbaikan terhasil melalui gabungan idea yang berbeza dan bermutu
8) Guru akan sentiasa membuat refleksi pada setiap P&P yang dilakukan bagi mencari kelemahan yang perlu diatasi
9) Melalui kajian tindakan, guru dapat menanamkan budaya membaca dalam diri
10) Melalui kajian tindakan guru lebih memahami dan mendekati keperluan pembelajaran pelajar

APA ITU KAJIAN TINDAKAN(KT)

Kajian Tindakan Merupakan satu kajian yang wujud daripada permasaalahan yang diutarakan oleh guru bagi mengenalpasti fokus kepada kajian yang hendak dilakukan di dalam kelas. Hasil daripada permasaalahan yang dikemukakan kajian tindakan akan dilakukan dan ianya di terapkan melalui lingkaran model kajian tindakan yang sesuai( Kemmis & McTaggart (1988)). Ianya melibatkan 2 proses iaitu persoalan dan hasil daripada persoalan yang dikemukakan pengkaji akan menjalankan proses kajian tindakan. Bertujuan untuk melakukan penambahbaikan terhadap permasaalahan yang timbul.

Struktur Utama Menerangkan tentang kepentingan penyataan masalah oleh guru melalui kajian tindakan untuk membangunkan dan membuat pembaharuan dalam cara mengajar dan proses pembelajaran.


MENGAPA GURU PERLU MELAKUKAN KT?

1) Melakukan penambahbaikan terhadap proses pengajaran dan pembelajaran
Guru melakukan kajian tindakan adalah bertujuan untuk membuat perubahan dari segi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas supaya pelajar lebih mudah memahami topik pengajaran.

2) Membina pengetahuan dan pemahaman pedagogi

Pengetahuan dan pemahaman terhadap pedagogi penting bagi guru untuk meningkatkan proses P&P mereka supaya pelajar tidak cepat bosan terhadap pembelajaran di dalam kelas.

3) Meningkatkan keberkesanan amalan mengajar guru dan meningkatkan pencapaian murid.

Amalan mengajar yang berkesan penting untuk meningkatkan pencapaian pelajar. Guru melakukan kajian tindakan untuk melihat penerimaan pelajar terhadap amalan pengajaran yang digunakan.


BILA GURU MELAKUKAN KT


*Apabila guru merasakan wujud permasaalahan yang perlu di perbaikai dan dilakukan penambahbaikan.

*Apabila guru ingin mencuba pendekatan-pendekatan pengajaran yang baru dan difikirkan sesuai terhadap topik yang di ajar.


DI MANA GURU MELAKUKAN KT?


*Kajian ini dilakukan dengan kerjasama guru dan pelajar yang terdiri daripada bakal guru dalam sistem pendidikan.

*Kajian ini dilakukan di sekolah

BEBERAPA PERBEZAAN ANTARA PENYELIDIKAN PENDIDIKAN TRADISI DENGA KAJIAN TINDAKAN

Kajian Tindakan juga tergolong dalam penyelidikan pendidikan. Walau bagaimanapun terdapat beberapa perbezaan antara Kajian Tindakan dengan penyelidikan pendidikan tradisi atau konvensional yang selalu dilaksanakan dalam pendidikan. Perbezaan yang dihuraikan di sini dibataskan kepada beberapa aspek kajian tradisi yang didapati boleh menimbulkan kekeliruan dalam memahami Kajian Tindakan. Aspek-aspek tersebut merangkumi perkara-perkara yang berkaitan dengan peranan penyelidik, tujuan kajian, sampel kajian, serta menggunakan dapatan untuk membuat generalisasi. Penyelidikan pendidikan selalunya dilakukan oleh Institusi Pengajian Tinggi untuk tujuan akademik atau pun oleh individu atau organisasi tertentu untuk tujuan pembentukan dan pengembangan dasar atau program yang berkaitan dengan pendidikan. Dua pihak yang terlibat dalam kajian iaitu penyelidik dan pihak yang dikaji terdiri daripada ahli sesuatu situasi sosial atau organisasi yang berlainan serta memainkan peranan yang berbeza. Contoh, dalam kajian tentang "Minat Pelajar Bandar Dan Luar Bandar Dalam Mata Pelajaran Sains", penyelidik (pihak yang menjalankan kajian) mungkin terdiri daripada Pegawai Pendidikan dari K-ementerian Pendidikan, pelajar atau pensyarah dari Institusi Pengajian Tinggi. Manakala sampel kajian (pihak yang dikaji) pula terdiri daripada murid, guru dan pengetua sekolah di bandar dan di luar bandar.
Lazimnya tujuan sesuatu kajian ialah untuk melihat sejauh manakah sesuatu keadaan sosial wujud. Bagi menentukan sama ada sesuatu keadaan yang dikaji itu wujud atau tidak, dikemukakan beberapa soalan kajian berkaitan dengan perkara yang dikaji. Contoh, sejauh manakah minat pelajar bandar / luar bandar dalam mata pelajaran sains? Atau sejauh manakah kemudahan makmal mempengaruhi minat pelajarterhadap sains?
Penyelidikan pendidikan tradisi menggunakan sampel kajian dari sesuatu kelompok populasi. Contoh, dalam kajian tentang "Minat Pelajar Bandar / Luar Bandar Dalam Mata Pelajaran Sains", kelompok populasi yang dikaji ialah murid, guru sains dan pentadbir sekolah di bandar dan luar bandar. Penyelidik melibatkan sebahagian sahaja daripada keseluruhan kelompok yang dikaji misalnya sebanyak 30% untuk dijadikan sampel kajian. Berasaskan pertimbangan bahawa semua ahli kelompok mempunyai ciri-ciri yang sama seperti dari segi peranan, tanggunjawab, amalan atau lain-lain ciri yang berkaitan dengan perkara yang dikaji, sampel 30% ini dianggap mewakili keseluruhan populasi yang terbabit. Oleh itu dapatan kajian daripada sampel sebanyak 30% boleh dijadikan asas untuk membuat satu anggapan umum atau generalisasi terhadap keseluruhan kelompok populasi tadi. Contoh generalisasi yang mungkin boleh dibuat daripada dapatan kajian ialah "pelajar bandar lebih minat belajar sains daripada pelajar luar bandar". Seiring dengan itu penyelidik juga boleh menggunakan dapatan kajian •untuk membuat cadangan umum bagi meningkatkan minat dalam mata pelajaran sains di kalangan populasi luar bandar. Lazimnya cadangan untuk memperbaiki program dimajukan kepada organisasi pendidikan yang terlibat secara langsung dalam perancangan pendidikan sains di sekolah. Dalam konteks pelaksanaan kajian, peranan penyelidik berakhir setelah laporan kajian disediakan

Sebagai kesimpulannya bolehlah saya simpulkan kajian tindakan sering dan sebaik-baiknya dijalankan oleh pengamal sesuatu bidang (guru). Kajian tindakan adalah kajian berbentuk ilmiah yang dijalankan secara longgar, khususnya apabila kajian dijalankan berkaitan teori-teori atau metodologi pembelajaran di sesuatu kelas. Contonhnya seorang guru yang mencuba kaedah baru serta membandingkan pencapaiannnya dengan kejayaan-kekayaan lampau yang mengguna pakai kaedah-kaedah yang berlaianan sebenarnya sedang melakukan kajian tindakan. Kajian tindakan adalah juga satu bentuk kajian gunaan yang bertindak menyelidik aplikasi sesuatu prinsip atau kaedah dalam situasi khusus. Walau apa jenis pendekatan yang digunakan dalam melakukan kajian tindakan, tidak kira sama ada ia merupakan kajian tindakan yang dilakukan secara besar atau kecil, ciri-cirinya ahruslah bersifat ilmiah, iaitu kajian bersifat sistematik, setiap langkah direncanakan dengan teratur, berkonseptual serta jelas prosedurnya, cermat, teliti dan berobjektif. Ia perlu dijalankan dengan penuh beretika tanpa prejudis atau berkepentingan tertentu, melainkan cuma bertujuan menmbah ilmu memenuhi keperluan tertentu seperti memperbaiki prestasi kerja (ini menyokong maklumat yang terdapat dalam buku "Teacher as Reflective Practitioner and Action Researcher " dimana penulis buku berkenaan berpendapat salah satu sebab mengapa guru perlu melakuan kajian tindakan adalah kerana melalui kajian tindakan ianya dapat melatih guru meningkatkan kemahiran dan pengetahuaanya dalam etika profesion perguruan.
Kajian tindakan merupakan salah satu komponen perkembangan profesional perguruan. Perkembangan profesional merujuk kepada apa sahaja pengalaman yang yang memperkayakan ilmu, penghayatan,kemahiran dan kefahaman guru-guru berhubung kerjanya (Glickman, Gordon & Ross Gordon, 2001:360). Kenyataan ini juga dilihat menyokong maklumat yang diberikan di dalam buku "Teacher as Reflective Practitioner and Action Researcher ", dimana penulis buku tersebut menitikberatkan bahawa kajian tindakan membantu guru dalam meningkatkan keberkesananya pengajarnnya dan profesionalisme. Dalam konteks pendidikan, Edefelt (1979) mencadangkan bahawa perkembangan profesional perlu mengambil kira semua individu sekolah dan sesiapa sahaja yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam urusan penambaikannya. Beach dan Reinhartz (2000:265) menyatakan perkembangan profesional untuk para guru, penyelia dan pemimpin pengajaran adalah peluang bagi mengembang pengajaran, penyeliaaan dan kemahiran-kemahiran pentadbiran secara berterusan.

Wassalam dan Assalamualaikum...


Baca selengkapnya...

Tuesday, June 8, 2010

Peristiwa menarik sepanjang minggu sebelum cuti pertengahan tahun

0 comments


Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu wata'ala kerana dengan rahmat dan limpah kurnianya kita diberikan kelapangan masa untuk berada di dalam alam siber ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Shallalahu 'alaihi wasalam, pembawa berita gembira kepada seluruh umat manusia di alam ini. Terima kasih tidak terhingga kepada sekalian para pejuang Islam yang membawa sinar kebahagiaan dari risalah Rasulullah Shallallahu alaihi wasalam 1400 tahun dahulu untuk dinikmati oleh kita di zaman ini.

Ungkapan daripada hukamak (cendiakawan) Islam yang pernah saya dengar satu waktu dahulu begitu menyentuh perasaan sekali. Beliau berkata "Hidupku di dunia ini indah hanya dengan dua perkara, jika tiada keduanya lebih baik aku mati. Iaitu pertamanya, saat aku bermunajat kepada Allah Subhanahu wata'ala dan keduanya saat aku bertemu dengan rakan-rakan lamaku yang telah bertahun-tahun aku tidak berjumpa dengan mereka." Pada entri ini, saya hanya akan berkongsi pendapat kedua ungkapan beliau yang kedua itu ada benarnya. Dalam minggu-minggu terakhir persekolahan sebelum cuti pertengahan penggal (24/05-04/06) begitu banyak peristiwa yang berlaku. Antaranya lawatan ke Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang, kehadiran bekas pelajar 07/08 dan perhimpunan rasmi sekolah pada hari terakhir persekolahan.

Lawatan ke Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang pada 26 Mei yang lalu memang mengimbau kembali kenangan saya sewaktu berada di menara gading bermula dari tahun 1995 hingga 2000. Waktu berada di USM merupakan antara waktu yang terindah yang pernah berlaku dalam hidup saya. Bayangkan seorang remaja yang datang dari jauh di pendalaman utara Kedah dapat berada dalam suasana kehidupan kampus universiti. Ianya sesuatu yang menarik yang tak mampu saya dapat lupakan sepanjnag kehidupan saya. Tapi kehadiran saya ke USM pada hari itu bukan sebagai pelajar, pada hari itu saya hadir sebagai guru pembimbing. Tujuan lawatan sambil belajar pada hari itu ialah sempena pameran Pertandingan Penyelidikan dan Inovasi Peringkat Kebangsaan 2010 (NRIC 2010). Kalau tak silap saya pertandingan ini adalah pertandingan rekacipta peringakat pengajian tinggi (bolehlah dikatakan begitu). Dalam pemeran itu, rasa saya hampir kesemua universiti awam mengambil bahagian. Ianya merupakan satu pengalaman yang menarik untuk saya dan khususnya untuk pelajar yang menyertai rombongan itu sendiri. Dalam keasyikan melihat pameran, saya disapa oleh seorang pensyarah USM. Rupa-rupanya beliau merupakan teman sebilik saya semasa kursus matrikulasi pada tahun 1995. Perasaan terharu bercampur gembira apabila kami berbual selama lebih kurang 30 minit. Ternyata kenangan lalu begitu menusuk kalbu. Benarlah apa yang dikatakan oleh hukamak tadi, berjumpa dengan kawan lama adalah salah satu perkara yang menarik hati. Kepada rakan-rakan sekuliah dan sekursus semasa di USM dahulu walau dimanapun anda berada, sentiasalah kita memohon doa kepada Allah Subhanahu wata'ala semoga kita senantiasa berada dalam rahmatNya. Amin...

Gambar-gambar semasa lawatan

Kesempatan berada di Pulau Pinang juga memungkinkan saya melawat beberapa tempat yang pernah menjadi tempat bersama rakan-rakan sekuliah menghabiskan masa petang dan malam. Antaranya Bazar Chowrasta dan Padang Kota Lama. Rasanya jika ke Pulau Pinang tak lengkap kunjungan kita jika tidak ke Pasar Chowrasta. Kalau waktu belajar dulu, di Pasar Chowrasta inilah saya bersama dengan beberapa orang rakan selalu ke kedai buku terpakai. Harganya bolehlah dirunding dan kalau nasib kita baik kita akan dapat buku baru yang diterbitkan pada tahun sebelumnya. Kami tiba di Pasar Chowrasta dalam pukul 2 ptg, sempat menunaikan solat Zohor di Masjid Titi Papan. Dulu pernah juga sembahyang di Masjid inidalam tahun 1997. Ini merupakan kali kedua menjejakkan kaki ke sini.




Dulu Padang Kota Lama (Esplanade) memang agak terkenal di kalangan rakan-rakan kerana pada setiap hujung minggu ramai orang sekali. Dapatlah mencuci mata, untung-untung ada yang kena. Sekarang tempat ini hanya menjadi kunjungan orang-orang veteran merehatkan badan. Tapi mujurlah ada tempat "Speaker Square" meriahlah juga pada waktu petang.



Dalam minggu terakhir persekolahan juga, ramai bekas pelajar datang ke sekolah untuk mengambil sijil pelajaran malaysia mereka. Tahniah kepada mereka dan semoga anda semua akan beroleh kejayaan yang gemilang di masa-masa akan datang. InsyaAllah.

Hari terakhir persekolahan pada penggal satu,sebagaimana kebiasaannya diadakan perhimpunan khas untuk memberi amanat dan nasihat kepada pelajar sepanjang mereka menghadapi hari cuti. Banyak juga info yang dimaklumkan kepada semua warga sekolah pada hari itu antara yang sempat saya catit ialah
1. Keputusan Pertandingan Keceriaan Kelas oleh Puan Norlaile Abu Bakar
Tingkatan 4 - Kelas Terbersih (4EE2), Kelas Paling Tak Bersih (4 SKM AUTO/KFL)
Tingkatan 5 - Kelas Terbersih (5PP), Kelas Paling Tak Bersih (5 ABM)
Kelas Paling Bersih Sepanjang Bulan Mei, Tingkatan 5 (5 PPN), Tingkatan 4 (4EE2)

2. Makluman dari Puan Aminah Bt Seman (Ketua Panitia Pendidikan Islam)
Majlis Bacaan Yaasin akan diadakan pada setiap hari Jumaat bermula dari 26/06 hingga 29/10. Program ini bertujuan untuk membina sahsiah dan peribadi remaja yang lebih cintakan ilmu pengetahuan.

3. Pn Rosliza bt Mustafa
Pengunjung bertuah untuk Hari Buku Sekolah
Tingkatan 5 (Mat Tohir - 5ABM)
Tingkatan 4 (Asnawi - 4EE1)
Guru (Pn Fauziah dan Cik Hajar Marhamah)



Gambar semasa perhimpuan 04 Jun 2010, gelagat beberapa pelajar dan fesyen pakaian pelajar lelaki sekarang. Lihat seluar yang terlondeh yang hendak menampakkan seluar dalam (underware)

Itulah adanya sedikit coretan saya sempena cuti persekolahan ini.Kepada semua pelajar SM Teknik Kuala Kangsar, saya mengucapkan selamat bercuti dan jangan lupa tanggungjawab kita sebagai pelajar dan paling penting jangan lupa melaksanakan tanggungjawab kita kepada Allah Subhanahu wata'ala.

Wassalam dan Assalamualaikum...

Baca selengkapnya...

Saturday, May 22, 2010

Renung dan fikir....

0 comments
Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu wata'ala atas segala rahmat dan kurniaNya. Apabila di kenang-kenang dan dinilai sudah tentu kita akan merasai yang bahawa sesunggunhnya kita tiadalah memiliki apapun melainkan mengharapkan rahmat Allah semata-mata.

Selawat dan salam atas junjungan besar Nabi Muhammad Shallalahu 'alaihi wasalam, sinar cahaya dan rahmat bagi sekalian manusia. Walaupun tidak pernah kita menatap wajah Rasulullah, namun setiap hari apabila semakin mendekati ajaran dan nasihat beliau terasa Rasulullah memang adalah seorang insan terpilih sebagai rahmat sekalian alam.

Entry pada kali ini bertujuan untuk berkongsi secangkir maklumat yang saya dapat melalui pembacaan sebuah kitab karangan seorang ulama Islam terkenal iaitu Ibnu Qayyim al-Jauzi berjudul "Merawat Penyakit Hati". Tambahan pula saya terbaca sebuah artikel (entri pada 15 Mei 2010) dalam blog sahabat saya "Akar Bangsa" yang membicarakan soal penyakit hati.



Maka terdetik di hati untuk berkongsi ilmu dengan rakan-rakan pengunjung sekalian.

Kemudian daripada itu,



Syeikh Ibnu Qayyim al-Jauzi dalam kitabnya berpendapat hati terbahagi kepada tiga iaitu:
* Hati yang sihat dan selamat, iaitu hati yang selalu menerima, mencintai dan mendahulukan kebenaran. Pengetahuannya tentang kebenaran benar-benar sempurna, juga selalu taat dan menerima sepenuhnya.
* Hati yang keras, iaitu hati yang enggan menerima dan tidak taat dan menerima sepenuhnya.
* Hati yang sakit, jika penyakitnya sedang teruk, maka hatinya menjadi keras dan mati, jika ia mampu melawan dan mengalahkan penyakit hatinya, maka hatinya akan menjadi sihat dan selamat.

Makanya, daripada ketiga-tiga wajah hati yang tersebut di atas, apa yang perlu diusahakan oleh setiap individu yang menjadi Muslim ialah memiliki sekeping hati yang sihat dan selamat. Jika kita merasakan hati kita keras ataupun sakit, maka hendaklah sedaya upaya berusaha mengatasi hati keras dan mengubati hati yang sakit. Hati yang keras dan sakit, jika dibiarkan akan menghadapi beberapa perkara yang bahaya dan mudharat. Antara yang ditakuti ialah seperti memandang perkara buruk dan baik adalah sama sahaja atau mungkin mempercayai yang baik itulah mungkar dan yang mungkar itulah baik, menjadikan hawa nafsu sebagai pedoman dan pada akhirnya akan menjadikan bisikan syaitan sebagai penyuluh arah sepanjang kehidupan.

Saudara-saudara pengunjung yang dirahmati Allah sekalian,

Hati yang sedang sakit dan keras tidak boleh diubati dengan kebendaaan maksud saya dengan wang dan harta. Ianya perlu dirawat dengan dengan menbaca al-Quran dan berusaha mendalami isi kandungan maknanya. Selain itu kita perlu sedaya upaya mengamalkan apa yang mampu kita amalkan dari al-Quran berpandukan pedoman yang diberikan oleh Rasulullah Shallalahu alaihi wasalam. Kerana berusaha mengamalkan sunnah akan menghidupkan hati. Melalui al-Qurang juga kita dapat menambah pengetahuan kita dan membantu ke arah pembentukan akhlak terpuji.

Membaca al-Quran juga boleh menjana ingatan kepada Allah dan meneguhkan ketakwaan. Inilah sebenarnya tujuan al-Quran diturunkan kepada manusia. Firman Allah dalam surah Al-Isra' ayat 82 yang bermaksud "Dan kami turunkan dari al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman dan al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang yang zalim selain kerugian." Maka melalui intipati ayat ini jelaslah selalu membaca al-Quran akan membantu mengingati Allah Subhanahu wata'ala serta mengindahkan hati, menenangkan fikiran dan perasaan. Umpama ungkapan Ibn Qayyim dalam bukunya zikir itu penting bagi manusia seperti perlunya ikan kepada air.

Saudara-saudara pengunjung yang mempunyai masa untuk berada di sini,

Kita hendaklah selalu perlu ada keinsafan dalam hati bahawa kita hanya sebagai hamba hina disisi Allah. Rasa rendah diri, menjadikan ibadah yang dilakukan dengan ikhlas, bersungguh-sungguh dan berkualiti. Rasa rendah diri sudah pasti akan menghindarkan dari sifat sombong dan menyakini bahawa hanya Allah yang Maha Besar dan Maha Agung. Orang yang sentiasa merendah diri, hatinya akan menjadi tenang, senang menerima hidayah serta mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah. Sabda Rasulullah Shallalahu alaihi wasalam, bermaksud:" Allah tidak menambah terhadap hamba yang memberi maaf melainkan kemuliaan, dan seseorang tidak merendahkan diri kepada Allah melainkan Allah meninggikannya." (Hadis riwayat Muslim).

Hati juga akan berkembang mekar apabila sentiasa mengingati kematian yang pasti akan kedatangannya. Makhluk yang lemah seperti manusia satu masa nanti pasti akan mengalami peristiwa kematian. Apabila sentiasa ingat tentang kematian yang pasti tiba, sudah tentu akan melembutkan hati.

Saudara-saudara pengunjung yang mempunyai kelapangan,

Memang tidak dapat disangkal berlakunya pelbagai masalah sosial, keruntuhan akhlak di kalangan masyarakat baik remaja mahupun dewasa dewasa ini adalah akibat dari tandusnya budi pekerti dan budaya Islam. Ini berlaku adalah akibat daripada penyakit hati sedang menular dalam masyarakat kita hari ini. Masyarakat hari ini terlalu jauh dengan nilai-nilai Islam. Terlalu banyak remaja yang malas melaksanakan ibadah fardhu, enggan menerima nasihat, tidak gemar meluangkan masa mendengar ceramah atau menghadiri majlis ilmu. Awas kerana sabda Rasulullah Shallalahu alaihi wasalam bermaksud,"Dan sesungguhnya sejauh-jauh manusia daripada Allah adalah mereka yang berhati keras." (Hadis riwayat at-Tirmizi).

Kekerasan hati boleh dilembutkan apabila kita sentiasa mengisi waktu dengan perkara yang mendekatkan diri kita kepada Allah. Renungkan dan fikirkanlah.....



Wassalam......

Baca selengkapnya...

Monday, May 17, 2010

Anda ingin berjaya, bacalah buku ini.....dan berusahalah

0 comments


Alhamdulillah kita panjatkan puji dan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu wata'ala yang telah memudahkan kita hambaNya yang dhaif ini untuk berada dan meluangkan masa melayari internet pada ketika ini.

Selawat dan salam untuk junjungan mulia Nabi Muhammad Shallalahu alaihi wasalam penghulu segala ambiya. Sesungguhnya pengutusan Nabi Muhammad Shallalahu alaihi wasalam adalah rahmat untuk sekalian alam. Teringat saya kisah dalam sirah Rasulullah Shallalahu alahi wasalam di awal permulaan baginda hendak menerima wahyu. Semasa Rasulullah Shallalahu alaihi wasalam dalam perjalanan ke Gua Hira', baginda ditegur oleh batu dan pokok-pokok dengan ucapan salam "Assalamualaikum, wahai pesuruh Allah". Sungguh ajaib peristiwa ini dan ianya kekal menjadi sebagai salah satu bukti bahawa baginda memang pesuruh Allah.

Masa yang terluang yang merupakan anugerah yang amat berharga. Dalam kelapangan masa itu sempat saya membaca sebuah buku bertajuk "Jika anda ingin berjaya, Bersolatlah".




Buku ini merupakan karya seorang pakar motivasi dan penulis yang prolifik. Beliau lebih dikenali dengan nama Ustaz Muhammad Rusli Amin.
Ustaz Muhammad Rusli Amin lahir di Maluku Utara pada tanggal 30 Disember 1962. Beliau adalah seorang penceramah di Indonesia. Sehingga kini, beliau sudah menulis sebanyak 20 buah buku.

Buku ini sebenanya merupakan sebuah buku yang membincangkan hikmah solat dari sudut motivasi untuk kejayaan. Memang bertepatan sekali tajuk ini dihuraikan oleh Ustaz Muhammad Rusli Amin kerana Ustaz Muhammad Rusli memang merupakan seorang pakar motivasi yang terkenal di Indonesia. Malah buku ini memaparkan prinsip-prinsip kejayaan dalam solat yang pasti akan memberikan inspirasi kepada dalam usaha mengubah kehidupan dan mendapatkan keuntungan dan kemulian diri. Buku ini mengandungi 14 topik yang kesemuanya merupakan hikmat kepada pensyariatan solat.
Bab 1: Hidup Bersama Solat
Bab 2: Hikmah daripada Niat Solat
Bab 3: Keikhlasan
Bab 4: Kekuatan Motivasi
Bab 5: Tindakan menentukan kejayaan
Bab 6: Modal Rohani
Bab 7: Pengulangan
Bab 8: Memperbaharui Diri
Bab 9: Mendahulukan yang Utama
Bab 10: Menjadi Manusia yang Cekal Menghadapi Ujian
Bab 11: Melakukan dengan Lebih banyak
Bab 12: Konsentrasi
Bab 13: Pengurusan Masa Demi Kejayaan
Bab 14: Mengembangkan Kekuatan Habluminannas

Hakikat sebagai seorang manusia yang mengakui dirinya sebagai seorang Muslim memang tidak dapat dipisahkan dengan bersolat wajib sebanyak lima waktu sehari semalam. Ini ditambah pula dengan solat-solat sunat untuk menambahkan kekuatan iman dan keikhlasan kepada Tuhan yang Maha Pencipta. Solat sebenarnya bukan hanya soal ritual semata-mata, tetapi mengandungi pengajaran, makna dan hikmah dalam pelaksanaannya. Hikmah itulah yang seharusnya mewarnai kehidupan seorang Muslim sepanjang menempuh hidup di dalam dunia ini.

Saya tertarik dengan ulasan penulis dalam Bab 13 yang membincangkan hikmah solat dan pengurusan masa. Tanpa disedari rupanya-rupanya ibadah solat mengajar kita mengenai kepentingan waktu, ketetapan waktu dan lebih berdisiplin terhadap waktu. Antaranya penulis memuatkan kata-kata Maulana Syeikh Abu al-Hasan Ali an-Nadwi yang mengungkapkan
"Solat fardhu yang lima ini, dengan waktu dan rakaatnya, adalah makanan rohani. Ia suntikan kesihatan yang menghilangkan segala penyakit manusia. Ia disyariatkan oleh Sang Pencipta yang bukan hanya menguasai jiwa manusia tetapi lebih daripada itu. Dialah yang mencipta segalanya dengan pengetahuan dan kebijaksanaan yang tidak terbatas. Maka kita perlu beriman dan tunduk kepada hikmah yang disyariatkanNya. Kita harus mengerjakan solat tepat pada waktunya, dengan didorong ketaatan dan ketundukan pada perintah Allah. Tiada yang tahu mengenai rahsia waktu-waktu itu kecuali Allah dan RasulNya. Demikian juga mengenai cahaya, keberkatan dan rahmat Allah yang turun pada waktu-waktu itu."

Percayalah dengan membaca buku ini pasti saudara akan dapat merasai dan mengalami perubahan luar biasa dan mendapat inspirasi daripadanya. InsyaAllah...

Baca selengkapnya...

Saturday, May 15, 2010

Guru....Jasamu tak ternilai bagiku....

0 comments


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Segala puji dan syukur hanya bagi Allah Tuhan semesta alam. Selawat dan salam untuk Rasulullah Shallalahu 'alaihi wasalam.

Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu wata'ala yang telah memberikan kita kesempatan masa untuk meluangkan masa untuk berada di dalam alam siber ini. Nikmat kesempatan masa adalah antara nikmat yang amat berharga jika kita menilai hakikat masa dengan sebenar-benarnya. Masa sesungguhnya begitu penting dalam kehidupan seseorang manusia. Sebagai contoh kalau saya mengambil kira diri saya sendiri, sedar atau tidak saya telah lama meninggalkan alam persekolahan walaupun terasa baru sahaja berada di Tingkatan 5.




Hakikatnya, haruslah kita sentiasa sedar umur kita semakin meningkat dan kita akan semakin hampir untuk meninggalkan alam dunia dan menuju ke alam yang seterusnya.

Saudara-sauadara pengunjung yang berbahagia,
Dalam merentasi kehidupan di alam ini, antara perhiasan yang amat baik untuk diri kita ialah kita mempunyai kekuatan dalam ilmu pengetahuan. Dengan adanya bekal ilmu pengetahuan dalam diri kita, kita akan mampu untuk menongkah arus cabaran yang bakal datang sepanjang perjalanan hidup kita. Dalam proses pencarian ilmu pengetahuan, sedar atau tidak kita akan menemui dan belajar dengan guru. Guru ibarat pembantu dan pembimbing bagi kita sepanjang proses pencarian ilmu pengetahuan.

Tidak kira apa jua status jawatan kita sekarang sama ada jurutera, doktor,peguam, menteri kabinet atau sesiapa sekalipun, jika ditanya siapakah yang banyak berjasa dalam membantu mereka membina kerjaya dan masa depan selain dari ibu bapa, sudah tentu jawapannya 'cikgu'. Sebagai contoh, antara amalan yang dilakukan oleh ulama dan cendiakawan Islam pada masa yang lampau dalam menulis kitab mereka ialah menyatakan nama guru yang pernah mengajar mereka.

Guru ibarat lilin yang membakar diri yang pada akhirnya ia akan musnah (Walaupun saya tidak bersetuju dengan peribahasa ini kerana mengambarkan guru pada akhirnya tidak akan dikenang kerana lenyap dari pandangan mata) akan berusaha dengan gigih dan tekun untuk memastikan anak bangsanya menjadi insan yang berguna pada suatu hari nanti. Sepanjang kehidupan saya sebagai pelajar dan menjadi guru, belum pernah saya bertemu dengan seorang cikgu yang mendoakan kegagalan anak didiknya. Jasa dan pengorbanan cikgu dalam memenuhi tanggungjawab mendidik anak bangsa sememangnya tidak dapat di nilai dengan wang ringgit ataupun apa bentuk material sekalipun. Hanya kepada Allah sahajalah terserah bagaimana ganjaran yang bakal diterima kelak.



Tidak dapat saya gambarkan betapa mulianya hati seorang guru dalam mendidik pelajar untuk mencapai kejayaan tanpa mengira darjat, kaum dan agama. Walaupun berlaku perubahan dalam sistem kehidupan manusia sama ada dari segi sistem politik atau sosial, profesion perguruan tetap disanjung tinggi dikalangan masyarakat yang menyifatkannya sebagai suatu kerjaya yang mulia dan berjasa. Malah boleh dikatakan kerjaya guru memerlukan suatu anjakan minda yang maksima kerana seorang guru itu tidak hanya mendidik berdasarkan mata pelajaran yang di ajarnya sahaja tetapi tumpuan lebih daripada itu. Sebagai contoh seorang guru haruslah mempunyai kebolehan dalam bidang lain seperti menyampaikan tazkirah,mengendalikan aktiviti sukan, menguruskan unit beruniform, menyelenggara aktiviti kelab dan persatuan dan lain-lain aktiviti luar darjah. Melalui aktiviti ini, kadang-kadang jiwa anak didik dapat dibentuk untuk lebih menghargai ilmu.



Seorang guru sebenarnya sentiasa berusaha memupuk nilai positif kepada pelajar dengan menerapkan nilai-nilai murni di hati pelajar sambil menaikkan semangat cintakan agama seterusnya akan melahirkan satu generasi yang mencintai Islam, sayangkan negara disamping berkebolehan menjaga hubungan antara kaum dalam konteks masyarakat majmuk seperti di Malaysia.

Malah tidak keterlaluan jika saya katakan, tanggungjawab guru sebenarnya lebih luas daripada berada di dalam kelas kerana guru senantiasa bertindak sebagai ibu bapa kedua yang berperanan mencorakkan masa depan pelajar. Ini dapat dilihat melalui peranan guru di sekolah-sekolah berasrama samada asrama penuh ataupun asrama harian. Guru-guru yang bergelar warden adalah ibu bapa kepada pelajar sepanjang pelajar berada di dalam kawasan asrama.



Justeru itu, tidak hairanlah pada tanggal 16 Mei setiap tahun, sambutan Hari Guru diadakan di Malaysia bagi meraikan dan menghargai jasa para pendidik yang bertungkus lumus menabur jasa dan bakti demi memastikan anak bangsa mencapai kejayaan.

Terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana pada tanggal 16 Mei, seluruh sekolah di serata pelosok negara akan meraikan sambutan Hari Guru sama ada secara besar-besaran atau sederhana (mengikut kemampuan kewangan kelab guru sekolah) bagi menunjukkan penghargaan kepada insan yang setiap hari tanpa jemu berusaha menerangi kehidupan orang lain. Pada hari itu juga pelbagai aktiviti dijalankan seperti nyanyian lagu "Guru Malaysia" oleh guru dan aktiviti permainan bersama pelajar. Hari itu hanya datang sekali dalam setahun, jadi kebanyakkan guru pasti tidak akan melepaskan peluang menunjukkan bakat yang telah terpendam selama setahun!......

Bagi pelajar, kesempatan menikmati hari itu umpama peluang keemasan mereka melahirkan rasa hormat atau penghargaan mengikut cara masing-masing sama ada melalui kad atau ucapan sebagai tanda kenang-kenangan.

Setiap tahun, sambutan Hari Guru mempunyai temanya yang tersendiri sebagai contoh pada tahun 2010 temanya berbunyi "Guru Pembina Negara Bangsa". Semoga tema ini dapat dijayakan dengan sepenuhnya oleh rakan-rakan guru sekalian. Pada tahun ini lebih 300,000 guru diseluruh negara akan diraikan pada hari tersebut. Tahniah cikgu dan teruskan usaha anda yang mulia.

Akhir sekali kepada semua guru-guru yang pernah mendidik saya hingga mampu berdiri dengan jayanya sebagai seorang manusia..."Terima Kasih Cikgu"...Saya sentiasa mendoakan cikgu selamat di dunia dan di akhirat tak kira di mana pun cikgu berada..

Wassalam.....

Baca selengkapnya...

Tuesday, May 11, 2010

Kita selalu lupa pada sumbangan guru kita.....

0 comments
Segala pujian dan syukur kepada Allah Subhanahu wata'ala atas segala nikmat yang dikurniakan ke atas kita. Nikmat kesihatan dan kelapangan masa adalah antara nikmat yang tak dapat di nilia dengan apa sahaja kemampuan yang kita ada.

Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wasalam. Terima kasih yang tidak terhingga kepada para pejuang Islam sedari zaman sahabat, tabi'in, tabi' tabi'in hinggalah ke zaman kita ini kerana membawa sinar kebenaran sampai mampu dirasai dan di nikmati oleh kita generasi akhir zaman.

Kerjaya sebagai seorang guru adalah suatu kerjaya yang amat memerlukan ketenangan yang lahir dari dalam lubuk hati yang dalam. Tanpa ketenangan itu tak mungkin seorang guru akan mampu mentarbiah dan mengajar dengan baik di dalam kelas.

Entah kenapa sejak saya menceburi dalam bidang pendidikan sebagai seorang guru sedari tahun 2002, apabila tiba bulan Mei setiap tahun saya akan sentiasa merasakan sesuatu tentang profesion ini. Bulan Mei adalah bulan yang agak istimewa di kepada guru di Malaysia kerana pada tarikh 16 Mei telah diwartakan sebagai Hari Guru. Untuk makluman tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada tarikh yang sama dalam tahun yang sama 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council ) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report Of The Education Commitee ) sebagai dasar pelajaran negara kita. Dokumen tersebut dikenali sebagai Laporan Razak, telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak hari itu. Setelah diluluskan dalam kabinet pimpinan Tun Abd Razak, maka perayaan hari guru mula di sambut di negara kita bermula pada tahun 1972 dengan tema "Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara ".

Tetapi lama kelamaan kita semakin terlupa dengan sumbangan individu yang bergelar guru atau lebih dikenali dengan panggilan "cikgu". Cikgu-cikgu di serata pelusuk negara sebenarnya antara pejuang dan peyumbang terbesar dalam melahirkan pemimpin baik dalam keluarga, masyarakat mahupun dalam negara. Namun apabila kita semakin dewasa dan semakin hebat dari segi material yang ada pada kita, kita lupa siapakah yang berjaya mengubah kita menjadi seperti sekarang.

Malah sejak akhir-akhir ini, apabila tiba sahaja tarikh perayaan hari guru, ada sahaja aktiviti yang kurang menggembirakan hati para guru. Sebagai contoh pada tahun guru-guru disuruh membawa penyapu dan penyodok untuk membersihkan kawasan sekolah pada hari guru. Sudah tentu ramai guru yang terasa kecil hati dengan tindakan ini.

Begitu juga pada tahun ini, program gotong royong Satu Malaysia telah di tetapkan oleh Kementerian di adakan pada 15 Mei 2010. Sepatutnya hari itu hari untuk guru berehat di rumah bersama keluarga sambil menanti mana tahu ada bekas pelajar atau pelajar datang menziarah di rumah. Antara beratus ribu guru yang ada di Malaysia ini, sudah tentu ada yang tidak berpuas hati dengan penetapan yang dilakukan oleh pihak kementerian, sebagai contoh luahan seorang guru dari Sarawak dalam akhbar berita harian



Pihak Kementerian Pelajaran menegaskan program gotong royong ini adalah sebagai pemangkin kepada ikatan ukhwah antara guru dan pelajar. Sebagai mana jawapan Unit Komunikasi Korporat, KPM seperti di bawah



Betulkah dakwaan ini? Hanya guru dan pelajar sahaja tahu tentang perjalanan aktiviti gotong royong.

Sek Men Teknik Kuala Kangsar juga tidak ketinggalan menjalankan aktiviti gotong royong ini. Cumanya fokus utama gotong royong pada kali ini adalah dikawasan asrama. Alhamdulillah sambutan dan kerjasama dari pihak guru amat baik sekali. Cumanya kehadiran pelajar adalah agak mengecewakan kerana ramai pelajar pada hari itu terlibat dengan perlawanan ragbi MSSPk, program Bahasa Melayu dan juga kehadiran pelajar luar yang amat mendukacitakan. Walaupun kehadiran pelajar tidaklah memberansangkan namun program tetap dijalankan dengan jayanya. Itulah kehebatan profesion guru, program tetap akan dijalankan walaupun mempunyai kekurangan tenaga kerja.







Akhir sekali, saya mengucapkan "Selamat Hari Guru" buat semua guru di Malaysia terutama guru-guru yang pernah mengajar saya di SK Langkasuka Yan (84-89), SM Yan (90), SM Ibrahim Sg Petani (90), SM Tuanku Syed Putra Perlis (90-94) dan SM Sultan Mohamad Jiwa Sg Petani (95-96). Semoga anda semua senantiasa di rahmati Allah dan berada di dalam lindungan rahmatNya. InsyaAllah.....

Baca selengkapnya...

Tuesday, May 4, 2010

Buku yang harus di baca oleh setiap ketua keluarga..

0 comments
Alhamdulillah bersyukur kita kepada Allah Subhanahu wata'ala kerana dengan limpah rahmat-Nya mampu dan dapat kita meluangkan masa untuk berada di dalam alam siber ini. Sesungguhnya tiadalah berupaya kita sebagai manusia untuk melakukan sesuatu perkara melainkan hanya dengan rahmat dan pertolongan dari Allah Subhanahu wata'ala jua.

Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita, Nabi Muhammad Shallallahu alaihi wasalam penghulu segala anbiya serta menjadi utusan terakhir yang membawa sinaran yang terang benderang untuk dinikmati oleh sekalian manusia.

Alhamdulillah kesempatan masa yang ada pada bulan April yang lepas sempat saya gunakan untuk menghabiskan membaca sebuah buku karangan Professor Dr Sidek Baba. Buku yang saya maksudkan itu ialah buku "Keluarga Sakinah"



Seperti mana yang saya nukilkan dalam entri saya sebelum ini, saya amat meminati tulisan-tulisan Professor Dr Sidek Baba sejak membaca beberapa tulisan beliau di dalam salah sebuah akhbar arus perdana. Cikgu Sidek (panggilan mesra beliau), setakat ini telah menghasilkan 14 buah buku. Alhamdulillah setakat ini saya telah membaca 4 buah buku tulisan beliau. Cumanya pada entri kali ini saya akan berkongsi sedikit sinopsis tentang apa yang saya baca dalam buku "Keluarga Sakinah"

Melihat pada tajuk buku ini pada mulanya di Pustaka Syafi Kuala Kangsar pada anggapan saya ianya hanyalah sebuah novel biasa. Namun detikan dan ilham dianugerahkan oleh Allah Subhanahu wata'ala untuk membeli dan membacanya. Rupanya-rupanya buku ini amat berkaitan sekali dengan konsep "Rumahku Syurgaku' yang menjadi tuntutan dalam agama Islam yang saya anuti.

Perkataan sakinah adalah perkataan Arab yang membawa maksud tenang. Keluarga yang tidak tenang, tidak bahagia jauh sekali mampu bersifat syurga. Justeru itu, perlulah kita kembali menghayati al-Quran dan Hadis Rasulullah tentang penduan menghasilkan keluarga yang tenang dan sejuk mata memandang. Hanya dengan panduan kedua-dua sumber itulah yang mampu membina sebuah keluarga sakinah.

Terdapat 40 bab dalam buku ini yang membicarakan pelbagai topik bermula dari hikmah manusia dijadikan berpasang-pasangan. Penulis mengemukakan pandangan Islam dan Barat tentang kejadian manusia dalam berpasang-pasangan. Dalam bab-bab yang seterusnya penulis menghuraikan kepentingan berkeluarga, persiapan menjadi ibu dan ayah, membina keluarga dan rumahtangga, memelihara anak-anak sebagai zuriat untuk masa depan, membentuk watak anak, komunikasi dalam keluarga dan bab-bab yang terakhir membicarakan persiapan meninggalkan anak-anak yang soleh dan solehah.

Pada saya, kesemua topik yang diutarakan oleh penulis adalah lengkap kerana penulis berhujah membebaskan pemikiran dangkal dan sempit oleh pasangan sejenis (gay dan lesbian) iaitu persamaan dan hak atau gender. Pasangan-pasangan ini mendakwa mereka juga berhak hidup bersama malah harus diiktiraf sah kerana diikat atas nama tali perkahwinan. Tetapi mereka sebenarnya lupa apabila disebut soal pembentukan keluarga dan melahikan zuriat, mereka benar-benar memporak perandakan institusi masyarakat dengan budaya hidup yang amat memalukan

Penegasan penulis dalam bab-bab pembentukan keluarga sakinah, institusi kekeluargaan bermula dengan ibu bapa yang merupakan sekolah pertama bagi zuriat yang dilahirkan. Anak-anak adalah kain putih, ibu bapalah yang mencorakkan kain putih itu. Seharusnya ibu bapa berusaha sedaya upaya menjadi contoh tauladan dan ikutan yang baik kepada anak-anak.

Antara tanggungjawab atau amanah penting ibu bapa yang disebut penulis kepada anak-anak mereka ialah mengajar anak-anak cara bersyukur kepada atas segala nikmat dan terutama sekali nikmat dilahirkan dalam Islam dan menjadi Muslim. Tujuan ajaran ini adalah agar anak-anak tidak kufur dan merasakan bahawa nikmat Islamlah nikmat yang paling agung sekali dalam semua-semua nikmat Allah yang tidak terhitung banyaknya.

Saya amat tertarik dengan bab penutup buku ini iaitu bab 40 : "Meninggalkan anak-anak yang soleh". Sebenarnya sedar atau tidak masa kita berpindah ke alam yang keempat semakin hampir. Nabi Muhammad berpesan kepada kita, iaitu ada tiga perkara yang pahalanya tidak akan putus walaupun setelah kita meninggalkan alam dunia iaitu 1. Ilmu yang bermanfaat, 2. Sedekah jariah dan 3. Anak-anak yang soleh. Pandangan penulis dalam bab ini membuktikan penulis seorang yang berpengalaman dalam dunia pendidikan berdasarkan pengalaman-pengalaman beliau selama ini. Untuk menghasilkan anak yang soleh bukanlah suatu tugas yang mudah tetapi ianya boleh diusahakan kerana panduan dan petunjuk telah diberikan oleh Nabi Muhammad Shallallahu alaihi wasalam. Kata penulis "Pembentukan anak soleh boleh berlaku menerusi kaedah didikan atau tarbiah yang berterusan. Anak yang soleh mempunyai jalur berfikir yang lebih jelas dan benar serta dalam masa yang sama mampu menyelesaikan masalah berbangkit walaupun sesukar mana. Anak soleh seperti ini akan menaburkan jasa yang baik kepada umat, dirinya dijadikan contoh dan teladan dan sebutan, wataknya merendah diri dengan jiwa tawadduk yang disegani serta doanya adalah doa yang baik dan bakal diterima Allah"

Buku ini mesti dibaca bagi setiap ketua keluarga dan pasangan yang ingin mendirikan rumahtangga. Ini kerana pembentukkan mujahid dan mujahidah bermula daripada tarbiyah dan contoh teladan dari seorang bapa.

Sekadar berkongsi maklumat...Wassalam.


Baca selengkapnya...

Thursday, April 29, 2010

Bertemu dengan Prof Sidek Baba....

0 comments
Alhamdulillah segala puji tertentu itu hanya untuk Allah Subhanahu wata'ala. Sesungguhnya begitu luas sekali rahmat Allah ke atas makhluknya, kalau sekiranya dihitung sudah tentu sehingga akhir hayat manusia pun, mustahil manusia akan mampu menghitungnya.

Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wasalam penghulu segala anbiya. Tahniah dan terima kasih kepada para pejuang Islam dari zaman tabi'in, tabi' tabi'in hinggalah ke zaman sekarang kerana usaha yang dilakukan oleh mereka semua dapatlah kita di zaman ini menikmati cahaya Islam.

Sebenarnya entri ini seharusnya dimasukkan pada 27 April yang lalu, tetapi tiada kesempatan masa maka saya masukkan pada hari ini. Alhamdulillah, kelapangan masa yang diberikan pada saya pada malam 27 April yang lalu dapat saya gunakan untuk menghadiri satu program kerohanian di Masjid Ubudiah Kuala Kangsar.

Majlis ini diserikan lagi dengan kehadiran tokoh yang amat saya segani iaitu Prof Sidek Baba. Keinginan bertemu dengan beliau setelah membaca buku "Keluarga Sakinah' karangan beliau, Alhamdulillah diperkenankan oleh Allah Subhanahu wata'ala.



Ini merupakan pertemuan pertama saya dengan Prof Dr Sidek di dalam suatu majlis ilmu. Kagum rasanya saya terhadap Cikgu Sidek (panggilan yang beliau anjurkan) apabila melihat ketenangan dalam menjawab soalan yang diajukan oleh moderator forum, Ust Sofian b Hj Abdul Latif. Nampak betul ketinggian ilmu yang ada pada Cikgu Sidek.

Antara soalan di jawab oleh Cikgu Sidek yang sempat saya catat ialah
" Mengapa umat Islam di Malaysia tidak menghayati ajaran Islam walaupun mengetahui keindahan Islam?"
Jawapan: Kita harus melihat punca kepada masalah 'root causes". Kata Prof Naquib al-Atas "Orang Islam mengalami masalah kehilangan adab, ilmu yang silap telah diajar kepada kita, kita belajar ilmu Barat dan lupa ilmu Islam". Sebenarnya permulaan keruntuhan akhlak berlaku 20 tahun yang lalu di Amerika Syarikat dan benua Eropah. Apa yang berlaku di Barat 20 tahun yang lampau berlaku di Malaysia sekarang. Masalah akarnya ialah corak pembentukan manusia yang mengalami masalah. Seharusnya corak pembentukan manusia adalah merujuk kepada qudwah hasanah dari Rasulullah bukannya menjadikan idol-idol sebagai ikutan."

Terima kasih kepada J/K Masjid Ubudiah Kuala Kangsar kerana berjaya menjemput Prof Dr Sidek Baba datang ke Kuala Kangsar. Dan bersyukur saya kepada Allah Subhanahu wata'ala kerana diberikan kesempatan berjumpa dengan beliau dalam pertemuan yang singkat itu. Semoga Prof Dr Sidek Baba akan terus diberikan kekuatan dari Allah untuk menulis dan menyedarkan masyarakat Islam di Malaysia tentang pentingnya membaca dan kepentingan ilmu...InsyaAllah....

Baca selengkapnya...

Sunday, April 25, 2010

Antara Pelancaran "5S" dan solat 5 waktu....

0 comments
Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Allah Tuhan sekalian Alam kerana dengan limpah rahmatnya kita dapat meluangkan masa untuk berada di alam siber ini. Bagi mereka sentiasa berfikir sesungguhnya kekuasaan Allah Subhanahu wata'ala adalah Maha Agung dan Maha Besar dalam mentadbir alam yang dengan cukup sempurna dan tiada sebarang kecacatan serta celanya.

Selawat dan salam ke atas sebaik-baik manusia yang sentiasa namanya di bibir kita, Nabi Muhammad Shallalahu 'alaihi wasalam, keluarganya serta para sahabat baginda, para tabi'in, para tabi' tabi'in yang telah bersusah payah memperjuangkan Islam untuk kita nikmati pada zaman ini.

Salah satu daripada hikmah pensyariatan solat ialah melalui solat ianya dapat menghasilkan suatu tindakan yang akan memndekatkan kepada matlamat kita iaitu mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wata'ala.Begitulah hebatnya hikmah disebalik solat.

Maka melalui intipati inilah orang-orang Jepun mencipta budaya kerja "5S" iaitu SEIRI-sisih, SEITON-susun, SEISO-sapu, SEIKETSU-seragam, SHITSUKE-sentiasa amal. Inilah kaedah yang diamalkan dalam sistem kerja orang-orang Jepun tanpa menyedari ianya sebenarnya lahir dari hikmah pensyariatan solat.

Semalam (24 April 2010), SM Teknik Kuala Kangsar telah dengan jayanya melancarkan program "5S" di sekolah. Program ini adalah untuk memupuk budaya kerja yang bersih dalam persekitaran bengkel di SM Teknik Kuala Kangsar.




Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh al-fadhil ustaz Khairol Anwor bin Ismail. Disusuli dengan ucapan dari Tuan pengetua dan seterusnya ucapan perasmian oleh YDP PIBG SM Teknik Kuala Kangsar, Tn Hj Nori b Tn Hj Hussin. Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil perlantikan kepada guru-guru berkenaan. Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada pelajar yang berjaya dalam acara kuiz 'Amalan 5S".
Semoga dengan bermula program "5S" ini, budaya bersih dapat diterapkan di dalam persekitaran bengkel di SM Teknik Kuala Kangsar.

Sepertimana yang saya katakan di atas, antara hikmah pensyariatan solat 5 waktu ialah melahirkan seorang individu yang mempunyai mentaliti yang berminda super. Tambahan pula antara solat 5 waktu itu, solat subuh mempunyai nilai yang amat istimewa. Jika kita mampu mendirikan solat subuh secara berjamaah, maka kita akan digeruni oleh pihak musuh kerana kekuatan nilai yang tak mampu digambarkan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh sahabat yang mahsyur, Abu Hurairah RA, Baginda Rasulullah SAW bersabda:"Kalaulah manusia tahu tentang kelebihan yang ada pada azan dan saf yang pertama, kemudian mereka tidak memperolehinya melainkan cabut undi nescaya mereka akan membuat undian untuk mendapatkannya, dan kalaulah mereka tahu tentang fadhilat solat isyak dan subuh nescaya mereka akan pergi bersolat berjamaah walaupun dalam keadaan merangkak".

Maka bertitik tolak dari hadis inilah, saya dan beberapa orang rakan sedaya upaya cuba menerapkan budaya soalat subuh berjamaah di asrama sekolah. Kerana kita yakin hanya mereka yang bersolat subuh secara berjamaah mempunyai minda yang berkualiti dan kelas pertama.



Alhamdulillah, program ini sudahpun masuk ke kali yang kedua dan sudah menampakkan ada nilainya. Pelajar nampaknya lebih menghargai solat wajib pada waktu yang lain. Mungkin inilah salah satu daripada kebekatan solat subuh secara berjamaah.

Saya teringat akan kata-kata Dr Richard Carlson dalam bukunya menasihati kita, "Ingatlah perjalanan sejauh 1000 kilometer bermula dengan langkah pertama. Kadangkala kita hendak memulakan sesuatu yang baru mungkin terasa berat sekali. Kadang-kadang terasa mungkin kita tersilap langkah. Tapi sebenarnya jangan kita cepat cemas kerana jika tidak kita bermula dari sekarang mungkin pada tahun hadapan kita berada di tempat yang sama.."

Hanya dengan menjaga solat, kita akan mampu mengembalikan roh Muslin dalam diri setiap remaja seperti sebuah rangkap tulisan Sayyid Abul Hassan Ali An-Nadwi "Seorang Muslim mesti akrab dengan solat. Seorang Muslim harus menganggap solat sebagai teman sejati yang membantu mendapatkan jalan keluar ketika kesulitan datang menghimpit"

Akhirnya janganlah kita lupa untuk menunaikan 5S yang telah disyariatkan kepada kita walaupun kita sibuk dengan 5S dari negara Jepun......

Wallahu 'alam.....


Baca selengkapnya...
 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--